Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-26: AHLAN WA SAHLAN YA RAMADHAN

Mukaddimah

Hanya kurang daripada tiga hari kita semua akan dikunjungi satu bulan yang sarat dengan keistimewaannya. Alangkah beruntungnya seseorang yang memahami nilai dan fadhilat dan kelebihan bulan tersebut yang ditambah dengan menekuni fiqh Ramadhan sama ada fiqh siyam (puasa) atau yang lain-lain lagi.

Kita mengharapkan agar Ramadhan pada kali ini diisi dengan penuh acara kebaikan sama ada amalan sunat dan sudah semestinya yang wajib perlu dilakukan dengan seterbaik mungkin. Justeru Bayan Linnas pada kali ini kami namakan tajuknya dengan “Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan.

Semoga pencerahan ini memberi satu matlamat dan inspirasi dalam melayari Ramadhan yang akan berkunjung tiba agar benar-benar menepati piawaian dan syariat Ilahi.

Adab Dan Amalan Di Bulan Ramadhan

Kedatangan Ramadhan pada kali ini, amat perlu kita isi dengan segala bentuk amalan kebajikan yang disunnahkan oleh  Baginda SAW. Yang lebih penting lagi, pastikan Ramadhan pada kali ini iaitu tidak dinafikan pahala ibadat yang kita tunaikan . Ini kerana kita melanggari syarat dan adab yang wajib kita tunaikan. Hal ini berdasarkan kepada sabda Rasulullah SAW:

وَإِذَا كَانَ يَوْمُ صَوْمِ أَحَدِكُمْ، فَلاَ يَرْفُثْ وَلاَ يَصْخَبْ، فَإِنْ سَابَّهُ أَحَدٌ، أَوْ قَاتَلَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّي امْرُؤٌ صَائِمٌ

Maksudnya: Maka apabila pada hari kamu berpuasa maka janganlah bercakap kotor dan meraung marah. Maka apabila seseorang mencelanya atau memeranginya maka hendaklah dia berkata: Sesungguhnya aku berpuasa, Sesungguhnya aku berpuasa.

Riwayat Bukhari (1904)

Justeru manual harian Ramadhan dilaksanakan dalam mengukur piawaian pencapaian antara yang terutama adalah berpuasa kerana Allah dalam meninggikan nilai ibadat ini. Firman Allah SWT:

وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّـهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ

Maksudnya: Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya,

(Surah al-Bayyinah: 5)

Syed Qutb berkata: Ibadat kepada Allah yang Maha Esa mengkihlaskan ketaatan kepada-Nya, menjauhi syirik dan pendokongnya. Seterusnya ibadat yang tulus ikhlas kepada Allah itu adalah juru bahasa yang menterjemahkan akidah itu. Lihat Fi Zilal al-Quran, 17/484

Antara amalan dan adab yang baik untuk dilaksanakan adalah:

Puasa

  • Ta’khir sahur
  • Awalkan berbuka
  • Ikut sunnah dalam berbuka

 Solat fardu berjamaah

  • Dilakukan di masjid
  • Awalkan langkahan kaki ke masjid
  • Niat i’tikaf ketika memasuki masjid
  • Solat sunat tahiyyatul masjid
  • Solat sunat rawatib
  • Jawablah azan dan berdoa selepasnya.

 Banyakkan bacaan al-Quran

  • Cita-citakan untuk berkhatam
  • Tadabburkan ayat-ayatnya
  • Jangan rasa malas
  • Ajarkan anak dan keluarga ayat-ayat Allah.

 Banyakkan berinfaq

  • Tabung masjid
  • Anak-anak yatim
  • Fakir miskin
  • Orang tua
  • Ibu bapa
  • Kaum keluarga
  • Mereka yang dalam kesusahan seperti gempa bumi atau dilanda banjir

 Menunaikan zakat

  • Zakat fitrah
  • Zakat harta
  • Zakat ternakkan
  • Zakat perniagaan dan lain-lain.

 Menjamu orang puasa untuk berbuka.

Sabda Rasulullah SAW:

مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِهِ شَيْءٌ

 Maksudnya: Siapa yang menjamu orang berbuka puasa, maka baginya pahala orang tersebut dengan tidak dikurangi dengan sedikit pun.

Riwayat at-Tabarani (5275)

Lakukanlah amalan yang mulia seperti:

  • Memberi salam
  • Senyum kepada orang ramai
  • Membersih tandas masjid
  • Membersih masjid dan kawasannya
  • Membantu penyediaan makanan di rumah atau di masjid
  • Berbudi bahasa yang tinggi
  • Hadir majlis ilmu dan mempelajarinya
  • Solat tarawih
  • Qiamullail
  • Solat witir
  • Memperbanyakkan zikrullah

Ini kerana pahala amat besar dan lumayan dijanjikan untuk mereka yang sentiasa melazimi zikir. Antara zikir yang boleh kita amalkan ialah:

 سُبْحَانَ اللَّهِ، الْحَمْدُ لِلَّهِ، وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ، وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ

Selain itu, perbanyakkan istighfar antaranya Sayyid al-Istighfar (penghulu istighfar) :

اَللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّيْ لاَ إِلَـهَ إِلاَّ أَنْتَ، خَلَقْتَنِيْ وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوْءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوْءُ بِذَنْبِيْ فَاغْفِرْ لِيْ فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ إِلاَّ أَنْتَ

Begitu juga doa keampunan kepada-Nya seperti :

ربَّنَا اغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَإِسْرَافَنَا فِي أَمْرِنَا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Dengan berdoa dan beristghfar, sudah pasti ia mempunyai banyak kelebihan antaranya:

  • Menghapuskan dosa
  • Dikurniakan anak
  • Diturunkan hujan
  • Dimurahkan rezeki

Terdapat satu kisah menarik daripada al-Hassan al-Basri berkenaan istighfar ini. Kisah ini dinukilkan oleh Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an. Pada suatu hari ada seorang datang mengadu kepasa Hasan al-Basri tentang masa kemarau. Hasan berkata kepadanya “Beristighfarlah kepada Allah”

Ada pula lelaki lain mengadu akan kemiskinannya. Beliau juga berkata “Beristighfarlah kepada Allah”. Ada pula lelaki lain berkata "Doakanlah supaya Allah memberikan ku anak.” Beliau berkata “Beristighfarlah kepada Allah”. Datang lagi lelaki lain yang mengadu tentang kebunnya yang kekeringan. Beliau berkata “Beristighfarlah kepada Allah”.

Anak muridnya berkata kepada Hasan “Beberapa orang lelaki datang dan mengadu pelbagai jenis perkara tetapi kamu menyuruh mereka semua membaca istighfar?”

Hasan menjawab “Aku sama sekali tidak mengatakan apapun dari diriku sendiri. Sesungguhnya Allah berfirman:

فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا ﴿١٠﴾ يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا ﴿١١﴾ وَيُمْدِدْكُم بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَارًا ﴿١٢

“Aku katakan kepada mereka, “Mohonlah keampunan kepada Tuhanmu sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat dan memperbanyakkan harta dan anak2 mu dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai”  

(Surah Nuh: 10 - 12)

Mohon keampunan kepada-Nya, dengan penuh keinsafan. Moga-moga dengan itu tersingkap tabir noda yang menutup pintu hati kita. Dengan itu, apa yang dihajatkan, akan dikabulkan-Nya dan mendapat redha dari-Nya. Wallahua’lam.

Antara lain, sentiasalah berdoa di bulan Ramadhan lebih-lebih lagi ketika waktu yang digalakkan berdoa, antaranya:

  • Ketika berbuka
  • Ketika bersahur
  • Sedang berpuasa

Dalam bulan Ramadhan ini sebagai menghormati bulan yang mulia, bagi melayyakan kita untuk meraih لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ . Makanya beberapa pantang larang  hendaklah dijauhi, antaranya

  • Sifat marah hendaklah dijarakkan daripada diri kita
  • Sifat hasad dengki
  • Sifat dendam kesumat
  • Sifat takabbur dan sombong
  • Sifat memperlekeh saudara seIslam dan orang lain
  • Sifat wasangka yang buruk dan su’zhan hendaklah diganti dengan husnul zhan (sangkaan baik)

 

Bulan Ramadhan mengukuhkan Institusi Kekeluargaan

Sebenarnya siang Ramadhan telah membentuk program harian keluarga bermula dengan cara kita berbuka hingga kepada bersahur, begitu juga aktiviti solat tarawih dan solat fardu dengan menuju ke masjid.   

Sebagai contoh kebersamaan dalam berbuka puasa lebih-lebih lagi diisi dengan sedikit tazkirah, zikir, tahlil dan pesan memesan di samping membaca kisah suri teladan sewaktu menunggu berbuka puasa di kalangan kelaurga sudah pasti menatijahkan kerukunan rumah tangga dan perasaan gembira pada hati-hati ahli keluarga.

Selepas itu pula solat berjamaah iaitu solat Maghrib boleh menambahkan lagi perasaan kasih sayang dan keutuhan hubungan selaras dengan pencapaian matlamat Hablum Minallah  Dan Hablum Minnas.  Begitu juga aktiviti yang lain yang dibuat secara kekeluargaan seperti membantu dalam menyediakan makanan hidangan berbuka dan membasuh pinggan mangkuk serta mengemaskan dapur selepas itu boleh menambahkan lagi seri kekeluargaan. 

Menaiki kereta atau kenderaan bersama untuk menuju ke masjid atau surau dalam mengimarahkan malam Ramadhan dengan solat Tarawih, witir dan lain-lain sudah tentu memberi kesan maknawi yang cukup besar dalam jiwa mereka yang melakukannya. Ini menjadikan sebuah keluarga saling mengambil berat antara satu sama lain dan pengalaman anak-anak yang dilatih oleh ibu bapa sudah barang tentu menjadi satu nostalgia yanga kan dicorakkannya pula.

Tatkala mereka menginjak dewasa dan akan menceritakan hal tersebut keapda anak-anaknya pula. Mereka seupaya mungkin akan membuat jauh lebih baik daripada apa yang telah dilakukan oleh ibu bapa mereka dahulu. Natijahnya kelaurga akan menjadi aman damai dan penuh dengan kepuasan untuk meniti dan melayari bahtera kehidupan. Justeru benarlah Ramadhan sebagai pengikat kasih sayang dan penyambung silaturahim disamping membajai kerukunan rumah tangga dalam menuju kegerbang kebahagiaan.

Sifat berkasih sayang menjadi teras dan tiang utama dalam membangunkan institusi kekeluargaan dan juga masyarakat Islam. Dengan penghayatan Islam yang sebenar ibadat puasa serta pengisian malam dalam bulan ramadhan sudah pasti membawa banyak kebaikkan apatah lagi dilakukan secara bersama atau jamaie.

Semoga dengan amal jamaie ini serta berkat Ramadhan dan penambahan amalan yang disulami dengan keikhlasan akan menatijahkan kebahagiaan dalam kelaurga sehingga layak dinobatkan sebagai Baiti Jannti atau rumahku syurgaku. 

 

Penutup

Ramadhan yang membawa seri satu macam kebaikkan sudah pasti dapat dimanfaatkan oleh Mukmin sejati sama ada amalan yang wajib atau yang sunat, seperti tadarus al-Quran, Qiamullail, Solat Tarawih dan lain-lain. Begitu juga dengan mengkaji sejarah Ramadhan melalui kemenangan umat Islam sejak zaman Rasulullah SAW lagi sehingga kepada mutakhir ini. Sudah pasti kita dapati kemenangan Islam banyak berlaku pada bulan Ramadhan, seolah-olah mengisyaratkan kepada kita bahawa bulan Ramadhan memberi kekuatan kerohanian, spiritual dan juga semangat yang kental sehingga dapat melakarkan kemuncak kejayaan.

Benarlah kata Buya Hamka: Hidup kita hanya sekali, justeru biarlah beerti. Maka ambillah peluang Ramadhan yang akan menjelma tiba untuk diisi dengan sebanyak-banyaknya amalan yang soleh. Inilah musim durian runtuh kebaikkan dan kebajikkan. Marilah kita merebut peluang ini.

Oleh itu, marilah sama-sama kita menjadikan bulan Ramadhan al-Muabarak sebagai Madrasah Rohaniah dan Fikriyyah, yang boleh melonjakkan kita ke persada kejayaan.

Semoga Ramadhan kali ini adalah yang terbaik untuk kita. Sekali lagi diucapkan Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan.

 

Akhukum Fillah

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

15 Jun 2015 bersamaan 27 Sya'ban 1436H