Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN AL-FALAK SIRI KE-11 : WAKTU DAN TARIKH DALAM IBADAH

BAYAN FALAK 05 01

 

Waktu dan tarikh merupakan dua perkara penting dalam kehidupan manusia bertamadun di muka bumi ini. Waktu adalah jangka masa dan tarikh pula adalah tanggal pada sesuatu hari. Kedua-duanya berperanan dalam ibadat. Ianya ibarat disiplin masa bagi seorang yang bergelar muslim atau muslimah dalam kehidupan mereka.

Sebelum penggunaan waktu dan tarikh disusun ke dalam bentuk takwim, penggunaannya adalah dengan berpandukan kepada sistem matahari, bulan dan musim (bintang). Ia dirakam dalam bentuk masa dan tarikh yang berlaku pada hari kejadian seperti peristiwa ribut petir yang luar biasa, letupan gunung berapi, banjir besar, gerhana matahari, pelanggaran objek-objek di langit, musim bunga, musim panas, musim luruh, musim sejuk dan sebagainya (Mausuah Al-Arabiah al-Alamiah).

Kepentingan penggunaan masa ini telah dirakam oleh Allah SWT dalam surah al-Asr yang menggunakan perkataan Qasam (sumpah) sebagaimana firman-Nya:

وَٱلۡعَصۡرِ (١ ) إِنَّ ٱلۡإِنسَٰنَ لَفِي خُسۡرٍ (٢ ) إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلۡحَقِّ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلصَّبۡرِ( ٣)

Maksudnya: “Demi Masa! (1) Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian (2) Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. (3)”

Surah al-Asr (1-3)

Menurut Tafsir al-Munir, ayat diatas diturunkan oleh Allah SWT bagi menunjukkan kepentingan masa. Allah SWT menegaskan dalam surah ini bahawa manusia berada di dalam kerugian kecuali bagi orang-orang yang beriman kepada Allah SWT, melakukan amal soleh, dan berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.

Dalam pada itu, al-Quran juga turut menyatakan peranan waktu dan tarikh yang berkait rapat dengan ibadah, antara firman Allah SWT:

يَسۡ‍َٔلُونَكَ عَنِ ٱلۡأَهِلَّةِۖ قُلۡ هِيَ مَوَٰقِيتُ لِلنَّاسِ وَٱلۡحَجِّۗ وَلَيۡسَ ٱلۡبِرُّ بِأَن تَأۡتُواْ ٱلۡبُيُوتَ مِن ظُهُورِهَا وَلَٰكِنَّ ٱلۡبِرَّ مَنِ ٱتَّقَىٰۗ وَأۡتُواْ ٱلۡبُيُوتَ مِنۡ أَبۡوَٰبِهَاۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ( ١٨٩)

Maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. Katakanlah: "(peredaran) anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia, khasnya ibadat Haji. Dan bukanlah perkara kebajikan: kamu memasuki rumah dari bahagian belakangnya (ketika kamu berihram) akan tetapi kebajikan itu ialah perbuatan orang yang bertaqwa; dan masuklah ke rumah (Kamu) itu melalui pintunya, serta bertaqwalah kamu kepada Allah SWT supaya kamu berjaya."

Surah al-Baqarah (189)

Berdasarkan ayat di atas, Allah SWT telah mengajar Nabi Muhammad SAW untuk menjawab pertanyaan para sahabat tentang fungsi dan hikmah bulan bagi kegunaan umat manusia, iaitu untuk keperluan perhitungan waktu dalam melaksanakan urusan ibadah seperti solat, puasa, haji dan urusan dunia yang diperlukan.

Selain itu, Allah SWT juga mengkhabarkan tentang bilangan bulan-bulan dalam setahun yang bertepatan dengan edaran bulan mempunyai 12 bulan, yang mana dikenali sehingga hari ini. Berdasarkan firman Allah SWT:

إِنَّ عِدَّةَ ٱلشُّهُورِ عِندَ ٱللَّهِ ٱثۡنَا عَشَرَ شَهۡرٗا فِي كِتَٰبِ ٱللَّهِ يَوۡمَ خَلَقَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضَ مِنۡهَآ أَرۡبَعَةٌ حُرُمٞۚ ذَٰلِكَ ٱلدِّينُ ٱلۡقَيِّمُۚ فَلَا تَظۡلِمُواْ فِيهِنَّ أَنفُسَكُمۡۚ وَقَٰتِلُواْ ٱلۡمُشۡرِكِينَ كَآفَّةٗ كَمَا يُقَٰتِلُونَكُمۡ كَآفَّةٗۚ وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلۡمُتَّقِينَ (٣٦)

Maksudnya: “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah SWT ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah SWT semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah SWT beserta orang-orang yang bertaqwa.”

Surah al-Taubah (36)

Perkataan “bulan-bulan” dalam ayat di atas ialah bulan-bulan qamariyah disebabkan perkiraannya mudah. Ini kerana ia bergantung pada cerapan bulan sahaja. Adapun perkataan ‘dalam kitab Allah’ ia bermakna dalam perundangannya dan hikmah kejadiannya mengikut sunat penciptaan.

Allah SWT menciptakan langit dan bumi, menjadikan matahari dan bulan setiap padanya terdapat fungsi dan peranan masing-masing. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT di dalam surah Yunus:

هُوَ ٱلَّذِي جَعَلَ ٱلشَّمۡسَ ضِيَآءٗ وَٱلۡقَمَرَ نُورٗا وَقَدَّرَهُۥ مَنَازِلَ لِتَعۡلَمُواْ عَدَدَ ٱلسِّنِينَ وَٱلۡحِسَابَۚ مَا خَلَقَ ٱللَّهُ ذَٰلِكَ إِلَّا بِٱلۡحَقِّۚ يُفَصِّلُ ٱلۡأٓيَٰتِ لِقَوۡمٖ يَعۡلَمُونَ (٥)

Maksudnya: “Dia lah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya, dan Dia lah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-randah) pada tempat-tempat peredarannya masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah SWT tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah SWT menjelaskan ayat-ayatNya (tanda-tanda kebesaranNya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikanNya).”

Surah Yunus (5)

Selain itu, Allah SWT menciptakan setiap yang ada di muka bumi mengikut aturannya tersendiri, sebagaimana kejadian siang dan malam yang berlaku silih berganti adalah disebabkan pergerakan matahari dan bulan. Ia telah dinyatakan oleh Allah SWT dalam surah Yunus sebagaimana firman-Nya:

إِنَّ فِي ٱخۡتِلَٰفِ ٱلَّيۡلِ وَٱلنَّهَارِ وَمَا خَلَقَ ٱللَّهُ فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ لَأٓيَٰتٖ لِّقَوۡمٖ يَتَّقُونَ (٦)

Maksudnya: “Sesungguhnya pada pertukaran malam dan siang silih berganti, dan pada segala yang dijadikan oleh Allah SWT di langit dan di bumi, ada tanda-tanda (yang menunjukkan undang-undang dan peraturan Allah SWT) kepada kaum yang mahu bertaqwa.”

Surah Yunus (6)

Terdapat banyak ibadah yang disyariatkan melibatkan penggunaan tarikh dan waktu-waktu tertentu dalam kehidupan, antaranya adalah seperti solat, puasa, zakat, haji dan korban. Ibadah solat adalah terkait dengan ibadah wajib seperti solat fardu Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak atau ibadah sunat seperti solat tarawih (malam bulan Ramadan), Solat Aidil Fitri, Aidil Adha, duha, solat hajat, solat gerhana, dan lain lain.

Kemudian, puasa wajib ia dilakukan pada bulan Ramadan manakala puasa sunat ia dilakukan pada bulan-bulan selain Ramadan. Syarat permulaan puasa Ramadan ia dilakukan dalam tempoh dan waktu tertentu contohnya seperti perlu kepada kenampakan anak bulan, berbeza dengan puasa sunat ia tidak memerlukan kepada syarat tersebut. Akan tetapi, waktu bermula dan berakhir puasa wajib dan sunat adalah dari terbit fajar sadiq sehingga terbenam matahari dengan mengambil kira syarat sah puasa, waktu sahur, berbuka dan imsak.

Seterusnya, zakat terdapat dua jenis iaitu pertama Zakat Fitrah dan kedua Zakat Harta. Zakat Fitrah adalah zakat diri yang difardukan ke atas setiap individu muslim tidak kira lelaki atau perempuan dengan syarat-syarat tertentu. Manakala, Zakat Harta terbahagi kepada beberapa jenis bahagian dan ia dilakukan setelah cukup syarat sah pengeluaran zakat.

Ibadah haji ditunaikan oleh umat Islam yang berkemampuan setelah sempurna syarat sah haji, ia bermula pada bulan Zulkaedah sehingga bulan Zulhijjah pada setiap tahun. Dalam pada itu, ibadah korban dilakukan pada hari Raya Aidil Adha bertepatan dengan tarikh 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Hukum membuat korban adalah sunat bagi orang dewasa dan afdal dilakukan selepas solat sunat Hari Raya Aidil Adha dengan menyembelih seekor kibas atau kambing atau sebahagian (1/7) daripada badanah (seperti lembu, kerbau dan unta).

Kesimpulannya, keperluan manusia kepada tarikh dan masa dalam kehidupan seharian perlu dinilai jua dalam konsep penggunaan tarikh dan masa dalam melaksanakan ibadat kerana ianya adalah milik Allah SWT. Memanfaatkan penggunaan tarikh dan masa ke arah perkara yang diredai olehNya akan memberi keuntungan dunia dan akhirat.