Soalan:
Apakah hukum seorang yang mengidap penyakit Parkinson dan bergerak lebih 3 kali di dalam solat?
Jawapan:
Bagi menjawab persoalan di atas, terlebih dahulu kita perlu mengetahui apakah yang dimaksudkan penyakit Parkinson. Di dalam Kamus Dewan Edisi Keempat memberi definisi bahawa ia adalah penyakit neurologi yang dicirikan dengan kurang pergerakan, kekakuan otot dan kaki tangan yg terketarketar.
Berkaitan bergerak lebih daripada tiga kali secara berturut-turut di dalam solat adalah membatalkan solat mengikut mazhab Syafie kerana ia dikira pergerakan yang banyak. Hal ini disebut oleh Imam al-Nawawi di dalam al-Minhaj:
“Jika seseorang itu sengaja melakukan perbuatan di dalam solatnya, selain daripada perbuatan-perbuatan asal di dalam solat, sekalipun perbuatan itu daripada jenis perbuatan solat (rukun, dll), maka batallah solatnya, kecuali jika dia terlupa. Adapun jika perbuatan bukan daripada jenis perbuatan solat (rukun, dll) maka batal solat jika perbuatan (pergerakan) itu banyak pada uruf dan tidak batal jika perbuatan (pergerakan) itu sedikit pada uruf. Dua langkah atau dua pukulan itu adalah termasuk di dalam pergerakan sedikit, manakala tiga kali perbuatan (pergerakan) secara berturut-turut adalah banyak (maka ia membatalkan solat)”. [Lihat: Minhaj al-Tholibin, 53,54]
Berdasarkan soalan di atas, seseorang yang mengidap penyakit Parkinson dan bergerak lebih 3 kali secara berturut-turut di dalam solat adalah tidak membatalkan solat. Ini kerana, perbuatan atau pergerakan tersebut di luar kawalan seseorang itu. Ini disebut oleh Syeikh Ahmad bin Umar al-Syathiri di dalam kitabnya Nail al-Raja’:
“Perbuatan yang sedikit itu adalah apa yang kurang daripada tiga kali perbuatan (pergerakan) walaupun ia berturut-turut atau perbuatan itu tiga kali dan lebih tetapi ia tidak berturut-turut. Ini semua perlulah tidak dimaksudkan untuk bermain-main dan tidak termasuk (hukum batalnya solat disebabkan pergerakan yang banyak) mereka yang ditimpa keadaan darurat yang tidak mampu meninggalkan pergerakan yang banyak (tidak mampu mengawal) seperti mereka yang ditimpa penyakit gatal yang teruk”. [Lihat: Nail al-Raja’, 142]
Keadaan penyakit gatal yang teruk itu boleh diqiyaskan dengan penyakit Parkinson kerana keduanya sukar dikawal. Apatah lagi, pergerakan akibat penyakit Parkinson selalunya tidak dapat dikawal langsung sebagaimana firman Allah SWT:
فَاتَّقُوا اللَّـهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ
Maksudnya: “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu”. [al-Taghabun:16]
Tambahan pula, di dalam mazhab al-Syafie terdapat perbahasan berkaitan anggota berat atau anggota ringan. Contoh anggota yang berat adalah seperti tangan, kaki, kepala dan lain-lain lagi. Selain itu, anggota ringan yang dimaksudkan adalah seperti menggerakkan jari. Perkara ini juga boleh dilihat di dalam kitab-kitab fiqh mazhab al-Syafie seperti Nail al-Raja’ Syarah Safinah al-Naja’ dalam perkara-perkara yang membatalkan solat.
Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kesihatan yang baik agar dapat melaksanakan ibadah dengan baik dam sempurna. Amin.
Wallahua’lam