Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1813: HUKUM MELANGSAIKAN HUTANG YANG TIDAK PASTI

hehe2 

Soalan

Assalamualaikum, saya merasakan arwah ibu ada meninggalkan hutang tetapi tidak tahu dengan siapakah dia berhutang dan berapakah nilainya. Apakah yang perlu saya lakukan?

 

Jawapan Ringkas

Dalam hal di atas, disarankan kepada ahli waris berusaha untuk mencari pihak yang arwah ada berhutang. Sekiranya, selepas beberapa tempoh mereka tidak mempunyai sebarang petunjuk mahupun bukti yang menunjukkan arwah berhutang di samping tiada pihak yang datang menuntut, maka ahli waris tidak perlu melakukan apa-apa kerana kaedah fiqh menyebut kedudukan asal bagi seseorang adalah terlepas daripada sebarang tanggungjawab melainkan terdapat dalil atau bukti-bukti yang menunjukkan sebaliknya. Oleh itu, saudara boleh menganggap beliau seperti tidak berhutang dengan sesiapa.

Dalam masa yang sama, digalakkan untuk memberi sedekah kepada fakir miskin dengan niat melangsaikan hutang arwah sekiranya arwah ada berhutang dengan orang lain tanpa disedari.

 

Huraian Jawapan

Berdasarkan situasi di atas, sekiranya seseorang meragui sama ada arwah ibunya mempunyai hutang ataupun tidak, maka agama mengajar kita untuk berpegang dengan kaedah fiqh yang menyebut,

الأصل براءة الذمة

Maksudnya: “(Keadaan) asal (seseorang) adalah terlepas daripada sebarang tanggungjawab”.

Kaedah ini merupakan kaedah asas yang memberi maksud bahawa seseorang itu secara asalnya terlepas daripada sebarang kewajipan dan tanggungjawab kerana mempunyai beban dan tanggungjawab merupakan perkara yang mendatang dan berlawanan dengan sifat asal.

(Lihat: al-Mausu’ah al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 1/108)

Dalil bagi kaedah ini bersandarkan kepada hadis Nabi SAW:

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا، أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى الله عليه وسلم: لَوْ يُعْطَى النَّاسُ بِدَعْوَاهُمْ، لاَدَّعَى رِجَالٌ أَمْوَالَ قَوْمٍ وَدِمَاءَهُمْ، لَكِنَّ الْبَيِّنَةَ عَلَى الْمُدَّعِيْ وَالْيَمِيْنَ عَلَى مَنْ أَنْكَرَ

Maksudnya: “Ibn Abbas RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW: Seandainya setiap pengaduan dan dakwaan manusia diterima, nescaya manusia akan mendakwa harta suatu kaum dan darah mereka. Oleh kerana itu, (agar tidak terjadi hal tersebut) beban dalil dan bukti dikenakan terhadap pendakwa manakala pihak tertuduh perlu bersumpah bagi mengingkarinya”.

Riwayat Ibn Hibban (5083)

Selain itu, kaedah di atas sebenarnya digunakan dalam keadaan terdapat dua pihak yang bertelingkah sama ada salah satu pihak berhutang dengannya ataupun tidak. Justeru, apabila kaedah ini diaplikasikan, pihak penuduh perlu mengemukakan bukti bahawa penghutang ada berhutang dengannya manakala pihak tertuduh cukup sekadar bersumpah menafikan dirinya berhutang.

Namun begitu, kaedah ini juga dapat diguna pakai dalam situasi di atas melihat kepada tiada bukti yang jelas arwah ibu mempunyai hutang dengan orang lain.

Walau bagaimanapun, melunaskan hutang bukanlah perkara yang boleh diambil remeh. Ini berdasarkan pelbagai nas yang menunjukkan melunaskan hutang merupakan perkara yang sangat penting dan wajar diberikan perhatian.

Antaranya, hadis yang menyebut bahawa jiwa orang yang berhutang akan tergantung selagimana hutangnya di dunia tidak dilangsaikan. Rasulullah SAW bersabda,

نَفْسُ المُؤمِنِ مُعَلّقَةٌ بِدَيْنِه حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ

Maksudnya: “Jiwa seorang mukmin tergantung dengan hutangnya sehingga dilunaskan hutang baginya.”

Riwayat al-Tarmizi (1079)

Seterusnya, terdapat juga hadis lain yang menyebut dosa orang yang berhutang tidak akan terampun kecuali dihalalkan oleh si pemiutang walaupun mati sebagai mati syahid. Rasulullah SAW bersabda:

يُغْفَرُ لِلشَّهِيدِ كُلُّ ذَنْبٍ إلَّا الدَّيْنَ

Maksudnya: “Diampunkan semua dosa bagi orang yang terkorban mati syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia).”

Riwayat Muslim (1886)

Oleh yang demikian, kami menyarankan agar pihak ahli waris berusaha untuk mencari pihak-pihak yang dirasakan arwah ibu ada berhutang dengannya. Sekiranya selepas suatu tempoh berlalu, pemiutang masih tidak dijumpai ataupun tiada pihak yang datang menuntut, maka bolehlah berpegang dengan kaedah fiqh seperti yang disebutkan di awal penerangan bahawa keadaan asal bagi seseorang adalah terlepas daripada sebaranng tanggungjawab.

Dalam masa yang sama, digalakkan juga kepada ahli waris untuk memberikan sedekah kepada fakir miskin dengan niat melangsaikan hutang arwah sekiranya arwah ada berhutang dengan orang lain tanpa disedari. Pendirian ini demi menyahut seruan Baginda SAW agar orang yang diberi hutang mempunyai niat yang bersungguh-sungguh untuk membayar hutangnya kembali termasuklah ahli-ahli waris yang berusaha melunaskan hutang arwah bagi pihak ibu mereka.

Nabi SAW bersabda,

مَنْ أَخَذَ أَمْوَالَ النَّاسَ يُرِيدُ أَداءَهَا أَدَّى اللهُ عَنْهُ وَ مَنْ أَخَذَ يُرِيدُ إِتْلَافَهَا أَتْلَفَهُ اللهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat untuk membayarnya semula, maka Allah SWT akan menunaikannya untuknya. Barangsiapa yang mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat untuk menghabiskannya tanpa membayar balik, maka Allah SWT akan membinasakan dirinya.”

Riwayat al-Bukhari (2387)

Wallahu a’lam.