Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1782: HUKUM BERLAKON DALAM MEMPROMOSIKAN JUDI

BERLAKON_JUDI.png

SOALAN

Assalamualaikum.

Saya merupakan seorang pelakon, saya telah mendapat tawaran untuk berlakon watak yang mempromosikan judi. Apakah hukumnya?

JAWAPAN RINGKAS

Hukum berlakon mempromosikan judi adalah haram dan dilarang.

HUJAH DAN HURAIAN

Judi merupakan salah satu daripada dosa-dosa besar di dalam Islam. Perkara ini telah di sebut di dalam al Quran. Secara dasarnya, pengharaman judi ini telah jelas di sebut di dalam al Quran, namun bagaimana pula jika kita terlibat dalam mempromosikan judi?

Allah SWT befirman di dalam al Quran mengenai larangan judi seperti ayat di bawah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

Surah al-Maidah (90)

Imam al-Mawardi ketika mentafsirkan ayat مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ menyatakan bahawa perbuatan arak, judi, pemujaan berhala dan menilik nasib ialah hasutan syaitan yang hanya mengajak kepada keburukan dan maksiat serta mengajak untuk meninggalkan perkara yang baik.

Jelas disini, judi merupakan dosa besar kerana pelakunya akan meninggalkan solat, lalai daripada mengingati Allah, berjudi sehingga tidak berbaki lagi hartanya, permusuhan dan pelbagai lagi kesan-kesan buruk dan merosakkan.

(Rujuk Tafsir al-Maturidi 117/2; Tafsir al-Quran al-Aziz 219/1)

Perbuatan yang menyokong atau mempromosikan judi akan membawa mudarat yang besar kepada diri sendiri dan juga orang lain. Perbuatan ini jelas membawa kepada pertolongan kepada perkara yang keji. Allah SWT telah memerintahkan kita untuk menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Firman Allah SWT berfirman di dalam al Quran:

وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّة يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ

Maksudnya: "Hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya".

Surah Ali Imran (104)

Seterusnya, Allah juga melarang kita untuk terlibat atau menolong kepada kemungkaran. Perkara ini jelas disebutkan Allah SWT di dalam firman-Nya:

وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan taqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. 

Surah al-Maidah (2)

Imam Ibn Kathir dalam mentafsirkan ayat di atas di dalam Tafsir al-Munir menyatakan bahawa menjadi kewajipan bagi muslim untuk tolong menolong dalam urusan kebaikan dan terhenti pada urusan maksiat. Perbuatan tolong menolong dalam urusan maksiat adalah haram kerana ia merupakan satu maksiat dan dosa.

Berdasarkan ayat di atas, jelas dapat kita fahami bahawa perbuatan melakonkan watak yang mempromosikan judi adalah termasuk dalam perbuatan tolong menolong dalam perkara maksiat. Hal ini kerana, hasil lakonan tersebut akan mempengaruhi orang lain untuk menyertai judi secara langsung atau tidak langsung. 

Dalam pada itu, menjadi kewajiban bagi setiap muslim untuk mencari rezeki yang halal. Perkara ini dapat kita lihat melalui hadis nabi yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Mas’ud:

«طَلَبُ كَسْبِ الْحَلَالِ فَرِيضَةٌ بَعْدَ الْفَرِيضَةِ»

Maksudnya: Mencari rezeki daripada sumber yang halal adalah suatu kewajipan utama melangkaui kewajipan lain.

(Riwayat al-Baihaqi)

Kita seharusnya memastikan setiap pendapatan yang kita peroleh adalah daripada sumber yang halal.

KESIMPULAN

Tuntasnya, perbuatan menolong mempromosikan judi melalui lakonan adalah haram dan dilarang. Hal ini kerana perbuatan tersebut mendorong orang yang menontonnya untuk terlibat dengan judi. Jauhilah judi dan perbuatan yang menggalakkan orang lain kepada judi. Takutlah kepada azab Allah SWT. Wallahuallam