Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-137: IKTIBAR UHUD: KEPENTINGAN PATUH KEPADA PEMIMPIN

Mukadimah

Alhamdulillah, suasana Syawal dengan perayaan Aidilfitri masih berlangsungan dengan rumah-rumah terbuka dari masyarakat Islam di Malaysia ini. Kemeriahan serta rasaan persahabatan dan ukhuwwah Islamiyyah dapat dipupuk sementelahan lagi dengan adanya ziarah-menziarahi yang membabitkan keluarga yang dijemput. Natijahnya, ini melahirkan perasaan kasih sayang, mahabbah dan mawaddah dapat dipupuk dan dibajai dalam masyarakat kita.

Melihat dan menekuni kepada catatan sejarah dengan membuka safhah demi safhah kepada sejarah Islam dan tarikhnya, kita akan menjumpai peperangan yang hebat dalam sejarah Islam berlaku pada bulan Syawal.

Justeru, amat perlu ketika mana kita meraikan perayaan Aidilfitri juga melihat kesan sejarah yang panjang berkaitan Peperangan Uhud ini untuk menjadi pengajaran dan pedoman hidup agar sentiasa kita beroleh kemenangan dan kejayaan. Bayan Linnas pada kali ini, kami tajukkan Iktibar Perang Uhud: Peri Pentingnya Kepatuhan kepada Pemimpin. Semoga Allah SWT kurniakan kepada kita kekuatan, taufiq dan hidayah dan pertautan ukhuwwah dalam membina negara dengan lebih cemerlang lagi gemilang.

 

Ringkasan Peperangan Uhud

Dengan memetik pendapat tokoh sirah Rasulullah SAW iaitu Syeikh Safiy al-Rahman al-Mubarakfuri berkata:

Perang Uhud berlaku pada hari Sabtu, 7 Syawal atau 11 Syawal tahun ketiga hijrah (26 Mac 625 M) antara tentera Islam dengan tentera kafir Quraisy. Perang Uhud adalah medan untuk orang Quraisy membalas dendam terhadap kekalahan mereka ketika Perang Badar. Dinamakan Perang Uhud kerana ia berlaku di sebuah tempat yang dikelilingi Bukit Uhud.

Pertempuran ini disertai 1,000 orang tentera Islam yang dipimpin oleh Nabi Muhammad SAW menuju ke Uhud tetapi hanya 700 orang sahaja yang berjaya sampai ke medan Uhud. Hal ini kerana di pertengahan jalan seramai 300 orang telah berpatah balik ke Madinah setelah dihasut oleh Abdullah bin Ubai iaitu ketua orang munafiq. Tentera kafir Quraisy seramai 3,000 orang diketuai oleh Abu Sufyan ibni Harb.[1]

 

Natijah Peperangan

Antara natijah yang dapat difahami dalam Peperangan Uhud ialah:

  • Bilangan tentera Islam yang terbunuh dalam peperangan ini kira-kira 70 orang manakala jumlah tentera Quraisy seramai 23 orang tetapi angka bilangan ini dipercayai kurang tepat.
  • Bapa saudara nabi, Saidina Hamzah bin Abdul Muttalib telah mati dibunuh oleh seorang hamba bernama Wahsyi. Wahsyi telah membaling lembing lalu terkena tulang rusuk Saidina Hamzah. Selepas peperangan, Hindun telah merentap hatinya lalu mengunyahnya kemudian diluahkannya.[2]
  • Rasulullah SAW berasa amat sedih dan memerintahkan agar semua yang mati syahid dikebumikan dengan pakaian yang mereka pakai ketika berperang.

 

Iktibar dari Peperangan Uhud

Antara pengajaran dan iktibar yang dapat kita pungut ialah:

  • Jauhi Sifat Tamak

Tamak kepada harta rampasan perang dan Iain-lain habuan kebendaan akan membawa kepada kegagalan seterusnya kekalahan. Ini berlaku dalam pertempuran Uhud, iaitu apabila para pemanah meninggalkan posisi mereka lantaran untuk merebut harta rampasan perang.

Situasi begini juga terjadi dalam pertempuran Hunain apabila orang Islam telah menang pada permulaannya. Sebahagian mereka merasa tamak kepada harta rampasan perang, lalu berhenti daripada mengejar musuh yang berundur. Akibatnya musuh kembali menyerang orang Islam dan mereka tewas. Jika bukan kerana sokongan Allah dan keteguhan Rasul SAW bersama tentera mukmin yang jujur di sekelilingnya untuk tetap bertahan, nescaya kekalahan tersebut tidak akan bertukar kepada kemenangan besar sebagaimana yang berlaku.

Demikian juga sikap tamak para pendakwah terhadap habuan dunia dan tindakan mereka menghimpun harta, rumah dan tanah. Sikap ini akan menjejaskan dakwah dan memberi kesan negatif kepada jiwa manusia. Ia menyebabkan orang ramai meragui kejujuran pendakwah terhadap apa yang diserunya. Ia juga akan mendorong manusia menuduhnya.

 

  • Kehebatan wanita dalam mempertahankan Islam

Dalam peperangan Uhud keteguhan Nasibah, Ummu ‘Amarah bersama suami dan anak-anaknya untuk terus tetap berdiri mengelilingi Rasulullah SAW ketika pertahanan tentera Islam bolos, menjadi salah satu bukti penglibatan besar wanita Islam dalam perjuangan dakwah Islam. Ia juga menjadi bukti terhadap keperluan kita pada hari ini kepada wanita Islam yang memikul bebanan dakwah kepada Allah. Wanita Islam berperanan untuk berdakwah kepada Allah di tengah kelompok pemudi, isteri dan ibu. Mereka juga berperanan mengasuh anak-anak untuk mencintai Allah dan Rasul-Nya, berpegang dengan Islam dan ajarannya, juga bekerja untuk kebaikan dan kemurnian masyarakat.

 

  • Ujian Kecederaan Rasulullah SAW

Dalam peperangan Uhud, Rasulullah SAW sendiri telah cedera. Ia boleh memberi peransang kepada para pendakwah agar bersabar menghadapi segala cabaran yang menimpa mereka di jalan Allah. Sama ada berbentuk kesakitan tubuh badan, sekatan kebebasan dengan dipenjara mahupun ditangkap ataupun dihukum mati mahupun dibunuh. Allah SWT telah berfirman dalam kitab-Nya yang mulia:

الم ﴿١﴾ أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ ﴿٢﴾ وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ ۖ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّـهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ

Maksudnya: “Alif, Laam, Miim. Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.”

(Surah al-Ankabut: 1-3)

 

  • Mengatur Strategi Asas Kemenangan

Kehebatan dan kepantasan Rasulullah SAW dalam mengatur strategi dan taktik dalam peperangan memberi gambaran jelas kepada kita semua bagaimana tugas nabi bukan hanya tertakluk kepada menyampaikan dakwah sahaja tetapi turut meliputi aspek pemerintahan malah peperangan dalam memastikan kalimah Allah terus berada di tempat yang tertinggi.

Inilah dia peranan sebenar ulama yang dikatakan pewaris nabi maka kerja mereka bukan sahaja pada tempat ibadat tetapi turut memainkan peranan penting dalam pentadbiran dan juga tunjuk ajar dalam urusan dunia sehingga wujudnya masyarakat yang bukan sahaja taat kepada Allah ketika beribadat khusus tetapi turut patuh dan tunduk pada hukum Allah dalam menjalankan kehidupan seharian.

Walaupun sedih dengan apa yang berlaku dalam peperangan Uhud ini tetapi Allah telah meniupkan semangat ke dalam sanubari umat Islam melalui ayat 104 Surah al-Nisa’:

وَلَا تَهِنُوا فِي ابْتِغَاءِ الْقَوْمِ ۖ إِن تَكُونُوا تَأْلَمُونَ فَإِنَّهُمْ يَأْلَمُونَ كَمَا تَأْلَمُونَ ۖ وَتَرْجُونَ مِنَ اللَّـهِ مَا لَا يَرْجُونَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu lemah (hilang semangat) dalam memburu musuh (yang menceroboh) itu; kerana kalau kamu menderita sakit (luka atau mati) maka sesungguhnya mereka pun menderita sakitnya seperti penderitaan kamu; sedang kamu mengharapkan dari Allah apa yang mereka tidak harapkan (iaitu balasan yang baik pada hari akhirat kelak)…”

(Surah al-Nisa’: 104)

 

  • Bersatu Teguh, Bercerai Roboh

Kesepakatan tunjang kekuatan umat manakala perpecahan dan perbalahan menatijahkan kerugian dan kerosakan. Perpecahan dan ketidaksepakatan yang berlaku ketika itu hanya dalam satu pasukan kecil sahaja daripada keseluruhan tentera Islam. Pasukan pemanah yang ditempatkan oleh Rasulullah SAW di atas bukit Uhud tersebut terdiri daripada hanya lebih kurang 50 orang, bilangan itu tidak sampai 10% daripada bilangan keseluruhan tentera Islam yang terdiri daripada lebih kurang 700 orang. Namun, kesan daripada perpecahan dan ketidaksepakatan tersebut amat besar sehingga mempengaruhi keseluruhan barisan tentera Islam ketika itu.

Sungguh, perpecahan dan perbalahan tidak akan menatijahkan apa-apa hasil melainkan kesan yang buruk dan merosakkan. Ketidaksepakatan hanya akan membuahkan kerugian dan kehilangan yang nyata.

  • Keberanian Rasulullah SAW

Posisi Baginda berada di barisan hadapan dalam setiap pertempuran dan penglibatan Baginda dalam kancah peperangan bersama tentera Islam (kecuali dalam peperangan yang dicadangkan oleh para sahabat Baginda untuk tidak berbuat demikian), menjadi dalil bahawa jawatan kepimpinan hanya disandang oleh seorang yang berani dan tetap teguh pendiriannya. Mereka yang pengecut dan lemah tidak layak memimpin rakyat, menerajui tentera, atau untuk mengepalai gerakan-gerakan pengislahan dan dakwah kebaikan. Keberanian pemimpin dan pendakwah yang dilihat menerusi tindak tanduk dan gerak kerja beliau akan menaikkan semangat dan motivasi tentera juga penyokongnya. Ia lebih ampuh berbanding 1,000 pidato bersemangat yang disampaikan di khalayak ramai. Menjadi kebiasaan tentera bawahan dan para penyokong untuk mengambil bekalan kekuatan daripada keutuhan panglima dan pemimpin mereka. Sekiranya semasa berlaku pertembungan pemimpin bersikap pengecut dan lemah di saat-saat genting, beliau akan merosakkan perjuangan. Sedangkan beliau yang mengangkat panji-panjinya. Sikap beliau tersebut benar-benar merosakkan perjuangan.

 

  • Patuh kepada Arahan Pemimpin

Tentera bawahan dan penyokong dakwah tidak boleh melanggar arahan pemimpin yang tegas lagi berpandangan jauh dalam sesuatu perkara yang diputuskan oleh beliau. Setelah mereka bertukar-tukar pendapat dan mengemukakan pandangan kepadanya, pemimpin yang memikul tanggungjawab paling besar seperti ini patut diberi kepercayaan. Sekiranya selepas perbincangan tersebut, beliau memutuskan sesuatu perkara, mereka mestilah mentaatinya.

 

  • Menghormati dan Mengasihi Pemimpin

Sikap waspada tentera bawahan terhadap keselamatan nyawa pemimpin mereka merupakan tindakan yang diputuskan oleh keinginan untuk mencapai kejayaan dalam pertempuran dan dakwah. Seseorang pemimpin perlu menerima keputusan itu kerana hidupnya bererti hidupnya dakwah. Kehilangan nyawanya pula bererti kekalahan dalam pertempuran.

 

Penutup

Banyak iktibar yang dapat diambil dalam Peperangan Uhud yang berlaku pada bulan Syawal ini. Antara yang penting perlu diingatkan dan diawasi iaitu bahayanya apabila melanggar arahan pemimpin yang tegas dan jauh pandangannya yang  pastinya akan membawa kepada kerugian dalam pertempuran. Ini terjadi dalam Peperangan Uhud. Jika para pemanah yang ditempatkan oleh Rasulullah SAW di belakang tentera Baginda tetap tidak berganjak dari tempat mereka sebagaimana yang diarahkan, nescaya tentera musyrik tidak dapat mengepung tentera Islam.Tentera musyrik juga tidak akan berjaya menukar kekalahan mereka pada permulaan pertempuran kepada kemenangan. Demikianlah kesan melanggar perintah pemimpin. Ia boleh melenyapkan peluang dan memberi kemenangan kepada musuh. Allah telah memberi amaran azab kepada orang-orang mukmin sekiranya mereka melanggar perintah Rasul mereka. Dia berfirman:

فَلْيَحْذَرِ الَّذِينَ يُخَالِفُونَ عَنْ أَمْرِهِ أَن تُصِيبَهُمْ فِتْنَةٌ أَوْ يُصِيبَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Maksudnya: “…Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya, beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

. (Surah al-Nur: 63)

Semoga dimensi Malaysia yang baharu dengan semangat yang kental untuk bersaing di persada antarabangsa sebagai negara yang berdaulat dapat direalisasikan. Harapan kami dan doa kami, Malaysia akan menjadi sebuah negara yang disifatkan sebagai Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur.

________________________________________________

[1] Lihat al-Rahiq al-Makhtum oleh Safiy al-Rahman al-Mubarakfuri, hlm. 254–288.

[2] Ibn Ishaq, hlm. 380—388.