Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1644 : HUKUM MEMAKAN SISA MAKANAN DALAM TEMBOLOK AYAM (CHICKEN CROP)

al Kafi 1644

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t

Saya ada satu pertanyaan. Baru-baru ini saya ada membeli ayam goreng, kemudian saya dapati atas ayam tersebut ada satu benda yang menjijikkan warna kekuning-kuningan. Pihak penjual kata itu adalah sisa makanan daripada tembolok ayam. Soalan saya, apakah hukum memakan sisa makanan di dalam tembolok ayam? Adakah sisa tersebut dikira sebagai najis? Harap Datuk Mufti dapat memberi pencerahan.

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT :

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya : “dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”

(Surah al-A`raf : 157)

Syeikh al-Maraghi mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan (ٱلطَّيِّبَـٰتُ ) ialah apa sahaja makanan yang baik untuk diri dan juga elok untuk kehidupan yang mana manusia makan dengan penuh selera. Ia juga adalah makanan yang boleh dimakan dan dicerna dengan baik oleh manusia sehingga memberikan zat-zat yang mendatangkan manfaat kepada manusia. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/56)

Manakala menurut Fakhruddin al-Razi pula, setiap apa yang dianggap jijik pada tabiat manusia dan dirasakan kotor pada jiwa adalah diharamkan kerana ia menjadi sebab kepada sakit, sedangkan apa sahaja yang memudaratkan hukum asalnya adalah haram, melainkan terdapat dalil yang menyatakan hukum berbeza. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 15/381)

Definisi dan fungsi tembolok ayam

Tembolok atau dalam bahasa Inggerisnya crop  ialah kantung tempat menyimpan makanan pada leher burung, ayam dan lain-lain.[1] Tembolok ini berada pada bahagian dasar (hujung) leher. Ia juga mengeluarkan lendir bagi mengekalkan kelembapan makanan di dalamnya, agar makanan yang disimpan tidak menjadi padat. Makanan yang disimpan itu juga bercampur dengan air yang diminum oleh burung atau ayam bagi memudahkannya bergerak melalui ke saluran pencernaan yang seterusnya.[2]

Ayam mencakar tanah dan apabila ia menjumpai makanan yang ia suka, ia akan ambil dan masukkan ke dalam paruhnya untuk ditelan. Makanan ini kemudiannya akan melalui esofagus (kerongkong) dan disimpan di dalam tembolok ayam dalam keadaan lembap atau basah. Tembolok ayam mempunyai fungsi yang tertentu iaitu untuk mengasingkan makanan seperti tangki simpanan. Apabila makanan telah siap dan selesai disisihkan atau diasingkan di dalam tembolok itu, ia akan bergerak masuk ke dalam satu dari dua perut yang dimiliki oleh seekor ayam. Makanan tersebut kemudiannya akan melalui proventikulus atau hempedal.[3]

Hukum sisa makanan di dalam tembolok

Perkara ini ada berkait rapat dengan apa yang telah dibahaskan oleh para ulama mengenai makanan atau biji-bijian yang telah dimakan oleh haiwan ternakan. Kemudiannya, ia keluar daripada perut haiwan tersebut sama ada melalui muntahnya atau kotoran najisnya atau seumpamanya. Imam al-Nawawi ada menyebutkan bahawa :

إذَا أَكَلَتْ الْبَهِيمَةُ حَبًّا وَخَرَجَ مِنْ بَطْنِهَا صَحِيحًا فَإِنْ كَانَتْ صَلَابَتُهُ بَاقِيَةً بِحَيْثُ لَوْ زُرِعَ نَبتَ فَعَيْنُهُ طَاهِرَةٌ لَكِنْ يَجِبُ غَسْلُ ظَاهِرِهِ لِمُلَاقَاةِ النَّجَاسَةِ لانه وان صار غذاءا لَهَا فَمِمَّا تَغَيَّرَ إلَى الْفَسَادِ فَصَارَ كَمَا لَوْ ابْتَلَعَ نَوَاةً وَخَرَجَتْ فَإِنَّ بَاطِنَهَا طَاهِرٌ وَيَطْهُرُ قِشْرُهَا بِالْغَسْلِ وَإِنْ كَانَتْ صَلَابَتُهُ قَدْ زَالَتْ بِحَيْثُ لَوْ زُرِعَ لَمْ يَنْبُتْ فَهُوَ نَجِسٌ

Maksudnya : “Sekiranya seekor haiwan memakan biji tumbuhan dan kemudian biji tersebut keluar dari perutnya dalam keadaan baik. Sekiranya keadaan bijian itu masih kekal sebagaimana asal (tidak berubah), yang mana jika ditanam ia dapat tumbuh, maka ia adalah suci. Akan tetapi mesti dibasuh bahagian luarannya (terlebih dahulu) kerana telah terkena najis.  Juga kerana,  jika ia (bijian tersebut) telah menjadi makanan untuk haiwan ternakan tersebut, iaitu dari apa-apa yang telah berubah menjadi rosak (kerana telah diproses dan diurai), maka ia menjadi (najis), sebagaimana kalaulah ia menelan biji-bijian, kemudian mengeluarkannya. Bahagian dalam bijian tersebut masih suci, manakala kulitnya (bahagian luar) dapat disucikan dengan membasuhnya. Dan sekiranya keadaan (bijian tersebut) tidak kekal (telah berubah), yang mana jika ditanam ia tidak dapat tumbuh, maka adalah najis.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/573)

Begitu juga, Syeikh al-Ramli ada menyatakan bahawa sekiranya bijian tersebut boleh kembali (dikeluarkan) dalam keadaannya yang masih baik yang mana jika ditanam ia dapat tumbuh, maka ia adalah mutanajjis dan bukannya najis. Juga kemungkinan pendapat yang mengatakan ia adalah najis, boleh difahami dalam konteks bijian tersebut sudah tidak lagi kekal dalam keadaannya yang asal. Bijian tersebut diqiaskan pada telur, iaitu sekiranya telur tersebut keluar dalam keadaan masih elok setelah ditelan yang mana ia masih lagi boleh menetas, maka hukumnya adalah mutanajjis dan bukannya najis. (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 1/240)

Kemudian, Syeikh Abu Bakar al-Dimyati juga ada menyebutkan bahawa hukum bagi selain daripada bijian seperti telur, kacang badam (almond), kacang walnut dan yang seumpamanya, sekiranya ia dimuntahkan oleh haiwan ternakan atau dikeluarkan melalui kotoran najisnya, hukumnya adalah sebagaimana yang telah disebutkan oleh pengarang kitab Nihayah al-Muhtaj, yang telah mengqiaskannya dengan telur. (Lihat I’anah al-Talibin, hlm. 99)

Oleh itu, kita ketahui bahawa apa-apa jenis makanan seperti biji-bijian, kacang-kacang, buah-buahan dan seumpamanya, sekiranya ia keluar dari perut haiwan dalam keadaan masih elok dan kulitnya tidak pecah, serta masih kekal dalam rupanya yang asal (tidak berubah), maka bahagian dalamnya masih dianggap suci dan boleh dibersihkan.

Kesimpulannya

Tuntasnya, berdasarkan perbahasan dan perbincangan di atas, kami cenderung menyatakan bahawa sisa makanan yang terdapat di dalam tembolok ayam adalah najis sekiranya telah berubah bentuk dan sifatnya yang asal. Sekiranya keadaannya masih kekal sebagaimana asal, ia dianggap masih suci dan boleh dibersihkan. Sekalipun begitu, sisa makanan yang terdapat di dalam tembolok itu dianggap kotor dan jijik oleh jiwa dan tabiat semulajadi manusia kerana ia telah bercampur baur antara makanan yang dimakan, lendir dan unsur-unsur lain.  Juga dikhuatiri ia akan menjadi penyebab kepada sakit dan penyakit.

Oleh itu, kami ingin menasihatkan agar pastikan ayam yang hendak dimasak dibersihkan terlebih dahulu sebaiknya sebelum dimasak kerana perkara itu lebih dekat dengan konsep kebersihan yang ditekankan oleh agama Islam.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

 

 

[1] Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat, http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=tembolok&d=176312&#LIHATSINI. Telah diakses pada 3 Mac 2020.

[2] Lihat Overview of Chicken Anatomy, https://www.youtube.com/watch?v=nd41Ztd6Jq4, minit ke 5:20 hingga 6:35. Telah diakses pada 4 Mac 2020.

[3] Lihat Pets4Homes, artikel bertajuk Understanding A Chicken's Digestive System & Crop Function, http://bit.ly/understanding-a-chickens-digestive-system-crop-function. Telah diakses pada 4 Mac 2020.