Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1968: ADAKAH BOLEH IMAM DAN KHATIB ORANG YANG BERBEZA

ADAKAH_BOLEH_IMAM_DAN_KHATIB_ORANG_YANG_BERBEZA.jpg

 

Soalan:

Saya selalu melihat di masjid kawasan rumah saya mereka selalu menjemput khatib jemputan tetapi bila sampai waktu sembahyang yang mengimamkan ialah orang lain. Saya pernah mendengar ada orang kata tak boleh khatib dan imam dua orang yang berbeza mohon pencerahan.

Ringkasan Jawapan:

Hukum solat Jumaat yang diimamkan oleh selain khatib Jumaat adalah sah namun hukumnya adalah makruh, iaitu mengurangkan fadilah khutbah dan solat Jumaat. Hal ini kerana khutbah dan solat dianggap ibadah yang sama dan sebaiknya dilakukan oleh orang yang sama. Jika khatib meminta orang lain untuk menggantikannya untuk menjadi imam maka orang yang menggantikannya disyaratkan mestilah telah mendengar kesemua rukun khutbah dengan sempurna.

Huraian Jawapan:

Pada asalnya apabila seorang menyampaikan khutbah Jumaat maka dialah yang selayaknya menjadi imam untuk sembahyang Jumaat. Walau bagaimanapun jika Imam memiliki keuzuran tertentu seperti berhadas atau keuzuran yang lainnya maka imam boleh menyuruh orang lain untuk menggantikan tempatnya. Perbahasan mengenai menggantikan imam ini dibincangkan oleh ulama mazhab Syafi’i dalam masalah istikhlaf. Dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidin disebutkan bahawa:

وإن استخلف في الخطبة من سمع أو خطب وأمَّ من سمعها صح،

Maksudnya: “Jika seseorang meminta orang lain untuk menggantikannya berkhutbah atau dia berkhutbah dan orang yang mendengarkan khutbahnya mengimamkan sembahyang hukumnya sah[1].”

Namun disyaratkan orang yang ingin menggantikan khatib tersebut mestilah telah mendengar keseluruhan rukun khutbah. Perkara ini seperti yang dijelaskan oleh Syeikh Jamal:

لو خطب شخص وأراد أن يقدم شخصا غيره ليصلي بالقوم فشرطه أن يكون ممن سمع الخطبة

Maksudnya: “Jika seseorang itu berkhutbah dan ingin menyuruh orang lain untuk menjadi imam maka syaratnya mestilah orang tersebut dari kalangan yang mendengar khutbah[2].”

Meskipun solat yang diimamkan oleh bukan khatib itu sah namun hukumnya adalah makruh. Hal ini kerana solat dan khutbah dianggap seperti satu ibadah dan sebaiknya dilakukan oleh orang yang sama[3]. Syeikh Nawawi al Bantani menukilkan dari Sayyid Muhammad Salih bin Ibrahim:

أفتى السيد محمد صالح بأنه يكره أن يخطب في الجمعة غير الإمام

Maksudnya: “Sayyid Muhammad Salih berfatwa bahawa dimakruhkan untuk berkhutbah selain dari imam[4].”

Kesimpulannya hukum solat Jumaat yang di imamkan oleh bukan orang yang menyampaikan khutbah adalah sah namun ia merupakan sesuatu yang dimakruhkan seperti yang dinyatakan oleh Syeikh Nawawi al-Bantani. Hal ini kerana khutbah dan solat dianggap ibadah yang sama dan sebaiknya dilakukan oleh orang yang sama.

Wallahu A'lam

 

Rujukan: 

[1]Abdul Rahman bin Muhammad al-Masyhur, Bughyah al-Mustarsyidin, Yaman: Dar al-Faqih (2009), jld. 2, hlm. 320.

[2] Syeikh Jamal, Hasyiah Jamal ala Syarh al-Manhaj, Beirut: Dar al-Fikr (t.t), jld. 2, hlm. 20.

[3] Al-Mausuaah al-Kuwaitiyyah, Kuwait: Dar al-Salasil (1404-1427H) jld. 27, hlm. 206.

يستحب أن لا يؤم القوم إلا من خطب فيهم؛ لأن الصلاة والخطبة كشيء واحد

[4] Syeikh Nawawi al-Bantani, Kasyifah al-Saja Syarh Safinah al-Naja, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah (2012), hlm. 200.