Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-50: AJARAN MILLAH IBRAHIM@ABRAHAM

 

Mukadimah

Sebahagian tabloid utama di Malaysia pada hari ini memuatkan berita mengenai sebuah kumpulan yang dikenali sebagai Millah Ibrahim@Abraham yang dalam rangka untuk menguasai Borneo dalam tempoh tiga tahun lagi.

Berita juga turut memuatkan rancangan mereka yang sedang mempersiapkan ahli-ahlinya untuk berperang  yang dijangka akan berlaku di Sabah, Sarawak dan Kalimantan, Indonesia. Persiapan ini juga melibatkan aktiviti pertanian yang mana sedang dipergiatkan bagi menjana bekalan makanan ketika perang itu nanti.

Justeru, Bayan Linnas kali ini tampil untuk memberikan keterangan umum buat rakyat Malaysia mengenai status ajaran Millah Ibrahim yang mana kini sedang dikaitkan dengan aktiviti keganasan (terrorism), cuba untuk menimbulkan huru-hara dan ketakutan buat rakyat Malaysia.

 

Pengenalan Ajaran Millah Ibrahim

 

Ajaran ini mula dikesan berkembang di Malaysia pada tahun 2013 setelah aduan diterima oleh Bahagian Perancangan Penyelidikan dan Pembangunan, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengenai isteri pengadu yang bekerja sebagai kerani di sebuah sekolah Tamil. Pengadu memaklumkan isterinya telah terlibat dengan ajaran Millah Ibrahim@Abraham yang mendakwa tidak perlu sembahyang kerana tidak ditunjukkan cara-caranya di dalam Al-Quran. Diikuti pula aduan seorang bapa yang ditinggalkan oleh anak dan isteri kerana tidak mahu mengikuti ajaran kumpulan ini yang disyaki menyeleweng dari ajaran Islam sebenar.

 

Ajaran Millah Ibrahim@Abraham mempunyai persamaan dengan kumpulan Negara Islam Indonesia (NII) atau Pemuda Kahfi atau Ad-Deen yang telah difatwa dan diwartakan sebagai menyeleweng pada 31 Mac 2011 yang lalu. Berdasarkan maklumat pengadu dan mereka yang terlibat dengan ajaran ini mendapati aliran tersebut berasal daro Bogor, Indonesia yang diketuai oleh Ahmad Musadeq yang pernah membawa aliran sesat Al-Qiyadah yang telah didirikan oleh beliau pada tahun 2007. Beliau juga sering hadir ke Malaysia bagi tujuan penyebaran ajaran tersebut.

 

Golongan Millah Ibrahim@Abraham mengatakan bahawa Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW telah lama jatuh sejak tahun 1324 Hijrah dengan kejatuhan kerajaan Bani Abbasiah akibat serangan puak Monggol kea as Baghdad yang telah membuang kitab-kitab khazanah Islam ke dalam sungai. Maka, ajaran Islam yang ada sekarang adalah palsu. Kerajaan Millah Ibrahim akan naik semula dan akan dibawa oleh rasul yang baharu (Ahmad Musadeq).

 

Millah Ibrahim & Penyelewengan Yang Terdapat Di Dalamnya

 

Berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada aduan bekas pengikut, penyamaran dalam kumpulan terbabit dan sumber-sumber lain yang boleh dipercayai mendapati kumpulan ini membawa ajaran dan amalan yang bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) dan syariat Islam antaranya seperti berikut:

 

  1. Mendakwa Ada Rasul Selepas Nabi Muhammad SAW

 

Mereka mendakwa bahawa ajaran Islam yang ada sekarang adalah palsu dan satu umat baru akan dipertanggungjawabkan untuk menegakkan deen ketika itu Allah akan menghantar rasul atau messiah (bahasa Ibrani) seperti sunnatullah yang terdahulu dan mengikut kaum mereka sendiri. Firman Allah SWT:

 

وَلِكُلِّ أُمَّةٖ رَّسُولٞۖ فَإِذَا جَآءَ رَسُولُهُمۡ قُضِيَ بَيۡنَهُم بِٱلۡقِسۡطِ وَهُمۡ لَا يُظۡلَمُونَ ٤٧

Maksudnya: Dan bagi tiap-tiap satu umat ada seorang Rasul (yang diutuskan kepadanya); setelah datang Rasul masing-masing (menerangkan apa yang mesti diterangkan) maka hukuman pun dijalankan di antara mereka dengan adil dan mereka tetap tidak dianiaya.

(Yunus: 47)

 

Mereka menafsirkan bahawa Allah SWT mengutuskan rasul dari kalangan kaum mereka sendiri untuk memudahkan kaum tersebut memahami dan mengajar kaum untuk keluar daripada kesesatan. Maka, Rasul Millah Ibrahim@Abraham diutuskan dari kalangan bangsa Melayu nusantara untuk membaca, menyuci serta mengajar kaum Melayu nusantara ini mengenai agama yang benar. Rasul yang dimaksudkan oleh kumpulan ini ialah Ahmad Musadeq seperti mana yang didakwa oleh pengadu dan pengikut ajaran ini.

 

  1. Menggabungkan Tiga (3) Ajaran Agama Iaitu Islam, Kristian dan Yahudi

Selain terjemahan Al-Quran, mereka juga menggunakan kitab Taurat dan Injil di dalam pengajian mereka kerana di dalam Al-Quran telah membenarkan kitab Taurat dan juga menerangkan bahawa kitab Taurat dan Injil sebagai panduan yang menerangi. Sepertimana yang disebut di dalam Surah Al-Maidah, ayat ke- 46 yang bermaksud:

وَقَفَّيۡنَا عَلَىٰٓ ءَاثَٰرِهِم بِعِيسَى ٱبۡنِ مَرۡيَمَ مُصَدِّقٗا لِّمَا بَيۡنَ يَدَيۡهِ مِنَ ٱلتَّوۡرَىٰةِۖ وَءَاتَيۡنَٰهُ ٱلۡإِنجِيلَ فِيهِ هُدٗى وَنُورٞ وَمُصَدِّقٗا لِّمَا بَيۡنَ يَدَيۡهِ مِنَ ٱلتَّوۡرَىٰةِ وَهُدٗى وَمَوۡعِظَةٗ لِّلۡمُتَّقِينَ ٤٦

Maksudnya: Dan Kami utuskan Nabi Isa Ibni Maryam mengikuti jejak langkah mereka (Nabi-nabi Bani Israil), untuk membenarkan Kitab Taurat yang diturunkan sebelumnya; dan Kami telah berikan kepadanya Kitab Injil, yang mengandungi petunjuk hidayah dan cahaya yang menerangi, sambil mengesahkan benarnya apa yang telah ada di hadapannya dari Kitab Taurat, serta menjadi petunjuk dan nasihat pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa. 

 

Mereka mendakwa ayat ini selaras dengan Injil Metius (perjanjian baru) 5/17. Selain itu mereka juga mendakwa bahawa Taurat, Injil dan Al-Quran akan ditegakkan semula dalam kerajaan baru. Oleh itu, selain Al-Quran mereka mendakwa bahawa kedua-dua kitab tersebut tidak boleh ditolak untuk dijadikan panduan bagi menegakkan deen.

 

  1. Meninggalkan Solat Lima Waktu & Solat Jumaat

 

Berdasarkan aduan, pengajian dan penelitian terhadap pengikut-pengikut ahli kumpulan ini, didapati bahawa mereka tidak melaksanakan solat fardhu yang diwajibkan ke atas semua mukallaf. Mereka mengatakan solat itu “sillah” iaitu hubungan dengan ajaran Millah tersebut dan makna lain iaitu bersungguh-sungguh menegakkan deen melalui Millah Ibrahim bukan maksud solat yang dilakukan sekarang oleh orang Islam kerana solat tonggang-tonggek itu senang, tetapi solat menegakkan deen itu lebih mujahadah dari segi harta dan tenaga sepertimana yang disebut di dalam Surah Al-Hajj, ayat ke-78:

 

وَجَٰهِدُواْ فِي ٱللَّهِ حَقَّ جِهَادِهِۦۚ هُوَ ٱجۡتَبَىٰكُمۡ وَمَا جَعَلَ عَلَيۡكُمۡ فِي ٱلدِّينِ مِنۡ حَرَجٖۚ مِّلَّةَ أَبِيكُمۡ إِبۡرَٰهِيمَۚ هُوَ سَمَّىٰكُمُ ٱلۡمُسۡلِمِينَ مِن قَبۡلُ وَفِي هَٰذَا لِيَكُونَ ٱلرَّسُولُ شَهِيدًا عَلَيۡكُمۡ وَتَكُونُواْ شُهَدَآءَ عَلَى ٱلنَّاسِۚ فَأَقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُواْ ٱلزَّكَوٰةَ وَٱعۡتَصِمُواْ بِٱللَّهِ هُوَ مَوۡلَىٰكُمۡۖ فَنِعۡمَ ٱلۡمَوۡلَىٰ وَنِعۡمَ ٱلنَّصِيرُ ٧٨

 

Maksudnya: Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya Dia lah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan ugamanya); dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara ugama, ugama bapa kamu Ibrahim. Ia menamakan kamu: "orang-orang Islam" semenjak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah). Oleh itu, dirikanlah sembahyang, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dia lah Pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian sifatNya) Dia lah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan.

(Al-Hajj: 78) 

 

Selain itu, mereka mengatakan bahawa Al-Quran itu telah lengkap dan fungsinya adalah mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya. Tetapi solat lima waktu yang dilakukan sekarang tidak ada disebut di dalam Al-Quran. Oleh itu, berdasarkan ayat di atas solat bermaksud bersungguh-sungguh menegakkan deen.

 

  1. Mengadakan Bai’ah (perjanjian) Oleh Anggota Millah Ibrahim

Kumpulan ini juga mewajibkan anggotanya untuk membuat akujanji (bai’ah). Amaran kepada sesiapa yang melanggar janji dan ganjaran bagi mereka yang setia pada janji adalah tertegaknya deen, bukannya mengharapkan pahala. Mereka juga mengatakan bahawa wajib bagi seorang isteri yang ingin menyertai Millah Ibrahim menuntut cerai jika suami menolak menyertai kumpulan ini atau sebaliknya.

 

 

Fatwa-Fatwa Berkaitan Millah Ibrahim@Abraham

Antara badan berkuasa agama yang telah menfatwakan ajaran Millah Ibrahim@Abraham ini menyeleweng adalah:

 

  1. Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali ke-88 yang bersidang pada 19 November 2014 telah mengambil keputusan bahawa ajaran Millah Ibrahim@Abraham adalah sesat dan menyeleweng daripada akidah Islam.

 

  1. Jawatankuasa Fatwa bagi Negeri Selangor melalui Warta Kerajaan Negeri bertarikh 17 Sepetember 2015 telah menfatwakan bahawa ajaran Millah Ibrahim@Abraham adalah satu ajaran yang menyeleweng terkeluar dari ajaran Islam yang sebenar. Mereka yang telah berbai’ah dengan ajaran ini haruslah segera bertaubat dan bagi mereka yang berusaha untuk menyebarluaskan ajaran ini boleh diambil tindakan dan dihukum.

 

 

KENYATAAN MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

 

Sesungguhnya Islam adalah agama yang jelas, nyata, dan tidak ada sebarang kekeliruan padanya. Benarlah sabda Nabi S.A.W ketika memberikan nasihat yang tegas kepada Umar Ibn al-Khattab :

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَو أَنَّ مُوسَى صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم كَانَ حَيًّا مَا وَسِعَهُ إِلاَّ أَنْ يَتَّبِعَنِي

Maksudnya: Demi zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sekiranya Musa S.A.W masih hidup, nescaya tidak ada ruang baginya melainkan untuk mengikuti aku.

Riwayat Ahmad (3/387)

 

Ini menunjukkan bahawa agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W sebagai khatam al-nabiyyiin adalah agama yang bersifat kekal sehingga dunia ini kiamat. Agama yang sesuai di sepanjang zaman dan di mana jua tempat.

Bila mana kita mencari dan kita mahu mengambil agama yang lain ataupun kefahaman yang lain dari Islam, sebenarnya kita telah mempertikaikan kesempurnaan Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W.

ALLAH S.W.T berfirman:

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإسْلامَ دِينًا 

Maksudnya: Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kalian agama kalian, dan telah Aku lengkapkan ke atas kalian nikmat-Ku, dan Aku telah redha akan Islam sebagai agama bagi kalian.

Surah al-Maaidah (3)

 

Kata al-Hafiz Ibn Kathir rahimahullah ketika mentafsirkan ayat ini: Ini adalah sebesar-besar nikmat Allah Azza wa Jall ke atas umat ini, iaitu ketika mana Dia telah menyempurnakan bagi mereka agama mereka. Maka mereka tidak berhajat kepada agama lain selainnya dan tidak pula mereka berhajat kepada Nabi lain selain Nabi mereka. Selawat dan salam Allah ke atasnya. Oleh kerana itulah Allah menjadikan baginda sebagai penutup bagi segala para Nabi dan Dia utuskan baginda kepada manusia dan jin. Tidak ada yang halal melainkan apa yang dia halalkan dan tidak ada yang haram melainkan apa yang dia haramkan. Tidak ada agama melainkan apa yang dia syariatkan. Kesemua yang baginda khabarkan adalah benar dan jujur, tidak ada kedustaan padanya. Rujuk Tafsir al-Quran al-Azhim, Ibn Kathir (3/26)

 

Justeru, marilah sama-sama kita kembali kepada agama sebenar yang diajar oleh Nabi S.A.W, diperjuangkan oleh para sahabat, tabieen, para salaf al-soleh, serta imam-imam yang diikuti sehingga ke hari ini di mana agama Islam yang terpelihara melalui al-Quran dan al-Sunnah.

Justeru, marilah kita kembali kepada Islam mengikut asolah yang sebenar. Jauhilah fahaman yang menyeleweng seperti Millah Ibrahim sebagaimana nasihat Umar Ibn al-Khattab R.anh :

الرُّجُوعُ إِلَى الحَقِّ خَيرٌ مِنَ التَّمَادِي فِي البَاطِلِ

Maksudnya: Kembali kepada kebenaran itu lebih baik dari berterusan di dalam kebatilan.

 

Sesungguhnya, Allah menyukai hamba-hamba-Nya yang bertaubat, mendalami ilmu, serrta sentiasa memuhasabah diri untuk menjadikan dirinya sebagai seorang muslim dan mukmin yang benar-benar mengharap mardhatillah. Yakinlah bahawa rahmat Allah itu luas dan maghfirahnya cukup besar kepada sesiapa yang ingin kembali kepada-Nya.

Semoga Allah S.W.T memberikan hidayah dan taufiq-Nya kepada kita dalam menjalani kehidupan yang sedang kita tempuhi ini dengan sentiasa mendapatkan inayah daripada-Nya. Ameen.

 

 

Akhukum Fillah

S.S DATUK DR. ZULKIFLI BIN MOHAMAD AL-BAKRI

MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

22 FEBRUARI 2016 BERSAMAAN 13 JAMADIL AWAL 1437 H