Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1898: SELUAR TERKOYAK DAN AURAT TERDEDAH KETIKA SOLAT, BOLEHKAH MENUTUPNYA DENGAN TANGAN HINGGA SELESAI SOLAT?

Screenshot 2022 11 14 at 10.45.47 AM min

Soalan:

Suatu hari ketika sedang solat, seluar saya terkoyak sedikit hingga menampakkan bahagian paha. Adakah boleh saya meneruskan solat dengan sekadar menutupnya dengan tangan hingga selesai solat?

Ringkasan Jawapan:

Dalam keadaan aurat terdedah ketika solat, atau jika tidak mempunyai pakaian lain yang menutup aurat dengan sempurna, seseorang itu dibolehkan untuk menggunakan tangannya untuk menutup sebahagian daripada auratnya ketika solat, bahkan menjadi wajib jika dia tidak mendapati sesuatu untuk menutup auratnya melainkan dengan tangannya. Dia juga hendaklah mengekalkan kedudukan tangannya pada bahagian aurat yang ditutupi sehingga selesai solat.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Menutup aurat merupakan salah satu syarat sah solat. Kata Syeikh Sa‘id Ba‘isyin:

(الشرط الثامن: ستر العورة) عن العيون من إنس وجن وملك، فلا تصح مع عدم سترها مع القدرة عليها ولو خالياً أو في ظلمة

Maksudnya: Syarat sah solat yang kelapan: Menutup aurat daripada pandangan mata manusia, jin dan malaikat. Solat tidak sah jika tidak menutup aurat, sedangkan dia mampu berbuat demikian, meskipun ketika sedang bersendirian atau dalam keadaan gelap-gelita.[1]

Dalam keadaan aurat terdedah ketika solat, atau jika tidak mempunyai pakaian lain yang menutup aurat dengan sempurna, seseorang itu dibolehkan untuk menggunakan tangannya untuk menutup sebahagian daripada auratnya ketika solat. Kata Imam Ibn Hajar al-Haitami:

(وَيَجُوزُ سَتْرُ بَعضِ العَورَةِ بيَدِهِ) مِن غَيرِ مسٍّ ناقِضٍ، لحُصُولِ المَقْصودِ بِهِ

Maksudnya: Diharuskan untuk menutup sebahagian aurat dengan tangannya, tanpa melibatkan sentuhan yang membatalkan wuduk; hal ini kerana menggunakan tangan telah mencapai maksud menutup aurat...[2]

Syeikh Muhammad Mahfuz al-Tarmasi menjelaskan lagi bahawa yang dimaksudkan dengan sentuhan yang tidak membatalkan wuduk itu ialah bahagian aurat yang ditutup itu mestilah bukan dua anggota kemaluan, atau ia sebahagian daripada anggota kemaluan tetapi pada bahagian yang tidak membatalkan wuduk jika disentuh.[3] Bahkan menurut beliau lagi, wajib baginya berbuat demikian jika dia tidak mendapati sesuatu untuk menutup auratnya melainkan dengan tangannya.[4]

Menurut Syeikh Sa‘id Ba‘isyin, dalam keadaan dia wajib menutup auratnya dengan tangan kerana tiada benda lain yang boleh digunakan, dia hendaklah mengekalkan kedudukan tangannya pada aurat yang ditutup meskipun ketika sujud, dan ini merupakan pandangan al-Khatib al-Syarbini. Hal ini kerana kewajipan menutup aurat merupakan perkara yang disepakati antara syaikhan (Imam al-Rafi‘e dan Imam al-Nawawi), sedangkan meletakkan tapak tangan ketika sujud diperselisihi hukumnya antara mereka berdua. Bagi Syamsuddin al-Ramli pula, dia menetapkan bahawa wajib meletakkan tangan ke lantai ketika sujud, kerana menutup seluruh aurat itu hanya wajib bagi yang mampu, manakala bagi Ibn Hajar al-Haitami pula seseorang itu boleh memilih antara dua, kerana dalam hal ini berlakunya pertentangan antara dua perkara yang wajib.[5]

Wallahu a‘lam.

 

[1] Rujuk Busyra al-Karim bi Syarh Masa’il al-Ta‘lim oleh Sa‘id Ba‘isyin (2019) Mu’assasah al-Risalah, Cetakan Pertama, hlm. 280

[2] Rujuk al-Manhaj al-Qawim oleh Ibn Hajar al-Haitami (2015) Jeddah: Dar al-Minhaj, Cetakan Ketiga, hlm. 216

[3] Rujuk Hasyiyah al-Tarmasi oleh Muhammad Mahfuz al-Tarmasi (2011) Jeddah: Dar al-Minhaj, Cetakan Pertama, 3/229

بأن يكون ذالك البعض من غير السوأة، أو منها بلا مس ناقض

[4] Rujuk Hasyiyah al-Tarmasi, 3/228

بل عليه إن كان في ساتر عورته خرق لم يجد ما يستره غير يده

[5] Rujuk Busyra al-Karim, hlm. 283

وعلى الوجوب بيده فيبقيها -عند الخطيب- في السجود؛ لأن ستر العورة متفق عليه بين الشيخين، ووضع الكفين في السجود مختلف فيه، وعند م ر: يجب وضعها في السجود؛ لأن الستر إنما يجب على القادر، وهو عاجز حينئذٍ.

وعند حج: يتخير؛ لتعارض الواجبين