Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI # 1828: BOLEHKAH WANITA NIFAS SUJUD SYUKUR?

 

sujud

SOALAN

Assalammualaikum, Saya ada pertanyaan berkaitan wanita yang mengalami nifas, adakah mereka boleh melakukan sujud syukur? Mohon pencerahan S.S Datuk Mufti.

Ringkasan Jawapan:

Wanita yang bernifas terhalang daripada melaksanakan ibadah solat termasuklah sujud syukur.  Namun, wanita tersebut masih boleh  menzahirkan rasa syukur dengan zikir mahupun ucapan tahmid “alhamdulillah” ( الْحَمْدُ لِلهِ) ketika mendapat nikmat bagi mengantikan sujud syukur.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Menurut fuqaha terutamanya mazhab Syafi’ie, sujud syukur sunat dilaksanakan ketika dikurniakan nikmat. (Rujuk Al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, Al-Nawawi, 4/70).

Walaubagaimanpun, Syeikh Ibnu Hajar al-Haytami menyatakan larangan bagi mereka yang berhadas untuk melakukan sujud syukur  

ويحرم بالحدث الصلاة" إجماعًا "ونحوها" كسجدة تلاوة وشكر وخطبة جمعة وصلاة جنازة. "والطواف", ولو نفلا.

“Haram mendirikan solat dan seumpamanya ketika berhadas menurut ijma' ulama (mazhab Syafie) seperti sujud tilawah, sujud syukur, khutbah jumaat, solat jenazah, tawaf   walaupun solat sunat (Rujuk Al-Minhaj al-Qawim Syarh al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah ,38)

PENUTUP

Setelah meneliti pandangan fuqaha Mazhab Syafie, wanita yang berhadas sama ada  haid mahupun  nifas dilarang (haram) daripada melakukan sujud syukur disebabkan  hadas besar. Meskipun begitu, wanita yang haid dan nifas yang mendapat khabar gembira masih boleh menzahirkan rasa syukur dengan menggantikan sujud syukur dengan zikir mahupun ucapan tahmid “alhamdulillah” ( الْحَمْدُ لِلهِ).