Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-19: PAMERAN ATHAR RASULULLAH SAW: HUKUMNYA (PEDANG DAN RAMBUT SERTA JANGGUT RASULULLAH SAW)

 athar rasulullah

Mukadimah

Mutakhir ini kita selalu mendengar berkenaan isu berkaitan pameran janggut dan pedang Nabi SAW yang dikatakan pernah diadakan pameran tersebut di beberapa tempat. Ruangan Bayan Linnas Siri ke-18 akan membincangkan secara khusus berkenaan tajuk ini agar masyarakat memahami dengan sebaik mungkin berkenaan dengan pameran ini.

Suka dinyatakan bahawa Rasulullah SAW adalah rasul yang paling mulia sebagai Sayyidu al-Anbiya wa al-Mursalin maka sudah tentu apa-apa yang berkaitan dengannya juga akan turut termulia dengan sebab kemuliaannya. Justeru, tidak hairanlah ramai di kalangan para ulama’ dan cendekiawan mengkaji dan menekuni segala bentuk athar (barang peninggalan) Rasulullah SAW untuk mengetahuinya dengan terperinci.

Justeru, tajuk Bayan Linnas pada kali ini ialah Pameran Athar Al-Rasul SAW: Hukumnya (Pedang Dan Rambut Serta Janggut Rasulullah SAW)

Suka dijelaskan di sini saya sekali-kali tidak akan membincangkan berkaitan tabarruk dengan athar Nabi SAW kerana isu yang diketengahkan di sini adalah berlainan. Bagi memahami isu tabarruk, sila rujuk kepada buku Bertabarruk dengan Athar-Athar Nabi SAW  yang dikaryakan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Joned, Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam. Kami telah membacanya dan menyokong sepenuhnya berkenaan isu tabarruk ini.

Persoalan yang ditimbulkan dalam Bayan Linnas kali ini adalah jarak masa kita dengan Rasulullah SAW melebihi 1400 tahun. Selain itu, pelbagai bentuk peperangan dan ketidakstabilan pemerintahan dari semasa ke semasa sehingga kini menjadi persoalan apakah athar yang dinisbahkan kepada Rasulullah SAW itu masih ada atau sebaliknya.

Adakah Pedang Yang Terdapat Sekarang Ini Benar-Benar Daripada Rasulullah SAW?

Dalam hal ini, dikatakan Rasulullah SAW mempunyai banyak pedang. Antaranya

·       Al-Ma’thur (المأثور) – Pedang yang awal dimiliki oleh Baginda SAW sebagai harta pusaka daripada bapanya. Pedang ini telah diberikan kepada Saidina Ali. Panjang hujungnya 99 sentimeter. Sekarang tersimpan di Muzium Topkapi, Turki

·       Al-‘Adhbu  (العضب) –  Makna al-‘Adhb adalah tajam. Sebelum peperangan Uhud, pedang ini dihadiahkan oleh Sa’ad bin Ubadah al-Ansari RA kepada Rasulullah SAW kemudian Baginda SAW menghadiahkan kepada Abu Dujanah al-Ansari RA dan beliau mempamerkan kehebatannya terhadap musuh-musuh Allah. Pedang ini dikatakan tersimpan di Masjid Hussain bin Ali RA di Kaherah.

·       Zulfaqar (ذوالفقار) – Pedang yang Rasulullah SAW memperolehinya dalam ghanimah Perang Badar. Dikatakan bahawa pedang ini diberikan oleh Rasulullah SAW kepada Saidina Ali dan pedang ini disimpan di Muzium Topkapi, Turki.

·       Al-Qala’i (القلاعي) – Namanya mempunyai hubungan di Syria atau India yang berhampiran dengan China. Pedang ini salah satu pedang yang di dapati oleh Rasulullah SAW dalam harta rampasan perang daripada Bani Qainuqa’ Yahudi Madinah. Panjangnya hampir 100 sentimeter. Sekarang tersimpan di Muzium Topkapi, Istanbul, Turki

·       Al-Battar (البتّار) – iaitu pedang yang Rasulullah SAW dapat harta rampasan perang daripada Yahudi Bani Qainuqa’. Pedang ini juga digelar Saif al-Anbiya’.

·       Al-Hatf (الحتف) – Pedang yang diambil dalam ghanimah Bani Qainuqa’ Yahudi Yathrib. Pedang ini hampir sama dengan al-Battar kecuali lebih besar. Juga disimpan di Muzium Topkapi,Turki

·       Al-Rasub (الرّسوب) – Pedang ini salah satu pedang-pedang Rasulullah dari Sembilan pedang yang kekal pada keluarga Rasulullah SAW. Panjangnya mencecah 140 sentimeter. Juga tersimpan di Muzium Topkapi, Turki.

·       Al-Mikhzam (المخذم) – Pedang ini telah diberikan oleh Rasulullah SAW kepada Saidina Ali dan diwarisi oleh anak cucunya. Ada pendapat menyatakan pedang ini telah diperoleh oleh Ali ketika serangan di Syam. Panjang hujungnya 97 sentimeter. Ia tersimpan di Muzium Topkapi, Istanbul, Turki

·       Al-Qadhib (القضيب) – Pedang ini nipis sebagaimana dikatakan seumpama jalan. Ia tidak digunakan untuk peperangan. Tertulis padanya yang daripada perak kalimah Lailaha illalllah Muhammadurrasulullah dan tidak didapati mana-mana sejarah yang pedang ini digunakan untuk peperangan. Ia adalah kekal di rumah keluarga Rasulullah SAW sehinggalah digunakan pada pemerintahan Rafidhiyyah al-Ubaidiyyah al-Fatimiyyyah. Panjang hujungnya 100 sentimeter. Ia disimpan di Muzium Topkapi, Turki

Hujahan berkenaan pedang Rasulullah SAW ini ma’ruf berdasarkan beberapa hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh para sahabat berkenaan dengan sifat pedang Rasulullah SAW. Antaranya daripada Anas RA katanya:

كَانَتْ قَبِيعَةُ سَيْفِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم مِنْ فِضَّةٍ

Maksudnya: “Adalah hujung pedang Rasulullah SAW diperbuat daripada perak.”

Riwayat al-Turmuzi (1691)

Justeru, asas thabitnya pedang Rasulullah SAW mempunyai kemungkinan yang kuat. Untuk mendapatkan maklumat berkaitan pedang dan athar Rasulullah SAW yang lain, sila rujuk  kitab al-Syamail al-Muhammadiyyah karya Imam al-Turmuzi yang menjelaskannya secara panjang lebar dan disyarahkan oleh ramai para ulama’.

Adakah Rambut dan Janggut Yang Dinisbahkan Kepada Rasulullah SAW Adalah Sahih?

Dalam hal ini, ahli sejarah telah khilaf kepada dua pendapat.

Pertama: Sahih

Banyak dalil menunjukkan ke arah itu. Antaranya:

·       Tatkala Rasulullah SAW melaksanakan ibadat haji, baginda mencukur kepala dan rambutnya itu telah diambil oleh para Sahabat. Dari Anas bin Malik ia berkata;

لَمَّا رَمَى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْجَمْرَةَ وَنَحَرَ نُسُكَهُ وَحَلَقَ نَاوَلَ الْحَالِقَ شِقَّهُ الأَيْمَنَ فَحَلَقَهُ ثُمَّ دَعَا أَبَا طَلْحَةَ الأَنْصَارِيَّ فَأَعْطَاهُ إِيَّاهُ ثُمَّ نَاوَلَهُ الشِّقَّ الأَيْسَرَ فَقَالَ ‏”‏ احْلِقْ ‏”‏ ‏.‏ فَحَلَقَهُ فَأَعْطَاهُ أَبَا طَلْحَةَ فَقَالَ ‏”‏ اقْسِمْهُ بَيْنَ النَّاسِ

Maksudnya: “Setelah Rasulullah SAW melontar Jamrah, menyembelih haiwan korbannya dan mencukur rambutnya, Baginda meminta tukang cukur untuk mencukur kembali rambutnya yang sebelah kanan. Kemudian baginda memanggil Abu Talhah al-Ansari dan memberikan rambut tersebut kepadanya. Sesudah itu, Baginda kembali meminta untuk dicukurkan rambutnya yang sebelah kiri sambil bersabda: “Cukurlah.” Maka beliau pun mencukurnya, dan setelah itu, membagikannya kepada Abu Talhah serata berkata: “ Bahagilah kepada orang ramai.”

Riwayat Muslim (1305)

·       Ramai sahabat yang menjadikan rambut Rasulullah SAW sebagai tabarruk sepertimana yang dilakukan oleh Saidina Khalid. Beliau pernah berkata:

لَمْ أَفْعَلْهَا بِسَبَبِ الْقَلَنْسُوَةِ بَلْ لِمَا تَضَمَّنَتْهُ مِنْ شَعْرِهِ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِئَلَّا أُسْلَبَ بَركَتَهَا وَتَقَعَ فِي أَيْدِي الْمُشْرِكِينَ

Maksudnya: “Aku tidak bertindak demikian itu semata-mata hanya kerana sebab topi, tetapi adalah kerana di dalamnya terdapat rambut mulia Rasulullah SAW  dan supaya berkatnya tidak hilang daripadaku dan supaya tidak jatuh ke tangan orang-orang musyrik”.[1]

·       Dikatakan pernah pameran athar nabawiyyah diadakan di Algeria dan dua orang penceramah iaitu Dr. Samir Abd al-Rahman al-Khauli, Setiausaha Hubungan Luar dan Muhammad Ali al-Akhras, Setiausaha Sulit, Kesatuan Masyaikh Sufi Lubnan cuba menthabitkan sanad dengan athar kepada Rasulullah SAW dengan benar dan hakikat.

Kedua: Tidak Sahih

Ini kerana jarak masa yang begitu lama walaupun pada asalnya memang thabit. Begitu juga sebahagian yang memilikinya menanam bersama mereka sendiri sepertimana yang dilakukan oleh Muawiyah bin Abi Sufyan dan lain-lain lagi.

Mengikut riwayat Ibn Abi al-Dunya katanya: “Adalah ucapan terakhir Muawiyah bin Abi Sufyan ialah wasiatnya kepada anaknya Yazid ketika ajalnya hampir tiba. Wasiat itu adalah supaya anaknya Yazid meletakkan bersama jenazahnya  salah satu  kain Rasulullah SAW, potongan rambut dan kuku Baginda. Potongan kuku dan rambut hendaklah diletakkan pada hidung, mulut, telinga dan matanya. Sementara kain pula untuk membalut sekujur tubuhnya selain kain lain.”[2]

Tarjih

Selepas meneliti pendapat samada yang mengiyakannya atau menyatakan tidak sahih, kami lebih cenderung kepada pendapat tidak sahih. Ini kerana beberapa alasan.

·       Nasir bin Abd al-Rahman al-Jadi’ dalam bukunya al-Tabarruk Anwa’uhu wa Ahkamuhu menyatakan bahawa ramai yang syak akan thabitnya tentang apa yang dinisbahkan pada hari ini sebagai athar Nabi SAW kerana banyak telah hilang atas sebab masa dan kurun, kehilangan, peperangan dan fitnah.[3]

·       Al-‘Allamah Timur Basha menyatakan: “Tidak dapat dinafikan sebahagian athar boleh jadi sahih kecuali kami tidak mendapati seorang pun daripada pengkaji yang thiqah dalam mengithbatkannya atau menafikannya, maka Allah lebih mengetahui. Sebahagiannya tidak mungkin untuk kita sembunyikan apa yang terdapat pada jiwa dengan syak wasangka.. Oleh kerana itu kita sukar untuk menentukan kesahihannya.”[4]

·       Sebagaimana dalam disiplin ilmu hadith yang memerlukan sanad yang sahih, maka untuk menthabitkannya lebih baik kita tawaqquf sehingga datang dalil dan hujahan yang menyokongnya.

·       Sighah (gaya bahasa) yang digunakan oleh kebanyakan mereka yang menyokong berkenaan dengan janggut Rasulullah atau janggutnya adalah mansub atau dinisbahkan tanpa boleh dita’kidkan (dikuatkan) siapa yang menisbahkannya. Justeru, sighah tersebut bukanlah bersifat yaqini atau jazmi (kukuh).

·       Rasulullah SAW pernah bersabda

دَعْ ما يَريبُكَ إلى ما لا يَريبُكَ

Maksudnya: “Tinggallah apa yang menjadi keraguan kepada kamu kepada yang tidak menjadi keraguan.”

Riwayat al-Turmuzi (2518), al-Nasaie (5711), Ibn Hibban (722) al-Haithami (10/297) dan lain lain.

·       Satu kaedah yang masyhur menyatakan

إِنْ كُنْتَ نَاقِلاً فَعَلَيْكَ بِالتَّصْحِيحِ وَإِنْ كُنْتَ مُدَّعِيًا فَعَلَيْكَ بِالدَّلِيلِ

Maksudnya: “Jika kamu menaqalkan sesuatu berita maka hendaklah kamu mentashihkan dahulu. Jika kamu membuat sebarang dakwaan, maka pastikanlah dengan mengemukakan dalil.”

Kaedah fiqh yang lain ada menyatakan

اَلْبَيِّنَةُ عَلَى المُدّعِي وَالْيَمِينُ عَلَى مَنْ أَنْكَرَ

Maksudnya: “Beban bukti itu adalah atas pendakwa dan sumpah itu atas yang mengingkari.”[5]

Menurut Imam Ahmad ibn Hanbal: “Prinsip-prinsip Islam itu ada pada tiga hadith. Maka ketahuilah antaranya adalah hadith ini.”[6]

Tempat Simpanan Athar al-Rasul

Terdapat beberapa tempat dikatakan disimpan athar al-Rasul SAW antaranya:

·       Muzium Topkapi, Istanbul, Turki

·       Masjid Hussain, Kaherah, Mesir

·       Kubah al-Ghauri, Mesir disimpan selama lebih daripada 3 abad iaitu sehingga 1275H

·       Masjid Zainab, Kaherah

·       Bangunan Qal’ah, Kaherah disimpan hingga 1304H

·       Bangunan al-Awqaf, Kaherah Mesir

·       Bangunan ‘Abidin

Pameran Yang Pernah Diadakan

Antara pameran yang pernah dianjurkan:

·       16 Januari 2015 – Kalimantan Tengah, Indonesia

·       21 Julai 2014 –  Al-Markaz al-Thaqafi al-Islami, ibu negara Algeria

·       25 Ogos 2013 – Daghestan, Rusia

·       5 Disemberi 2011 – Kedah

·       3 Mac 2010 – Universiti San’a, Yaman

·       18 Ogos 2001 – Brunei Darussalam

Hukum Menganjurkan Pameran Pedang Rasulullah SAW

Dalam hal ini, seperti yang kita bincangkan di atas, sabitannya adalah mempunyai asas berdasarkan periwayatan ahli sejarah. Ramai tokoh ahli sejarah dan juga para ulama’ berpendapat bahawa yang dinisbahkan kepada Rasulullah berkenaan dengan pedang mempunyai asas dan hujah yang kukuh. Justeru, kami berpendapat pameran seperti ini tidaklah bercanggah dengan Islam dan dibolehkannya.

Hukum Menganjurkan Pameran Rambut atau Janggut Rasulullah SAW

Berdasarkan perbincangan di atas, kami berpendapat tidak dibolehkan untuk diadakan penganjuran pameran rambut atau janggut Rasulullah SAW. Ini kerana menisbahkan rambut dan juga janggut kepada Rasulullah SAW tidak ada seorangpun tokoh sejarah Islam di kalangan yang thiqah (yang dipercayai) boleh mengesahkan dengan yakin. Sebaliknya semua yang mengatakan adalah bersifat andaian atau sangkaan. Justeru, menisbahkan perkara yang tidak yakin kepada Rasulullah SAW adalah tidak bertepatan mengikut manhaj ulama’ Islam yang sebenar.

Begitu juga terkadang-kadang bukan isu pameran semata-mata tetapi membabitkan kepada perkara yang lain seperti ghuluw dan melampau dalam mentaqdiskan sesuatu yang dinisbahkan kepada Rasulullah SAW sedangkan ia masih lagi tidak dapat dipastikannya.

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Suka dipertegaskan di sini kita wajib beriman dengan Rasulullah SAW dan mencintainya dengan sepenuh hati melebihi daripada diri kita sendiri. Inilah yang diajar oleh para Sahabat kepada generasi selepasnya. Saidina Ali RA pernah menyatakan

كَانَ وَاللهِ أَحَبَّ إِلَيْنَا مِنْ أَمْوَالِنَا وَأَوْلَادِنَا وَآبَائِنَا وَأُمَّهَاتِنَا ، وَمِنَ الْمَاءِ الْبَارِدِ عَلَى الظَّمَأِ

Maksudnya: Adalah Rasulullah demi Allah lebih kami kasihi daripada harta kami, anak-anak kami, ibu bapa kami dan daripada air sejuk ketika sangat kehausan.[7]

Dalam mana kita mengasihi dan mencintai Rasulullah SAW, perkara yang lebih utama adalah mengikut bagaimana para Sahabat dan salafussoleh menzahirkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW. Menzahirkan rasa cinta dengan cara mengikut sunnah Nabi adalah tuntutan utama berbanding dengan hanya menyatakan sahaja kecintaan.

Antara bentuknya seperti:

·       Selawat ke atas Nabi SAW

·       Mempertahankan Baginda SAW

·       Mempelajari sunnah Baginda SAW

·       Mencontohi akhlak dan perilaku Nabi SAW

·       Memuliakan hadith Rasulullah SAW

·       Mencintai keluarga Rasulullah SAW

·       Menyebarkan sunnahnya

·       Berhukum dengan sunnahnya

Menjadikan Rasulullah SAW sebagai panduan dan contoh suri teladan dalam kehidupan. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّـهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّـهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّـهَ كَثِيرًا

Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”

(Surah al-Ahzab: 21)

Imam Ibn Kathir berkata: “Ayat yang mulia ini adalah asas yang agung berkaitan mencontohi Rasulullah SAW dalam pelbagai aspek samada ucapan, perbuatan mahupun perilakunya. Allah memerintahkan ummat manusia menteladani Nabi SAW pada hari Ahzab dalam sifat kesabaran, thabat, keberanian, perjuangan, begitu juga sabar menanti pertolongan dari Rabbnya.

Al-Maghari berkata: “Rasulullah SAW memiliki contoh dan teladan yang tinggi yang berada di hadapan kamu untuk kamu ikuti. Oleh itu, hendaklah kamu mencontohi setiap amal perbuatan Rasulullah SAW, dengan mengikut petunjuk yang diberikannya, jika kamu mahukan pahala daripada Allah SWT serta takutkan azabnya.”

Kami telah berbincang dengan ramai tokoh agama di Malaysia termasuk sebahagian daripada ahli Majlis Fatwa dan perunding hukum syarak bagi mendapatkan satu keputusan yang tuntas dan tepat mengikut neraca syara’ di mana kesemuanya mempunyai pendapat seperti yang telah kami tarjihkannya. Pada asasnya kami menyokong sebarang usaha dalam memartabatkan syiar Islam dan agama-Nya termasuk memberi pencerahan kepada masyarakat berkenaan dengan athar yang thabit daripada Rasulullah SAW seperti pedang Baginda SAW. Tetapi, jika sekiranya perkara tersebut tidak boleh disahkan oleh mana-mana sejarawan dan para ulama yang thiqah maka sepatutnya hendaklah dielakkan daripada menganjurkan acara seperti itu.

Saya mengalu-alukan mana-mana tokoh yang dapat mengkaji dan menekuni isu janggut Rasulullah SAW atau rambutnya yang dimansubkan kepada Rasulullah SAW pada masa kini adakah benar atau sebaliknya, dengan kajian yang sahih dan dipercayai untuk meleraikan sebarang kekusutan dalam penisbahan ini.

Semoga kita semua mendapat syafaat daripada Rasulullah SAW dengan sebab mencintainya, berselawat ke atasnya dan mengikut sunnahnya, Amin.

Penutup

Alhamdulillah, Bayan Linnas pada kali ini mengemukakan satu tajuk yang memungkinkan rasaan dan andaian dari pelbagai pihak. Tetapi, sebagai seorang Islam yang mengaku bahawa sumber rujukan utama adalah al-Qur’an dan al-Sunnah serta ditambah dengan ijma’ dan qiyas mengikut mazhab Imam Syafie, maka sewajarnya kita memahami sebarang perkara dalam berhukumkannya dengan nas-nas yang sarih lagi sahih. Bukan semata-mata berdasarkan perasaan atau tanpa asas yang kukuh sehingga akhirnya melahirkan perasaan lebih kepada mengikut emosi semata-mata. Kasih kita kepada Rasulullah SAW hendaklah sebagaimana yang telah dianjurkan oleh Rasulullah SAW. Antara lain menjadikan seluruh kehidupannya mengikut apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW seperti yang dinaskan dalam hadith.

لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يَكُونَ هَوَاهُ تَبَعًا لَمَّا جِئْتُ بِهِ

Maksudnya: Tidak beriman seorang daripada kamu sehingga adalah hawa nafsunya mengikut apa yang aku bawa.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir, Abu Nu’aim dalam al-Arbain (hal. 489), al-Baihaqi dalam al-Madkhal (209). Hadith ini sanadnya dhaif ini kerana perawinya thiqah kecuali Nu’aim bin Hammad.

Semoga Allah mengurniakan kita kefahaman agama yang sebenarnya sehingga kita dapat mengikutinya dan menjauhkan kita daripada kebatilan sehingga kita meninggalkannya. Amin.

Akhukum fillah

S.S. Mufti Wilayah Persekutuan

4 Mei 2015 bersamaan 15 Rejab 1436H

[1] Al-Qadhi, Iyyadh, al-Syifa’ bi Ta’rif Huquq al-Mustafa, jil. 2, hal. 56-57.

[2] Dr. Suad Mahir Muhammad, Mukhallafat al-Rasul fi al-Masjid al-Husain, jil. 6, hal. 3.

[3] Al-Jadi’, Nasir Abd al-Rahman, Al-Tabarruk Anwa’uhu wa Ahkamuhu, hal. 260-265.

[4] Timur Basha, Al-Athar al-Nabawiyyah, hal. 78

[5] Al-Baihaqi meriwayatkannya dengan lafaz ini dalam Sunan al-Baihaqi 4/218 (52) daripada hadith Ibn Abbas RA, sebagaimana al-Turmuzi 3/626 (1341), al-Daraqutni 5/276 (4311). Al-Bukhari meriwayatkannya 3/143 (2514), Muslim 3/1336 (1711) daripada hadith Ibn Abbas dengan lafaz لكن اليمين على المدعى عليه.

[6] Al-Suyuti, Jalaluddin, al-Asybah wa al-Nazha’ir, hal. 9

[7] Al-Qadhi, Iyyadh, al-Syifa’ bi Ta’rif Huquq al-Mustafa, jil. 2, hal. 256.