Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN AL-FALAK SIRI KE-7 : PENERIMAAN KRITERIA BAHARU MABIMS DALAM PENENTUAN KALENDAR HIJRI

BAYAN FALAK 01 2 01 min

 

Pengenalan
 
Perbahasan mengenai kriteria baharu kebolehnampakan hilal ini telah diadakan di Jakarta dan di Malaysia. Pertemuan-pertemuan tersebut telah dilakukan di Jakarta pada tarikh 14 sehingga 15 Ogos 2015 yang dianjurkan oleh Kementerian Agama RI (Pemerintah) dengan MUI bersama Organisasi-organisasi Masyarakat Islam Indonesia, pakar-pakar astronomi pada 21 Ogos 2015 dan Muzakarah MABIMS di Malaysia pada tarikh 2-4 Ogos 2016.
 
Hasil pertemuan tersebut telah mencadangkan draf “Kriteria MUI” dan “Kriteria Baru MABIMS” untuk dijadikan sebagai panduan dalam penentuan awal bulan hijri iaitu tinggi hilal 3 darjah dan jarak elongasi dari pusat Bulan ke Matahari 6.4 darjah. Kriteria baharu tersebut adalah sebagai pembaharuan ke atas kriteria Imkanur Rukyah MABIMS sebelumnya iaitu ketinggian bulan 2 darjah, jarak elongasi Bulan ke Matahari 3 darjah serta umur bulan tidak kurang daripada 8 jam.
 
Kriteria Kebolehnampakan Hilal dalam Penentuan Kalendar Hijri
 
Menurut rekod, perbincangan mengenai draf Kriteria Baharu MABIMS telah berlangsung pada 27-29 Jun 2012 dalam mesyuarat mengenai Penyelarasan Rukyah dan Takwim Islam MABIMS di Bali, Indonesia. Terdapat 6 rumusan yang telah dipersetujui salah satunya adalah mengenai “Penyatuan Takwim Islam”. Berdasarkan mesyuarat berkenaan, cadangan draf baharu tersebut memerlukan kajian semula terhadap kriteria MABIMS dalam “Teori Kenampakan Hilal” atau dikenali dengan istilah kebolehnampakan hilal MABIMS dalam penentuan awal bulan hijri.
 
Perbahasan mengenai kriteria tersebut turut dibincangkan dalam pertemuan Jawatankuasa Penyelarasan Rukyah dan Takwim Islam Negara-negara Anggota MABIMS melalui Muzakarah ke-15 yang telah berlangsung pada 22 Mei 2014 mengenai “Teknik Bidang Rukyah dan Takwim Islam”. Perbahasan utama yang dibincangkan adalah kajian semula mengenai kriteria kebolehnampakan (Imkanur Rukyah) hilal dari segi ketinggian hilal dan elongasi hilal dengan matahari.
 
Cadangan yang telah diterima daripada setiap delegasi yang hadir adalah berbeza-beza. Antaranya seperti delegasi Malaysia mencadangkan ketinggian hilal adalah 3 darjah manakala delegasi Brunei Darussalam mencadangkan tinggi hilal adalah 5 darjah 0 minit 4 saat dan umur bulan 19 jam 13 minit. Delegasi Indonesia pula mencadangkan beza tinggi matahari dan bulan adalah 4 darjah atau 3 darjah (dibundarkan dari 3 darjah 10 minit) dengan andaian ketika waktu terbenam tinggi matahari adalah -50 minit dan elongasi 6.4 darjah.
 
Delegasi dari Singapura telah mengesyorkan agar kriteria MABIMS disemak semula dengan mencadangkan beberapa pilihan kriteria baharu, antaranya:
1. Tinggi hilal 4 darjah 47 minit, jarak elongasi 9 darjah 23 minit.
2. Tinggi hilal 7 darjah 36 minit, jarak elongasi 7 darjah.
3. Tinggi hilal 5 darjah 30 minit, jarak elongasi 7 darjah 30 minit (merujuk kepada kriteria Istanbul) dan umur bulan 8 jam.
 
Muzakarah ke-16 yang telah diadakan pada 2-4 Ogos 2016 di Teluk Kemang, Negeri Sembilan, Malaysia telah membahaskan beberapa perkara termasuk penambahbaikan kriteria Imkanur Rukyah MABIMS, proses pengimejan dalam melihat  hilal menurut perspektif syarak dan cadangan kalendar hijri global. Antara kriteria kebolehnampakan hilal yang dicadangkan dalam muzakarah tersebut adalah seperti berikut:
1. Malaysia - Ketinggian hilal 3 darjah, jarak elongasi 5 darjah.
2. Singapura - Jarak elongasi 6.4 darjah.
3. Brunei Darussalam - Ketinggian hilal 6 darjah dan umur bulan 19 jam.
4. Indonesia - Ketinggian hilal 4 darjah, jarak elongasi 7 darjah.
 
Berdasarkan cadangan berkenaan, muzakarah bersetuju dan mencadangkan draf untuk kriteria baharu Imkanur Rukyah bagi penentuan awal bulan hijri adalah tinggi hilal 3 darjah dan jarak elongasi 6.4 darjah. Justeru, keputusan muzakarah ini akan digunakan MABIMS bermula pada tahun 2018 dan penggunaan kriteria baharu ini perlu disemak dan diteliti di peringkat Menteri Agama MABIMS sebelum diputuskan serta dijadikan sebagai rujukan bersama. 
 
Penerimaan Kriteria Baharu Imkanur Rukyah di Indonesia
 
1) Majelis Ulama Indonesia (MUI)
Pada 24 Januari 2004 MUI telah mengeluarkan Fatwa (Nombor 2 Tahun 2004M) mengenai penetapan awal Ramadan, Syawal dan Zulhijjah setelah dipohon oleh Ijtima’ Ulama Komisi Fatwa MUI se-Indonesia. Antara kandungan fatwa tersebut ialah bahawa  penetapan  awal  ramadhan, syawal  dan  zulhijjah  dilakukan  berdasarkan  kaedah  rukyah  dan  hisab  oleh Pemerintah RI Menteri Agama serta merangkumi seluruh Indonesia. Fatwa tersebut telah dibahaskan dalam beberapa siri perbincangan bagi meneliti dan seterusnya mencadangkan penyelesaian terhadap isu yang dibangkitkan ini setelah berlarutan sekian lama. Hasil perbincangan daripada pertemuan tersebut telah menghasilkan draf kriteria penentuan awal bulan hijri iaitu ketinggian hilal 3 darjah dan jarak elongasi 6.4 darjah. Kriteria inilah yang akan dijadikan sebagai Kriteria MUI.  
 
2) Nahdlatul Ulama (NU)
Nahdlatul Ulama mengatakan bahawa penetapan awal bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijjah adalah menggunakan kaedah rukyah dengan kaedah hisab sebagai sokongan. Hal ini dapat difahami bahawa kaedah yang digunakan NU adalah zuhur al-hilal (nampak atau terbit  hilal) atau istikmal (digenapkan menjadi 30 hari) sebagaimana yang dituntut semasa zaman Rasulullah SAW, para sahabat dan tabi’-tabi’in. Menurut NU, kriteria Imkanur Rukyah yang digunakan ini hanyalah sebagai had minimum ketinggian hilal itu boleh dilihat. Ini bermaksud sekiranya terdapat saksi mendakwa melihat hilal, namun hilal yang dilihat tidak mencapai kriteria yang telah ditetapkan maka kesaksiannya adalah ditolak. Walaubagaimanapun, hal ini adalah berbeza dengan draf yang telah dikemukakan oleh MUI dan MABIMS mengenai kriteria yang telah dicadangkan. NU telah menolak dan mengusulkan supaya ia dibuat kajian semula kerana menganggap kriteria tersebut tidak sesuai digunakan untuk keadaan di Indonesia.
 
3) Al-Irsyad Al-Islamiyyah
Al-Irsyad Al-Islamiyyah tetap berpegang dengan kaedah rukyah  dalam penentuan awal bulan hijri dan hisab adalah sebagai alat yang digunakan bagi membantu rukyah secara tepat dan efektif. Pandangan yang dikemukakan oleh Al-Irsyad Al-Islamiyyah berbeza dengan pandangan yang lain. Pada dasarnya, Al-Irsyad Al-Islamiyyah bersetuju tentang kriteria tersebut dengan mengambil maklum bahawa ketinggian bulan dihitung dari pusat piring bulan ke ufuk (3 darjah) dan elongasi dihitung dari pusat piring bulan ke pusat piring matahari (6.4 darjah). Pada masa yang sama, Al-Irsyad Al-Islamiyyah menyokong kesepakatan takwim Islam di Indonesia dan masih menunggu keputusan muktamad daripada pemerintah berkaitan dengan penentuan awal bulan hijri ini. 
 
4) Al-Jam’iyatul Washliyah
Berbeza dengan Al-Jam'iyatul Wasliyah, mereka berpendapat bahawa kriteria MUI dan MABIMS baharu itu perlu dikaji semula. Ketua Majelis Hisab dan Rukyah, PB Al-Jam'iyatul Wasliyah mengatakan bahawa cadangan kriteria baharu tersebut lebih cenderung kepada aspek astronomi dan teori wujudul hilal. Perubahan kriteria ini, akan membuka peluang yang lebih besar kepada jurang perbezaan dikalangan organisasi-organisasi di Indonesia berkaitan penentuan awal bulan hijri di Indonesia. Sebarang perubahan yang hendak dilakukan, perlu mengambil kira kemaslahatan bagi mengelakkan perpecahan dalam kalangan organisasi-organisasi dan ahli rukyah sedia ada. Justeru, Al-Jam'iyatul Wasliyah menegaskan bahawa kaedah yang digunakan dalam menentukan awal bulan hijri adalah menggunakan rukyah dan hisab hanyalah sebagai alat bantu bagi melakukan  rukyah tersebut.
 
5) Muhammadiyah
Kaedah yang digunakan oleh Muhammadiyah dalam menentukan awal bulan hijri adalah dengan menggunakan kriteria “Wujud al-Hilal” iaitu matahari terbenam sebelum bulan dan bulan masih berada di atas ufuk ketika matahari terbenam. Kemudian, Muhammadiyah telah mengembangkan kaedah “Wujud al-Hilal” kepada kaedah menggunakan hisab hakiki wujud al-hilal. Kaedah tersebut digunakan bermula pada hari yang ke-29 bulan beredar ketika matahari terbenam dengan memenuhi 3 kriteria. Pertama, telah berlaku ijtimak. Kedua, ijtimak berlaku sebelum matahari terbenam. Ketiga, ketika matahari terbenam, bulan telah berada di atas ufuk (bulan baru telah wujud). Sekiranya, salah satu daripada kriteria tidak dipenuhi maka akan digenapkan menjadi 30 hari dan awal bulan baru adalah pada hari yang berikutnya.
 
Dalam pada itu, Muhammadiyah masih belum memberikan maklum balas yang jelas mengenai draf baru kriteria MUI dan MABIMS. Ini bermakna Muhammadiyah masih tetap berpegang dengan pelaksanaan rukyah menggunakan kaedah wujud al-hilal dalam menentukan awal bulan hijri. Menurut Ketua Majelis Tarjih dan Tajdid, Syamsul Anwar beliau mengatakan bahawa pertukaran kriteria 2-3-8 kepada kriteria yang baru iaitu tinggi hilal 3 darjah dan jarak elongasi 6.4 darjah masih belum termasuk dalam kriteria antarabangsa (astronomi). Beliau menambah kriteria tersebut hanya sesuai digunakan bagi titik tertentu untuk sebuah tempat pemerhatian yang tertentu sahaja.
 
Muhammadiyah beranggapan bahawa kebolehnampakan hilal pada titik tertentu bukan satu masalah tetapi mempersoalkan bahawa bagaimana kriteria tersebut boleh dijadikan sebagai satu penyelesaian dalam penyusunan waktu umat Islam dan dapat digunakan oleh masyarakat Islam dalam urusan ibadah mahupun muamalat. Selain itu, terdapat banyak halangan sekiranya kriteria baharu tersebut digunapakai kerana kriteria tersebut hanyalah bersifat setempat bukannya global. Malahan, kriteria itu tidak terpakai dan tidak dinormalisasikan pada peringkat Astronomi Antarabangsa. Selain itu, beberapa isu lain akan timbul seperti puasa sunat arafah yang berbeza dengan Mekah memandangkan kedudukan Indonesia yang berada di sebelah Timur.
 
6) Persatuan Islam (PERSIS)
Persatuan Islam (PERSIS) telah menggunakan beberapa kriteria bagi menetapkan awal bulan seperti kriteria “ijtima’ qablal ghurub”, “Wujudul Hilal”, Imkanur Rukyah MABIMS dan kini menggunakan kriteria Imkanur Rukyah astronomi yang berasaskan kriteria rukyah Lembaga Penerbangan dan Antariksa Nasional (LAPAN). PERSIS bersetuju dengan kriteria MUI dan MABIMS yang baharu ini memandangkan kriteria berkenaan adalah sama dan telah pun digunakan oleh PERSIS sejak tahun 2012. 
 
Walaubagaimanapun menurut ahli Falak PERSIS, kriteria ini hanya sesuai digunakan bagi sesuatu tempat atau negara sahaja dan bukannya secara global.  Penggunaan secara global akan menimbulkan beberapa masalah seperti akan menyebabkan sebahagian negeri atau negara telah memasuki bulan baharu walaupun secara hisab ianya belum terjadi. PERSIS menyokong draf kriteria MUI dan MABIMS seperti yang dicadangkan. Namun begitu, dari segi pelaksanaanya perlu dilihat semula hadis yang telah diriwayatkan daripada Kuraib mengenai hilal mempunyai matla’ tertentu.
 
رَأَيْتُ الْهِلَالَ بِالشَّامِ ثُمَّ قَدِمْتُ الْمَدِينَةَ فَقَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ: مَتَى رَأَيْتُمْ الْهِلَالَ؟ قُلْتُ: لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ، قَالَ: أَنْتَ رَأَيْتَهُ؟ قُلْتُ: نَعَمْ وَرَآهُ النَّاسُ وَصَامُوا، وَصَامَ مُعَاوِيَةُ فَقَالَ: لَكِنَّا رَأَيْنَاهُ لَيْلَةَ السَّبْتِ فَلَا نَزَالُ نَصُومُ حَتَّى نُكْمِلَ الْعِدَّةَ. فَقُلْتُ: أَوَلَا تَكْتَفِي بِرُؤْيَةِ مُعَاوِيَةَ وَصِيَامِهِ؟ قَالَ: لَا، هَكَذَا أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
 
Maksudnya: “Aku melihat anak bulan di Syam pada malam Jumaat, kemudian aku pulang ke Madinah, lalu Ibn ‘Abbas bertanya kepadaku: ‘Bilakah kamu melihat anak bulan?’ Aku menjawab: ‘Kami melihat pada malam Jumaat’, Ibn ‘Abbas bertanya lagi: ‘Adakah engkau sendiri melihat anak bulan itu?’, Aku menjawab: ‘Ya, orang lain pun melihatnya dan mereka juga berpuasa, Mu’awiyah turut berpuasa.’ Ibn ‘Abbas berkata, ‘Kami di sini melihat anak bulan pada malam Sabtu, oleh itu kami terus berpuasa sehingga kami sempurnakan 30 hari Ramadhan’, Aku bertanya, ‘Tidakkah memadai bagi kamu dengan anak bulan yang dilihat oleh Mu’awiyah dan puasanya?’ Ibn ‘Abbas menjawab, ‘Tidak! Beginilah caranya yang Rasulullah SAW perintahkan ke atas kamu.”
(Riwayat Muslim, al-Tarmizi, Abu Daud dan al-Nasai'e)
Oleh itu berdasarkan hadis tersebut jelas bahawa penggunaan kriteria tersebut hanya boleh diaplikasikan dalam satu bidang kuasa negara sahaja.
 
Penerimaan Kriteria Baharu Imkanur Rukyah di Malaysia
Kaedah Penentuan Awal Bulan Hijri yang digunakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) adalah Kriteria Imkanur Rukyah MABIMS iaitu ketinggian bulan tidak kurang daripada 2 darjah dan jarak lengkung bulan-matahari tidak kurang daripada 3 darjah atau umur bulan tidak kurang daripada 8 jam ketika matahari terbenam. Kriteria ini telah dilaksanakan dan digunakan di Malaysia sejak daripada tahun 1992 sehingga kini (2021).
 
Walau bagaimanapun, pada 2-4 Ogos 2016 Muzakarah Rukyah dan Takwim Islam Negara Anggota MABIMS telah diadakan di Port Dickson, Negeri Sembilan bagi membincangkan cadangan Kriteria Imkanur Rukyah yang baharu iaitu ketinggian bulan tidak kurang daripada 3 darjah dan jarak lengkung bulan-matahari tidak kurang daripada 6.4 darjah. Beberapa mesyuarat susulan telah diadakan selepas itu bagi membincangkan dan meneliti mengenai kriteria tersebut.
 
Kemudian pada 12-14 November 2019, satu Persidangan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan (SOM) ke-44 MABIMS telah diadakan di Republik Singapura. Hasil daripada mesyuarat tersebut, mesyuarat telah menerima resolusi ke-7 iaitu Kriteria Imkanur Rukyah yang baharu (tinggi 3 darjah, elongasi 6.4 darjah) dan bersetuju untuk mengimplentasikannya pada tahun 2021 (1443H).
 
Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang telah bersidang pada Februari 2021 juga telah mengambil maklum mengenai penggunaan Kriteria Imkanur Rukyah yang baharu dalam Penentuan Awal Bulan Hijri di Malaysia. Justeru, pelaksanaan takwim di Malaysia yang menggunakan Kriteria Imkanur Rukyah yang baharu ini akan berkuatkuasa pada tahun 2021 bersamaan 1443H selaras dengan negara-negara MABIMS yang lain.
 
Penutup
Secara umumnya, semua organisasi mengharapkan penyatuan dalam menentukan awal bulan hijri dalam takwim Hijri masa kini. Namun demikian, setiap organisasi mempunyai pandangan yang berbeza dalam mencapai penyatuan sepertimana yang didambakan. Berdasarkan pandangan yang telah dinukilan sebelum ini, jelas menunjukkan bahawa masih terdapat ketidak seragaman dalam menerima draf kriteria baharu yang diusulkan oleh MUI dan MABIMS sebagai garis panduan dalam penetapan takwim Hijri di Indonesia. Walaupun terdapat organisasi yang menyokong kriteria tersebut, namun perbincangan dan usaha penyatuan ini perlu diteruskan atau menggunakan Ulil Amri (Pemerintah) sebagai penyelesaian demi suatu kemaslahatan bersama.
 
Rujukan
 
- Merujuk kepada jurnal asal yang ditulis oleh Ahmad Fadholi, "Pandangan Ormas Islam Terhadap Draf Kriteria Baru Penentuan Kalendar Hijriah di Indonesia".
- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).