
Soalan:
Apakah hukum jika seseorang meletakkan pelekat (sticker) bergambar kemaluan pada kenderaan?
Ringkasan Jawapan:
Meletakkan pelekat (sticker) pada kenderaan yang memaparkan gambar anggota kemaluan atau simbol lucah adalah diharamkan dalam Islam. Perbuatan ini bercanggah dengan tuntutan sifat haya’ (malu), membawa kepada fitnah dan bercanggah dengan maqasid syarak.
Huraian Jawapan:
Islam adalah agama yang amat mementingkan aspek moral, kesopanan dan perlindungan maruah diri serta masyarakat. Nilai malu (al-Haya’) dianggap sebagai perhiasan iman yang menjadi benteng daripada perbuatan maksiat dan tingkah laku yang menjatuhkan martabat seseorang. Sebarang bentuk ekspresi atau pameran di ruang awam yang boleh mencemarkan nilai ini perlu ditangani berdasarkan prinsip-prinsip syarak. Isu penggunaan pelekat yang memaparkan gambar atau simbol kemaluan, walaupun hanya bersifat lakaran, memerlukan penelitian seperti berikut:
Penzahiran Aurat dan Unsur Kelucahan
Penggunaan gambar atau simbol yang melambangkan organ kemaluan, sekalipun ia bukan representasi lakaran manusia sebenar atau lukisan realistik, dikategorikan sebagai taswir (perbuatan menggambarkan) yang menjurus kepada unsur lucah dan tidak bermoral. Dalam konteks syarak, perbuatan sebegini melanggar adab kesopanan awam (al-adab al-‘ammah) dan ia juga bercanggah dengan maqasid syarak iaitu menjaga agama dan akal.
Penjagaan Aurat dan Sifat Malu
Islam menekankan kepentingan mutlak untuk menjaga aurat dan sifat malu (al-Haya’) sebagai tunjang akhlak seorang Muslim. Aurat bukan sahaja merujuk kepada bahagian badan yang wajib ditutupi semata-mata, tetapi juga merangkumi segala perkara yang boleh menimbulkan rangsangan seksual atau mencemarkan kehormatan diri. Nabi Muhammad SAW telah bersabda, menekankan kedudukan malu:
الإِيمَانُ بضْعٌ وسِتُّونَ شُعْبَةً، والحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنَ الإيمَانِ
Maksudnya: Iman itu lebih daripada 60 cabang (atau 70 cabang). Malu itu adalah sebahagian daripada keimanan.[i]
[Riwayat al-Bukhari (9)]
Meletakkan pelekat (stiker) yang memaparkan gambar lucah atau kemaluan secara terang-terangan di tempat awam yang mudah dilihat, seperti pada kenderaan, merupakan tindakan yang secara langsung menghilangkan sifat malu dan secara tidak langsung mendorong penormalisasian paparan aurat atau elemen seksual dalam kalangan masyarakat. Perbuatan ini jelas bercanggah dengan nilai-nilai kesopanan dan adab yang digariskan oleh agama.
Simbol Seksual Dikategorikan sebagai Fahisyah (perkara yang keji)
Mempamerkan simbol-simbol yang merujuk secara jelas kepada organ seksual adalah diklasifikasikan sebagai fahisyah (perkara keji) dan wajib dijauhi. Walaupun perbuatan ini mungkin dianggap sebagai seni atau gurauan oleh sesetengah pihak, tindakan sedemikian adalah dilarang kerana ia berpotensi merosakkan moral dan keharmonian sosial.
Allah SWT berfirman:
وَلَا تَقْرَبُوا الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ
Maksudnya: Dan janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan (zina) yang terang daripadanya dan yang tersembunyi;
(Surah al-An‘ām: 151)
Implikasi Negatif Terhadap Kesopanan Awam dan Penggunaan Kaedah Sadd al-Dharā’i' (Menutup Pintu Kerosakan)
Penggunaan pelekat (stiker) yang memaparkan gambar kemaluan boleh menimbulkan beberapa kesan negatif yang serius kepada masyarakat. Antara implikasi-implikasi tersebut termasuklah:
- Mengundang Rangsangan Seksual: Stiker sedemikian, tanpa mengira bentuknya, secara psikologi dan visual berpotensi untuk merangsang nafsu seksual atau fikiran lucah kepada individu yang melihatnya, terutamanya bagi mereka yang lemah iman atau mempunyai kecenderungan. Ini merupakan langkah awal kepada perbuatan maksiat yang lebih besar.
- Menormalisasikan serta Menyebarluaskan Budaya Lucah: Apabila unsur-unsur seksual dipamerkan secara meluas di tempat awam tanpa rasa segan, ia menyumbang kepada penormalisasian (normalization) budaya lucah dalam masyarakat. Masyarakat akan mula menganggap perkara yang keji sebagai perkara biasa yang secara beransur-ansur meruntuhkan benteng moral.
- Menjadi Contoh Teladan yang Tidak Baik kepada Kanak-Kanak dan Remaja: Golongan kanak-kanak dan remaja yang sedang membentuk pemikiran dan akhlak akan terdedah kepada imej yang tidak sesuai dengan usia mereka. Pendedahan ini boleh merosakkan pemahaman mereka tentang batas-batas aurat, kesopanan, dan tingkah laku yang bermoral.
- Menimbulkan Gangguan dan Ketidakselesaan: Pelekat (stiker) seumpama itu boleh menimbulkan rasa tidak selesa, jijik atau marah kepada pengguna jalan raya lain, terutamanya golongan wanita, ibu bapa dan individu yang sensitif terhadap nilai-nilai agama dan moral. Ini termasuk dalam kategori mengganggu ketenteraman awam (al-īzā’ al-‘āmm).
Kesimpulan
Meletakkan pelekat (sticker) pada kenderaan yang memaparkan gambar anggota kemaluan atau simbol lucah adalah diharamkan dalam Islam. Perbuatan ini bercanggah dengan tuntutan sifat haya’ (malu), boleh membawa kepada fitnah dan bercanggah dengan maqasid syarak.
Pelanggaran prinsip menjaga malu, penzahiran unsur lucah dan implikasi buruk terhadap kesopanan awam. Perbuatan ini wajib dijauhi oleh setiap Muslim sebagai manifestasi keimanan dan tanggungjawab sosial untuk menjaga keharmonian serta akhlak masyarakat. Pihak berautoriti juga disarankan mengambil tindakan proaktif untuk membanteras penularan bahan-bahan lucah dalam apa jua bentuk sama ada secara fizikal atau ruangan maya. Pendidikan juga perlu ditekankan bagi menangani isu ini dari terus berleluasa.
Wallahu a’lam.
Rujukan:
[i] Syeikh Zakaria al-Ansori, Minhah al-Bari Syarah Sahih al-Bukhari, Tahqiq Sulaiman bin Dariq (Riyad: Maktabah al-Rusyd 2005), hadis no 9, jilid 1, hlmn. 138.