Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1443: HUKUM MINTA CERAI KERANA SUAMI TIDAK SOLAT

al kafi1443

Soalan

Apakah hukumnya saya memohon perceraian sebab suami tidak solat. Dan saya nak failkan perceraian atas sebab tersebut.

Jawapan

Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah atas segala kurniaan dan rahmat buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan Baginda Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda S.A.W.

Solat merupakan tiang dan asas dalam agama. Tanpa pegangan agama, maka akan goyahlah kehidupan manusia. Solat juga merupakan kewajipan bagi semua umat Islam yang mukallaf. Firman Allah S.W.T:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Maksudnya: Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.

(Surah al-Dzariyat: 56)

Firman Allah S.W.T lagi:

وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَارْكَعُوا مَعَ الرَّاكِعِينَ

Maksudnya: Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.

(Surah al-Baqarah: 43)

Dalam institusi kekeluargaan, agama adalah elemen yang penting. Pegangan agama yang kukuh dalam perkahwinan adalah tonggak kebahagian rumah tangga seperti solat secara berjemaah dapat mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga. Allah S.W.T memberikan suruhan kepada ketua keluarga agar menyuruh dan mengajak ahli keluarganya untuk menunaikan solat. Suruhan ini boleh dilihat pada firman Allah S.W.T:

وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا لَا نَسْأَلُكَ رِزْقًا نَحْنُ نَرْزُقُكَ وَالْعَاقِبَةُ لِلتَّقْوَى

Maksudnya: Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.

(Surah Toha: 132)

Begitu juga sebuah hadith Rasulullah S.A.W:

"عنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خُمُسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَصَّنَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ بَعْلَهَا، دخلت من أي أبواب الجنة شاءت

Maksud hadith: Dari Abu Hurairah R.A: Rasulullah S.A.W bersabda: “Apabila seseorang wanita itu menunaikan solat lima waktu, berpuasa pada bulannya (Ramadhan), menjaga kemaluannya dan mentaati pasangannya, masuklah dia ke dalam syurga melalui mana-mana pintu yang dikehendakinya”.

 Hadith Shohih, Riwayat Ibn Hibban (4163)

Melalui hadith ini, dapat difahami akan kewajipan menunaikan ibadah solat ke atas isteri. Maka, jika difahami secara mafhum al-mukhalafah yakni makna yang tersirat di sebaliknya, suami lebih ditekankan kewajipannya untuk menunaikan solat. Ini kerana suami merupakan ketua keluarga dan seorang ketua mesti menunjukkan sifat, contoh dan sikap yang baik terhadap ahli keluarganya, mendidik mereka dengan didikan agama dan membimbing mereka ke jalan yang betul.

Berbalik pada soalan yang diajukan, jika seorang suami atau ketua keluarga tidak menunaikan solat, maka perlulah dilihat terlebih dahulu akan sebab dan punca yang menyebabkan mereka tidak menunaikan solat itu. Jika seseorang itu meninggalkan solat dalam keadaan dia mengingkari akan kewajipan menunaikan solat, ataupun dia menunaikan solat tetapi pada masa yang sama dia mengingkari kewajipan itu, maka jatuhlah hukum kafir murtad ke atasnya berdasarkan ijma’ muslimin. [Lihat: al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab: 3/14]. Perkara ini sebagaimana yang dinyatakan dalam hadith Nabi Muhammad S.A.W:

«إِنَّ بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ وَالْكُفْرِ تَرْكَ الصَّلَاةِ»

Maksudnya: Yang membezakan antara seorang hamba (yang mukmin) dengan seorang yang syirik dan kafir, iaitu meninggalkan solat.

Riwayat Muslim (82)

Dalam kes sebegini, jika si isteri ingin memohon cerai, maka perlulah dirujuk ke pihak mahkamah terlebih dahulu untuk disahkan status keislaman suami tersebut sebelum mahkamah dapat menentukan hukuman ataupun keputusan yang sesuai berkenaan perkahwinannya.

Adapun jika seseorang itu meninggalkan solat tanpa mengingkari akan kewajipannya terbahagi kepada dua jenis. Pertama, mereka yang meninggalkan solat atas sebab uzur seperti lupa, tertidur dan sebagainya. Maka diwajibkan ke atasnya untuk menggantikannya sahaja, dan tidak berdosa. Kedua, mereka yang meninggalkan solat atas sebab malas atau meremeh-remehkannya, maka berdosalah dia tanpa khilaf. [Lihat: al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab: 3/14]. Boleh lihat juga Tahqiq al-Masa’il Siri Ke-1 di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Dalam hal ini, ia merupakan tanggungjawab dan kewajipan ahli keluarga yang lain untuk terus menasihatinya dan mengajaknya menunaikan solat dengan harapan dia akan kembali insaf dan bertaubat. Menuntut perceraian sememangngya dibolehkan dalam Islam. Akan tetapi, ia bukanlah suatu perkara yang disukai malah dibenci Allah S.W.T. Sabda Nabi S.A.W:

أبغض الحلال إلى الله تعالى الطلاق

Maksudnya: “Perkara halal yang paling dimurkai Allah adalah talaq”.

Riwayat Abu Daud (2178), al-Hakim (2/197) dan beliau mensahihkannya

Imam al-Khattabi dalam kitabnya Ma’alim al-Sunan (3/231) menyatakan makna benci pada hadith itu ialah pada sebab yang membawa kepada perceraian itu seperti pergaulan yang buruk sesama suami isteri dan bukannya pada perkara talaq itu sendiri, kerana Allah telah mengharuskan perbuatan talaq itu.

Justeru, nasihat kami di sini ialah sebaik-baiknya perkara ini diselesaikan terlebih dahulu sesama ahli keluarga sebelum menuntut perceraian. Isteri mesti menasihati suami untuk menunaikan solat sekadar termampu. Jika sebaliknya, ahli keluarga yang lain perlu bersama-sama memainkan peranan dengan menasihatinya juga. Minta juga kerjasama dari ibu bapa mertua dan ibu bapanya sendiri untuk membantu memberikan nasihat dan peringatan akan balasan bagi mereka yang meninggalkan solat. Kemudian, mintalah juga bantuan dari orang-orang yang disegani pasangan untuk menasihatinya. Selain itu, isteri boleh mengajak anak-anak atau ahli keluarga yang lain untuk solat secara berjemaah. Dengan ini, semoga akan timbul rasa segan dan malu dalam hati suami apabila meninggalkan solat.

Penutup

Kesimpulannya, orang yang meninggalkan solat adalah berdosa besar dan wajib menggantikannya. Banyak balasan dan azab yang disediakan mahupun di dunia nyata ataupun di Akhirat bagi mereka yang tidak menunaikan solat. [Rujuk: Irsyad al-Fatwa Siri Ke-319]. Maka, isteri perlulah sentiasa menasihati suami dalam hal ini bersama-sama ahli keluarga yang lain. Jika nasihat ataupun teguran tidak membuahkan hasil atau suami tetap tidak menunaikan solat, maka eloklah perkara ini diadukan ke Jabatan Agama Islam untuk mendapatkan nasihat selanjutnya Akhirnya, kami berdoa semoga Allah S.W.T memberikan hidayah dan petunjuk, menetapkan hati kita dalam keimanan, memberikan keringanan dan keikhlasan dalam melaksanakan ibadah terutamanya dalam menunaikan kewajipan solat, moga Allah S.W.T menerima segala amal dan memberkati segala usaha kita.

Wallahua’lam.