Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1985: HUKUM BERJUAL BELI DENGAN ORANG BUTA

 HUKUM_BERJUAL_BELI_DENGAN_ORANG_BUTA.jpg

 

Soalan

Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanya, apakah hukum berjual beli dengan orang buta? Hal ini kerana, mereka tidak mengetahui dengan jelas barangan yang dibeli dari sudut bentuk, bilangan dan sebagainya. Mohon pandangan Datuk Mufti. Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Menurut mazhab Syafie, jual beli yang dilakukan orang buta adalah tidak sah. Walau bagaimanapun, orang buta boleh meminta wakil yang celik penglihatan untuk melaksanakan urusan jual beli bagi pihaknya. Jual beli orang buta juga boleh menjadi sah sekiranya pada barangan yang diingati atau diketahui sifatnya oleh orang buta tersebut dan sifat barangan itu masih kekal sewaktu akad. Begitu juga akad jual beli salam juga adalah sah bagi orang buta. Namun dengan syarat penerimaan barang tersebut mestilah dilakukan oleh wakil atau mereka yang celik penglihatannya.

Huraian Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat.

Pada dasarnya, rukun jual beli terbahagi kepada tiga dan secara terperincinya terbahagi kepada enam iaitu orang yang melakukan akad (penjual dan pembeli), sesuatu yang diakadkan (harga dan barangan) dan lafaz akad (ijab dan qabul)[1]. Bagi setiap rukun, ada pula syarat-syarat yang perlu dipenuhi bagi memastikan sesuatu akad itu adalah sah, termasuklah antara salah satu syarat bagi mereka yang melakukan akad iaitu al-Rusyd (kematangan). Yang dimaksudkan dengan al-Rusyd di sini ialah seseorang penjual dan pembeli itu mestilah seorang yang baligh, berakal dan juga mampu mentadbir agama dan hartanya dengan baik[2].

Namun, menurut mazhab Syafie, jual beli orang buta adalah tidak sah sekalipun dia memenuhi syarat al-Rusyd[3]. Hal ini kerana antara syarat utama barang jualan pula ialah barangan jualan tersebut diketahui jenis, sifat dan kadarnya oleh kedua belah pihak yang berakad iaitu penjual dan pembeli[4]. Jual beli menjadi tidak sempurna melainkan dengan pembeli melihat barang jualan tersebut dan syarat ini tidak dapat dipenuhi oleh orang buta[5].

Bahkan Imam al-Nawawi turut menyenaraikan celik penglihatan sebagai salah satu syarat bagi mereka yang melakukan akad[6]. Hal ini juga sebenarnya turut terkait dengan perbahasan mengenai hukum jual beli barangan yang tidak dapat dilihat (Bai’ al-Gha’ib). Manakala menurut pandangan muktamad dalam mazhab Syafie ialah tidak sah jual beli orang buta oleh kerana tiada ruang atau cara baginya untuk melihat barangan tersebut, maka jadilah ia seperti Bai’ al-Gha’ib. Namun menurut pandangan kedua dalam mazhab Syafie (Muqabil al-Asoh), mazhab Hanafi, Maliki dan juga Hanbali, jual beli orang buta adalah sah dengan cara diketahui sifatnya sudah cukup tanpa perlu melihatnya[7].

Meskipun begitu, orang buta dibenarkan untuk berjual beli dengan cara berwakil kepada orang lain yang celik penglihatan untuk melakukan transaksi jual beli tersebut atas sebab darurat[8].

Seterusnya, sekiranya orang buta ini berjual beli suatu barang yang pernah dilihatnya, yakni berkemungkinan sebelum dia menjadi buta atau hilang daya penglihatan, maka jual belinya itu adalah sah. Walau bagaimanapun, barangan yang diperjualbelikan itu mestilah merupakan sesuatu yang tidak berubah dan dia masih mengingati sifat barangan itu[9].

Hal ini termasuklah juga sekiranya orang buta itu berjual beli dengan menggunakan akad jual beli salam (Akad jual beli yang melibatkan pemilikan dengan bayaran langsung ketika akad, manakala penyerahan barang dilakukan kemudian). Menurut Imam al-Nawawi, hukumnya adalah sah. Hal ini kerana, dia boleh mengetahui sifat atau ciri barangan tersebut melalui pendengaran[10]. Akan tetapi, dia perlulah meminta wakil atau orang lain untuk mengambilkan barangan tersebut untuknya.

Kesimpulan

Menurut pandangan muktamad mazhab Syafie, jual beli yang dilakukan oleh orang buta adalah tidak sah melainkan pada beberapa keadaan seperti adanya wakil yang celik melaksanakan jual beli, barangan jual beli ialah barang yang diketahui sifat dan kekal sama sewaktu akad dan juga akad jual beli salam.

Meskipun begitu, adanya pandangan kedua dalam mazhab Syafie yang membenarkan jual beli orang buta dengan syarat mestilah diketahui sifat barangan tersebut. Pandangan ini juga dipegang oleh mazhab Hanafi, Maliki dan juga Hanbali. Pandangan ini juga sesuai untuk diamalkan buat masa kini atas dasar maslahat dan juga seiring berkembangnya zaman dan teknologi.

Wallahu A‘lam.

 

Rujukan: 

[1] Ahmad bin Muhammad bin Ali bin Hajar al-Haitami, Tuhfat al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj wa Hawasyi al-Syarwani wa al-‘Abbadi, (Mesir: Al-Maktabah al-Tijariyah al-Kubra, t.c, 1357H/1983M), 4/215.

وَأَرْكَانُهُ عَاقِدٌ وَمَعْقُودٌ عَلَيْهِ وَصِيغَةٌ.

[2] ‘Abd al-Hamid al-Syarwani, Tuhfat al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj wa Hawasyi al-Syarwani wa al-‘Abbadi, (Mesir: Al-Maktabah al-Tijariyah al-Kubra, t.c, 1357H/1983M), 4/227.

(قَوْلُهُ: وَالرُّشْدِ) ، وَهُوَ أَنْ يَتَّصِفَ بِالْبُلُوغِ وَالصَّلَاحِ لِدِينِهِ وَمَالِهِ. اهـ. مُغْنِي.

[3] Yahya bin Syaraf al-Nawawi, al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, (t.tp: Dar al-Fikr, t.c, t.t), 9/155.

وَأَمَّا قَوْلُ الْمُصَنِّفِ يَصِحُّ الْبَيْعُ مِنْ كُلِّ عَاقِلٍ بَالِغٍ مُخْتَارٍ فَمِمَّا يُنْكَرُ عَلَيْهِ لِأَنَّهُ يَدْخُلُ فِيهِ الْأَعْمَى وَقَدْ ذَكَرَ الْمُصَنِّفُ بَعْدَ هَذَا هُوَ وَالْأَصْحَابُ أَنَّ الْمَذْهَبَ الصَّحِيحَ أَنَّهُ لَا يَصِحُّ بَيْعُهُ وَلَا شِرَاؤُهُ

Muhammad bin Ahmad al-Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj Ila Ma‘rifat Ma‘ani Alfaz al-Minhaj, (t.tp: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, cetakan pertama, 1415H/1994M), 2/333.

وَخَامِسُهَا: الْأَعْمَى لَا يَصِحُّ بَيْعُهُ وَلَا شِرَاؤُهُ كَمَا سَيَأْتِي آخِرَ الْبَابِ مَعَ أَنَّهُ رَشِيدٌ، وَلَوْ عَبَّرَ بِمُطْلَقِ التَّصَرُّفِ لَسَلِمَ مِنْ ذَلِكَ.

[4] Yahya bin Syaraf al-Nawawi, Minhaj al-Tolibin wa ‘Umdat al-Muftiin fi al-Fiqh, Tahkik: ‘Iwadh Qasim Ahmad ‘Iwadh, (t.tp: Dar al-Fikr, cetakan pertama, 1425H/2005M), hlm.95.

الخامس: العلم به

[5] Al-Nawawi, al-Majmu‘, 9/302.

قال المصنف رحمه الله

وإن باع الاعمى أو اشترى شيئا لم يره (فان قلنا) ان بيع ما لم يره البصير لا يصح لم يصح بيع الاعمى وشراؤه

[6] Al-Nawawi, al-Majmu‘, 9/149.

أَرْكَانُ الْبَيْعِ ثَلَاثَةٌ العاقدان والصيغة والمعقود عليه وشروط الْعَاقِدِ أَنْ يَكُونَ بَالِغًا عَاقِلًا مُخْتَارًا بَصِيرًا غَيْرَ مَحْجُورٍ عَلَيْهِ

[7] Al-Nawawi, al-Majmu‘, 9/302.

(الشَّرْحُ) قَالَ أَصْحَابُنَا الْمَذْهَبُ بُطْلَانُ بَيْعِ الْأَعْمَى وَشِرَائِهِ وَهَذَا مُخْتَصَرُهُ وَتَفْصِيلُهُ أَنَّهُ إنْ لَمْ نُجَوِّزْ بَيْعَ الْغَائِبِ وَشِرَاءَهُ لَمْ يَصِحَّ بَيْعُ الْأَعْمَى وَلَا شِرَاؤُهُ وَإِنْ جَوَّزْنَاهُ فَوَجْهَانِ (أَصَحُّهُمَا) لَا يَجُوزُ أَيْضًا لِأَنَّهُ لَا طَرِيقَ لَهُ إلَى رُؤْيَتِهِ فَيَكُونُ كَبَيْعِ الْغَائِبِ عَلَى أَنْ لَا خِيَارَ. (وَالثَّانِي) يَجُوزُ فَيُقَامُ وَصْفُ غَيْرِهِ لَهُ مَقَامَ رُؤْيَتِهِ وَبِهِ قَالَ مَالِكٌ وَأَبُو حَنِيفَةَ وَأَحْمَدُ.

Lihat juga: Muhammad al-Zuhaili, al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, (Damsyik: Dar al-Qalam, cetakan ke-4. 1434H/2013M), 3/17.

قال الإمام أبو حنيفة ومالك وأحمد رحمهم الله تعالى: يجوز بيع الأعمى وشراؤه، ويقام وصف غيره له مقام رؤيته.

[8] Al-Nawawi, al-Majmu‘, 9/303.

قَالَ أَصْحَابُنَا وَكُلُّ مَا لَا يَصِحُّ مِنْ الْأَعْمَى مِنْ التَّصَرُّفَاتِ فَطَرِيقُهُ أَنْ يُوَكِّلَ وَتُحْتَمَلُ صِحَّةُ وَكَالَتِهِ لِلضَّرُورَةِ

[9] Al-Nawawi, al-Majmu‘, 9/303.

لَوْ كَانَ الْأَعْمَى رَأَى شَيْئًا لَا يَتَغَيَّرُ صَحَّ بَيْعُهُ وَشِرَاؤُهُ إيَّاهُ إذَا صَحَّحَنَا ذَلِكَ مِنْ الْبَصِيرِ وَهُوَ الْمَذْهَبُ كَمَا سَبَقَ وَاَللَّهُ سُبْحَانَهُ أَعْلَمُ

[10] Al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj, 2/361.

(وَيَصِحُّ سَلَمُ الْأَعْمَى) أَيْ أَنْ يُسْلِمَ أَوْ يُسْلَمَ إلَيْهِ؛ لِأَنَّهُ يَعْرِفُ الصِّفَاتِ بِالسَّمَاعِ، وَمَحَلُّ هَذَا إذَا كَانَ الْعِوَضُ مَوْصُوفًا فِي الذِّمَّةِ ثُمَّ عُيِّنَ فِي الْمَجْلِسِ وَيُوَكِّلُ مَنْ يَقْبِضُ عَنْهُ أَوْ يَقْبِضُ لَهُ رَأْسَ مَالِ السَّلَمِ وَالْمُسْلَمِ فِيهِ؛ لِأَنَّ السَّلَمَ يَعْتَمِدُ الْوَصْفَ لَا الرُّؤْيَةَ، فَإِنْ كَانَ الْعِوَضُ مُعَيَّنًا لَمْ يَصِحَّ كَبَيْعِهِ عَيْنًا