Soalan: Adakah sah puasa jika terjeluak (seperti ingin termuntah) disebabkan memberus gigi selepas waktu sahur? Benda yang keluar bukanlah makanan tetapi air liur dan buih-buih ubat gigi.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda SAW, para sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Dalam fiqh Mazhab Syafie antara perkara yang membatalkan puasa adalah muntah dengan sengaja seperti sengaja menjolok jari ke dalam mulut dengan tujuan untuk muntah.
Adapun berkenaan dengan soalan di atas, maka kami bawakan jawapan daripada kitab al-Fiqh al-Manhaji:
“Muntah yang disengajakan membatalkan puasa seseorang, sekalipun dia pasti tiada apa-apa daripada muntahan tersebut masuk semula ke dalam perutnya. Akan tetapi, puasa seseorang itu tidak batal sekiranya tiada upaya menahan muntahnya, sekalipun dia mengetahui ada sesuatu daripada muntahan tersebut yang masuk semula ke dalam perutnya dengan tidak sengaja.
Ini berdasarkan hadis, daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ ذَرَعَهُ قَيْءٌ وَهُوَ صَائِمٌ، فَلَيْسَ عَلَيْهِ قَضَاءٌ، وَإِنِ اسْتَقَاءَ فَلْيَقْضِ
Maksudnya: “Sesiapa yang tidak dapat menahan muntahnya semasa berpuasa, dia tidak wajib mengqadha’ puasanya dan jika sengaja muntah, dia hendaklah mengqadha’kannya.”
Riwayat Abu Daud (2380), al-Tirmizi (720) dan yang lainnya
Lihat Al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafie (1/85)
Maka berdasarkan dalil di atas kami berpandangan, jika terjeluak yang seakan-akan ingin termuntah dan kandungan jeluak tersebut adalah daripada buih-buih ubat gigi yang berada dalam mulut dan ia juga berlaku di luar kemampuan seseorang untuk menahan jeluak tersebut ataupun berlaku secara tidak sengaja maka ia tidak membatalkan puasa.
Semoga dengan pencerahan dan penjelasan ini, kita dikurniakan kefahaman dan balasan yang sebaiknya oleh Allah SWT.