Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1930: ADAKAH ORANG GILA YANG SEDAR KEMBALI DI BULAN RAMADAN PERLU QADA SEMUA PUASANYA?

ADAKAH ORANG GILA YANG SEDAR KEMBALI DI BULAN RAMADAN PERLU QADA SEMUA PUASANYA

 

SOALAN

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya, adakah orang gila yang pulih kembali di pertengahan bulan Ramadan perlu menggantikan semua puasa yang ditinggalkannya sebelum ini?

RINGKASAN JAWAPAN

Orang gila yang kembali pulih di siang hari bulan Ramadan maka tidak diwajibkan berpuasa pada hari tersebut dan tidak diwajibkan untuk mengqadakan puasa yang ditinggalkan pada hari itu dan hari-hari sebelumnya. Hal ini kerana mereka tidak tergolong daripada golongan mukalaf.

WaAllahu a’lam.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Antara syarat wajib melaksanakan ibadah puasa ialah berakal. Oleh yang demikian, orang yang tidak berakal atau gila tidak diwajibkan untuk berpuasa. Gila di sisi para Fuqaha bermaksud hilang kewarasan akal sehingga tidak dapat membezakan antara yang baik dan yang buruk.[1] Justeru apabila seseorang ditimpa penyakit gila walaupun sekejap ketika dia berpuasa maka batal puasanya. Imam al-Nawawi menjelaskan perkara ini dengan berkata:

وَالثَّالِثُ: الْعَقْلُ، فَلَا يَصِحُّ صَوْمُ الْمَجْنُونِ. فَلَوْ جُنَّ فِي أَثْنَاءِ النَّهَارِ، بِطَلَ صَوْمُهُ عَلَى الْمَذْهَبِ.

Maksudnya: Syarat wajib puasa yang ketiga ialah berakal. Jika seseorang ditimpa sakit gila pada siang hari bulan Ramadan, maka batal puasanya bagi mazhab al-Syafi’i[2]. (Rujuk Raudhah al-Talibin, 2:366)

Untuk penjelasan lanjut berkaitan ini, kami telah bahaskannya dalam artikel Irsyad Al-Fatwa Khas Ramadan Siri Ke-188: Adakah Batal Puasa Bagi Orang Yang Gila Dalam Tempoh Sementara?

Oleh yang demikian, sesiapa yang berpuasa ditimpa penyakit gila kemudian sedar kembali maka batal puasanya dan tidak wajib berpuasa pada hari tersebut. Imam al-Syirazi menjelaskan bahawa:

ومن زال عقله بجنون لم يجب عليه الصوم فإن بلغ الصبي أو أفاق المجنون في أثناء النهار لم يلزمهما صوم ذلك اليوم

Maksudnya: Sesiapa yang hilang akal disebabkan penyakit gila maka dia tidak wajib berpuasa. Justeru apabila seseorang kanak-kanak baligh atau orang yang gila kembali sedar daripada sakit gila pada siang hari bulan Ramadan, maka tidak diwajibkan untuk berpuasa.[3] (Rujuk al-Tanbih, 1:65)

Justeru itu dapat difahami bahawa tidak berpuasa bagi orang yang pulih daripada penyakit gila di siang hari pada bulan Ramadan. Di samping itu juga dia tidak dituntut untuk menggantikan puasa yang ditinggalkannya itu akibat penyakit gila tersebut serta tidak diwajibkan untuk menahan diri daripada makan dan minum. Hal ini sepertimana dijelaskan oleh Syeikh Rajab Nuri bahawa:

(ولو بلغ) الصبي (فيه مفطراً أو أفاق) المجنون (أو أسلم) الكافر (فلا قضاء في الأصح) لأنهم لم يكونوا من أهل التكليف (ولا يلزمهم إمساك بقية النهار في الأصح) لأن فطرهم بعذر

Maksudnya: Jika seseorang kanak-kanak baligh atau seseorang yang gila kembali sedar atau seseorang yang kafir masuk Islam, maka puasa mereka tidak perlu diqada menurut pandangan yang muktamad. Ini kerana mereka bukan daripada golongan mukalaf. Selain itu, mereka tidak wajib menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa pada baki hari tersebut menurut pandangan yang muktamad kerana mereka tidak berpuasa atas keuzuran (yang dibenarkan syarak).[4] (Rujuk Dalil al-Muhtaj, 1:309)

Kesimpulan

Kesimpulannya, orang gila yang kembali pulih di siang hari bulan Ramadan maka tidak diwajibkan baginya berpuasa pada hari tersebut dan tidak diwajibkan baginya untuk mengqadakan puasa yang ditinggalkan pada hari itu dan sebelumnya. Hal ini kerana mereka tidak tergolong daripada golongan mukalaf.

WaAllahu a’lam.

Rujukan:

[1] والجنون معناه: زوال العقل، أو فساد فيه. والجنون اصطلاحاً هو: اختلال القوة المميزة بين الأمور الحسنة والقبيحة المدركة للعواقب، بأن لا يظهر آثارها وتتعطل أفعالها. (الْمُهَذَّبُ في عِلْمِ أُصُولِ الفِقْهِ الْمُقَارَنِ، 1:332)

[2] Al-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf, 1991, Raudhah al-Talibin wa Umdah al-Muftiin, Beirut: Maktab Islami, jld. 2, hlm. 366.

[3] Al-Syirazi, Abu Ishaq, t.t, al-Tanbih fi Fiqh al-Syafie, Beirut: ‘Alam al-Kutub, jld. 1, hlm. 65.

[4] Rajab Nuri, t.t, Dalil al-Muhtaj Syarh al-Minhaj, jld. 1, hlmn. 309.