Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1636 : HUBUNGAN ANAK LUAR NIKAH DENGAN IBU DAN JUGA ADIK BERADIK PEREMPUAN KEPADA BAPA

AK1636

 

Soalan :

Salam ustaz, dalam situasi seorang lelaki berkahwin dengan seorang perempuan selepas mereka berdua berzina. Kemudian perempuan tersebut melahirkan seorang anak lelaki.  Soalan saya, apakah status anak lelaki tersebut dengan ibu dan juga adik beradik perempuan kepada lelaki yang mengahwini perempuan tersebut ?

Jawapan :

Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Dalam isu ini, ada beberapa perkara yang perlu kita fahami. Pertama, sekiranya kedua pasangan yang berzina itu berkahwin, kemudian setelah enam bulan dari tempoh perkahwinan tersebut wanita itu melahirkan anak, maka adalah dibolehkan untuk anak tersebut dinasabkan kepada suami wanita tersebut.

Kedua, sekiranya anak tersebut lahir kurang enam bulan dari tarikh perkahwinan, maka tidak boleh untuk anak tersebut dinasabkan kepada suami wanita tersebut. Pendapat ini terbina hasil daripada kefahaman para ulama terhadap dua ayat yang berikut. Iaitu firman Allah S.W.T :

وَحَمْلُهُ وَفِصَالُهُ ثَلَاثُونَ شَهْرًا

Maksudnya : (Dan ibunya) mengandungkan serta menyusukannya (anak) selama tiga puluh bulan.

Surah Al-Ahqaf (15)

Kemudiannya adalah firman Allah S.W.T :

وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ

Maksudnya : (Dan seorang ibu) menyusukan anaknya selama dua tahun.

Surah Luqman (14)

Berdasarkan kedua-dua ayat ini, ada dijelaskan tentang tempoh penyusuan serta tempoh mengandung yang berlaku kepada orang perempuan. Ayat ke- 14 dari surah Luqman menjelaskan bahawa tempoh susuan adalah selama dua tahun iaitu bersamaan dua puluh empat bulan. Manakala ayat ke- 15 dari surah Al-Ahqaf pula menjelaskan tentang tempoh mengandung dan menyusukan iaitu selama tiga puluh bulan. Maka para ulama melakukan istinbat daripada ayat ini dalam menyatakan bahawa tempoh hamil yang paling singkat adalah selama enam bulan. Ini kerana, daripada 30 bulan tersebut, 24 bulan digunakan untuk menyusukan anak, maka selebihnya itu diiktibarkan sebagai tempoh mengandung yang paling singkat.

Imam Al-Hafiz Ibn Katsir dalam tafsiran beliau ke atas ayat ini beliau berkata : ‘’Daripada ayat ini, Ibn Abbas dan selain beliau dari kalangan para a’immah (para ulama) mengistinbatkan bahawa tempoh hamil yang paling singkat adalah selama enam bulan’’. Rujuk Tafsir Al-Quran Al-‘Azhim, Ibn Katsir (6/336).

Begitu juga Imam Al-Qurthubi ada menukilkan sebuah riwayat daripada Amirul Mu’minin ‘Utsman Ibn ‘Affan R.A yang didatangkan kepada beliau seorang perempuan yang telah melahirkan anak setelah enam bulan hamil. Lalu beliau ingin menjatuhkan hukum had kepada perempuan tersebut. Kemudian ‘Ali bin Abi Thalib R.A berkata kepadanya : Tidak boleh dijatuhkan had ke atasnya. Ini kerana Allah S.W.T berfirman :

وَحَمْلُهُ وَفِصالُهُ ثَلاثُونَ شَهْرا

Dan firman Allah S.W.T :

وَالْوالِداتُ يُرْضِعْنَ أَوْلادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كامِلَيْنِ

Maka susuan itu selama dua puluh empat bulan dan tempoh hamil (yang paling singkat) itu enam bulan. Lalu ‘Utsman pun menarik semula pendapatnya dan tidak menjatuhkan hukuman had kepada perempuan tersebut. Rujuk Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurthubi (16/193).

Penutup

Sebagai kesimpulan setelah kami meneliti beberapa nas dan hujahan di atas maka kami menyatakan bahawa isu ini perlu difahami dalam dua noktah berikut :

  • Sekiranya anak tersebut lahir selepas enam bulan dari tempoh perkahwinan, maka dia adalah dianggap sebagai anak sah taraf. Maka ibu dan adik beradik perempuan kepada bapanya tersebut adalah mahram buat dirinya. Implikasinya, haram untuk mereka berkahwin serta boleh untuk bersalaman sesama mereka.
  • Namun jika anak tersebut lahir kurang dari enam bulan setelah perkahwinan, maka ia dianggap sebagai anak tidak sah taraf. Oleh itu, ibu dan adik beradik perempuan kepada pemilik air mani tersebut adalah bukan mahram bagi anak ini. Wallahu A’lam.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.