Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-119: ULASAN BUKU HUMUM DA'IYAH (RASA GELISAH BAGI PENDAKWAH)

Mukadimah

Pada 12 Oktober 2017 (Khamis), saya telah ke Labuan untuk seminar Muamalat anjuran Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) dengan kerjasama Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Maka kami sempat membawa bersama buku ‘Humum Daiyyah’ karya Syeikh Muhammad al-Ghazali Rahimahullah. Beliau merupakan salah seorang mufakkir Islami yang cukup tajam ideanya lagi bernas dalam memahami kemelut dunia Islam masa kini dan masyarakatnya.

Karya ini boleh juga kita maksudkan, stress dan kerisauan para pendakwah apabila mereka melihat situasi umat Islam pada masa kini yang ditimpa dengan pelbagai musibah sama ada pemikiran, hala tuju, ekonomi, tradisi dan adat di samping penyakit-penyakit hati yang melanda ummah. Ini mengakibatkan isu perpecahan tidak dapat diselesaikan walaupun semuanya melafazkan kalimah syahadatain dan di bawah payung Islam.

Walaupun sudah lama kami memiliki buku ini tetapi belum sempat untuk mengkhatamkan dan menghadamkannya. Justeru, dengan kesempatan yang ada dalam kapal terbang pada kali ini, maka dapatlah kami telaah buku ini. Buku yang cukup menarik, sarat dengan isu serta penyelesaiannya di samping contoh yang bersifat semasa dan hidup dengan suasana masa kini. Olahan yang dikemukakannya adalah mantap, berfakta dan diperkukuhkan dengan dalil serta nas dan mengajar kita cara memahami nas mengikut Fiqh Waq’ie atau realiti semasa.

Oleh itu, Bayan Linnas pada kali ini khusus membincangkan isu ummah pada masa kini. Maka kami tajukkan dengan: Ulasan Buku Humum Daiyyah (Rasa Gelisah bagi Pendakwah).

 

Pertama: Kata Pengantar

Syeikh dengan jelas menzahirkan rasa dukacita atas apa yang telah berlaku ke atas umat Islam pada masa kini. Beliau meninggalkan persoalan -dengan mantiq yang adil- “aku mahu umat Islam muhasabah diri mereka.” Ini kerana mereka umat dakwah alami, tetapi apa yang mereka telah sumbangkan dalam perjalanan dakwah ini kepada umat sejagat baik di pelusuk kampung atau di bandar atau peringkat global.

Kembali kepada risalah khatimah yang mengubah alam sejagat. Bagaimana Rasulullah SAW menyediakan sahabat yang faqih, menjadi guru dalam bidang hukum pemerintahan memelihara hak, menyucikan jiwa, membina akhlak yang unggul, dan mempertahankan tradisi yang baik. Justeru, tiada seorang pun yang mampu melakukan seperti Nabi Muhammad SAW yang telah membina generasi yang utuh serta berakhlak dengan akhlak yang suci bersih. Hati mereka (sahabat) disirami dengan takwa, pengorbanan serta penyaksian kebesaran Ilahi. Mereka menghadap Akhirat tanpa digugat dengan fitnah dunia dalam kehidupan. Merekalah Salaf al-Soleh yang layak memimpin ummah dan mewarisi akhirat.

 

Pengikut Muhammad SAW Dahulu Dan Kemudian

Selepas perjalanan kemanusiaan yang panjang, aku dapat melihat mereka yang ada di sekelilingku ada persamaan antara musuh Muhammad SAW pada zaman dahulu dan sekarang. Pada saat yang sama, aku dapati ada persamaan dari sudut jauhnya pengikut Muhammad SAW yang dahulu dengan yang sekarang.

Hebatnya zaman dahulu mereka sedikit bilangan lebih faqir tetapi dapat membina tamadun insani yang agung.

Sedihnya dan cukup hairan bilamana sekelompok di kalangan masyarakat yang ingin berbicara tentang Islam tetapi tidak mengetahui akan hakikat Islam yang sebenar. Bilamana mereka berbicara tentang dakwah, ia tidak dapat menyelesaikan dan menunjuk arah sama ada yang hamper atau yang jauh dari pedoman Islam yang sebenar. Isunya keperluan untuk menjelaskan hakikat ilmiah dan menjelaskan muqarrar Islam itu sahaja.

Kenapa salaf al-soleh berjaya sedangkan kita gagal? Jawapannya ialah masa depan yang gelap kecuali dengan izin Allah.

 

Permusuhan Ilmiyah Telah Luput Masanya

Perbahasan masih lagi tentang isu yang dibahaskan sejak berkurun yang diungkit kembali. Maka jadilah polemik yang tidak berkesudahan dan berpanjangan. Tambahan dengan hati yang dihinggapi oleh penyakit batin seperti hasad dengki, dendam kesumat, takabbur dan ta’asub sudah tentu menatijahkan hal yang tidak baik.

Sebaliknya kita amat perlu kepada thaqafah dan pengetahuan makrifah yang bersifat menghimpun bukan memecahkan, merahmati yang tersalah atau tersilap dan bukan bersifat menghukum. Aku tidak melihat ini memberi natijah yang baik kecuali hanya perdebatan yang mandul.

Begitu juga tafkir sibyani (pemikiran seperti kanak-kanak) adalah tidak sesuai sama sekali. Siapa yang menyangka bahawa Imam Ahmad mewakili fahaman salaf sedangkan Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam Syafi’i menyanggahinya bahkan menganggap mereka sebagai khalaf adalah tidak tepat.

Pernah berlaku sebagaimana dalam Tarikh Baghdad menyebut golongan Hanabilah mengusir golongan Syafi’i apabila mereka berqunut pada solat subuh. Aku yakin jika sekiranya Imam Ahmad sendiri wujud dan melihat keadaan mereka nescaya dia akan mengingkari perbuatan tersebut dan mencelanya.

Sekalipun jika sekiranya kita mengandaikan bahawa yang sebenar merupakan pendapat mazhab Hanbali dan Hanafi yang bahawa tiada qunut pada sembahyang Subuh. Maka siapa pula yang mengharamkan Imam Malik dan Imam Syafi’i untuk mendapatkan satu pahala ijtihad yang silap?

Jika sekiranya ada yang menyalahi kita pada pandangan tetap diberi pahala, maka kenapa kita mencela dan menyempitkan ke atasnya sehingga mencekiknya? Sebenarnya yang menjadi masalah kita menghendaki daripada cerdik pandai menyelesaikannya iaitu merawat sejumlah manusia yang hanya melihat kebenaran adalah hak mereka sahaja. Mereka juga melihat orang yang lain dengan pandangan merendah dan menghina!

Realitinya, penyakit jiwa dan hati bagi golongan yang taksub dalam perkara cabang telah menguasai perjalanan mereka dan mereka dengan nama agama telah bernafas dengan kehinaan yang tersembunyi. Ketika mana mereka sibuk berkecimpung dengan fatwa yang bersifat sebagai fatwa jazzar (penyembelih), maka kamu tidak akan lihatnya selama-lama kecuali terdapatnya yang dikorbankan.

 

Keperluan Kita Kepada Manhaj Yang Sampai

Bukan perlu kepada kritik fikiran dan jiwa yang menyeleweng, tetapi kita perlu manhaj yang sampai dan berhubung dengan zaman dahulukala atau risalah Rasululah SAW. Inilah yang menolong kita untuk mengekalkan risalah dan mengelakkan daripada cengkaman musuh kita.

Dalam medan antarabangsa, musuh kita telah berjaya untuk melipat bendera dan panji khilafah. Mereka dapat memutus dan memotongkan kesatuan umat Tauhid ini kepada perpecahan umat sehingga membawa kepada kehinaan. Maka mereka dicelup dengan thaqafah dan siyasah dengan warna-warna yang lain selain daripada sibghatullah atau celupan Allah.

Binalah hubungan rahmah dan kasih sayang sesama kita, bukalah ufuk minda dengan boleh menerima mazhab-mazhab fiqh yang ma’ruf. Tumpulah tenaga dan masa untuk menentang musuh. Yang menjadi masalah, kita tidak kenal musuh bahkan bertempur sesama sendiri. Perbahasan ilmiah jika perlu serahlah kepada ahlinya sahaja.

Musibah perpecahan amat bahaya dan merugikan kepada seluruh umat Islam. Betapa kita dilekakan dan dilalaikan dengan isu yang remeh dan basi untuk diperdebatkan dan diperbalahkan sesama sendiri. Maka jadilah hati dan jiwa, kering daripada kasih sayang dan timbullah qasawatul qalb,betapa kerasnya hati.

 

Tiada Sunnah Tanpa Fiqh

Udara fiqh, fatwa dan tarbiah ummah dan menerangi pemerintah memerlukan kesungguhan, kesepaduan dan fikiran yang mendalam. Melihat kepada sunnah tanpa fiqh ghalibnya membawa kesukaran kepada ummah. Justeru, dengan melihat kepada sunnah juga riwayat-riwayatnya dan pelaksanaan kepada kaedah-kaedah fiqh amat penting.

Pada saat yang sama, kita perlu kembali kepada al-Quran yang menjadi masdar utama dengan tafsirannya amat perlu. Ini kerana kelalaian dengan al-Quran dan kurang kefahaman tentang tafsirannya adalah penyakit jiwa yang parah dalam diri umat Islam.

Keluasan ilmu dan juga kefahaman yang dikurniakan oleh Al`lah A`dalah amat penting. Benarlah firman Allah SWT:

وَدَاوُودَ وَسُلَيْمَانَ إِذْ يَحْكُمَانِ فِي الْحَرْثِ إِذْ نَفَشَتْ فِيهِ غَنَمُ الْقَوْمِ وَكُنَّا لِحُكْمِهِمْ شَاهِدِينَ ﴿٧٨﴾ فَفَهَّمْنَاهَا سُلَيْمَانَ ۚ وَكُلًّا آتَيْنَا حُكْمًا وَعِلْمًا

Maksudnya: “Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Daud dengan Nabi Sulaiman, ketika mereka berdua menghukum mengenai tanaman-tanaman semasa ia dirosakkan oleh kambing kaumnya pada waktu malam; dan sememangnya Kamilah yang memerhati dan mengesahkan hukuman mereka. Maka Kami beri Nabi Sulaiman memahami hukum yang lebih tepat bagi masalah itu; dan masing-masing (dari mereka berdua) Kami berikan hikmat kebijaksanaan dan ilmu (yang banyak)”

(Surah al-Anbiya’: 78-79)

Lihatlah kepada Abdullah bin Abbas bagaimana beliau memahami surah al-Nasr yang lain daripada fahaman para sahabat di dalam majlis Saidina Umar dengan menyatakan bahawa: “aku berpendapat surah tersebut menandakan hampirnya ajal Nabi SAW.”

Inilah dia kebijaksanaan yang mengandungi hikmah dikurniakan Allah kepada siapa yang dikehendaki. Firman Allah SWT:

يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ

Maksudnya: “Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.”

(Surah al-Baqarah: 269)

Ibnu Kathir menyebut ucapan Imam Syafi’i – setiap apa yang dihukum oleh Rasulullah SAW, maka ia adalah apa yang dapat difahami daripada al-Quran.

Maka bagaimana mungkin boleh untuk memahami cabang-cabangnya dengan jahilnya usul (al-Quran)?

Syeikh al-Ghazali menutup dengan menyatakan yang membimbangkan kami pada masa depan umat ini bila aku melihat ramai yang sibuk mengkaji dengan hadis tetapi mereka kekurangan fiqh bahkan mereka mengambil peranan sebagai ashab fiqh kemudian ashab siyasah dengan bercita-cita mengubah mujtama’ dan negara mengikut apa yang mereka rasa dan sangka. Lebih ajaib daripada itu ialah pemikiran dini seperti ini yang lemah dan rendah sedangkan hakikatnya dia tidak mengetahui sedikit atau banyak berkenaan dengan perlembagaan hukum dan uslub syura.

 

Islam Bercahaya di Al-Quds

Apabila Islam memasuki kota Baitul Maqdis, kota tersebut dikuasai oleh Rom. Saidina Umar datang membukanya merentasi padang pasir yang jelas pada dahinya cahaya wahyu bergerak berjalan mengikut necara Tauhid.

Sejarah menyebut adalah tawaduknya itu meruntuhkan dua empayar besar: Rom dan Parsi. Berjalan dengan penuh tawaduk, takutkan Allah SWT. Beliau mengungkapkan: “Kita dimuliakan oleh Allah dengan Islam. Jika kita cari dengan yang lain selain daripada Islam, kita akan dihina.”

Saidina Umar tidak mencemuh dan menghina golongan Nasara bahkan memberi keamanan dan kebebasan dalam beribadat kepada mereka. Beliau mengasaskan kaedah negara yang baru dengan keadilan dan ketakwaan serta kasih sayang.[1]

 

Keadaan Kita Secara Umumnya

Dengan memerhati sejarah umat Islam yang panjang, maka jelaslah bahawa kita tidak mungkin dikalahkan musuh kecuali kita dilanda penyakit dalaman sesama ummah. Adanya hasad dengki, dendam kesumat. Perselisihan dalam fiqh cabang telah berlangsung sejak dahulu lagi seperti yang dikisahkan oleh Ibnu Aqil.

Sejarah seperti itu akan berulang kepada umat Islam. Antara yang menjadi masalah kita tidak dapat bezakan antara musuh dan rakan. Bahkan lebih menganggap musuh itu sebagai kawan sejati.

Dengan mundurnya umat Islam dalam memimpin hadharah dan tamadun, maka kita dapati umat kita menghadapi pelbagai dugaan dan tribulasi yang menyebabkan Islam kelihatan terkebelakang. Antara puncanya:

  • Rosaknya sistem siyasi atau dipanggil fasad al-siyasi yang menjadi penyakit sejak dahulu dalam tarikh kita.
  • Ketinggalan iqtisadi akhirnya kefakiran sentiasa menimpa umat dek kerana sikap seperti kemalasan dan pengangguran. Begitu juga dengan keengganan si kaya membayar zakat di samping terdapat jauhnya perbezaan dan jurang antara si kaya dengan si miskin.
  • Runtuhnya kemasyarakatan ini kerana wujudnya perangai jahiliyah dengan bersekongkol pada perkara yang haram. Akhirnya peranan ketua keluarga tidak lagi dimainkan dalam masyarakat Islam termasuk peranan wanita. Kanak-kanak tidak lagi mendapat kasih sayang dan rahmah di rumah.
  • Perpecahan sesama ummah sehingga tiada lagi semangat kesatuan dan menghayati nas Ilahi dan Hadyun Nabawi. Semua umat Islam dijuzuk-juzukkan dan dipisahkan sama ada dari segi siyasah, negara, mazhab, aliran pemikiran, dan isu-isu kecil sekalipun.
  • Wujudnya campur tangan ilmu bagi orang yang tidak berilmu. Syeikh Muhammad al-Ghazali menceritakan suatu hari aku masuk ke masjid Nabawi selepas azan maghrib dan aku duduk menanti solat yang mungkin akan diiqamahkan sebentar sahaja. Tiba-tiba dating seorang lelaki menegurku dengan cara sombong: “Kenapa kamu tak solat sunat?” Lantas aku menjawab: “Ia cuma dua rakaat bagi siapa yang mahu dan bukan wajib (aku maksudkan tahiyatul masjid).” Selepas itu diiqamahkan. Di sinilah pentingnya mereka mempunyai kesedaran dan kefahaman. Bayangkan ada orang yang bersungguh-sungguh menekuni ilmu agama yang sudah mencapai marhalah tua (syaikhukhah) tetapi masih mengarang kita-kitab berkaitan dengan perkara furu’ dan cabang yang sentiasa menggerakkan pergaduhan dan perlawanan atau perdebatan. Pada saat yang sama mereka tidak menulis satu huruf pun untuk menentang salibiyyah, zionis atau komunis.

 

Penutup

Sesungguhnya apa yang berlaku adalah permasalahan yang sukar untuk diselesaikan. Tambahan pula dengan perancangan ‘menidurkan ummah’ daripada sedar dan juga untuk bangun dan bangkit daripada kealpaan iaitu amat perlu untuk bangkit dan sedar daripada tidur yang panjang dengan mimpi-mimpi yang indah. Saat kita leka, musuh-musuh begitu lahap cuba meratah kita sehingga jadilah kita pada tahap lemah yang amat ketara. Dipandang hina dan tidak mempunyai sebarang kekuatan. Boleh jadi kita telah dihinggap dengan penyakit al-wahan. Benarlah hadis Nabi SAW:

Daripada Thawban R.A, Rasulullah SAW bersabda:

"يُوشِكُ الأُمَمُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ كَمَا تَدَاعَى الأَكَلَةُ إِلَى قَصْعَتِهَا‏‏"‏ فَقَالَ قَائِلٌ وَمِنْ قِلَّةٍ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ قَالَ ‏"بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ وَلَيَنْزِعَنَّ اللَّهُ مِنْ صُدُورِ عَدُوِّكُمُ الْمَهَابَةَ مِنْكُمْ وَلَيَقْذِفَنَّ اللَّهُ فِي قُلُوبِكُمُ الْوَهَنَ‏"‏‏ فَقَالَ قَائِلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا الْوَهَنُ قَالَ ‏"‏حُبُّ الدُّنْيَا وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ‏"‏

Maksudnya“Umat-umat lain akan mengelilingi kamu (iaitu musuh-musuh Islam akan menyerbu untuk membinasakan kamu) sepertimana mereka yang pelahap mengelilingi hidangan yang lazat.” Maka seseorang bertanya, adakah jumlah kita pada masa itu sedikit? Jawab Rasulullah SAW: “Tidak, bahkan jumlah kamu ramai, tetapi kamu seperti buih air bah yang banyak. Dan sesungguhnya Allah mencabut kehebatan kamu yang ada di dalam hati musuh-musuh kamu dan Allah mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit al-wahan. Lalu seseorang bertanya, apakah al-wahan itu, wahai Rasulullah? Jawab Rasulullah: “Terlalu kasihkan dunia dan takutkan mati.”

Riwayat Abu Daud (4297) Ahmad (4/111) Ibn Hajar al-Asqalani
 dalam Tahzib al-Tahzib (8/75) Ibn ‘Asakir dalam Tarikh Damshiq
 (23/330) Abu ‘Ashim dalam al-Zuhd (1/134) Abu Nu’aim al-Asbahani 
dalam Hilyah al-Auliya’ (1/182) al-Zahabi dalam Mizan al-I’tidal (2/295)

Kita amat perlu kepada kefahaman Islam yang sebenar, ilmu yang mantap, kesatuan yang ampuh dan jiwa yang bersih yang menghiasi akhlak yang unggul. Ketika itu Islam dan umatnya akan memimpin dunia dengan keadilan, ketakwaan, kasih sayang seperti yang telah dilakukan oleh generasi yang terdahulu.

Sesungguhnya membina kemahiran dan skill dalam menambah nilai sebuah kehidupan boleh bertukar bersama dengan benarnya niat kepada sebarang bentuk wasilah untuk mempertahankan kebenaran dan ketuanannya. Belajar solat yang menjadi rukun awal dalam Islam tidaklah perlu mengambil masa yang lama tetapi belajar untuk memandu kereta kebal atau kapal terbang atau kapal selam memerlukan masa yang lama. Itulah masalah apabila kita masih lagi berbincang tentang tahiyyatul masjid dan di mana letak kedua tangan ketika solat sehingga mengambil masa yang panjang sedangkan ia adalah qadiyyah juz’iyyah sahaja. Di sana terdapatnya mereka yang mendakwa sebagai ulama’ sedangkan pada hakikatnya mereka orang awam tida kena mengena kecuali menjerit dan bertempik dan melemahkan umat mereka. Mereka meninggalkan generasi-generasi selepas mereka yang tiada hebat pun di dunia dan tiada hebat pun di dalam agama. Itulah ungkapan yang penuh dengan makna oleh mufakkir umat ini, Syeikh Muhammad al-Ghazali. Semoga Allah merahmatinya.

Semoga kita dapat menghayati Islam yang syumul, meninggikan syiar Islam dan menjadi ‘agen perubahan’ ke arah kebaikan. Amin.

[1] Kami petik daripada buku Palestin Tak Pernah Gentar, hal. 45-46 antara lain menyebut berkenaan pendirian ulama’ berkenaan Masjid al-Aqsa dan al-Quds. Dalam hal tersebut, al-Azhar al-Syarif telah menjelaskan sikapnya yang diwakili oleh Majma’ al-Buhuth al-Islamiah pada Rabiul Awwal 1394 H bersamaan dengan April 1974 setelah “Kemenangan Ramadhan” tahun 1393 H/ Oktober 1973 dengan sebuah keputusan yang menarik perhatian al-Azhar terhadap tempat-tempat suci umat Nasrani dan menjelaskan sejarah tempat-tempat tersebut, termaktub dalam keputusan itu: “Gereja al-Qiyamah dibina kembali pada tahun 1810 dengan izin daripada Sultan Empayar Uthmani, setelah mengalami kerosakan yang diakibatkan oleh gempa bumi dan kebakaran, dan pada pertengahan kedua abad ke-19, King Bernard menziarahi Bandar al-Quds, dan mengatakan bahawa umat Islam dan kaum Nasrani di al-Quds hidup saling memahami sehingga suasana di Bandar tersebut tenteram dan damai”

 

Pada muktamar Majma’ al-Buhuth al-Islamiah ke-II yang diadakan pada bulan Rejab 1408 H bersamaan Mac 1988, al-Imam al-Akbar Syeikh Jadul Haq Ali Jadul Haq ketika menyampaikan ucapannya dalam muktamar tersebut menegaskan tentang kedudukan Masjid al-Aqsa. Beliau juga mengatakan bahawa memelihara Masjid al-Aqsa dan mempertahankannya merupakan suatu kewajipan agama sampai hari akhirat nanti.

 

“Muktamar ini juga mengimbau umat Islam di seluruh dunia untuk tidak melalaikan kewajipan agama mereka terhadap pembersihan Baitul Maqdis dan seluruh tempat-tempat suci umat Islam dan Nasrani daripada tangan Israel laknatullah serta memelihara rumah ibadat mereka dan mempertahannya sehingga dapat dikunjungi dengan bebas menurut penjanjian Umar dan Syariah Islam.”