Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1943: BENARKAH ADA LARANGAN BERSETUBUH PADA AWAL, PERTENGAHAN DAN AKHIR SETIAP BULAN?

BENARKAH_ADA_LARANGAN_BERSETUBUH_PADA_AWAL_PERTENGAHAN_DAN_AKHIR_SETIAP_BULAN.jpg

 

Soalan

Saya ada terbaca perkongsian di media sosial bahawa kita dilarang daripada melakukan persetubuhan pada awal, pertengahan dan akhir setiap bulan qamariah. Adakah kenyataan tersebut ada asas dari sudut syarak?

Ringkasan Jawapan

Ada sebahagian ulama memakruhkan persetubuhan bersama pasangan pada 1, 15 dan 30 setiap bulan, kerana dikatakan bahawa syaitan akan turut bersetubuh dengan kita pada malam tersebut.

Namun pandangan ini adalah lemah kerana tidak disokong oleh sebarang dalil. Para ulama juga menyebut bahawa doa yang dibaca sebelum bersetubuh yang dinyatakan dalam hadis akan menghalang syaitan daripada mengotori zuriat yang terhasil daripada persetubuhan tersebut.

Huraian Jawapan

Ada sebahagian ulama mazhab Syafie yang berpandangan bahawa makruh hukumnya bersetubuh pada tiga malam pada setiap bulan, iaitu pada malam pertama, pertengahan dan pengakhirannya. Menurut Imam al-Ghazali:

ويكره له الجماع في ثلاث ليال من الشهر الأول والآخر والنصف. يقال إن الشيطان يحضر الجماع في هذه الليالي ويقال إن الشياطين يجامعون فيها وروي كراهة ذلك عن علي ومعاوية وأبي هريرة رضي الله عنهم

Maksudnya: Persetubuhan hukumnya makruh pada tiga malam dalam setiap bulan, iaitu pada malam pertama, terakhir dan pertengahan. Dikatakan bahawa syaitan akan turut serta dalam persetubuhan yang dilakukan pada malam-malam tersebut. Hukum makruh ini turut diriwayatkan daripada Saidina Ali, Mu‘awiyah dan Abu Hurairah R.‘Anhum.[1]

Pandangan ini ada disebut dalam kitab-kitab muktamad mazhab Syafie, antaranya dalam Tuhfah al-Muhtaj oleh Syeikh Ibn Hajar al-Haitami, namun pandangan tersebut diisyaratkan sebagai pandangan yang lemah oleh beliau:

قِيلَ يَحْسُنُ تَرْكُهُ لَيْلَةَ أَوَّلِ الشَّهْرِ وَوَسَطِهِ وَآخِرِهِ لِمَا قِيلَ إنَّ الشَّيْطَانَ يَحْضُرُهُ فِيهِنَّ وَيُرَدُّ بِأَنَّ ذَلِكَ لَمْ يَثْبُتْ فِيهِ شَيْءٌ وَبِفَرْضِهِ الذِّكْرُ الْوَارِدُ يَمْنَعُهُ

Maksudnya: Menurut pandangan yang lemah dalam mazhab, adalah lebih baik untuk mengelakkan bersetubuh pada setiap malam pertama, pertengahan dan pengakhiran setiap bulan, berdasarkan pandangan bahawa syaitan menyertai persetubuhan pada malam-malam tersebut. Namun pandangan ini ditolak kerana tiada sebarang dalil yang menyebut perkara tersebut, selain daripada kewajipan berdoa yang warid daripada Rasulullah SAW yang boleh menghalang syaitan daripada persetubuhan yang dilakukan.[2]

Doa yang dimaksudkan ialah doa yang diriwayatkan daripada Abdullah Ibn Abbas R.’Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda: Apabila salah seorang daripada kamu ingin mendatangi isterinya maka bacalah:

بِاسْمِ اللَّهِ، اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا الشَّيْطَانَ، وَجَنِّبِ الشَّيْطَانَ مَا رَزَقْتَنَا، فَإِنَّهُ إِنْ يُقَدَّرْ بَيْنَهُمَا وَلَدٌ فِي ذَلِكَ لَمْ يَضُرَّهُ شَيْطَانٌ أَبَدًا

Maksudnya: Dengan nama Allah, ya Allah ya Tuhan kami, jauhkanlah kami daripada syaitan dan jauhkanlah syaitan daripada apa yang kamu rezekikan kepada kami. Sesungguhnya jika ditakdirkan (Allah) buat kamu berdua anak pada waktu itu, maka anak tersebut tidak akan dimudaratkan oleh syaitan buat selamanya.”

Riwayat al-Bukhari (6388)

Kesimpulannya, pandangan yang memakruhkan persetubuhan pada permulaan, pertengahan dan pengakhiran setiap bulan qamariah adalah lemah kerana tidak disokong oleh sebarang dalil. Para ulama juga menyebut bahawa doa yang dibaca sebelum bersetubuh yang dinyatakan dalam hadis akan menghalang syaitan daripada mengotori zuriat yang terhasil daripada persetubuhan tersebut.

Wallahu a'lam.

 

Rujukan: 

[1] Rujuk Ihyaa’ ‘Ulum al-Din oleh Imam Abu Hamid al-Ghazali, Beirut: Dar al-Ma’rifah, 2/50

[2] Rujuk Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj oleh Ibn Hajar al-Haitami (1983) al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, 7/217

Rujuk juga Nihayah al-Muhtaj 6/209:

وَمَا قِيلَ مِنْ أَنَّهُ يَحْسُنُ تَرْكُ الْوَطْءِ ‌لَيْلَةَ ‌أَوَّلِ ‌الشَّهْرِ ‌وَوَسَطِهِ ‌وَآخِرِهِ لِمَا قِيلَ: إنَّ الشَّيْطَانَ يَحْضُرُ فِيهِنَّ. رُدَّ بِعَدَمِ ثُبُوتِ شَيْءٍ فِي ذَلِكَ. وَبِفَرْضِهِ: الذِّكْرُ الْوَارِدُ يَمْنَعُهُ

dan Hasyiyah al-Jamal 4/132:

وَمَا قِيلَ مِنْ أَنَّهُ يَحْسُنُ تَرْكُ الْوَطْءِ ‌لَيْلَةَ ‌أَوَّلِ ‌الشَّهْرِ ‌وَوَسَطِهِ ‌وَآخِرِهِ لِمَا قِيلَ إنَّ الشَّيْطَانَ يَحْضُرُ فِيهَا يُرَدُّ بِعَدَمِ ثُبُوتِ شَيْءٍ مِنْ ذَلِكَ وَبِفَرْضِ الثُّبُوتِ الذِّكْرُ الْوَارِدُ يَمْنَعُهُ