Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE - 215: BEBERAPA ISU DALAM SEMINAR METAMORPHOSIS: SATU PENDAPAT

metaMukadimah

Lambakan motivator yang membawakan tema keagamaan dari satu sudut, memberikan impak positif kepada suasana beragama di Malaysia. Walaubagaimanapun, ada beberapa kelompangan daripada sudut yang lain terutamanya daripada aplikasi sumber yang kurang menepati disiplin ilmu terutamanya dalam akidah dan syariah. Antara contohnya adalah Fatwa Berkenaan Dengan Kursus ESQ Leadership Training Dan Fahaman Yang Seumpama Dengannya yang telah diwartakan pada tahun 27 Ogos 2009 oleh Majlis Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan dalam Mesyuarat Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan kali ke-75.

Meneliti beberapa aduan yang diterima oleh pihak kami berkenaan beberapa konsep yang diajarkan oleh seorang motivator terkenal dalam Seminar Metamorphosis, kami terpanggil untuk meninjau semula apa yang diajarkannya samada bertepatan dengan syarak ataupun sebaliknya. Ini kerana, apa sahaja yang disandarkan kepada agama, hendaklah dibawakan buktinya sebagaimana kaedah menyebut:

إِنْ كُنْتَ نَاقِلًا فَعَلَيْكَ بِالتَّصْحِيحِ وَإِنْ كُنْتَ مُدَّعِيًا فَعَلَيْكَ باِلدَّلِيلِ

Maksudnya: “Sekiranya kamu menyatakan sesuatu hendaklah kamu mensahihkan dahulu berita itu, dan sekiranya kamu mendakwa hendaklah kamu menyatakan dalil atau bukti.”

Sejujurnya, kami tidak melihat keseluruhan yang diajarkannya adalah bermasalah. Cuma, mungkin ada beberapa kandungan yang diajarkan, perlu kepada semakan semula daripada panel yang berkelayakan kerana bercanggah dengan Syariat Islam serta tidak selari dengan al-Qur’an dan al-Sunnah. 

Pihak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan juga telah bertemu dengan beliau pada 31 Julai 2019 di Ibu Pejabat, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, WP Putrajaya bagi mendapatkan penjelasan berkenaan modul-modul beliau. Perbincangan tersebut sepenuhnya dirakam dan telah diteliti oleh kami.

Kami melihat akan perlunya pihak-pihak berwajib seperti Pertubuhan Perunding Latihan & Motivasi Muslim Malaysia (TAMRIN) untuk duduk semeja bagi menyelaraskan dan mengemaskini modul-modul latihan dan motivasi agar ianya berada atas landasan al-Qur’an dan al-Sunnah serta apa sahaja yang bersesuaian tanpa bercanggah dengan kedua-duanya. Masalah-masalah berhubung Syariat Islam dalam seminar motivasi dan pembangunan diri, tidak hanya tertumpu kepada Seminar Metamorphosis semata-mata tetapi mungkin juga berlaku dalam seminar-seminar yang lain. Cuma, kami menyatakan pendapat khusus kepada seminar ini kerana ianya berpandukan kepada banyak aduan yang diterima daripada ramai pihak.

 

Prinsip Asas Dalam Menilai

Kami amat berhati-hati dalam meletakkan hukum atas perbuatan seseorang individu atau kumpulan yang didakwa bercanggah dengan syarak. Ini kerana, kemungkinan ianya dilakukan dalam keadaan jahil ataupun salah faham. Justeru, prinsip Islam dalam hal ini adalah tidak bermudah-mudahan dalam menjatuhkan hukum.

Dalam membahaskan sesuatu isu hukum, memahami hakikat dan realiti semasa sesuatu yang ingin dihukumkan itu adalah amat penting. Kaedah fiqh menyebutkan:

الحُكْمُ عَلَى الشَّيْءِ فَرْعٌ عَن تَصَوُّرِهِ

Maksudnya: “Menghukum sesuatu perkara adalah cabang daripada gambaran mengenainya.”

Ertinya, mana-mana pihak tidak boleh menjatuhkan hukum terhadap suatu perkara melainkan setelah pihak tersebut memahami gambaran sebenar akan perkara yang dibincangkan itu.

 

Nasihat Kepada Penggemar Motivator dan Perunding Latihan Muslim

Motivator dan agamawan bukanlah berada pada kelompok yang sama. Begitu juga jika dilihat dengan lebih teliti, pendakwah juga ada yang berlatarbelakangkan agama dan sebaliknya. Tahap kefahaman dalam agama juga adalah berbeza bergantung kepada latarbelakang pendidikan, pengalaman dan usaha mereka sendiri dalam memahami ilmu agama.

Justeru, tidak wajar bagi audien untuk menerima segala-galanya tanpa menilai semula apa yang didengari daripada motivator dan perunding latihan. semata-mata kerana mereka menggunakan ayat-ayat al-Qur’an dan Hadith. Kaedah ini difahami daripada nas-nas al-Qur’an, antaranya sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 36:

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ ۚ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا

Maksudnya: “Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.”

Syeikh Muhammad Amin al-Syanqiti rahimahullah menjelaskan bahawa dalam ayat ini Allah SWT menegah manusia daripada mengikuti sesuatu tanpa ilmu[1]. Syeikh Abdurrahman al-Sa’di rahimahullah pula mengatakan ia bermaksud supaya manusia tidak melakukan sesuatu tanpa ilmu, bahkan perlu memastikan kebenaran setiap apa yang dikata dan dilakukan. Sesungguhnya itu merupakan petanda kepada pendapat yang baik dan kekuatan berfikir.[2]

Hal inilah yang memerlukan satu usaha awal daripada orang awam yang berminat dan seminar dan kursus sebegini untuk memantapkan asas-asas agama terlebih dahulu sebelum mengikut mana-mana seminar motivasi dan pembangunan diri.

 

Nasihat Kepada Motivator dan Perunding Latihan Muslim

Kami terpanggil untuk berkongsi kisah ini sebagai muhasabah kepada para agamawan jua diri sendiri agar lebih berhati-hati dalam menyampaikan ilmu kepada masyarakat.

Kisah ini berkenaan dengan anak murid Imam Abu Hanifah rahimahullah yang amat cemerlang iaitu Imam Ya’qub bin Ibrahim al-Ansari rahimahullah yang mashyur dengan panggilan Abu Yusuf. Pada suatu hari, Imam Abu Yusuf merasakan ilmu yang dimilikinya sudah mencukupi. Sudah sampai masanya beliau keluar berhadapan dengan masyarakat bagi menjawab persoalan-persoalan agama. Beliau meninggalkan majlis ilmu Imam Abu Hanifah rahimahullah dan membuka majlis ilmunya sendiri. Dalam majlis ilmu itu, Imam Abu Yusuf rahimahullah mempersilakan setiap orang untuk menimba ilmu atau mengajukan soalan kepadanya.

Mengetahui perkara ini, Imam Abu Hanifah rahimahullah berniat untuk menyedarkan muridnya itu. Beliau mengutuskan seseorang ke majlis Imam Abu Yusuf rahimahullah dengan beberapa soalan untuk mengujinya.

Orang itu bertanya kepada Imam Abu Yusuf rahimahullah: “Saya menyerahkan sepotong kain ini kepada seorang penjahit untuk dijadikan baju. Apabila saya tanyakan, penjahit itu mengingkari pernah menerima kain daripada saya. Namun keesokannya, dia memberikan saya kain itu yang dijahit menjadi baju. Soalan saya, apakah ia berhak menerima upah?”

Abu Yusuf menjawab: “Dia berhak menerima upah.” Orang itu berkata: “Jawapanmu salah.” Abu Yusuf mengubah jawapannya: “Dia tidak berhak menerima upah.” Orang itu kembali berkata: “Jawapanmu salah.”

Abu Yusuf menjadi sangat keliru. Orang yang dilatih oleh Imam Abu Hanifah RH ini lalu berkata: “Jawapan yang benar adalah, jika baju itu dijahit sebelum dia menolak untuk menerima kain, maka dia berhak menerima upah. Namun jika kain itu dijahit setelah dia menolak untuk menerima kain, maka dia tidak berhak.”

Orang ini terus mengajukan beberapa soalan lain. Setiap kali Abu Yusuf menjawab, dia menyatakan bahawa jawapan itu salah lalu mengemukakan jawapan yang tepat.

Perbincangan tersebut berjaya menyedarkan Abu Yusuf akan kejahilan dirinya. Dirinya ternyata belum layak menjadi seorang ulama, malah masih banyak yang perlu belajar lagi daripada gurunya. Akhirnya, beliau memutuskan untuk kembali ke majlis ilmu Imam Abu Hanifah rahimahullah untuk melanjutkan pengajiannya.

Imam Abu Yusuf rahimahullah menyedari kekurangannya lalu Imam Abu Hanifah rahimahullah menegurnya:

تَزَبَّبْتَ قَبْلَ أَنْ تُحَصْرِمَ

Maksudnya: “Kamu telah menjadi kismis sebelum menjadi anggur.”[3]

Semoga kisah yang ringkas dengan makna mendalam ini, dapat difahami oleh kita semua agar tidak tergesa-gesa untuk menyampaikan ilmu dalam keadaan tidak betul-betul bersedia.

 

Larangan Penyerupaan Dengan Agama Lain

Terdapat dua bentuk maksud larangan penyerupaan dengan agama lain. Adakalanya ia bermaksud haram dan adakalanya bermaksud makruh. Berkata Imam Ibn Salah (w.643H) rahimahullah: “Maka sesungguhnya barangsiapa yang menyerupai satu kaum itu maka dia seakan-akan sebahagian daripada mereka. Penyerupaan dengan orang kafir, terkadang menjadi makruh, dan terkadang menjadi haram. Perkara tersebut kembali kepada keketaraan yang ada pada penyerupaan itu, sama ada sedikit atau banyak. Wallahua`lam.”[4]

  1. Contoh Penyerupaan Yang Haram

Contoh bagi penyerupaan yang haram adalah berakidah dan beribadah dengan cara Nasrani atau Yahudi. Firman Allah SWT:

وَلَن تَرْضَىٰ عَنكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّـهِ هُوَ الْهُدَىٰ وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُم بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ مَا لَكَ مِنَ اللَّـهِ مِن وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ

Maksudnya: “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu.” (Surah al-Baqarah: 120)

Begitu juga dengan penyerupai kelakuan dan pakaian ahli muzik yang lazim dengan maksiat seperti minum arak.[5]

  1. Contoh Penyerupaan Yang Makruh

Manakala jika penyerupaan itu sedikit, atau daripada sudut yang kecil sahaja, penyerupaan itu dihukumkan makruh. Contohnya seperti:

  • Melakukan qaza’ (memotong atau bercukur sebahagian rambut dan meninggalkan sebahagian yang lain).[6]
  • Melumurkan kepala bayi selepas bercukur dengan darah aqiqah kerana mengikut adat Jahiliyyah.[7]
  • Puasa secara tunggal pada hari Jumaat kerana orang Nasrani dan Yahudi mengkhususkan ibadah pada hari Khamis dan Jumaat.[8]

Ada pengecualian bagi larangan ini apabila suatu pakaian atau perbuatan itu tidak lagi melambangkan bukan Islam dan fasiq. Kesannya, suatu perlambangan itu boleh berubah menjadi harus. Berkata Imam al-Bujairimi rahimahullah dalam isu membayar kafarah dengan memberikan kain tailasan/tayalisah: “Dan disebabkan pemakaian al-tayalisah pada masa kini bukan lagi menjadi syiar mereka (Nasrani dan Yahudi), bahkan sudah diangkat pada zaman kita dan berubah menjadi salah satu yang termasuk dalam perkara umum yang diharuskan. Betapa perkara ini telah disebut oleh Ibn Abd al-Salam dalam bid’ah-bid’ah yang dibenarkan. Berkata Ibn Hajar: Apabila sudah menjadi simbol bagi suatu kaum (yakni golongan yang baik-baik seperti ulama) maka dengan meninggalkannya pula akan menghilangkan maruah.”[9]

Daripada sudut sejarah, pemakaian tayalisah dalam Bahasa Arab atau tallit dalam Bahasa Ibrani iaitu kain penutup kepala ini, adalah syiar kaum Yahudi. Maka hukum asalnya adalah makruh, seperti kata Syeikh al-Samhudi al-Syafie. Namun apabila kebanyakan mereka sudah meninggalkan pakaian ini sebagai simbol agama, ia berubah menjadi pakaian yang umum sehingga sebahagian ulama menjadikannya sebagai simbol mereka yang boleh mengajar dan berfatwa, dan diijazahkan pemakaiannya. Pakaian jenis ini adalah harus dan tidak termasuk dalam larangan syarak meniru kaum lain. Pada hari ini, contohnya pemakaian baju berkot dan tali leher tidak lagi dianggap sebagai peniruan bersifat agama atau kefasikan. Hukum memakainya adalah harus.

Di sini, dapat kita fahami bahawa penyerupaan dalam bentuk ibadah atau keagamaan dengan agama-agama lain adalah haram.

 

Beberapa Masalah Dalam Modul Seminar Metamorphosis

  1. “Teknik” Berdoa

Berdasarkan apa yang telah kami peroleh, antara teknik yang diajarkan adalah sebagaimana susunan berikut:

  • Pejam mata
  • Tutup lampu
  • Duduk bersila
  • Bernafas secara perlahan
    • Tarik nafas 4 saat, tahan 4 saat, hembus nafas 4 saat
  • Imagine ada satu cahaya depan kita dan install dalam minda kita apa yang kita nak
    • Saya nak KAYA, BAIK, SIHAT, CANTIK, SELAMAT, PANJANG UMUR, BAHAGIA
  • Ulang step 4, 5, 4 dan 5
  • Tengok cahaya tadi, dan ulang step 4,remove the negative thing dalam diri kita
    • Remove marah, benci, takut, dendam, rasa lemah
  • Ulang step 4
  • Dan submit dalam diri kita the positive things
    • Saya nak KAYA, BAIK, SIHAT, CANTIK, SELAMAT, PANJANG UMUR, BAHAGIA
  • Ulang step 4
  • Tangan di dada, dan ucap syukur, terima Kasih Ya Allah, ucap syukur kepada Allah SWT kerana panjang kan umur saya, umur Mak Ayah Suami Isteri Anak2 saya, bagi saya tempat tinggal, bagi saya makan, bagi saya sihat, syukur dan sayang kepada semua anggota badan kita, peluk badan kita ucap terima kasih, ucap sayang dan cinta pada diri kita sendiri
  • Ulang step 4
  • Buka mata, senyum dan peluk orang sekeliling, tepuk dada kata GOODJOB.

Begitu juga teknik lain yang diajarkan seperti:

  • All abudance (kecukupan) is already available around us in the form of electromagnetic.
  • Our antenna is located at our spine => connects us to the cosmos.
  • Sit straight 90◦
  • Feet to the ground (grounding)
  • Deep breathing = give sense of purpose. Fast breathing shortens life. Slow breathing extends life: to set mind at alpha mode.
  • Cleansing = erase all negative thoughts and feels, fill in with positive thoughts and feel.
  • Fill in gratitude.
  • Appreciate your body.
  • Primer: Install strength.
  • Palm upwards => receiving mode.
  • Palm downwards => shielding mode to prevent energy disturbances.

Ulasan

Sebelum melihat lebih jauh berhubung teknik-teknik yang diajarkan oleh segelintir kecil motivator dan Perunding Latihan Muslim berkenaan dalam berdoa, kami nukilkan di sini satu panduan yang cukup baik daripada Imam al-Qurtubi. Menurut beliau:

Adalah wajar bagi seseorang individu menggunakan doa-doa di dalam Al Qur-an dan hadith-hadith yang sahih serta meninggalkan selainnya. Janganlah dia mengatakan, ‘Saya telah memilih doa sendiri.’. Ini kerana Allah SWT telah memilihkan pelbagai doa kepada nabi dan para wali-Nya dan mengajarkan kepada mereka bagaimana sewajarnya mereka berdoa.”[10]

Kami tidaklah menyatakan dengan yakin bahawa kesemuanya yang diajarkan ini adalah salah. Namun, untuk menyatakan teknik ini adalah yang tepat, maka ia tidak benar. Berhubung dengan teknik-teknik sebegini, kami tidak menemuinya dalam pengamalan Rasulullah SAW dan juga para sahabat radhiallahu ‘anhum. Jika ada teknik berdoa yang tepat yang menjamin kemakbulan doa, ini bermakna kaedah berdoa Nabi SAW adalah tidak tepat kerana pernah doa Nabi SAW tidak dimakbulkan.

صَلَّى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلاَةً فَأَطَالَهَا، فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، صَلَّيْتَ صَلاَةً لَمْ تَكُنْ تُصَلِّيهَا، قَالَ: أَجَلْ إِنَّهَا صَلاَةُ رَغْبَةٍ وَرَهْبَةٍ، إِنِّي سَأَلْتُ اللَّهَ فِيهَا ثَلاَثًا فَأَعْطَانِي اثْنَتَيْنِ وَمَنَعَنِي وَاحِدَةً، سَأَلْتُهُ أَنْ لاَ يُهْلِكَ أُمَّتِي بِسَنَةٍ فَأَعْطَانِيهَا، وَسَأَلْتُهُ أَنْ لاَ يُسَلِّطَ عَلَيْهِمْ عَدُوًّا مِنْ غَيْرِهِمْ فَأَعْطَانِيهَا، وَسَأَلْتُهُ أَنْ لاَ يُذِيقَ بَعْضَهُمْ بَأْسَ بَعْضٍ فَمَنَعَنِيهَا

Maksudnya: Nabi pernah melakukan solat yang amat panjang. Melihat hal tersebut para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah. Engkau solat bukan seperti biasa.” Baginda menjawab, “Ya, benar. Solatku itu adalah shalat raghbah (penuh harap) dan rahbah (takut kepada-Nya). Dalam solatku itu aku memohon kepada Allah 3 perkara, Dia mengabulkan dua perkara sedangkan satunya lagi tidak dikabulkan. Aku memohon agar umatku tidak binasa oleh bencana kelaparan, maka Dia mengabulkan permohonan ini. Aku memohon agar umatku tidak dikuasai oleh musuh dari luar mereka, Dia pun mengabulkannya. Namun ketika aku memohon agar umatku tidak merasakan kekejaman sesama mereka sendiri, Dia tidak mengabulkannya.” (Riwayat al-Tirmizi, no. 2175)

Nasib yang berlaku dalam hidup manusia tidak berlaku dengan usaha manusia semata-mata sebaliknya ia adalah kehendak Allah SWT. Manusia hanya mampu berusaha dalam keadaan mengakui potensi dan kelemahan diri tetapi yang menentukannya adalah Allah SWT. Inilah sebagai yang dijelaskan oleh Imam al-Sanusi dalam al-Muqaddimat dan inilah kefahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Ketakutan Nabi SAW ketika berdoa lebih jelas ketika peristiwa Perang Badar. Saidina Umar al-Khattab menceritakan:

لَمَّا كَانَ يَوْمُ بَدْرٍ نَظَرَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى الْمُشْرِكِينَ وَهُمْ أَلْفٌ، وَأَصْحَابُهُ ثَلَاثُ مِائَةٍ وَتِسْعَةَ عَشَرَ رَجُلًا، فَاسْتَقْبَلَ نَبِيُّ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْقِبْلَةَ، ثُمَّ مَدَّ يَدَيْهِ، فَجَعَلَ يَهْتِفُ بِرَبِّهِ: «اللهُمَّ أَنْجِزْ لِي مَا وَعَدْتَنِي، اللهُمَّ آتِ مَا وَعَدْتَنِي، اللهُمَّ إِنْ تُهْلِكْ هَذِهِ الْعِصَابَةَ مِنْ أَهْلِ الْإِسْلَامِ لَا تُعْبَدْ فِي الْأَرْضِ»، فَمَا زَالَ يَهْتِفُ بِرَبِّهِ، مَادًّا يَدَيْهِ مُسْتَقْبِلَ الْقِبْلَةِ، حَتَّى سَقَطَ رِدَاؤُهُ عَنْ مَنْكِبَيْهِ، فَأَتَاهُ أَبُو بَكْرٍ فَأَخَذَ رِدَاءَهُ، فَأَلْقَاهُ عَلَى مَنْكِبَيْهِ، ثُمَّ الْتَزَمَهُ مِنْ وَرَائِهِ، وَقَالَ: يَا نَبِيَّ اللهِ، كَفَاكَ مُنَاشَدَتُكَ رَبَّكَ، فَإِنَّهُ سَيُنْجِزُ لَكَ مَا وَعَدَكَ، فَأَنْزَلَ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ: {إِذْ تَسْتَغِيثُونَ رَبَّكُمْ فَاسْتَجَابَ لَكُمْ أَنِّي مُمِدُّكُمْ بِأَلْفٍ مِنَ الْمَلَائِكَةِ مُرْدِفِينَ} [الأنفال: 9] فَأَمَدَّهُ اللهُ بِالْمَلَائِكَةِ

Maksudnya: “Ketika Perang Badar, Rasulullah SAW melihat kepada kaum musyrikin dan mereka berjumlah 1000 orang sedangkan para sahabatnya berjumlah 319 orang, lalu Nabi SAW menghadap ke kiblat, mengangkat tangan berdoa kepada Tuhannya:

‘Ya Allah, penuhilah bagiku apa yang telah Engkau janjikan kepadaku. Ya Allah, datangkanlah apa yang telah engkau janjikan kepadaku. Ya Allah, jika Engkau hancurkan golongan Muslim, Engkau tidak akan disembah di muka bumi ini.’

Maka terus Rasulullah SAW berdoa kepada Tuhanya dengan mengangkat kedua tangan menghadap kiblat, sampai terjatuh selendangnya dari kedua bahunya, maka datanglah Abu Bakar RA dan mengambil selendangnya serta memakaikan kembali di atas bahunya dan menguatkan di belakangnya sambil berkata, “Wahai Nabi Allah, cukuplah permohonanmu kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia akan memenuhi bagimu apa-apa yang telah dijanjikan kepadamu.’ Maka turunlah ayat:

“(Ingatlah), ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhanmu, lalu diperkenankan-Nya bagimu: ‘Sesungguhnya Aku akan mendatangkan bala bantuan kepadamu dengan seribu malaikat yang datang berturut-turut.” (Surah al-Anfal: 9)

Maka Allah mendatangkan bantuannya dengan kedatangan para malaikat. (Riwayat Muslim, no. 1763)

Jelas dalam doa Nabi SAW, kerisauan dan kebimbangan Baginda akan kekalahan tentera Islam. Dengan izin-Nya, doa tersebut makbul dan tentera Islam beroleh kemenangan.

  1. Perasaan Adalah Doa (Feeling is Prayer)

Kami mengambil maklum bahawa modul ini telah pun digugurkan setelah timbul beberapa isu pada pendekatan dan pemahaman pada modul ini. Namun, ianya masih berlegar dalam kalangan pengikutnya dan difahami dengan kefahaman yang tidak benar.

Motivator ini menulis di Facebook beliau, “Saya nak menulis ni pun saya tak tahu nak mula dari mana sebenarnya. Tapi yang pasti saya nak cakap Allah tu baik. Sangat baik. Kita mintak apa pun Dia bagi. Semua Dia bagi sebijik macam kita mintak. Takde satu pun doa yang Allah tak makbul. Semua makbul. Tinggal lagi cara kita doa tu betul ke tak je. Mulut mintak lain, hati rasa lain. Yang dalam hati tu lah yang makbul. Because feelings are the prayers...”

Beliau juga berkongsi di Facebook… “Kisah saya pulak macamni. Masa malam raya haritu, adik saya masuk ICU. Adik lagi sorang pula bersalin malam raya. Jadi kita gembira dan sedih dalam satu masa yang sama. Bila adik masuk ICU tu. Mak saya cakap kat saya. Abang long, tolong doa lah cara awak. Sebab mama tak boleh doa. Mama ada fear. (Kan saya kata, what ever we fear, itu lah doa kita. Because feelings are prayers).

Dalam status Facebook yang lain, beliau menyatakan: “Berdoalah dalam keadaan yakin. No doubt, no fear, no worries. But feels that it already happens. Syukur that all your wishes and desires are already being granted.

Ada yang berkongsi pengalaman: “One day tu aku ade follow satu page someone ni sebut feeling are prayers baru aku dpt kesan kesalahan yang aku wat rupenya aku doa dlm keadaan desperate keadaan yang "akan jadi" Lepas tu terus tukar cara doa be a present moment bukan "akan jadi" Alhamdulillah Alhamdulillah Alhamdulillah setiap hari Syafiq keluar perkataan baru Syukur Alhamdulillah? Just tukar cara doa. nothing impossible.”

Segelintir yang lain menjelaskan: “Apa Nak Gaduh Isu Pasal "Feeling Is Prayer"?! Faham Jer Konsep Ni! Apa Yang Kita Cakap-Lihat-Dengar Dan Fikir Adalah Doa! Bukankah 4 Perkara Itu Melahirkan #Feeling?! So, Feeling Is Prayer Itu Konsepnya Sama La Dengan Apa Yang Kita Cakap-Lihat-Dengar Dan Fikir Adalah Doa!”

Adakah benar perasaan itu satu doa? Adakah benar kita tidak boleh berdoa dalam keadaan negatif seperti risau dan takut? Apakah keabsahan kata-kata yang sering diulang-ulang iaitu “Apa yang kita cakap-lihat-dengar dan fikir adalah doa."

Ulasan

Berdoa dengan penuh perasaan adalah satu kelaziman bagi seseorang. Tambahan pula seseorang Muslim yang amat mengharapkan kepada sesuatu, takut akan terjadi sesuatu, maka berdoa kepada Allah SWT adalah langkah yang utama. Risau dan takut ketika berdoa dan ketika memikirkan dosa adalah perkara biasa bagi seorang manusia, bahkan itulah antara sifat seorang Mukmin. Sabda Nabi SAW

إِنَّ المُؤْمِنَ يَرَى ذُنُوبَهُ كَأَنَّهُ قَاعِدٌ تَحْتَ جَبَلٍ يَخَافُ أَنْ يَقَعَ عَلَيْهِ، وَإِنَّ الفَاجِرَ يَرَى ذُنُوبَهُ كَذُبَابٍ مَرَّ عَلَى أَنْفِهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya seorang Mukmin itu melihat dosa-dosanya seolah-olah dia berada di kaki sebuah gunung, dia khuatir gunung itu akan menimpanya. Sebaliknya, orang yang derhaka melihat dosa-dosanya seperti seekor lalat yang hinggap di atas hidungnya, dia mengusirnya dengan tangannya –begini–, maka lalat itu terbang.” (Riwayat al-Bukhari, no, 6308)

Kami bawakan di sini beberapa bukti daripada al-Qur’an dan Hadith bahawa berkenaan hal ini. Firman Allah SWT:

إِنَّهُمْ كَانُوا يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَيَدْعُونَنَا رَغَبًا وَرَهَبًا

Maksudnya: Sesungguhnya mereka itu (para Nabi) sentiasa bersegera dalam melakukan perkara kebaikan. Dan mereka berdoa kepada Kami dalam keadaan penuh harap dan rasa takut. (Surah al-Anbiya’: 90)

Ayat di atas ini sebelumnya menceritakan berkenaan beberapa orang para Nabi dan juga permintaan yang mereka lakukan. Nabi Ayyub alaihissalam berdoa kepada Allah SWT untuk memberikan kesembuhan kepada penyakit yang menimpanya, lalu Allah mustajabkan. Nabi Yunus alaihissalam berdoa supaya diselamatkan dari musibah yang menimpa dirinya saat berada di dalam perut ikan Nun, kemudian Allah mustajabkan doanya. Berikutnya, Nabi Zakaria alaihissalam juga berdoa supaya dikurniakan zuriat, lalu Allah SWT memustajabkannya dengan mengurniakan Nabi Yahya sebagai anak. Ketiga-tiga para Nabi ini dimustajabkan doa mereka kerana berdoa dalam keadaan penuh harap dan takut kepada Allah SWT.

Membaca doa Nabi Zakaria misalnya, ianya penuh dengan pengakuan kelemahan dan kekurangan serta pengharapan yang amat tinggi kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT:

وَإِذَا غَشِيَهُمْ مَوْجٌ كَالظُّلَلِ دَعَوُا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ فَلَمَّا نَجَّاهُمْ إِلَى الْبَرِّ فَمِنْهُمْ مُقْتَصِدٌ وَمَا يَجْحَدُ بِآيَاتِنَا إِلَّا كُلُّ خَتَّارٍ كَفُورٍ

Maksudnya: “Dan (orang-orang yang tidak bersifat demikian) apabila mereka dirempuh serta diliputi oleh ombak yang besar seperti kelompok-kelompok awan menyerkup, pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadaNya semata-mata. Kemudian bila sahaja Allah menyelamatkan mereka ke darat maka sebahagian sahaja di antara mereka yang bersikap adil (lalu bersyukur kepada Allah serta mengesakanNya). Dan sememangnya tiada yang mengingkari bukti-bukti kemurahan Kami melainkan tiap-tiap orang yang bersifat pemungkir janji, lagi amat tidak mengenang budi.” (Surah Luqman: 32)

Kita juga tidak akan menemui kaedah berdoa “be present” dalam Islam iaitu dengan mengandaikan seolah-olah sudah mendapat apa yang diminta seperti yang diajarkannya. Hal sebegini bukanlah daripada Sunnah Nabi SAW sedangkan kita sedia maklum bahawa Nabi SAW adalah insan yang perlu dicontohi daripada segala aspek kehidupan.

  1. Kesalahan Mendefinisikan “Tawakkal”

Kata penganjur dalam satu satu hantaran di Facebook: Sebab tu Allah kata, bila berazam terus Tawakkal. This tawakkal ini ialah no fear, no doubt, no grief, no anxiety, nothing. TRUST 1000%. Baru menjadi.

Ulasan

Kami bawakan sebuah hadith Nabi SAW:

لَوْ أَنَّكُمْ تَوَكَّلُونَ عَلَى اللَّهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ، لَرَزَقَكُمْ كَمَا يَرْزُقُ الطَّيْرَ، تَغْدُو خِمَاصًا، وَتَرُوحُ بِطَانًا

Maksudnya: “Seandainya kalian bertawakal kepada Allah dengan bersungguh-sungguh, Allah akan memberi kalian rezeki sebagaimana Allah memberi rezeki kepada seekor burung yang pergi dalam keadaan lapar dan kembali dalam keadaan kenyang.”

Ibnu Rajab menyatakan bahawa hakikat tawakal adalah:

هُوَ صِدْقُ اعْتِمَادِ الْقَلْبِ عَلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ فِي اسْتِجْلَابِ الْمَصَالِحِ، وَدَفْعِ الْمَضَارِّ مِنْ أُمُورِ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ كُلِّهَا، وَكِلَةُ الْأُمُورِ كُلِّهَا إِلَيْهِ، وَتَحْقِيقُ الْإِيمَانِ بِأَنَّهُ لَا يُعْطِي وَلَا يَمْنَعُ وَلَا يَضُرُّ وَلَا يَنْفَعُ سِوَاهُ

Maksudnya: “Benarnya penyandaran hati kepada Allah SWT dalam meraih maslahah dan menolak mudarat berhubung urusan dunia dan akhirat, menyerahkan semua urusan kepada Allah SWT, serta pengukuhan iman bahwa tidak ada yang memberi, menghalang, memudaratkan dan memberikan manfaat kecuali Dia.[11]

Tawakal secara mudahnya ada berserah kepada Allah SWT sepenuh hati setelah berusaha bersungguh-sungguh. Samada Allah SWT mengabulkan doa yang diminta ataupun tidak, seorang hamba menerimanya dengan hati yang lapang.

Definisi yang diberikan oleh penganjur berkenaan adalah tidak tepat dan membawa pemahaman seolah-olah setiap apa yang didoakan, wajib akan diperoleh dengan penuh keyakinan.

  1. Soul Travel/Astral Projection

Antara yang diminta oleh motivator ini adalah untuk peserta mengeluarkan roh masing-masing dalam satu ritual. Ini dinamakan sebagai soul travel. Astral Projection adalah perjalanan roh yang keluar daripada tubuh manusia dengan cara sengaja dan menjadi astral body yang terpisah daripada tubuh fizikal dan mampu untuk pergi ke mana-mana sahaja sama ada pada waktu yang lepas atau masa hadapan.

Ulasan

Idea berkenaan perjalanan roh ini wujud di dalam pelbagai versi daripada pelbagai budaya. Terminologi moden astral peoject diperkenalkan melalui ajaran Teosofi yang dibawa oleh Helena Blavatsky.[12] Sebahagian individu menyatakan astral project adalah persepsi kepada diskripsi yang diinduksi melalui pelbagai makna halusinasi dan hipnotik. Tidak ada bukti sainstifik yang menyatakan ia adalah minda sedar atau roh yang dimana ia terpisah daripada aktiviti neuro yang normal atau dengan minda sedar yang keluar daripada tubuh badan dan berlegar-legar di dunia roh. Namun begitu, astral project telah mendapat banyak kritikan sebagai satu daripada perkara pseudosains.[13]

Kaedah pengembaraan roh atau dikenali sebagai astral/soul travel ini ada dijalankan dalam sebuah seminar motivasi yang dilaporkan kepada kami. Kaedah ini banyak diajarkan dalam pendekatan New Age Movement. Antaranya sebagaimana yang boleh didapati dalam buku:

  • Astral Projection Plain & Simple: The Out-of-Body Experience oleh Osborne Philips
  • Leaving The Body: A Complete Guide to Astral Projection Oleh D Scott Rogo
  • Astral Projection, Ritual Magic, and Alchemy: Golden Dawn Material by S.L. MacGregor Mathers and Others oleh S. L. MacGregor Mathers, Francis King, R. A. Gilbert

Terdapat beberapa cara lain dalam mendapatkan mengeluarkan roh daripada badan atau istilah yang dipopularkan sebagai Out of Body Experience. Diantaranya adalah sepertimana yang dinukilkan oleh Richard Webster[14].

  • Method Meditasi
  • Swing Method
  • The French Method
  • The Whirlwind Method
  • The Visualization Technique 1 & 2
  • Willpower Method
  • Chakra Method
  • Affirmation Method
  • The Christos Method
  • Hypnotism Method

Amalan ini tidak ditemui dalam mana-mana ayat al-Qur’an dan Hadith kerana ianya jelas bahawa urusan roh adalah dibawah kuasa Allah SWT. Roh merupakan makhluk Allah SWT yang bersifat ghaib dimana keadaan sebenarmya hanya Allah SWT yang mengetahuinya. Firman Allah SWT:

وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الرُّوحِ قُلِ الرُّوحُ مِنْ أَمْرِ رَبِّي وَمَا أُوتِيتُمْ مِنَ الْعِلْمِ إِلَّا قَلِيلًا

Maksudnya: “Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: "Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja".(Surah al-Isra’: 85)

Guru kami, almarhum Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaily menyimpulkan tafsirannya pada ayat ini dengan menegaskan: “Sesungguhnya ilmu manusia sangatlah sedikit apabila dibandingkan dengan ilmu Allah. Didalam ayat tersebut mereka bertanya mengenai perkara roh yang dimiliki oleh Allah SWT. Dia tidak memberitahu kamu mengenainya. Dia memberitahu kamu hanya sedkit mengenai ilmu tersebut.”[15]

Betapa bermasalahnya hal ini sehingga ada sebahagian individu yang melampaui had (kami mengharapkan perkara ini tidak diajarkan oleh penganjur ini) menyatakan astral projection juga berlaku kepada Rasulullah SAW semasa peristiwa Israk Mikraj. Hal ini tidak benar kerana peristiwa Isra' Mi'raj menurut kebanyakan salaf, fuqaha', ahli hadith, ahli kalam berlaku dengan jasad dan roh Nabi berdasarkan pelbagai athar yang jelas.[16] Begitu juga ada yang mendakwa astral projection berlaku kepada Maryam alaihassalam dengan buktinya firman Allah SWT:

فَٱتَّخَذَتۡ مِن دُونِهِمۡ حِجَابࣰا فَأَرۡسَلۡنَاۤ إِلَیۡهَا رُوحَنَا فَتَمَثَّلَ لَهَا بَشَرࣰا سَوِیࣰّا

Maksudnya: “Kemudian Maryam membuat dinding untuk melindungi dirinya dari mereka maka Kami hantarkan kepadanya: Roh dari kami lalu ia menyamar diri kepadanya sebagai seorang lelaki yang sempurna bentuk kejadiannya." (Surat Maryam: 17)

Kalimah (رُوحَنَا) itu maksudnya adalah Jibril alaihissalam, dan bukan selainnya.[17]

  1. Meditasi

Modul meditasi adalah antara yang diajarkan dalam Seminar Metamorfosis. Dalam keterujaan untuk belajar bermeditasi, apa yang perlu diperhatikan adalah jenis meditasi yang dilakukan. Secara asasnya, ada 2 bentuk meditasi iaitu mindfulness meditation dan transcendental meditation.

Dalam transcendental meditation, pengamal diminta melakukannya untuk menenangkan jiwa, mengosongkan minda sepenuhnya, mencapai tahap ketenangan sempurna dan seterusnya masuk kepada kondisi minda di bawah sedar dan mencapai nirvana. Kaedah ini diperkenalkan oleh Guru Maharishi Mahesh Yogi.

Wujud teknik pernafasan tertentu sambal memfokuskan kepada simbol-simbol, bintang-bintang tertentu, membayangkan dirinya bersatu dengannya sambil diulang-ulang mantra tertentu seperti “Om”. Begitu juga mendengar mantra tersebut dalam suasana tentang, cahaya yang suram. Huraian tentang Om boleh diambil daripada keempat-empat Upanishad iaitu Mundaka, Mandukya, Svetasvatara dan Katha, Baghavad Gita dan Yoga Sutra.

Kami meyakini bahawa bentuk meditasi sebegini, tidak diajarkan dalam seminar berkenaan. Namun, kami merasakan perlunya diberi peringatan kerana boleh sahaja peserta yang tidak memahami perbezaannya, mengamalkan tanpa mengetahui ianya bersalahan dengan akidah.

Ulasan

Umat Islam perlu berhati-hati dalam membezakan antara meditasi yang dibenarkan dalam Islam yang dikenali sebagai tafakkur, dan juga transcendental meditation yang diharamkan dalam Islam. Prof. Dr. Malik Badri menegaskan perbezaan antara konsep tafakkur dan transcendental meditation di mana walaupun tafakkur juga menyediakan natijah yang sama seperti apa yang ada pada transcendental meditation, tafakkur mempunyai tujuan yang lebih tinggi.

Tafakkur itu menurut beliau melalui 4 peringkat:

  1. Ilmu tentang objek yang difikirkan melalui pancaindera.
  2. Merenung dengan lebih dekat terhadap kecantikan dan kualiti apa yang difikirkan
  3. Pengamal tafakkur melepasi sempadan objek yang difikirkan, terus sampai kepada Pencipta dengan penuh keterujaan dan penyerahan diri sepenuhnya.
  4. Tidak lagi melihat ciptaan-Nya, kecuali melihatnya dengan penuh kesempurnaan, keindahan dan hikmah yang meliputi. Inilah yang dinamakan maqam musyahadah dalam tasawwuf.[18]

Walaupun diubahsuai dengan nilai-nilai Islam, kami amat khuatir ianya menghampiri kepada pengamalan kelompok Zen iaitu mazhab Mahayana bagi ajaran Buddha di Jepun yang menekankan kepada nilai meditasi dan intuisi berbanding ritual ibadah dan pengajian teks agama. Antara rujukan yang baik bagi memahami konsep meditasi di sisi Buddha adalah Buddhist Meditation: An Anthology of Texts from the Pali Canon.

  1. Chakra

Melalui status FB motivator ini, beliau memperkenalkan 7 chakra sebagai pusat tenaga di dalam tubuh badan manusia. 7 chakra tersebut adalah:

  1. Root chakra
  2. Sacral chakra
  3. Solar plexus chakra
  4. Heart chakra
  5. Throat chakra
  6. Third eye chakra
  7. Crown chakra

Ulasan

Ada yang mengaitkan chakra dengan konsep al-lata’if al-sittah dalam ilmu tasawwuf. Walaubagaimanapun, setelah penelitian dibuat, kedua-dua konsep ini jauh berbeza.

Chakra atau juga ditulis cakra dalam Bahasa Sanskrit bermaksud roda-roda atau cakera-cakera. Dalam ajaran Tantra Hindu, chakra adalah pusat tenaga kepada jasad psikik. Ajaran Tantra kebiasaannya menyebutkan 6 chakra. Ianya tersusun sepanjang tulang belakang seperti berikut:

  1. Bawah tulang belakang.
  2. Kawasan pusat
  3. Hati
  4. Kerongkong
  5. Kawasan antara atau atas kening
  6. Bahagian ubun-ubun (fontanel).

Setiap chakra mempunyai dewa-dewanya, kuasa, kemampuan, diagram, warna dan huruf tertentu. Tujuan utama ajaran Tantra adalah untuk menggerakkan keseluruhan tenaga ke bawah tulang belakang melalui pelbagai chakra, satu persatu. Apabila tenaga itu sampai kepada chakra yang tertinggi, pengamalnya mencapai pencerahan (enlightenment) dan pembebasan (liberation).[19]

Penemuan terawal berkenaan konsep chakra sebagai tenaga dalaman datang daripada teks agama Buddha pada kurun ke-8 iaitu Hevajra Tantra yang mengenalpasti 4 cakra dalam tubuh badan manusia iaitu di pusat, hati, kerongkong dan kepala. Pun begitu, ada juga tradisi yoga yang lain, menyenaraikan 12 chakra yang ada dalam tubuh badan.

Menurut sistem 6 lipatan yang terkenal, nama dan lokasi chakra adalah seperti berikut:

  1. Muladhara, terletak antara lubang dubur dan kemaluan. Digambarkan dalam bentuk bunga teratai dengan 4 kelopak.
  2. Svadhisthana, terletak di pangkal kemaluan. Digambarkan dengan 6 kelopak.
  3. Manipura, terletak di pusat. Digambarkan dengan 10 kelopak.
  4. Anahata, terletak di hati. Digambarkan dengan 12 kelopak.
  5. Visuddha, terletak di kerongkong. Digambarkan dengan 16 kelopak.
  6. Ajna, terletak di antara dua kening. Digambarkan dengan 2 kelopak.

Di atas 6 chakra ini, terletak cakra terutama iaitu yang ke-7. Ia dinamakan sahasrara dan digambarkan dalam bentuk bunga teratai dengan 1000 kelopak sebagai tempat bersemayam bagi Dewa Shiva.

Pada awal abad ke-21, chakra dan kaedah membangunkannya ditemui bukan hanya dalam tradisi esoterik Tantra tetapi juga tersebar luas melalui praktis yoga. Ianya ditemui juga di dunia Barat dan lazim terdapat dalam ajaran Gerakan Zaman Baru (New Age Movement) dan pelbagai bentuk ajaran spiritual alternatif merentasi Eropah dan Amerika Syarikat.[20]

Al-Lata’if al-Khamsa / al-Sittah yang ditemui dalam ilmu tasawwuf mempunyai perbahasan yang berbeza. Al-Lata’if berasal daripada kalimah al-latif yang diterjemahkan sebagai halus. Dalam ilmu tasawwuf, terminologi latifah membawa makna komponen yang tidak berjisim dalam tubuh manusia yang boleh “dibangunkan” melalui amalan kerohanian. Ianya berkemungkinan berasal daripada konsep al-jism al-latif yang wujud pada abad ketiga Hijrah.

Jika diteliti, Al-Lata’if al-Khamsah ada diajarkan bagi yang mengikut tarikat Naqsyabandiah. Al-Lata’if al-Khamsah adalah titik tenaga dalam tubuh di mana seorang salik perlu memfokuskan sepenuh perhatian dalam tafakkur sehingga seluruh jiwanya dan rohaninya berubah.

Hal ini dijelaskan dengan terperinci oleh seorang ahli sufi, Khwaja Mir Dad[21]. Menurutnya, Al-Lata’if al-Khamsah itu dapat difahami dengan amalan zikir pada lima titik pusat:

  1. Zikir qalbi, terletak di hati di sebelah kiri dada. Ia dikaitkan dengan cinta dan keinginan yang mendalam.
  2. Zikir ruhi, terletak di hati sebelah kanan dada. Ia dikaitkan dengan ketenangan.
  3. Zikir sirri, hampir kepada sebelah kiri dada. Ia dikaitkan dengan keakraban.
  4. Zikir khafawi, hampir kepada sebelah kanan dada. Ia dikaitkan dengan dengan hilangnya sifat keakuan kepada diri.
  5. Zikir akhfawi, terletak di tengah dada. Ianya adalah petanda kesempurnaan dan fana’.

Zikir-zikir ini dipanjangkan kepada otak dalam kepuasan dan kegembiraan yang sempurna (zikir nafsi, bersambung dengan nafs qaddisah, jiwa yang suci) dan seterusnya tersebar ke seluruh jasad, tubuh badan dan roh. Apabila salik telah mencapai tafakkur dan rasa aman yang sempurna, itulah yang dinamakan zikir sultani.

Sebagaimana pandangan sufi lain, Khwaja Mird Dad berpandangan bahawa amalan zikir ini perlu konsisten. Zikir itu adalah ubat bagi roh dan doktor perlu mempelajari seni perubatannya melalui latihan amali berbanding hanya belajar melalui buku.[22]

Teori lata’if ini juga ada dihuraikan dengan sangat baik oleh ulama’ India kurun ke-18, Syah Waliyullah al-Dehlawi dalam bukunya, Altaf al-Quds. Perbahasan lata’if juga boleh didapati dalam buku Mirsad al-‘Ibad oleh Najmuddin al-Razi yang terinspirasi dengan firman Allah SWT:

وَإِن تَجْهَرْ بِالْقَوْلِ فَإِنَّهُ يَعْلَمُ السِّرَّ وَأَخْفَى

Maksudnya: “Dan jika engkau menyaringkan suara dengan doa permohonanmu, (maka yang demikian tidaklah perlu), kerana sesungguhnya Allah mengetahui segala rahsia dan segala yang tersembunyi.” (Surah Taha: 7)

Begitu juga ‘Alauddin al-Simnani yang mengembangkan teori Najmuddin al-Razi menjadikannya 7 titik pusat dengan menambahkan konsep kerangka fizikal (qalab) dan di atasnya ada titik pusat yang dinamakan haqiyyah dan ‘ananiyyah.[23]

Melihat kepada penjelasan yang telah diberikan ini, terbukti chakra dan lata’if tidak ada kaitan sama sekali dan amat jauh perbezaannya. Selain itu, teori lata’if ini bukanlah boleh dicapai dengan hanya seminar beberapa hari atau slot beberapa jam melainkan zikir dan latihan kerohanian yang melalui proses yang panjang di bawah pengawasan syeikh mursyid.

  1. Universal Oneness

Menurut penganjur dalam satu petikan di Facebook: “Dalam kelas Mega Metamorphosis ada satu module tajuk Universal Oneness. Yang ni, peserta yang sempat belajar ni, semua balik terus jadi penuh kasih sayang. Tengok semut rasa sayang, tengok pokok rasa sayang, tengok awan rasa sayang, tengok kereta, bangunan, orang sekeliling, semua rasa sayang. Sebab semua benda adalah kita, kita adalah semua benda. We are all energy. We are all interconnected. In fact, we are all one. Dari sekecil-kecil atom, hingga sebesar-besar Galaxy. Kita semua mempunyai signature pattern yang sama, kita di perbuat dari satu benda yang sama. Energy.

Ulasan

Kami dengan penuh insaf amat meyakini bahawa penganjur tidaklah mempunyai niat tertentu sebaliknya tidak mengetahui bahawa apa yang dinukilkannya, adalah antara tema-tema utama yang dibawakan oleh Gerakan Zaman Baru (New Age Movement).

Teologi dalam NAM adalah bersifat inklusif dan universal yang menerima secara sama semua pegangan akidah individu. Ini kerana, NAM melihat perihal ketuhanan tidak boleh difahami dengan minda dan bahasa.[24] Rujukan-rujukan dalam NAM secara lazimnya membawakan bentuk yang samada dalam menggambarkan perihal ketuhanan. Antaranya:

  • Oleh itu, kita akan melihat istilah-istilah yang digunakan adalah Ocean of Oneness, Infinite Spirit, Primal Stream, One Essence dan Universal Principle.[25]
  • Pencirian perihal ketuhanan sebagai Mind, Consciousness dan Intelligence.[26]
  • Huraian bagi perihal ketuhanan. Dikenali sebagai energy.
  • Pencirian perihal ketuhanan sebagai life force.

Kami amat khuatir kenyataan yang dikeluarkan oleh penganjur ini kerana ia amat hampir kepada idea Neo-Qadariyyah dan mereka yang berpegang dengan Wahdatul Wujud. Ahli Sunnah Wal Jamaah membezakan antara wujud manusia dan wujud Allah SWT (ithnainiyyatul wujud). Ahli Sunnah Wal Jamaah juga tidak menganggap manusia mampu melakukan segala-galanya sehingga meninggalkan pemahaman konsep qada’ dan qadar, juga sifat-sifat-Nya seperti Qudrah (Maha Berkuasa) dan Iradah (Maha Berkehendak).

Selain itu, ia amat hampir dengan falsafah Perennialisme yang beranggapan bahawa perihal kerohanian bagi semua agama berkongsi satu kebenaran metafizik. Walaupun berbeza pada eksoterik, tetapi akan bersatu jua pada esoterik.

Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah-Wilayah Persekutuan Kali Ke-90 yang bersidang pada 25 Mac 2015 telah membincangkan perkara berkenaan dengan Larangan Mengamalkan Ajaran yang Menyalahi Pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Antara ciri-ciri ajaran yang menyalahi pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah (iv) Berpegang kepada konsep manusia bersatu dengan Allah SWT.

  1. Salahfaham Beberapa Ayat al-Qur’an, Hadith dan Sirah

Terdapat juga ayat al-Qur’an dan Hadith yang disebarkan dalam kalangan mereka di mana ianya seolah-olah mengiyakan kefahaman bahawa tidak boleh berdoa dalam keadaan ada perasaan yang negatif dalam hati seperti takut, sedih dan risau. Sedangkan, ianya bercanggah dengan apa yang dinyatakan dalam al-Qur’an dan Hadith.

Firman Allah SWT:

وَيَدْعُ الْإِنْسَانُ بِالشَّرِّ دُعَاءَهُ بِالْخَيْرِ وَكَانَ الْإِنْسَانُ عَجُولًا

Dan manusia berdoa dengan (memohon supaya ia ditimpa) kejahatan sebagaimana ia berdoa dengan memohon kebaikan, dan sememangnya manusia itu (bertabiat) terburu-buru. (Surah al-Isra': 11)

Sebahagian daripada mereka yang tidak memahami ayat di atas, menganggap inilah bukti tidak boleh berdoa dalam keadaan negatif. Antaranya testimoni yang diberikan dalam ruang komen di satu hantaran Facebook: “Tuan…saya baca ayat ni tapi tak faham. Saya fikir sapa yang nak doa keburukan untuk diri…Rupanya memang kita selalu tak sengaja mendoakan perkara negatif. Saya ulang2 nota video dalam kelas online tuan. Skrg saya faham maksud ayat ini…Sekarang saya faham dan jelas bagaimana kita sepatutnya berdoa. Feelings are prayers.”

Kata Imam Ibn Kathir:

“Allah mengkhabarkan hamba-Nya tentang kelembutan-Nya kepada hamba-hamba-Nya: ‘Dia tidak memakbulkan doa mereka apabila mereka mendoakan keburukan ke atas diri mereka, harta-harta mereka atau anak-anak mereka dalam keadaan mereka sedang marah. Dia mengetahui bahawa sebahagian daripada mereka tidak bermaksud dengan apa yang mereka doakan. Oleh itu, tidak dimakbulkan doa keburukan tersebut.”[27]

Berdasarkan penjelasan Imam Ibn Kathir, dapat kita fahami bahawa ayat di atas sama sekali tidak ada kaitan dengan berdoa dalam keadaan yang negatif seperti risau dan takut. Ayat di atas adalah berkenaan sebilangan manusia yang mendoakan keburukan buat diri dan juga sekeliling mereka.

Begitu juga sebilangan orang yang menyatakan bahawa apabila kita berdoa, Allah SWT semestinya akan memakbulkan doa tersebut jika tekniknya tepat. Dalam masa yang sama, seorang hamba perlu bersangka baik doanya pasti dimakbulkan Allah SWT. Antara dalil yang digunakan adalah firman Allah SWT:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.” (Surah Ghafir: 60)

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: Allah SWT berfirman:

أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِي بِي

Maksudnya: “Aku berada pada sangkaan hamba-Ku kepada-Ku.” (Riwayat al-Bukhari, no. 7505)

Sabda Nabi SAW:

ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ، وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ لَا يَسْتَجِيبُ دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لَاهٍ

Maksudnya: Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kamu yakin bahawa ianya akan dimustajabkan. Dan ketahuilah kamu bahawa Allah SWT tidak akan memustajabkan doa yang datang daripada hati yang lalai lagi alpa." Riwayat al-Tirmizi (3479)

Imam al-Baghawi menjelaskan maksud (وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ) dengan katanya: “Sembahlah aku dan tidak selainku, nescaya Aku akan mengabulkan, memberikan ganjaran dan mengampunkan kamu semua. Apabila dinyatakan ibadah itu dengan doa, datang ganjaran itu sebagai tanda mustajabnya.[28]

Ia tidak bermaksud apa jua yang kita minta, secara pasti akan dimakbulkan begitu sahaja oleh Allah SWT. Prasyarat utama yang ditekankan adalah keimanan dan tauhid yang murni kepada-Nya untuk kemakbulan doa.

Menurut Mulla ‘Ali al-Qari, lafaz (ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ) adalah bermaksud “dalam keadaan kamu benar-benar”. Manakala (مُوقِنُونَ بِالْإِجَابَةِ) adalah “Jadilah kalian ketika berdoa dalam keadaan berhak akan kemustajabannya dengan berbuat kebaikan, menghindari kemungkaran, meraikan syarat-syarat doa seperti hadirnya hati, memerhatikan masa-masa yang terbaik, tempat-tempat yang yang mulia, menjaga keadaan-keadaan yang halus seperti sujud dan lain-lain sehingga keyakinan kepada makbulnya doa itu dalam hati lebih banyak daripada tertolaknya doa atau diinginkan dan kalian berkeyakinan bahawa Allah SWT tidak mengecewakan kalian kerana luasnya kemurahan-Nya, kesempurnaan sifat Qudrah-Nya, Ilmu-Nya yang meliputi, bagi membenarkan pengharapan dan kesucian doa…"

[29]

Maka, dapat kita fahami bahawa untuk sesuatu doa itu dimakbulkan, terdapat rukun dan syarat yang perlu dipatuhi. Disamping itu, wajar untuk kita fahami bahawa sifir doa itu tidak boleh difahami “Jika seorang hamba berdoa memohon A, Allah pasti akan beri A.”. Ini bersalahan dengan kefahaman yang sebenar sebagaimana yang disebutkan daripada Abu Sa’id al-Khudri RA meriwayatkan Nabi SAW bersabda:

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَدْعُو بِدَعْوَةٍ لَيْسَ فِيهَا إِثْمٌ وَلَا قَطِيعَةُ رَحِمٍ ، إِلَّا أَعْطَاهُ اللَّهُ بِهَا إِحْدَى ثَلَاثٍ إِمَّا أَنْ تُعَجَّلَ لَهُ دَعْوَتُهُ ، وَإِمَّا أَنْ يَدَّخِرَهَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ ، وَإِمَّا أَنْ يَصْرِفَ عَنْهُ مِنَ السُّوءِ مِثْلَهَا " ، قَالُوا : إِذًا نُكْثِرُ ؟ ، قَالَ : اللَّهُ أَكْثَرُ .

Tidaklah seorang Muslim berdoa dengan doa yang tidak mengandungi dosa dan memutuskan silaturahim, kecuali Allah akan memberikan kepadanya salah satu daripada tiga perkara berikut: (i) Akan disegerakan doanya, (ii) ditangguhkan ke hari Akhirat, (iii) dijauhkan keburukan semisalnya daripada orang yang berdoa. Para sahabat bertanya: Oleh itu, kami perlu banyak berdoa? Baginda menjawab: Pemberian Allah lebih banyak!” (Riwayat Ahmad, no. 11133)

Inilah bukti betapa Maha Pemurah, Maha Pengasih serta Maha Bijaksana Allah SWT yang mengetahui apa jua yang terbaik buat diri hamba-Nya. Boleh jadi apa yang kita minta, tidak baik buat diri kita. Boleh jadi apa yang kita benci, itulah yang terbaik buat diri kita. Firman Allah SWT:

وَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ وَعَسَىٰ أَن تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ ۗ وَاللَّـهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Surah al-Baqarah: 216)

Selain daripada itu, anggapan bahawa Allah akan memberi apa jua yang kita kehendaki adalah tidak tepat. Pepatah Arab ada menyebut:

أنا أريد وأنت تريد و الله يفعل ما يريد

Maksudnya: “Saya menginginkan, kamu juga menginginkan, akan tetapi Allah SWT jualah yang melakukan apa yang Dia inginkan.”

Kami juga agak tersinggung dengan beberapa peristiwa dalam sirah yang cuba untuk dikaitkan dan dimuatkan dengan kepercayaan tertentu. Natijahnya, ia seolah-oleh menyamakan mukjizat kenabian yang hanya khusus untuk Nabi SAW, dengan “keajaiban” yang boleh berlaku kepada manusia biasa. Ini seperti astral projection atau out of body experience (pengembaraan roh) yang dikaitkan dengan Israk Mikraj, living abundance yang dikaitkan dengan mukjizat susu yang tidak habis dalam peristiwa Perang Khandaq di rumah Jabir bin Abdullah RA dan lain-lain.

 

Jika Kaedah Ini Salah, Mengapa Doa Makbul?

Ada dua jawapan mengapa doa makbul jika dikatakan prasyaratnya tidak menepati lunas-lunas syarak.

Pertama, keizinan Allah SWT terhadap satu hal bukanlah bermakna Dia redha terhadap perkara tersebut. Tidak semestinya izin itu beriringan dengan redha. Al-Kafawi dalam al-Kulliyyat mendefinisikan izin sebagai membolehkan sesuatu berlaku, manakala redha bermaksud kasih kepada sesuatu.[30]

Dalam akidah, kehendak (iradah) Allah SWT itu dapat difahami dalam dua bentuk iaitu al-iradah al-syar’iyyah dan al-iradah al-kauniyyah. Al-Iradah al-kauniyyah ini bukan hanya berlaku kepada Muslim bahkan ianya juga berlaku kepada orang kafir. Ini kerana, ketaatan dan kemaksiatan berlaku dengan kehendak Allah SWT. Manakala, al-iradah al-syar’iyyah ini mencakupi kasih sayang Allah SWT dan redha-Nya.

Contoh al-iradah al-kauniyyah adalah sebagaimana firman Allah SWT:

وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِقَوْمٍ سُوءًا فَلَا مَرَدَّ لَهُ وَمَا لَهُمْ مِنْ دُونِهِ مِنْ وَالٍ      

Maksudnya: “Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.”  (Surah al-Ra’d: 11)

Inilah yang difahami dengan kaedah:

أن الإرادة لا تستلزم الرضى والمحبة

Maksudnya: "Sesungguhnya kehendak (Allah SWT) tidak lazim bersama dengannya redha dan kasih-sayang."

Contoh al-iradah al-syari’yyah al-qadariyyah adalah sebagaimana firman Allah SWT:

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

Maksudnya: “(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.” (Surah al-Baqarah: 185)

Maka, kita dapat fahami bahawa berlakunya segala perkara adalah dengan izin Allah SWT namun, ia tidak menjamin keredhaan-Nya. Ini sebagaimana terjadinya peperangan, kemaksiatan, kejahatan, keburukan di mukabumi. Ianya tetap berlaku walaupun Allah SWT itu Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Maha Memerhati. Itulah ujian bagi manusia yang beriman selaku khalifah Allah SWT untuk memperbetulkannya dan menyeru sekaliannya untuk kembali kepada jalan-Nya yang benar.

Oleh itu, apakah jaminan kita akan keredhaan-Nya terhadap doa-doa kita dalam keadaan ianya bercanggah dengan al-Qur’an dan al-Sunnah? Disinilah pentingnya untuk seorang hamba berdoa dengan keseimbangan rasa raja’ (harap) dan khauf (takut) kepada Allah SWT. Firman Allah SWT:

إِنَّهُمْ كَانُوا يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَيَدْعُونَنَا رَغَبًا وَرَهَبًا وَكَانُوا لَنَا خَاشِعِينَ

Maksudnya: “(Kami limpahkan berbagai ihsan kepada Rasul-rasul itu ialah kerana) sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan, dan sentiasa berdoa kepada kami dengan penuh harapan serta gerun takut; dan mereka pula sentiasa khusyuk (dan taat) kepada Kami.” (Surah al-Anbiya’: 90)

Kedua, jika sesuatu usaha itu dijalankan mengikut kaedah yang tepat, menepati prosedur yang digariskan maka boleh sahaja apa yang diinginkan itu berjaya diperoleh. Ini adalah hal yang dapat difahami dengan mudah melalui isu sabab dan musabbab. Perbincangan ini pada asasnya tidak lari daripada hukum adat disisi Asyai`rah sebagaimana dikupas dalam al-Muqaddimat oleh Imam al-Sanusi:

  • Kaitan antara wujud dengan wujud; Seseorang itu kenyang kerana dia makan.
  • Kaitan antara tidak wujud dengan tidak wujud; Seseorang tidak kenyang kerana tidak makan.
  • Kaitan antara wujud dengan tidak wujud; Seseorang itu lapar kerana dia tidak makan.
  • Kaitan antara tidak wujud dengan wujud; Seseorang itu tidak lapar kerana dia makan.

Di samping, Asya’irah juga berpandangan bahawa ada musabbib al-asbab iaitu Allah SWT yang difahami melalui kehendak Allah SWT (al-iradah al-qadimah) dan kekuasaan Allah SWT (al-qudrah al-qadimah). Ini kerana, akidah Islam tidak menafikan peranan usaha (iktisab) dan pilihan (ikhtiyar) dalam kehidupan manusia.

Sebagai contoh, satu agensi dalam institusi kerajaan memerlukan perolehan mesin fotostat yang bernilai sebanyak RM 6, 000.00. Maka pembelian ini boleh diuruskan oleh agensi itu sendiri setelah mendapat kebenaran pihak atasan. Tawaran perolehan ini adalah secara terus kepada vendor berdaftar yang dipilih. Syarikat A menyediakan semua dokumen dan menepati semua syarat yang digariskan oleh agensi terbabit berbanding Syarikat B yang tidak lengkap persediaannya. Disebabkan itu, sudah tentu Syarikat A yang dipilih, dengan izin Allah SWT.

 

Peringatan Tentang Gerakan Zaman Baru (New Age Movement)

Asal usul gerakan NAM adalah bersumberkan kepada ajaran agama Hindu, Buddha, falsafah Yunani, Yahudi dan Mesir Kuno termasuk falsafah Tao. Menurut Dr. Fouz A. Kurdi, ajaran ini masuk ke dalam Islam seawal akhir abad pertama Hijrah dan menjadi lebih kukuh pada abad ke-2 H seiring dengan bertambahnya bilangan penganut Islam dan pengaruh penterjemahan ajaran falsafah Yunani.

Di sinilah muncullah kelompok gnostisime dalam bentuk tasawwuf yang menyeleweng, Syiah yang ekstrem, Isma’iliyyah Batiniyyah, dan selainnya.[31] NAM mula terbentuk secara lebih tersusun pada separuh kedua abad ke-19 dan digerakkan oleh 4 gerakan utama iaitu Transcendentalism yang diwakili oleh Ralph Emerson, New Thought oleh Phineas Quimby, Spiritualism oleh Emanuel Swedenborg danTheosopical Society oleh Helena Balavatsky.

Di sinilah munculnya bibit awal NAM yang dianggap sebagai gerakan spiritual di Barat yang akan menjadi penyelamat kepada generasi pemuda Amerika pada ketika itu yang dikenali dengan nama hippies dan punks.[32]

Sehingga kini, NAM terus berkembang menyelusup masuk dalam pemikiran manusia melalui buku, seminar dan lain-lain yang membawa tema kebahagiaan, ketenangan dan kejayaan dalam hidup melalui amalan kerohanian yang bersifat trans-agama. Apa yang merisaukan kita selaku umat Islam, kita sudah pasti tidak menginginkan identiti dan pemahaman Islam luput sedikit demi sedikit atas nama keterbukaan.

Daripada Abu Sa’id al-Khudri bahawa Nabi SAW bersabda:

لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ مَنْ قَبْلَكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ، وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ، حَتَّى لَوْ سَلَكُوا جُحْرَ ضَبٍّ لَسَلَكْتُمُوهُ ‏"‏‏.‏ قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ، الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى قَالَ ‏‏ فَمَنْ ‏‏‏.‏

Maksudnya: “Kamu semua pasti akan mengikut jalan orang-orang sebelum kamu semua sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehinggalah jika mereka masuk ke dalam lubang biawak pun kamu semua akan memasukinya. Kami (iaitu para sahabat) bertanya: Ya Rasulullah, adakah mereka itu Yahudi dan Nasrani? Baginda menjawab: Siapa lagi (kalau bukan mereka)?” (Riwayat al-Bukhari, no. 3456)

Ibn Hajar al-‘Asqalani menyatakan: Ibnu Battal berkata: Rasulullah SAW memberitahu bahawa umatnya akan mengikuti perkara-perkara baru daripada hal-hal bid'ah dan yang mengikut hawa nafsu sebagaimana yang berlaku kepada umat sebelum mereka. Baginda telah memberi amaran dalam banyak hadis tentang keadaan akhir zaman yang buruk. Kiamat tidak akan berlaku kecuali kepada manusia-manusia yang buruk. Ketika itu agama hanya dipegang oleh orang-orang tertentu sahaja. Ibnu Hajar berkata: Sesungguhnya telah berlaku kebanyakan daripada apa yang Nabi SAW berikan amaran tentang dan akan berlaku yang selebihnya.[33]

 

Kenyataan Mufti Wilayah

Sebarang seminar motivasi dan pembangunan diri adalah amat dialu-alukan untuk dijalankan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Namun, sebaiknya ia dalam bentuk dokumentasi yang jelas, dan semestinya berpandukan al-Qur’an dan al-Sunnah.

Istilah-istilah daripada pelbagai bahasa luar selain Bahasa Melayu yang mempunyai konotasi atau kaitan dengan agama, perlulah diberi perhatian yang serius. Ini kerana, lazimnya bahasa juga membawa pandangan alam (worldview) sesuatu tamadun. Ini sebagaiamana yang dinyatakan oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas tentang Islamisasi yang berlaku terhadap bangsa Melayu:

Islamisasi ialah pembebasan manusia pada tahap awalnya daripada tradisi magis, mitos, animisme dan tradisi budaya nasionalnya, seterusnya pembebasan daripada cengkaman ke atas fikiran dan bahasanya. Islamisasi bahasa membawa kepada Islamisasi pemikiran dan akal budinya, kerana bahasa, pemikiran dan akal begitu rapat hubungannya dalam memprojeksikan pandangan alam semestanya atau worldview. Pembebasan ini akan mengembalikannya (devolusi bukan evolusi) kepada fitrah kejadiannya yang asal berkeadaan harmonis dan saksama dengan segala kewujudan; iaitu bebas daripada tekanan nafsu badaniah yang bersifat sekular desakan sifat pelupanya yang membawa kepada kejahilan terhadap matlamat kejadiannya dan akan merosakkan dirinya.[34]

Kita tidak akan menemukan istilah chakra, kundalini, shumshuma, reiki, dan lain-lain dalam Bahasa Melayu kerana ianya adalah di luar pandangan alam kita. Apabila istilah-istilah ini diambil, ada bersamanya pemikiran dan akal budi yang dibawa dan dalam konteks ini, pemahaman keagamaan bagi istilah-istilah tersebut. Justeru, ia tidak boleh sama sekali disuaipadan dengan Bahasa Arab, mahupun Bahasa Melayu apatah lagi al-Qur’an dan al-Hadith untuk memenuhi kehendak kita. Adapun perkara dunia yang tiada kaitan dengan agama-agama lain dan tidak bercanggah dengan Syarak, adalah tidak menjadi kesalahan untuk diamalkan,

Setelah meneliti apa yang telah diajarkan oleh motivator ini dalam Seminar Metamorphosis sebelum ini termasuk dalam Facebook dan video-video beliau serta pengakuan beliau sendiri, Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan pada 26 September 2019 telah memutuskan bahawa:

  1. Masalah-masalah yang telah disenaraikan di atas adalah bercanggah dengan Syariat Islam. Peringatan ini juga adalah untuk mana-mana individu mahupun penganjur mana-mana seminar lain yang menjalankan bentuk modul yang serupa atau hampir serupa.
  2. Kami juga menyeru semua alumni Metamorphosis yang masih berpegang kepada perkara-perkara di atas untuk bertaubat dan meninggalkan terus amalan dan kepercayaan tersebut. Dalam masa yang sama, kami menasihati umat Islam untuk mempelajari apa jua ilmu daripada sumber yang berautoriti.
  3. Setiap apa yang dipelajari berkaitan agama, perlulah daripada individu yang berkelayakan, memiliki manhaj ilmu yang betul dan mempunyai tauliah mengajar agama seperti yang termaktub dalam peruntukan undang-undang.
  4. Penganjur perlu membuat penjelasan terbuka berkenaan modul-modul yang bermasalah dan bercanggah dengan Syariat Islam kepada alumni Metamorphosis.
  5. Kami menyeru umat Islam untuk tidak mudah memberikan label kepada beliau atas kekhilafan ini kerana ini kemungkinan besar silibus Metamorphosis disusun secara tergesa-gesa tanpa merujuk kepada pihak berwajib terlebih dahulu.

 

SAHIBUS SAMAHAH DATUK DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

_____________________________________________________

[1] Lihat Adhwa’ al-Bayan, 3/145

[2] Lihat Taysir al-Latif al-Mannan, m. 50

[3] Al-Ashbah wa al-Naza’ir, m. 365.

[4] Lihat Fatawa Ibn Salah, 2/473.

[5] Lihat Asna’ al-Matalib, 4/344.

[6] Lihat al-Minhaj Syarh Muslim, 10/101

[7] Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 8/427

[8] Lihat al-Iqna’, 1/245

[9] Lihat Tuhfah al-Habib, 4/366

[10] Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an, 4/231

[11]

[12] Lihat John L. Crow, “Taming the astral body: the Theosophical Society's ongoing problem of emotion and control", Journal of the American Academy of Religion, 80 (3): 691–717

[13] Lihat Philosophy of Pseudoscience: Reconsidering the Demarcation Problem, m. 138.

[14] Lihat Astral Travel for Beginners, m. 101-133.

[15] Lihat Tafsir al-Munir, 8/168.

[16] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 2/537.

[17] Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 5/194.

[18] Lihat Contemplation: An Islamic Psychospiritual Study, m. 31

[19] Lihat The Encyclopedia of World Religions, m. 70.

[20] Lihat Encyclopedia of Religion, 3/1348-1349.

[21] Lihat ‘Ilm al-Kitab, m. 112, 637.

[22] Lihat ‘Ilm al-Kitab, m. 161.

[23] Lihat Shah Wali Allah’s Theory of the Subtle Spiritual Centers (Lata’if): A Sufi Model of Personhood and Self-Transformation, m. 7.

[24] Lihat New Age Religion and Western Culture: Esotericism in the Mirror of Secular Thought, m. 186.

[25] Lihat New Age Religion and Western Culture: Esotericism in the Mirror of Secular Thought, m. 186.

[26]

[27] Lihat Tafsir al-Qur’an al-Azim, 4/251.

[28] Lihat Tafsir al-Baghawi, 4/120.

[29] Lihat Mirqat al-Mafatih Syarh Mishkat al-Masabih, 4/1531.

[30] Lihat al-Kulliyyat, m. 72 & 76

[31] Lihat al-Ghunusiyyah fi al-Islam, m. 6-12

[32] Lihat The Implications of New Age Thought for the Quest for Thruth: A Historical Perspective: m. 36

[33] Lihat Fath al-Bari, 13/301.

[34] Lihat Islam and Secularism, m, 41-44.