Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN AL-FALAK SIRI KE-8 : ISU-ISU FALAK SYARIE DI MALAYSIA

BAYAN FALAK 02 01 min

 

1. Kriteria Imkan al-Rukyah
Apabila terbenam matahari pada waktu maghrib terlihatnya hilal, maka bermulalah tarikh bulan hijri yang baharu. Walau bagaimanapun, untuk melihat hilal di sesuatu lokasi itu bukanlah sesuatu yang mudah. Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi Imkan al-Rukyah (kebolehnampakan hilal) tersebut yang perlu diambil kira. Antaranya, keadaan cuaca, ketinggian bulan ketika maghrib, jarak lengkung bulan dan matahari ketika maghrib, tempoh masa antara matahari terbenam dan bulan terbenam, pencemaran udara, peralatan optik, pencerap dan lain-lain. 
 
Berdasarkan Muktamar Hilal bagi Penentuan Permulaan Bulan Hijriah di Istanbul pada 26-29 November 1978, kriteria Imkanur Rukyah yang telah ditetapkan ialah:
● Ketinggian hilal tidak kurang dari 5⁰ ketika matahari terbenam dan
● Jarak dari tengah bulan ke jisim matahari tidak kurang daripada 8⁰ ketika matahari terbenam.
 
Kemudian, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia menerima pakai Deklarasi Istanbul 1978 tersebut dengan tambahan syarat alternatif:
● Umur bulan tidak kurang dari 8 jam ketika hilal terbenam. 
 
Walau bagaimanapun, hasil Pertemuan Tidak Rasmi Menteri-menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS) pada 1 Jun 1992 bertempat di Labuan telah bersepakat untuk mengubah suai kaedah Imkan al-Rukyah berikut :
 
Sebelum matahari terbenam, ijtimak telah berlaku 29 hari bulan hijriyah dan melalui perkiraaan kewujudan hilal serta dapat memenuhi salah satu syarat berikut 
● Ketika matahari terbenam, ketinggian hilal di atas ufuk tidak kurang dari 2⁰ dan jarak tengah bulan ke jisim matahari tidak kurang dari 3⁰
● Ketika hilal terbenam, umur hilang tidak kurang daripada 8 jam (selepas ijtimak berlaku).
 
Antara isu yang timbul ialah penetapan tarikh awal bulan hijri ini tidak selari dengan hukum sains dan tuntutan syarak. Kaedah yang diterima harus berdasarkan data yang kukuh serta mengambil kira kelonggaran syarak puasa dan raya. Tambahan pula, penggunaan dua kriteria iaitu faktor geometrik dan faktor kematangan anak bulan bagi penentuan takwim islam bercanggah dengan sains dan seterusnya mencadangkan penggunaan satu parameter sahaja, tanpa diberi pilihan. Walau bagaimanapun, pengkajian KIR92 masih dibuat dan sehingga kini masih dalam pertimbangan MABIMS. 
 
2. Jarak bulan ke matahari
Jarak bulan ke matahari merupakan salah satu daripada kriteria imkanur rukyah seperti yang dibincangkan di atas. Jarak ini merujuk di antara bulan dan jisim matahari atau lebih tepat daripada pusat bulan ke piring matahari di ufuk ketika maghrib. Isu yang timbul ialah penggunaan istilah “Jarak Lengkung/Elongasi” dalam konteks imkanur rukyah yang merujuk kepada pusat bulan ke pusat matahari adalah tidak tepat. 
Maka, takrifan jarak lengkung ini perlu kepada pengkajian dan pembetulan semula dari “pusat bulan ke pusat matahari” kepada “jarak pusat hilal ke jisim matahari” selaras dengan ketetapan Istanbul 1978 dan ketetapan KIR.
 
3. Tarikh hari raya Aidiladha
Penetapan tarikh hari raya Aidiladha pernah menjadi isu suatu ketika dahulu. Hal ini demikian adalah kerana jarak di antara Malaysia dan Mekah yang terpisah dengan 5 zon waktu dan jarak sejauh 1700 km. Secara amnya, amalan menyambut Hari Raya Aidiladha terbahagi kepada dua cara. Iaitu :
I. Yang pertama, disambut sehari selepas hari wukuf di Arafah yang ditetapkan melalui pengisytiharan oleh pihak Arab Saudi. Amalan ini telah dipraktikkan di Malaysia pada tahun 1977 sehingga 1995. Ianya disokong oleh pendapat yang menyatakan, secara asasnya Hari Raya Aidil Adha  adalah untuk jemaah yang sedang menunaikan fardu Haji di Mekah. Maka, sambutan hari raya Aidil Adha ini perlu diraikan serentak bersama-sama mereka.
II. Yang kedua, disambut pada tarikh 10 Zulhijjah berdasarkan kebolehnampakan hilal Zulhijjah. Negara Malaysia telah mengamalkan cara kedua ini sejak sekian lama sehingga tahun 1977 dan mengamalkannya semula dalam tahun 1995 sehingga kini selepas melalui beberapa siri muzakarah dan kajian. Penetapan ini dibuat dengan berpegang kepada pendapat asas penetapan tarikh hari raya Aidil Adha adalah sama dengan kaedah penetapan awal Ramadan, Syawal serta bulan-bulan Hijriah yang lain yang menggunakan kaedah rukyah dan hisab.
 
Ibadat haji juga terikat dengan tempat dan masa iaitu di Mekah dan sekitarnya. Ini bermakna sambutan hari raya Aidiladha boleh disambut pada hari-hari tertentu sahaja tetapi tidak terikat dengan tempat. Oleh yang demikian, boleh disimpulkan bahawa penetapan tarikh hari raya tidak semestinya bergantung kepada pengisytiharan hari Wukuf. Oleh sebab itu, Hari Raya Aidiladha juga dikenali sebagai Hari Raya Korban dan bukannya hari raya Haji bagi kita di luar Mekah.
 
Sekiranya kita imbas semula ke zaman dahulu, tidak terdapat kemudahan teknologi yang membolehkan umat islam bertukar-tukar maklumat dengan pantas. Maka, persoalan yang timbul ialah bagaimana tarikh hari wukuf boleh disampaikan kepada semua umat islam di pelosok dunia dan pastinya ia merupakan sesuatu yang mustahil, melainkan tarikh hari raya tersebut ditetapkan dalam penentuan awal bulan Zulhijjah dan seterusnya 10 Zulhijjah.
 
Oleh yang demikian, kaedah penetapan hari raya Aidiladha sehari selepas wukuf bagi umat islam di luar tanah arab adalah satu fatwa yang baharu dan tidak mempunyai sebarang perkaitan dengan Sunnah. Penetapan secara serentak dengan para jemaah haji ini adalah sebagai salah satu lambang penyatuan ummah. Tetapi bagaimana pula dengan ibadah solat yang tidak dilakukan secara serentak pula?
Walau bagaimanapun, isu penetapan tarikh hari raya Aidiladha telah pun diselesaikan. Perbincangan dan perbahasan panjang lebar telah berlangsung pada 11 hingga 16 Oktober di Jordan dan telah menjadi salah satu daripada resolusi “Islamic Fiqh”. Resolusi ini telah memutuskan agar penentuan bulan hijriyah termasuk Zulhijjah bagi semua negara Islam adalah dengan menggunakan asas yang sama seperti Aidilfiitri dan Aidiladha. 
 
4. Tarikh puasa Hari Wukuf
Rentetan daripada isu penetapan tarikh Hari Raya Aidiladha pada 10 Zulhijah, maka tarikh puasa Hari Wuquf bagi umat islam yang berada di luar Tanah Haram Mekah yang tidak mengerjakan ibadat haji adalah pada 9 Zulhijah.
 
5. Status imej hilal yang diproses
Penentuan bulan ibadat Ramadan, Syawal dan Zulhijjah adalah berdasarkan dengan penglihatan hilal. Walau bagaimanapun penampakan hilal ini sering dihalang oleh beberapa faktor seperti pencemaran atmosfera, awan tebal, ketinggian tempat cerapan dan psikologi pencerap itu sendiri. Oleh itu, penggunaan pengimejan digital ini telah digunakan sebagai salah satu alat bagi menggantikan mata dalam proses mencerap hilal ini. 
 
Terdapat beberapa manfaat dan kelebihan yang boleh diperoleh melalui pengimejan hilal ini. Antaranya, pengimejan hilal berupaya mencipta video terus pada skrin komputer dan secara serentak dapat mendokumentasikan imej atau video dari hasil cerapan. Seterusnya, pengimejan hilal ini juga boleh menjadi bukti kuantitatif akan sabit hilal telah dilihat termasuk orientasi hilal berasaskan kedudukan matahari. Tambahan pula, penggunaan pengimejan juga boleh menunjukkan bulan sabit halus serta visual kontras nya boleh ditinggikan dan tidak terhad seperti mata. 
 
Akan tetapi, apabila terdapat keadaan di mana hilal tidak dapat dilihat melalui teleskop tetapi dapat dilihat selepas pemprosesan imej hilal dilakukan, sama ada imej hilal tersebut diterima pensabitan kenampakannya atau tidak, masih belum dibuat. 
 
6. Nilai tempoh ihtiati dalam hitungan waktu solat.
“Waktu ihtiati” adalah waktu yang ditambah atau dikurangkan dengan kiraan jumlah tertentu bagi menambahkan keyakinan. Misalnya, waktu Zuhur yang dikira adalah pada 1.25 petang tetapi dijadualkan pada 1.26 petang kerana ditambah waktu ihtiati selama 1 minit. Begitu juga terdapat waktu ihtiati yang dipercepatkan seperti waktu syuruk bagi menyelamatkan solat subuh dilaksanakan di luar waktu.
 
Walau bagaimanapun, nilai ihtiati ini perlu dikaji semula agar lebih realistik dan keseragaman dapat dicapai bertepatan dengan perkembangan semasa. Berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada jurnal yang ditulis oleh JAKIM, isu ini telah pun diselesaikan.
 
7. Waktu solat di angkasa lepas
Rentetan daripada penghantaran angkasawan Malaysia yang pertama ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada tahun 2003, telah timbul satu isu berkenaan pelaksanaan ibadat solat di angkasa lepas. Isu ini timbul kerana ISS mengelilingi bumi sebanyak 16 kali dalam tempoh sehari dan ini bermakna seseorang itu perlu mendirikan solat sebanyak 80 kali setiap 24 jam.  
 
Oleh yang demikian, Majlis Syariah Islam, Rabitah al-Alami al-Islami dalam tahun 1982 telah memutuskan untuk menggunakan jadual waktu solat kawasan yang terhampir di mana siang dan malamnya dapat dibezakan bagi kawasan yang mengalami siang dan malam secara berterusan. Berdasarkan buku “Kaedah Panduan Falak Syarie” angkasawan, lima waktu solat dalam tempoh 24 jam (1 hari di bumi) mengguna pakai waktu solat tempat berlepas (dengan penyesuaian untuk kawasan melebihi latitude 45⁰ utara.
 
Memandangkan keadaan di ISS menepati keadaan ini, maka telah diputuskan agar jadual waktu solat bagi angkasawan muslim di ISS adalah dengan menggunakan jadual waktu solat di Baikonur, Russia iaitu tempat berlepasnya roket ke angkasa lepas melalui perisian COSMOS (Computation Of Solat-times for Muslims in Outer Space). 
 
8. Waktu solat dalam pesawat
Dalam melaksanakan solat di dalam kapal terbang, seseorang individu itu perlu mengetahui waktu solat terlebih dahulu. Terdapat 3 entiti yang berkait rapat dalam menentukannya iaitu arah, kelajuan dan ketinggian kapal terbang, arah pusingan bumi serta arah pergerakan matahari. Maka, Persatuan Falak Syar’i Malaysia (PFSM) telah membuat satu inisiatif dengan menghasilkan sebuah aplikasi yang dinamakan MyMuwaqqit bagi membantu para musafir mendapatkan waktu solat di dalam penerbangan.
 
Aplikasi ini dibangunkan dengan sokongan Penerbangan Malaysia Berhad (MAB), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan disahkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
 
9. Waktu solat dalam kapal selam
Isu waktu solat di dalam kapal selam ini timbul pada tahun 2002 di mana ketika itu, Kerajaan Malaysia dan pembuat kapal Perancis, Armaris telah menandatangani kontrak pembelian 2 buah kapal selam yang dikenali sebagai KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Razak. Kekeliruan berkaitan dengan pengiraan waktu solat  dalam kapal selam adalah disebabkan kapal selam akan berada lama di bawah laut berbanding di permukaan.  Setelah melalui beberapa siri rundingan, telah diputuskan bahawasanya koordinat bagi tujuan pengiraan waktu solat akan menggunakan lokasi di permukaan laut di mana kapal selam itu berada.
 
10. Had pesongan hala kiblat
Menghadap kiblat adalah wajib bagi ibadah-ibadah tertentu dan adakalanya ia menjadi sunat dan makruh. Maka, perlu diketahui hala kiblat yang tepat agar tidak terpesong ke arah selain kaabah. Secara umumnya, perbezaan kiblat sebanyak 1 darjah akan memberi kesan pesongan jarak sebanyak 124 km. 
 
Berdasarkan keputusan muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-79 yang bersidang pada 6-8 September 2007 telah membincangkan mengenai “Had Berpaling Yang Dibenarkan Daripada Arah Qiblat (Had al-Tahawwul ‘Ani al-Qiblat).” Muzakarah berpandangan bahawa arah menghadap kiblat merupakan perkara ijtihadi dan zanni. Penentuan had tidak melebihi 3⁰ bagi pesongan mihrab yang dibenarkan tidak perlu ditetapkan. Oleh itu, Muzakarah memutuskan bahawa had berpaling yang dibenarkan dari arah kiblat tidak perlu difatwakan, tetapi boleh dijadikan sebagai garis panduan dalam pembinaan masjid dan surau baru.
 
11. Hala kiblat di Angkasa Lepas 
Penggunaan kerusi kiblat adalah salah satu daripada cadangan menarik bagi menyelesaikan masalah kiblat di angkasa lepas. Kerusi kiblat yang dilengkapi dengan mekanisma membolehkannya untuk dihalakan kepada kiblat secara berterusan dan automatik. Walau bagaimanapun, ianya didapati tidak praktikal untuk dilaksanakan.
 
Maka, keputusan berkenaan hala kiblat di angkasa lepas telah diselesaikan dengan berdasarkan 4 turutan berikut :
I. Kaabah
II. Unjuran kaabah
III. Bumi
IV. Mana-mana arah
 
12. Paparan jadual waktu solat
Isu paparan jadual waktu solat ini ialah berkenaan dengan ketidakselarasan di antara kalender masihi dan hijri. Seperti yang diketahui, di dalam takwim hijri, hari bermula ketika terbenamnya matahari atau maghrib, manakala takwim miladi pula hari baharu bermula pada waktu tengah malam. Akan tetapi, jadual waktu solat yang dikeluarkan tidak menggambarkan terdapatnya perbezaan di antara kedua-dua takwim tersebut.
 
Sebagai contoh, maghrib dan isyak pada 13 Zulkaedah 1442H adalah kepunyaan 24 Jun 2021 bukannya 25 Jun 2021, manakala waktu subuh sehingga asar adalah kepunyaan 25 Jun 2021. Oleh itu, terdapat keperluan untuk memformat semula paparan jadual solat agar lebih selaras dan tepat.
 
13. Waktu solat bagi zon yang bersebelahan
Jadual waktu solat yang diperkenalkan mengikut zon adalah untuk penyeragaman di dalam penyediaan waktu solat. Lokasi-lokasi yang mempunyai waktu solat tidak melebihi dua minit telah digabungkan menjadi satu zon. Secara teorinya, lokasi yang terletak di timur adalah lebih awal dari seseorang yang berada di barat. 
 
Akan tetapi, masalah yang terjadi ialah zon-zon yang bersebelahan oleh kerana waktu solat yang berbeza 2 minit seperti Bandar Tampin yang terletak di persempadanan di antara Melaka dan Negeri Sembilan. Maka, jadual waktu yang dikeluarkan menggunakan konsep zon ini perlu dilengkapi dengan maklumat pembetulan waktu solat bagi setiap daerah tersebut juga agar walaupun berada di dalam zon yang berlainan tetap boleh mempunyai nilai waktu solat yang sama.
 
14. Waktu syuruk dan solat maghrib di bangunan/tempat tinggi
Antara komponen penting dalam pengiraan waktu solat ialah semi-diameter matahari dan biasan serta junaman ufuk. Junaman ufuk ini merujuk kepada ketinggian sesuatu tempat yang perlu diambil kira kerana berbanding dengan tempat yang lebih rendah, ianya mempunyai ufuk ketara yang berbeza dengan ufuk benar. 
 
Oleh sebab itu, waktu solat maghrib dan syuruk bagi tempat yang tinggi lebih lewat. Isu yang berlaku ialah berapakah kelebaran atau keluasan jarak ke ufuk sebelum keputusan sama ada ia layak untuk diberi pembetulan junaman ufuk atau tidak.
 
15. Definisi matematik waktu solat subuh dan isya’
Kajian lanjut ke atas nilai sebenar sudut matahari perlu dijalankan melalui pencerapan kecerahan langit agar mematuhi kehendak syarak kerana ketepatan nilai-nilainya telah dipertikaikan dan disyaki ketidakselarasannya dengan maksud nas-nas syarak serta pandangan jumhur ulama’ di dalam kitab-kitab fiqh muktabar.
 
Secara umumnya, waktu subuh bermula dari terbit fajar sadiq di ufuk timur manakala waktu isyak bermula apabila mega merah (syafak) hilang di ufuk barat. Di Malaysia, kriteria penentuan bagi kedua-dua waktu solat ini adalah berdasarkan nilai sudut matahari di bawah ufuk sebanyak 20⁰ dan 18⁰ kecuali negeri Kelantan iaitu 19⁰ dan 17⁰ mengikut tafsiran astronomi.
 
16. Keperluan mendirikan solat sunat gerhana khusuf dan kusuf dengan jenis gerhana (peratus cahaya, umbra, penumbra, gerhana separa, gerhana penuh dsb) 
Fenomena gerhana merupakan salah satu daripada tanda-tanda kebesaran Allah. Antara amalan yang dituntut ketika berlakunya fenomena gerhana ini ialah solat sunat khusuf bagi gerhana bulan dan solat sunat kusuf bagi gerhana matahari. Walau bagaimanapun, isu yang timbul ialah bagaimanakah status berkaitan keperluan mendirikan solat sunat gerhana ini bergantung kepada jenis-jenisnya.
 
gerhana min
 
Seperti yang ditunjukkan di dalam rajah di atas, terdapat perbezaan yang ketara di antara perubahan cahaya bulan ketika fasa gerhana penuh, separa dan penumbra. Maka, para ulama’ telah bersepakat untuk meletakkan syarat solat sunat gerhana bulan ini ialah apabila jelas kesan gelap di bulan dapat dilihat. Ini bermakna, gerhana bulan penumbra tidak diharuskan untuk melaksanakan solat sunat ini rentetan daripada kesukarannya untuk dikenal pasti dan dilihat oleh mata kasar.