Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-157 : SULH AL-HUDAIBIYAH : FIQH, PENGAJARAN DAN IKTIBAR

bayan 157 compressed

Muqaddimah

Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Sudah menjadi kewajipan umat untuk memahami dan mendalami sirah Nabi SAW yang penuh dengan pengajaran yang seharuskan di jadikan panduan oleh umat Islam keseluruhannya.

Maka, kami mengambil tanggungjawab untuk mengemukakan dan menjelaskan satu peristiwa yang penting di dalam sejarah islam iaitu peristiwa di Hudaibiyah yang berlaku pada tahun ke enam hijrah. Kami namakan Bayan Linnas pada kali ini dengan Sulh Hudaibiyyah : Fiqh, Iktibar dan Pengajaran.

Sebab Umrah Hudaibiyyah

Setelah berlaku perubahan di Semenanjung Tanah Arab yang banyak menguntungkan orang-orang Islam, maka mulalah kelihatan bibit-bibit pembukaan terbesar dan kejayaan dakwah Islam sedikit demi sedikit. Ianya dimulai dengan pengakuan terhadap hak orang Islam untuk menunaikan ibadat mereka di Masjidil Haram yang sebelum itu orang-orang Musyrikin menghalang mereka berbuat demikian sejak enam tahun lamanya.

Rasulullah SAW bermimpi semasa berada di Madinah. Dalam mimpinya Baginda melihat beliau dapat masuk bersama sahabat-sahabatnya ke Masjidil Haram dan mengambil kunci Ka’bah, lalu bertawaf dan berumrah. Sebahagian mereka mencukur rambut dan sebahagian lagi mengguntingnya. Mimpi itu diberitahunya kepada para sahabatnya. Alangkah gembiranya mereka mendapat khabar itu dan mereka pun mengira akan dapat masuk ke Mekah pada tahun itu. Baginda kemudiannya memberitahu para sahabatnya tentang cadangannya untuk menunaikan umrah, lalu bersiap-siaplah mereka untuk berangkat.

Perkara ini telah dirakamkan oleh Allah di dalam al-Quran. Firman Allah SWT :

لَّقَدْ صَدَقَ ٱللَّـهُ رَسُولَهُ ٱلرُّءْيَا بِٱلْحَقِّ ۖ لَتَدْخُلُنَّ ٱلْمَسْجِدَ ٱلْحَرَامَ إِن شَآءَ ٱللَّـهُ ءَامِنِينَ مُحَلِّقِينَ رُءُوسَكُمْ وَمُقَصِّرِينَ لَا تَخَافُونَ ۖ فَعَلِمَ مَا لَمْ تَعْلَمُوا۟ فَجَعَلَ مِن دُونِ ذَٰلِكَ فَتْحًا قَرِيبًا

Maksudnya :” Demi sesungguhnya! Allah tetap menyatakan benar RasulNya dalam perkara mimpi itu dengan kenyataan yang sebenar; iaitu sesungguhnya kamu tetap akan memasuki Masjid Al-Haraam - insya Allah (pada masa yang ditentukanNya) - dalam keadaan aman (menyempurnakan ibadat umrah kamu) dengan mencukur kepala kamu, dan kalau (tidak pun) menggunting sedikit rambutnya, serta kamu tidak merasa takut (akan pengkhianatan musuh sehingga kamu keluar balik dari situ). (Allah mengangguhkan berlakunya kenyataan itu) kerana Ia mengetahui (adanya feadah dalam penangguhan itu) yang kamu tidak mengetahuinya; maka Ia menyediakan sebelum (terlaksananya mimpi) itu, satu kemenangan yang dekat (masa berlakunnya).

(Surah al-Fath : 27)

Kata Sheikh Ali al-Sobuni ketika menafsirkan berkenaan ayat ini,beliau menyebut :

“Allah SWT mahu memberitahu di dalam ayat ini bahawa mimpi Nabi adalah mimpi yang benar. Baginda tidak menipu terhadap apa yang Baginda . Akan tetapi mimpi tersebut tidak berlaku pada tahun ke enam hijrah akan tetapi berlaku pada tahun selepas itu.”

Rujuk Sofwah al-Tafasir (2/452)

Ini bermakna bahawa suasana yang diperlihatkan kepada Nabi di dalam mimpi Baginda adalah satu persediaan dan juga khabar gembira kepada umat Islam. Juga memberikan satu isyarat bahawa umat Islam akan menunaikan ibadat tanpa diganggu oleh sesiapa pun.

Ajakan Untuk Orang Islam

Baginda mengajak orang-orang Arab serta Badwi di sekitarnya untuk keluar bersamanya. Tetapi ramai juga orang-orang Arab yang terlewat. Baginda membersihkan pakaiannya dan menunggang untanya yang bernama al-Qaswa’. Baginda melantik Ibn Ummi Maktum untuk memangkunya di Madinah atau Numaylah al-Laythi. Ini berdasarkan riwayat sirah yang disebutkan oleh Ibnu Hisyam di kitabnya. (Rujuk al-Sirah al-Nabawiyah Li Ibni Hisyam,3/255)

Baginda keluar dari Madinah pada hari Isnin tanggal 1 Zulkaedah tahun 6 Hijrah. Tujuan Baginda keluar bukan untuk berperang akan tetapi hanya untuk menunaikan umrah sepertimana yang disebutkan oleh al-Tabari di dalam kitabnya al-Tarikh. Kata beliau : Ibnu Humaid menceritakan kepada kami.Beliau berkata :Salamah menceritakan kepada kami. Beliau berkata : Muhammad Bin Ishak menceritakan kepada aku daripada Muhammad Bin Muslim al-Zuhri daripada Urwah Bin Zubair daripada al-Miswar Bin Makhramah dan Marwan Bin al-Hakam. Kedua-duanya menceritakan kepada Urwah Bin Zubair :

خَرَجَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عليه و سلم عَامَ الحُدَيبِيَّة يُريدُ زِيَارة البيتِ لا يريد قِتَالاً وسَاقَ معه سبعين بُدنَة وكان الناسُ سبعمائةَ رجلٍ كانت كل بُدنَةٍ عن عَشْرَةِ نَفَرٍ

Maksudnya :”Rasulullah SAW keluar pada tahun berlakunya perjanjian Hudaibiyyah. Baginda ingin melakukan ziarah ke Baitullah. Baginda bukan mahu berperang. Baginda membawa ada 70 ekor unta dan ada 700 orang lelaki bersama Baginda. Setiap satu ekor unta untuk 10 orang.”

Rujuk Tarikh al-Tobari (2/115)

Di dalam riwayat lain, al-Tobari menyebut dengan sanadnya :

Ibnu Humaid menceritakan kepada kami. Beliau berkata : Salamah menceritakan kepada kami daripada Ibnu Ishak. Beliau berkata :

خرج النبي صلى الله عليه و سلم معتمرا في ذي القعدة لا يريد حربا وقد استنفر العرب ومن حوله من أهل البوادي من الأعراب أن يخرجوا معه وهو يخشى من قريش الذي صنعوا به أن يعرضوا له بحرب أو يصدوه عن البيت فأبطأ عليه كثير من الأعراب وخرج رسول الله صلى الله عليه وسلم ومن معه من المهاجرين والأنصار ومن لحق به من العرب وساق معه الهدي وأحرم بالعمرة ليأمن الناس من حربه وليعلم الناس أنه إنما جاء زائرا لهذا البيت معظما له

Maksudnya :”Nabi SAW keluar untuk menunaikan umrah pada Zulkaedah. Baginda tidak mahu untuk berperang. Orang arab dan yang berada di sekitar mengelak dari keluar bersama Baginda kerana takut kepada kaum Quraisy yang nanti akan memerangi mereka atau mereka akan menghalau mereka keluar. Maka kebanyakan dari orang badwi berlengah-lengah. Dan yang keluar bersama Baginda adalah dari kalangan orang Muhajirin, Ansar dan orang-orang arab yang lain. Baginda membawa bersama Baginda binatang korban dan memakai ihram untuk menunaikan umrah. Baginda melakukan demikian supaya orang ramai berasa aman dan tidak memeranginya dan juga untuk memberitahu orang ramai bahawa Baginda datang untuk menziarahi (menunaikan umrah) Baitullah sebagai tanda mengagungkan Baitullah.”

Rujuk Tarikh al-Tobari (2/620), al-Sirah al-Nabawiyah Ibnu Ishak (hlm 454)

Perbuatan Nabi SAW yang memakai ihram kemudian membawa binatang korban menunjukkan bahawa Nabi ingin pergi menunaikan umrah dalam keadaan yang aman tanpa ada pertumpahan darah dan permusuhan. Sedangkan pada ketika itu, orang musrikin quraisy yang ada di Mekah sangat memusuhi orang islam.

Sheikh Muhammad al-Ghazali pernah mengulas tentang perkara ini dalam karyanya. Kata beliau :

“Perbuatan Nabi SAW dan para sahabatnya yang memakai ihram dalam keadaan yang sama mereka mahu sangat masuk ke Mekah menunjukkan bahawa adanya cinta yang mendalam terhadap keamanan, juga ingin melupakan permusuhan yang berlaku dan juga ingin membina hubungan yang lebih tenteram dan aman.”

Rujuk Fiqh al-Sirah (hlm 348)

Di dalam riwayat yang lain ada juga disebutkan jumlah orang yang keluar bersama Rasulullah untuk menunaikan umrah. Ada riwayat yang mengatakan 1400 orang. Ada juga riwayat yang mengatakan 1500. Imam al-Tabari di dalam kitabnya al-Tarikh menukilkan beberapa riwayat tentang jumlah mereka yang keluar bersama Nabi pada ketika itu. Kata Imam al-Tabari :

  • Yusuf Bin Musa al-Qattan menceritakan kepada kami.Beliau berkata : Hisyam Bin Abdul Malik dan Sa’id Bin Syurahbil al-Misri menceritakan. Kedua-duanya berkata: Laith Bin Sa’ad al-Misri. Beliau berkata : Abu Zubair menceritakan kepada kami daripada beliau berkata : Kami pada hari peristiwa Hudaibiyyah adalah sebanyak 1400 orang.( Rujuk Tarikh al-Tabari,2/621)
  • Muhammad Bin Sa’ad menceritakan kepada aku.Beliau berkata : Ayahku menceritakan kepada aku. Beliau berkata : Pak cikku menceritakan kepada aku. Beliau berkata : Ayahku menceritakan kepada aku daripada ayahku daripada Ibnu Abbas. Kata beliau : Orang yang terlibat dalam perjanjian Hudaibiyyah yang diadakan bawah pokok adalah seramai 1525 orang.(Rujuk Tarikh al-Tabari, 2/621)
  • Ibnu Muthanna menceritakan kepada kami. Beliau berkata : Abu Daud menceritakan kepada kami. Beliau berkata : Syu’bah menceritakan kepada kami daripada Amru Bin Murrah. Beliau berkata : Aku mendengar Abdullah Bin Abi Aufa berkata : Jumlah kami pada hari perjanjian Hudaibiyah adalah seramai 1300..(Rujuk Tarikh al-Tabari,2/621)

Berdasarkan riwayat-riwayat ini, secara ringkasnya boleh kita katakan bahawa jumlah yang menyertai Nabi untuk keluar dengan niat untuk menunaikan umrah pada tahun tersebut adalah seramai 1000 orang lebih. Dalam keadaan permusuhan antara umat Islam dan kaum Musyrikin masih memuncak, para sahabat tetap sahaja bersama-sama dengan Nabi dalam ekspidisi menuju ke Mekah.Bukan untuk berperang akan tetapi ingin menunaikan umrah.

Sheikh Munir al-Ghadban memberikan satu gambaran dan penjelasan yang menarik berkenaan kekuatan rohani dan kesanggupan para sahabat bersama-sama dengan Nabi ketika itu. Beliau menyebut :

Sahutan orang Muhajirin dan Ansar keluar bersama Nabi SAW adalah satu bukti yang jelas akan ketaatan, iltizam dan semangat orang Islam. Kurang dari setahun selepas peperangan ahzab. Jumlah ini jugalah yang berjuang bersama. Orang Islam tidak akan melupakan jumlah tentera Ahzab yang memerangi mereka adalah seramai 10,000. Bagaimana dengan jumlah umat islam yang hanya sebegitu ramai sanggup menuju ke mekah. Ini tidak tidak bukan adalah kerana kekuatan iman sehingga mendorong mereka untuk menyahut seruan Nabi SAW.”

Rujuk al-Minhaj al-Haraki Lil Sirah al-Nabawiyah(hlm 16)

Bergeraklah Baginda menuju ke Mekah. Apabila sampai di Dzul Hulayfah, baginda memasang gelang dan penanda pada binatang-binatang korban, seraya berihram untuk umrah. Tujuannya adalah supaya manusia tidak memeranginya.

Di dalam satu riwayat, Umar menyatakan kerisauannya kepada Rasulullah kerana mereka pergi tanpa ada persediaan dari sudut pertahanan takut-takut orang musyrikin akan memerangi mereka. Kata Umar :

يَا رَسُولُ الله تَدْخُلُ عَلَى قَومٍ هُمْ لَكَ حَربٌ بغير سِلاَحٍ وَلاَ كُراعٍ

Maksudnya :” Wahai Rasulullah, adakah engkau ingin masuk kepada satu kaum yang mana mereka ingin memerangi engkau dalam keadaan tidak ada senjata dan tiada kuda.”

Rujuk Tarikh al-Tabari(2/622)

Baginda mengutuskan di hadapannya seorang perisik dari Bani Khuza’ah yang melaporkan tentang Quraish. Apabila baginda menghampiri ‘Usfan[1], datanglah perisiknya yang bernama Bisyr Bin Sufian al-Ka’bi seraya berkata: “Semasa saya datang tadi Ka’ab bin Lu’ay telah mengumpulkan angkatan Ahabish (yang bersekutu di Bukit Habash) dengan perkumpulan yang ramai untuk memerangi kamu dan menghalang kamu daripada sampai ke Baitullah.” (Rujuk Sirah al-Nabawiyah Li Ibn Ishak,hlm 455)

Perbuatan Rasulullah ini menunjukkan bijaknya Baginda.Baginda SAW mengupah Bisyr untuk menjadi mata-mata supaya apa sahaja berita di Mekah boleh disampaikan kepada Baginda. Ini adalah sisi pandang Nabi SAW untuk mengelakkan pertempuran dan peperangan.Inilah yang dinyatakan oleh Sheikh Sa’id Bin Ramadhan al-Buthi. (Rujuk Fiqh al-Sirah,hlm 237)

Baginda mengubah Arah Jalan Dan Usaha Mengelak Pertempuran Berdarah

Oleh kerana tujuan Rasulullah SAW adalah bukan untuk perang, maka Baginda memilih jalan yang agak sukar di antara lorong-lorong di bukit. Baginda membawa mereka mengikut sebelah kanan di antara laluan al-Hims iaitu jalan yang menuju ke Thaniyyah al-Mirar yang menurun ke Hudaybiyah dari bahagian bawah Mekah. Baginda meninggalkan jalan utama yang menuju ke Tanah Haram melalui Tana’im. Dibiarkannya jalan itu berada di sebelah kiri. Apabila Khalid melihat tentera Islam menukar laluan, dia pun segera beredar untuk memberi amaran kepada orang-orang Quraish. (Rujuk al-Sirah al-Nabawiyah Li Ibni Ishak,hlm 455)

Sekali lagi, ini menyerlahkan kebijaksanaan Nabi SAW melalui strategi siasah yang diguna pakai oleh Baginda. Sheikh Munir al-Ghadban menyebut :

“Ini adalah kali pertama seakan-akan Rasulullah SAW ingin menghebahkan keinginan Nabi untuk tidak berperang dengan orang musyrikin Quraisy di samping mengajak mereka untuk berdamai. Ini dapat dilihat melalui strategi Nabi SAW.”

Rujuk al-Manhaj al-Haraki Fi al-Sirah al-Nabawiyah (hlm 16-17)

Rasulullah SAW meneruskan perjalanannya sehingga apabila sampai ke Thaniyyah al-Mirar, untanya tiba-tiba menderum tidak mahu berjalan. Lalu orang ramai pun berkata: Hal, hal (arahan untuk unta yang enggan bergerak), tetapi unta itu tetap enggan bergerak. Mereka pun berkata: “Al-Qaswa enggan berjalan, al-Qaswa enggan berjalan”. Nabi SAW bersabda: “Bukannya al-Qaswa’ sengaja enggan berjalan, itu bukan perangainya, tetapi ia tertahan sebagaimana tertahannya gajah yang menyerang Ka’bah”. Kemudian baginda berkata: “Demi diriku yang berada dalam kekuasaan-Nya, kalau mereka meminta kepadaku satu rancangan demi untuk membesarkan Tanah Haram ini nescaya aku sanggup menunaikannya”. Kemudian baginda mengerah al-Qaswa’ sehingga ia bangun. Kemudian baginda menukar arah perjalanan sehingga sampai di hujung al-Hudaybiyyah dekat sebuah genangan air yang sedikit lalu mereka pun berebut-rebut mendapatkan air tersebut. Sebentar sahaja air itu sudah kering. Maka mereka mengadu kepada Rasulullah SAW kehausan. Beginda mencabut sebilah anak panah dari sarungnya kemudian menyuruh mereka meletakkan anak panah itu ke tempat genangan air tadi. Demi Allah, air itu sentiasa mencukupi bagi mereka membasahkan tekak sehingga puas.

Rujuk al-Tarikh al-Tobari (2/624),al-Sirah al-Nabawiyah Li Ibni Ishak(hlm 455-456)

Di sini ada perkara tersirat yang boleh untuk diambil sebagai satu pengajaran. Iaitu keadaan unta yang enggan untuk bergerak adalah merupakan satu perancangan dan wahyu dari Allah SWT. Oleh kerana itu Nabi SAW menetapkan bahawa selagi mana boleh berdamai maka perlu berdamai tanpa ada apa-apa peperangan.(Rujuk Fiqh al-Sirah, hlm 516)

Sheikh Muhammad al-Ghazali menjelaskan :

“Orang Islam pada ketika itu menunggu sepertimana yang diperintahkan dengan harapan esoknya akan dibukakan pintu Mekah maka mereka boleh bertawaf dan melakukan sai’i. Kemudian kembali ke Madinah dalam keadaan beruntung. Mereka thiqah dengan tujuan mereka. Bagaimana mereka mahu syak sedangkan mereka mendengar sendiri pengkhabaran dari mimpi Rasulullah SAW yang mana mereka akan masuk ke dalam Masjdil Haram dalam keadaan tenteram dan dalam keadaan kepala mereka telah bercukur.

Adapun orang musyrikin Quraisy mereka dalam keadaan takut dan gementar. Mereka mahu menghalang dan menjauhkan orang Islam dari memasuki Mekah walau apa pun caranya. Ini kerana mereka melihat dari sudut yang sempit dan kecil.”

Rujuk Fiqh al-Sirah (hlm 249-250)

Budayl Menjadi Orang Tengah Antara Rasulullah SAW dan Quraish

Setelah Rasulullah SAW merasa tenang, datanglah Budayl bin Waraqa’ al-Khuza’iy dengan sekumpulan orang Khuza’ah. Bani Khuza’ah yang mendiami Tihamah adalah golongan yang biasa memberi nasihat kepada Rasulullah. Budayl berkata: “Tadi aku tinggalkan Ka’ab bin Lu’ay telah sampai ke beberapa mata air Hudaybiyyah membawa bersama mereka unta yang mempunyai susu dan unta-unta yang membawa anak-anaknya (untuk menunjukkan mereka benar-benar membawa kelengkapan yang diperlukan termasuk keperluan makanan untuk tujuan peperangan ini). Tujuan mereka adalah untuk memerangi dan menghalang kamu dari Baitullah. Rasulullah SAW menjawab: “Kami datang bukannya hendak berperang, tetapi untuk melakukan umrah. Orang Quraish itu telah teruk dan susah oleh peperangan. Kalau mereka sanggup aku rela memberikan tempoh tertentu kepada mereka dan mereka hendaklah biarkan urusanku dengan orang lain. Dan kalau mereka mahu, mereka boleh lakukan sebagaimana yang dilakukan oleh orang lain, kalau tidak bererti mereka hendak menunjukkan kekuatan. Kalau hanya perang yang mereka inginkan, maka demi diriku yang berada dalam kekuasaan-Nya, akanku perangi mereka demi urusanku ini sekalipun aku terkorban bersendirian atau sampai Allah melaksanakan ketetapan-Nya”.

Budayl berkata: “Akan aku sampaikan apa yang kamu katakan itu”. Kemudian dia pergi kepada orang Quraish itu lalu berkata: “ Aku datang kepadamu dari bertemu lelaki ini, dan aku telah mendengar kata-katanya. Kalau kamu mahu, aku ceritakan kepadamu”. Tetapi orang-orang bodoh Quraish berkata: ‘Kami tak perlu mendengar ceritamu tentangnya sedikitpun”. Sementara orang yang berfikiran dalam kalangan mereka berkata: “Ceritakan apa yang kamu dengar”. Katanya: “Aku mendengar dia menyebutkan begini dan begini”. Kemudian orang Quraish mengutuskan Mikraz bin Hafs. Tatkala Rasulullah SAW melihat Mikraz, baginda berkata: “Ini orang yang suka berkhianat”. Setelah Mikraz sampai kepadanya dan bercakap dengannya, baginda menyampaikan sama seperti yang disampaikannya kepada Budayl dan teman-temannya. Kemudian dia kembali kepada orang Quraish dan memberitahu mereka

Rujuk Tarikh al-Tobari (2/625-626), al-Sirah al-Nabawiyah Li Ibni Ishak (hlm 457)

Kisah ini Imam al-Tobari menukilkannya dengan sanad beliau sendiri. Kata beliau: Muhammad Bin Abdul A’ala al-Son’ani menceritakan kepada kami. Muhammad Bin Thaur menceritakan kepada kami daripada Ma’mar daripada al-Zuhri daripada ‘Urwah daripada al-Miswar Bin Makhramah.

Al-Tobari menyebut lagi bahawa kisah ini beliau riwayatkan daripada Abdullah Bin Mubarak daripada Ma’mar daripada al-Zuhri daripada ‘Urwah daripada al-Miswar Bin Makhramah dan Marwan dan al-Hakam.

Menariknya Sheikh Munir al-Ghadban sekali lagi mengkehadapankan satu sisi pandang yang menarik. Beliau menyatakan ketika mana Nabi SAW menyebut “Kalau hanya perang yang mereka inginkan, maka demi diriku yang berada dalam kekuasaan-Nya, akanku perangi mereka demi urusanku ini sekalipun aku terkorban bersendirian atau sampai Allah melaksanakan ketetapan-Nya”. Ini menunjukkan adalah satu marhalah yang baru. Ya, memang betul orang islam menuju ke Mekah untuk menunaikan umrah. Perjalanan mereka penuh dengan bahaya akan tetapi bukan bermakna tiada persediaan. Nabi sebenarnya telah menyatakan persediaan untuk berhadapan dengan musyrikin Quraisy melalui dua ucapan :

  1. Ketika mana Baginda dikhabarkan bahawa musyrikin Quraisy ingin berperang lalu Baginda menyebut : “Kami hanya ingin menziarahi Baitullah jika mereka menghalang maka kami akan berperang.”
  2. Ketika mana Baginda mengutuskan pesanan melalui Badyl Waraqa’, Baginda menyatakan : “Kalau hanya perang yang mereka inginkan, maka demi diriku yang berada dalam kekuasaan-Nya, akanku perangi mereka demi urusanku ini sekalipun aku terkorban bersendirian atau sampai Allah melaksanakan ketetapan-Nya”.

Rujuk Fiqh al-Sirah al-Nabawiyah (hlm 515)

Dari sudut yang lain, ini menunjukkan sikap ketegasan Nabi SAW jika ianya berkaitan dengan perkara agama.

Utusan-Utusan Quraish

Musyrikin Quraisy mengutuskan beberapa orang antaranya :

  1. Budayl Bin Waraqa’
  2. Urwah Bin Mas’ud
  3. Al-Hulais Bin ‘Alqamah
  4. Mikraz Bin Hafs

Kesemua mereka pada asalnya diutuskan untuk menakut-nakutkan orang islam, akan tetapi Nabi SAW menyatakan secara jelas kedatangan mereka sehingga utusan-utusan tersebut menyampaikan hasrat kepada pembesar-pembesar yang ada di Mekah.

Ini secara tidak langsung menunjukkan kebijaksanaan Nabi SAW sebagai seorang pemimpin di dalam berdialog sehingga mampu mempengaruhi utusan-utusan tersebut.

Kebijaksanaan Nabi ini seharusnya dipelajari dan diteliti oleh setiap pemimpin Islam bagaimana berinteraksi dengan musuh dan memahami diri musuh sehingga mampu mempengaruhi pemikiran dan sanubari mereka.

Rujuk al-Manhaj al-Haraki Fi al-Sirah al-Nabawiyah (hlm 19-20)

Tersebarnya Berita Pembunuhan Uthman

Orang Quraish menahan Uthman di sisi mereka- mungkin kerana mereka hendak berbincang sesama mereka terlebih dahulu menangani situasi yang terdesak ini dan mendapatkan keputusan yang pasti, setelah itu barulah mereka sampaikan jawapannya kepada Uthman. Uthman tertahan di Mekah agak lama, sehingga tersebar berita dalam kalangan orang-orang Islam bahawa Uthman telah dibunuh. Apabila berita yang tersebar itu sampai ke pendengaran baginda, lantas Rasulullah SAW berkata: “Kita tidak akan tinggalkan tempat ini melainkan setelah kita menentang kaum itu”. Kemudian Baginda memanggil para sahabatnya untuk berbai’ah, lalu berebut-rebut mereka datang kepadanya untuk menyatakan bai’ah bahawa mereka tidak akan melarikan diri. Ada satu kumpulan yang berbai’ah untuk sanggup mati. Orang pertama yang berbai’ah ialah Abu Sinan al-Asadi. Salamah bin al-Akwa’ berbai’ah untuk sanggup mati sebanyak tiga kali, iaitu semasa permulaan, di tengah-tengah dan di akhir manusia bergilir-gilir untuk berbai’ah. Rasulullah SAW memegang tangannya sendiri sambil berkata: “Ini adalah bai’ah untuk Uthman”. Setelah semuanya selesai berbai’ah, tiba-tiba Uthman pun sampai, lalu dia pun turut sama berbai’ah. Tidak seorang pun yang ketinggalan daripada melakukan bai’ah melainkan seorang munafik yang bernama Jadd bin Qays. (Rujuk al-Sirah al-Nabawiyah Li Ibni Ishak, hlm 460 ;Tarikh al-Tabari, 2/632)

Rasulullah SAW mengambil bai’ah ini di bawah sepohon pokok. Umar memagang tangan baginda, sementara Ma’qil bin Yasar memegang sebatang dahan pokok sambil mengangkatnya sebagai tanda bai’ah kepada Rasulullah SAW. Bai’ah ini dikenali sebagai Bai’ah al-Ridwan yang disebutkan oleh Allah dalam firman-Nya:

لَّقَدْ رَضِيَ اللَّـهُ عَنِ الْمُؤْمِنِينَ إِذْ يُبَايِعُونَكَ تَحْتَ الشَّجَرَةِ فَعَلِمَ مَا فِي قُلُوبِهِمْ فَأَنزَلَ السَّكِينَةَ عَلَيْهِمْ وَأَثَابَهُمْ فَتْحًا قَرِيبًا

Maksudnya: “Demi sesungguhnya! Allah redha akan orang-orang yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaybiyah); maka (dengan itu) ternyata apa yang sedia diketahui-Nya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu ia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka, dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya.”

(Surah al-Fath: 18)

Kata Sheikh Amin al-Syanqiti ketika menafsirkan ayat ini :

“Ketika mana Allah menyatakan kesempurnaan iman mereka yang terlibat di dalam baiah ridhwan dan menjelaskan keikhlasan mereka, Allah secara jelas menyatakan bahawa mereka tidak mampu berbuat demikian melainkan apa yang telah Allah berikan. Ini merupakan bukti dan kesan dari kekuatan iman dan keikhlasan yang tinggi dari diri para sahabat.”

Rujuk Adwa’ al-Bayan (3/139)

Antara yang terawl berbaiah adalah seorang lelaki daripada Bani Asad. Nama beliau ialah Abu Sinan Bin Wahb. Ini berdasarkan riwayat yang dinukilkan oleh Imam al-Tobari di dalam kitab tarikhnya. Kata beliau :

Al-Humaid Bin Bayan menceritakan kepada kami.Muhammad Bin Yazid mengkhabarkan kepada kami daripada Ismail Bin Abi Khalid daripada ‘Amir beliau berkata :”Di antara yang paling awal berbaiah adalah seorang lelaki daripada Bani Asad. Beliau digelar Abu Sinan Bin Wahb.” (Rujuk Tarikh al-Tobari, 2/632)

Sheikh Munir al-Ghadban ketika mengulas berkenaan dengan baiah ridhwa. Beliau mengatakan bahawa peristiwa ini menunjukkan bahawa Nabi SAW sanggup berkorban hanya kerana sampai berita tentang seorang dari sahabatnya dibunuh. Yang lebih ajaib, setiap yang ada itu beriltizam dan sentiasa bersama. Mereka keluar dari Madinah hanya untuk menunaikan umrah. Akan tetapi apabila Rasulullah mengajak mereka untuk saling berbaiah maut dan tidak akan lari,tiada seorang pun yang berpaling atau mempersoalkan.

Jika ia berlaku kepada kita hari ini, pastinya kita akan mempersoalkan ketua kita yang menjerumuskan kita ke dalam peperangan. Sedangkan kita datang bukan untuk berperang tapi untuk menunaikan umrah. Pasti nanti akan ada yang meminta keuzuran. Bermula dari seorang kemudian dua orang dan seterusnya. Berbeza dengan para sahabat yang jumlah pada ketika baiah itu seramai 1400 orang. Tidak ada yang berpaling kecuali seorang munafik. Tidak hairan jika mereka ini digelar sebaik-baik penduduk bumi.

Rujuk Fiqh al-Sirah al-Nabawiyyah (hlm 518)

Termeterainya Perjanjian Dan Butir-Butirnya

Orang Quraish sudah menyedari akan keadaan yang semakin genting. Lantaran itu, mereka segera mengutuskan Suhayl bin ‘Amru untuk mengadakan perjanjian. Mereka berpesan dengan tegas kepada Suhayl supaya isi kandungan perjanjian itu hendaklah meletakkan syarat bahawa baginda mesti pulang dahulu pada tahun itu agar orang-orang Arab tidak bercakap sesama mereka bahawa baginda berjaya masuk kepada mereka dengan kekerasan. Kemudian datanglah Suhayl bin ‘Amru. Dari jauh, apabila baginda melihat kedatangannya, baginda berkata: “Urusan kamu sudah menjadi mudah, mereka itu hendak berdamai tatkala mengutuskan lelaki ini”. Lalu Suhayl sampai dan bercakap panjang lebar.(Rujuk Sirah al-Nabawiyyah Li Ibni Ishak, hlm 461) Kemudiannya, kedua belah pihak bersetuju terhadap beberapa syarat perdamaian seperti berikut:

  1. Rasulullah hendaklah pulang pada tahun itu dan tidak boleh masuk ke Mekah. Pada tahun hadapan, orang-orang Islam boleh masuk ke Mekah dan menetap di situ selama tiga hari. Mereka hanya boleh membawa senjata orang berperjalanan sahaja iaitu pedang yang disarungkan, sementara pihak Quraish tidak boleh menghalang mereka dengan apa jua cara sekalipun.

 

  1. Siapa yang suka masuk ke dalam perlindungan dan jaminan Muhammad, maka ia boleh berbuat demikian. Dan siapa yang mahu masuk dalam perlindungan Quraish dan jaminannya, maka ia boleh berbuat demikian. Mana-mana kabilah yang bergabung dengan salah satu pihak ini akan dianggap sebahagian daripada pihak tersebut. Oleh itu, sebarang persengketaan yang ditimbulkan oleh mana-mana kabilah ini dianggap persengketaan terhadap pihak tersebut.

 

  1. Orang Quraish yang datang kepada Muhammad tanpa kebenaran walinya- iaitu melarikan diri kepada Muhammad- hendaklah dikembalikan kepada mereka. Orang yang bersama Muhammad jika datang kepada Quraish- iaitu melarikan diri daripada Muhammad- tidak akan dikembalikan.

 

  1. Genjatan senjata dilaksanakan antara dua pihak selama 10 tahun. Dalam tempoh itu, manusia berada dalam keadaan aman dan hendaklah sebahagian mereka menghalang sebahagian yang lain daripada menimbulkan kekacauan.

Kemudian baginda memanggil Ali untuk menulis perjanjian itu. Ali pun menulis di bahagian atas perjanjian dengan kalimat “Bismillahirrahmanirrahim”. Lantas Suhayl berkata: “Demi Allah, kami tidak faham apa yang dimaksudkan dengan “al-Rahman”? Tuliskan sahaja: “Bismikallahumma”. Nabi pun menyuruh Ali menulis seperti yang dipinta. Kemudian Ali menulis: “Inilah perjanjian yang dibuat oleh Muhammad Rasulullah”, lantas Suhayl berkata: “Kalau kami yakin bahawa kamu adalah Rasulullah, tentulah kami tidak menghalang kamu datang ke Baitullah dan kami tidak memerangi kamu. Tulislah Muhammad bin Abdullah.” Nabi berkata: “Bagaimanapun kamu mendustai, namun aku tetap Rasulullah.” Kemudian baginda menyuruh Ali menulis Muhammad bin Abdullah dan memadam perkataan Rasulullah. Tetapi Ali enggan memadam perkataan itu, lantas Nabi Muhammad SAW sendiri yang memadam dengan tangannya. Setelah itu, ditulislah butir-butirnya sehingga selesai penulisan perjanjian itu. Setelah perjanjian itu selesai, Bani Khuza’ah bersetuju untuk berada di bawah jaminan dan perlindungan Rasulullah kerana mereka adalah sekutu Bani Hashim sejak zaman ‘Abd Muttalib. Justeru, masuknya mereka ke dalam perjanjian ini adalah sebagai menegaskan lagi hubungan sekutu silam. Sementara itu, Bani Bakar bersetuju untuk berada di bawah jaminan dan perlindungan Quraish. (Rujuk Tarikh al-Tobari,2/634)

Hikmah Di Sebalik Butir-Butir Sulh(perjanjian) Hudaibiyyah

Kata Sheikh Sofiurrahman al-Mubarakfuri :

Perjanjian ini ialah genjatan senjata Hudaybiyyah. Sesiapa yang menyelidiki secara mendalam butir-butir perjanjian ini berserta latar belakangnya, tidak akan meragui bahawa ianya adalah satu kemenangan besar kepada orang-orang Islam. Ini kerana orang-orang Quraish sebelum itu tidak mengiktiraf apa-apa sekalipun terhadap orang Islam. Malah mereka bercita-cita menghapuskan umat Islam sehingga ke akar umbinya. Mereka menanti kesempatan terbaik untuk melihat berakhirnya riwayat umat Islam. Mereka menggunakan segala daya upaya dan kekuatannya untuk menghalang dakwah Islam sampai kepada manusia, dengan menggunakan kelayakannya sebagai pemimpin agama dan penguasa hal-hal keduniaan di Semenanjung Tanah Arab. Justeru, dengan kesanggupan mereka mengadakan perjanjian itu bererti mereka mengiktiraf kekuatan umat Islam dan orang-orang Quraish tidak lagi berupaya untuk menentang mereka.

  • Fasal ketiga dalam perjanjian membuktikan bahawa orang-orang Quraish sudah terlupa kedudukan mereka sebagai penguasa hal-hal keduniaan dan kepimpinan agama. Yang mereka fikirkan sekarang ialah diri mereka sahaja, sementara orang lain dan mereka yang berada di Semenanjung Tanah Arab kalau mereka masuk Islam semuanya, maka ia tidak lagi dipedulikan oleh orang-orang Quraish. Mereka tidak akan masuk campur dengan apa jua sekalipun. Bukankah ini bererti satu kegagalan besar kepada orang-orang Quraish? Bukankah ianya satu kemenangan yang nyata kepada orang-orang Islam? Peperangan berdarah yang terjadi antara orang-orang Islam dan seteru-seterunya bukanlah bertujuan- bagi orang Islam- untuk mengaut harta benda, menghapuskan nyawa, membinasakan manusia atau memaksa musuh memeluk Islam. Tetapi objektif tunggalnya adalah untuk mendapatkan kebebasan mutlak bagi manusia memilih akidah dan agamanya. Justeru, sesiapa yang memilih akidah dan agamanya. Justeru, siapa yang mahu dia boleh beriman dan siapa yang mahu dia boleh kafir. Tidak ada mana-mana kekuatan yang boleh menghalang apa yang mereka mahu. Objektif ini berjaya dicapai dengan semua sarana dan keperluannya dan dengan cara yang tidak mungkin dapat diperolehi sepertinya melalui peperangan, di samping itu mereka mendapat pula kemenangan yang nyata. Dengan kebebasan yang diperolehi ini, orang-orang Islam mendapat kejayaan besar untuk berdakwah.
  • Fasal kedua dalam perjanjian ini juga merupakan satu lagi faktor umat Islam mendapat kemenangan yang nyata. Ini kerana bukan orang Islam dahulu yang memulakan peperangan, tetapi ia dimulakan oleh orang-orang Quraish, sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

وَهُم بَدَءُوكُمْ أَوَّلَ مَرَّةٍ ۚ

Maksudnya : “Dan merekalah juga yang mula-mula memerangi kamu?”

(Surah al-Taubah :13)

Tujuan orang-orang Islam mengadakan rondaan ketenteraan tidak lain ialah untuk menyentak dan menyedarkan orang-orang Quraish daripada keburukan dan gangguan mereka dari jalan Allah. Justeru, ia adalah satu tindakan yang sepadan dengan perbuatan mereka. Setiap kumpulan memainkan peranan mengikut seperti yang dilakukan oleh kumpulan lain. Justeru, perjanjian genjatan senjata selama sepuluh tahun dapat menghentikan keburukan dan gangguan ini. Ianya adalah dalil gagalnya orang yang memulakan peperangan serta kelemahan dan kemusnahannya.

  • Fasal pertama perjanjian ini dapat menghentikan halangan Quraish terhadap mereka yang hendak ke Masjidil Haram. Ia juga bererti satu kegagalan kepada orang Quraish. Kalau adapun yang dapat menyenangkan hati Quraish dalam perjanjian ini hanyalah kejayaan mereka menghalang umat Islam masuk ke Mekah pada tahun itu sahaja.

Sheikh Muhammad al-Ghazali menyatakan :

“Berkemungkinan niat yang baik dan buruk dan sama ada manis atau pahit hasilnya akan terzahir melalui perjanjian Hudaibiyah. Sebenarnya perjanjian ini tidak akan bertahan lama sehinggalah musyrikin Quraisy merasa berat dan payah dengan perjanjian ini. Maka mereka akan mula mengadu atau mengambil tindakan untuk melanggarnya disebabkan segala kepentingan mereka akan terhalang. Adapun pandangan orang Islam pada ketika itu melihat hairan dengan sikap Nabi yang bertolak ansur akan tetapi mereka dapati bahawa ada berkat dan hikmah di sebaliknya. Sehinggakan mereka banyak mengucapkan syukur.

Sebenarnya hubungan antara orang kafir yang ada di tanah arab pada ketika sudah mula longgar sejak perjanjian ini dimeterai. Orang musyrikin Quraisy dianggap sebagai ketua bagi seluruh orang kafir yang terdapat di semenanjung tanah arab. Apabila tersebarnya berita perjanjian di antara orang Islam dan musyrikin Quraisy, ia telah memadamkan fitnah yang dibuat oleh orang munafik. Dan qabilah-qabilah yang menyokong orang musyrikin Mekah sudah berpecah ini kerana orang musyrikin Quraisy hanya mementingkan kepentingan mereka sendiri khususnya berkaitan hal ehwal perniagaan dan perdagangan. Mereka tidak mengambil peduli kerjasama antara gabungan yang telah dilakukan dulu. Dalam pada masa yang sama, orang Islam sedang memperluaskan jaringan mereka sama ada dari sudut siasah, thaqafah dan ketenteraan.Orang Islam berjaya mempersatukan qabilah-qabilah dan menyeru mereka untuk memeluk islam.

Rujuk Fiqh al-Sirah (hlm 257)

Sheikh Munir al-Ghadban menyebut bahawa perjanjian Hudaibiyah adalah satu pembukaan. Zahirnya nampak seperti kehinaan bagi orang Islam.Mereka pulang dari Mekah,Tidak boleh menziarahi Baitullah,orang Islam dari Mekah yang datang kepada mereka perlu dipulangkan semula, perkataan Bismillah dipadam. Lagi bertambah kecewa dengan kedatangan Abu Jandal yang lari dari kaum musyrikin sehingga Abu Jandal berkata :” adakah aku perlu pulang ke kaum musyrikin di mana mereka mendatangkan fitnah pada agamaku. Ini semua ada pada zahir yang mana ianya difikir oleh akal manusia yang cetek. Adapun hikmahnya telah pun ditetapkan oleh Allah SWT.”

Rujuk Fiqh al-Sirah al-Nabawiyah(hlm 520)

Ada di antara para sahabat yang memandang jauh ke hadapan dan mendapati ada hikmah di sebalik perjanjian Hudaibiyah. Antaranya :

  1. Al-Bara’ Bin ‘Azib menyebut :

تَعُدُّونَ أَنْتُمُ الْفَتْحَ فَتْحَ مَكَّةَ وَقَدْ كَانَ فَتْحُ مَكَّةَ فَتْحًا وَنَحْنُ نَعُدُّ الْفَتْحَ بَيْعَةَ الرُّضْوَانِ يَوْمَ الْحُدَيْبِيَةِ

Maksudnya:” Kalian menganggap bahawa pembukaan itu adalah pembukaan kota Mekah. Pembukaan kota Mekah memang dianggap pembuka. Adapun kami menganggap bahawa pembukaan adalah ketika Baiah Ridhwan ketika hari kami di Hudaibiyah.”

Riwayat al-Bukhari (4150)

  1. Ketika mana diturunkan ayat :

إِنَّا فَتَحْنَا لَكَ فَتْحًا مُّبِينًا

Maksudnya :” Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata” . Anas berkata : “Ia tentang perjanjian Hudaibiyah.”

Riwayat al-Bukhari (4172)

  1. Daripada Qatadah bahawa Anas Bin Malik menceritakan kepada mereka :

لَمَّا نَزَلَتْ (إِنَّا فَتَحْنَا لَكَ فَتْحًا مُبِينًا لِيَغْفِرَ لَكَ اللَّهُ) إِلَى قَوْلِهِ (فَوْزًا عَظِيمًا) مَرْجِعَهُ مِنَ الْحُدَيْبِيَةِ وَهُمْ يُخَالِطُهُمُ الْحُزْنُ وَالْكَآبَةُ وَقَدْ نَحَرَ الْهَدْىَ بِالْحُدَيْبِيَةِ فَقَالَ « لَقَدْ أُنْزِلَتْ عَلَىَّ آيَةٌ هِىَ أَحَبُّ إِلَىَّ مِنَ الدُّنْيَا جَمِيعًا

Maksudnya :” Ketika mana turun ayat ‘:” Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata’[2] sehingga ayat فَوْزًا عَظِيمًا Ianya dari perjanjiann Hudaibiyah. Mereka (para sahabat) telah digauli perasaansedih dan kecewa. Nabi SAW telah menyembelih binatang korban di Hudaibiyah. Anas berkata : Telah turun ayat ini dan ia lebih aku sukai dari dunia keseluruhannya.”

Riwayat Muslim (4737)

Ini bermakna, ada dari kalangan sahabat yang memahami bahawa di sebalik perjanjian Hudaibiyah terdapat hikmah yang sangat besar.

Orang Islam Berdukacita dan Soal Jawab Umar dengan Nabi SAW

Inilah sebenarnya hakikat yang tersembunyi di sebalik fasal-fasal perjanjian itu. Namun begitu, di sana terdapat dua fenomena yang menyebabkan keseluruhan orang-orang Islam mengalami dukacita dan kegelisahan.

Pertama: Baginda SAW telah memberitahu mereka bahawa mereka akan datang ke Baitullah dan dapat bertawaf. Justeru, mengapa pula baginda pulang tanpa melakukan tawaf?

Kedua: Rasulullah SAW berada di pihak yang benar dan Allah akan menzahirkan agama-Nya. Justeru, mengapa baginda menerima desakan Quraish dan menerima kerendahan dalam perjanjian itu?

Inilah dua gambaran yang menimbulkan kesangsian dan syak wasangka serta keraguan dalam kalangan mereka. Kerana sebab itulah perasaan orang-orang Islam terluka, sehinggakan setelah selesai perjanjian itu kesedihan mereka lebih menguasai akal fikiran. Boleh jadi yang paling berduka cita ialah Umar bin al-Khattab. Dia datang kepada Nabi seraya berkata: “Wahai Rasulullah, bukankah kita di atas agama yang benar dan mereka dalam kebatilan?” Baginda menjawab: “Memang benar”. Tanyanya lagi: “Bukankah orang kita yang terbunuh berada dalam syurga dan orang mereka berada dalam neraka?” “Memang benar”. Jawab baginda.

Tanyanya lagi: “Justeru mengapa kita serahkan kerendahan dalam agama kita dan kita berpatah balik, sedangkan Allah belum memutuskan keputusan antara kita dan mereka?” Baginda menjawab: “Hai putera al-Khattab, aku ini Rasulullah dan aku tidak akan menderhakai Allah, Dialah pembantuku dan Dia tidak akan mensia-siakan aku sekali-kali”. Umar bertanya lagi: “Bukankah engkau memberitahu kami bahawa kita akan datang ke rumah Allah dan dapat melakukan tawaf?” Baginda menjawab, “Bahkan, tetapi adakah aku memberitahumu bahawa kita akan datang pada tahun ini?” Umar menjawab: “Tidak.” Baginda berkata: “Memang engkau pasti akan datang ke rumah Allah dan dapat melakukan tawaf”.

Kemudian Umar beredar sambil menahan marah. Dia pergi kepada Abu Bakar dan berkata seperti yang dikatakannya kepada Rasulullah SAW. Abu Bakar menjawab kepadanya sebagaimana yang dijwab oleh Rasulullah SAW, di samping itu Abu Bakar menambah lagi dengan katanya: “Berpegang teguhlah dengan keputusan baginda sehingga engkau mati. Demi Allah dia berada di atas kebenaran”. Kemudian turunlah firman Allah yang berbunyi:

إِنَّا فَتَحْنَا لَكَ فَتْحًا مُّبِينًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata”.

(Surah al-Fath: 1)

Kemudiannya Rasulullah SAW mengutuskan seseorang untuk membacakan ayat ini kepada Umar. Setelah mendengarnya, Umar berkata: “Wahai Rasulullah, adakah ini kemenangan?” Baginda menjawab: “Ya”. Barulah Umar berpuas hati dan kembali.

Setelah itu, Umar berasa menyesal atas keterlanjurannya dengan sesalan yang amat sangat. Umar menceritakan: “Disebabkan perbuatanku itu maka aku telah membuat beberapa amalan. Aku bersedekah, berpuasa, bersolat dan membebaskan hamba seperti yang aku lakukan pada hari ini, kerana bimbang akan kata-kataku itu, sehingga aku mengharapkan agar amalanku ini diterima sebagai satu kebaikan”.

                                                            Rujuk al-Sirah al-Nabawiyah li Ibn Ishak (2/461)

Pengajaran dan iktibar

Di dalam peristiwa Hudaibiyah yang berlaku pada tahun 6 hijrah ini sememangnya ada pengajaran dan iktibar yang boleh kita ambil dan hayati bersama. Kami sebutkan beberapa pengajaran yang boleh diambil. Antaranya :

  • Meminta bantuan daripada orang bukan Islam tanpa berperang : Ini berdasarkan perbuatan Nabi SAW apabila mengutuskan Bisyr bin Sufyan kepada kaum Quraish sebagai mata-mata untuk menyampaikan kepada Baginda SAW perkhabaran tentang mereka. Sedangkan Bisyr adalah seorang musyrik daripada kabilah Khaza’ah.
  • Tabiat atau konsep syura di dalam Islam: Banyak perkara di dalam peristiwa ini Baginda SAW berbincang atau bermesyuarat dengan sahabat-sahabat Baginda SAW. Ini menunjukkan pensyariatan syura itu sendiri serta kepentingan seorang pemimpin untuk berpegang dengannya (berpegang dengan konsep syura ini).
  • Pensyariatan berdamai di antara umat Islam dan musuhnya: Para ulama dan imam-imam mengeluarkan hukum bahawa dibolehkan berdamai di antara umat Islam dan orang yang diperanginya kepada satu tempoh yang dimaklumi berdasarkan kepada peristiwa ini. Mazhab al-Syafie dan Ahmad serta ramai daripada kalangan ulama cenderung kepada perdamaian tidak boleh dilakukan melainkan diketahui tempohnya.
  • Syarat perdamaian terbahagi kepada dua iaitu sahih dan bathil: Syarat sahih adalah yang tidak bertentangan dengan kitab Allah dan sunnah Nabi SAW. Adapun syarat yang bathil adalah yang bertentangan dengan kitab Allah dan sunnah Nabi SAW.[3]
  • Kecintaan dan ketaatan para sahabat kepada Nabi SAW: Ini dibuktikan apabila saidina Uthman bin Affan diutuskan ke Makkah. Maka, Abu Sufyan dan pembesar Quraish lain berkata kepada Uthman setelah Uthman membaca perutusan Nabi SAW: “Jika kamu ingin tawaf di baitullah ini, maka tawaflah.” Uthman bin Affan menjawab: “Aku tidak akan melakukan tawaf sehinggalah Baginda SAW terlebih dahulu melakukan tawaf.”
  • Hikmah berlembut dan tidak berkeras: Sifat ini dapat dilihat ketika perjanjian dibuat atau ditulis di antara Rasulullah SAW dan Suhail.
  • Daripada perdamaian kepada pembukaan dan kemenangan: Peristiwa Hudaibiyyah inilah yang merupakan titik tolak kepada pembukaan lembaran baru Islam serta tersebarnya Islam ke seluruh jazirah (semenanjung) tanah arab.[4]
  • Digalakkan pemimpin dan masyarakat sentiasa berbincang supaya dapat dikeluarkan daripadanya pandangan-pandangan dan ia akan melegakan jiwa-jiwa serta diketahui keperluan-keperluan yang diingini oleh masyarakat dengan tujuan mengikut perintah Allah SWT.
  • Orang yang dihalang menunaikan haji atau umrah tidak diwajibkan untuk mengqadha’kannya kerana Nabi SAW telah memerintahkan para sahabat melakukan korban dan bertahallul tetapi Nabi SAW tidak memerintahkan mereka untuk mengqadha’kannya pada masa akan datang.[5]

[1] Jaraknya daripada Mekah sejauh 2 marhalah

[2] Surah al-Fath :1

[3] Rujuk Fiqh al-Sirah oleh Sheikh Muhammad Said Bin Ramadhan al-Buthi hlm 237-243

[4] Rujuk al-Sirah al-Nabawiyah oleh Sheikh Abu Hasan Ali al-Nadwi hlm 281-287

[5] Rujuk Mukhtarat Min Zad al-Ma’ad hlm 146