Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE 217: DEBAT PIALA TUN ABDUL RAZAK: INILAH PENDAPAT KAMI

ih124 5c 20 5c 26736410 2

Mukadimah

Beberapa hari lalu, kami dikejutkan dengan satu berita berkaitan topik Debat Piala Tun Razak yang dianggap melampau dan sensitif bagi agama Islam dan umatnya. Isu ini mendapat bantahan dan komentar daripada pelbagai pihak dan ia menjadi polemik yang semakin besar. Kami cuba menekuni isu ini dan merasa terpanggil untuk mengeluarkan Bayan Linnas ini semata-mata memberi jawapan kepada ummah agar perkara seperti ini benar-benar diberi perhatian yang khusus oleh pihak penganjur dan badan berautoriti. Semoga pencerahan ini menjadi solusi kepada isu dan polemik seperti ini.

 

Konsep Adab al-Bahth wa al-Munazarah

Syeikhul Azhar Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi menyatakan maksud perdebatan (al-mujadalah) adalah ‘menundukkan dan mengalahkan musuh melalui penegakan hujah serta bukti-bukti yang kukuh. (Lihat Adab al-Hiwar fi al-Islam, hlm. 4)

Ilmu perdebatan atau dikenali sebagai adab al-bahth walaupun berakar seawal daripada ilmu jadal dan logik (mantiq), ia sebenarnya ditemui dalam bentuk disiplin ilmu melalui penulisan Imam Ruknuddin al-Amidi dan Imam Syamsuddin al-Samarqandi. Sebelum daripada itu, masyarakat Arab dan dunia Islam sudah pun mempraktikkan pelbagai teknik-teknik penghujahan seperti satira (al-hija’), saling mengkritik (al-naqa’id) dalam puisi, mujadalah dalam konteks al-Qur’an dan perselisihan (khilaf) serta dialektik dalam perbahasan fiqh dan akidah.

Menurut Syeikh Muhammad Abu Zahrah, terdapat 3 konsep perdebatan dalam Islam:

  1. Al-Munazarah: Tujuannya adalah untuk mencapai kebenaran berhubung tajuk yang diperselisihkan pandangan oleh mereka yang berbincang tentangnya.
  2. Al-Jadal: Tujuannya untuk menekan pihak lawan dan mengalahkannya pada peringkat menentukan dalil untuk menetapkan sesuatu keputusan bagi yang ditunjukkan (istidlal).
  3. Al-Mukabarah: Tujuannya bukan untuk mengalahkan pihak lawan mahupun mencapai kebenaran tetapi untuk mengalih topik, populariti atau semata-mata kerana hajat tertentu atau tujuan-tujuan lain yang tidak akan membantu kepada kebenaran walaupun sedikit. (Lihat Tarikh al-Jadal, 5)

Berdasarkan konsep perdebatan yang dikemukakan oleh Syeikh Muhammad Abu Zahrah, ia jelas menunjukkan kepada kita bahawa perdebatan memerlukan sejumlah ilmu pengetahuan dan pengalaman yang berhubung isu yang hendak didebatkan atau dibincangkan dengan memahami intipati topik (lubb al-maudu’) dan titik perselisihkan (mahal al-niza’) dan akhirnya ditentukannya sehingga jawapan menunjukkan kepada natijah yang sebenar.

Tafsir Surah al-Nahl Ayat 125

Firman Allah SWT:

ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ

Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik.”

(Surah al-Nahl: 125)

Imam al-Qurtubi berkata: Sekiranya ada keperluan untuk perdebatan hendaklah dilakukan dengan baik demi mencari kebenaran. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 5/131)

Imam al-Nasafi menyebut, istilah al-Mujadalah atau perdebatan yang diadakan mestilah mengikut cara perbincangan yang terbaik dengan menjaga budi bahasa dan berlemah lembut. Al-Mujadalah yang boleh mengguriskan hati, menyakitkan jiwa dan merosakkan fikiran dilarang dalam Islam. (Lihat Tafsir Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Takwil, 1/702)

Mujadalah adalah nama bagi perbuatan jadal. Dalam ilmu perdebatan jadal ialah perdebatan   bukan   dengan   tujuan   untuk   menzahirkan   kebenaran   bahkan   untuk mengalahkan lawan. Sebaliknya penggunaan jadal (debat) dalam al-Quran pula adalah dengan erti Muhawarah (dialog), kerana bertujuan mencari kebenaran. Dengan sebab itu ianya dikaitkan dengan perkataan atau cara yang lebih baik. (Lihat Uslub al-Hikmah, hlm. 60-61)

Imam al-Syaukani menyatakan perdebatan yang dianjurkan dalam Islam adalah sebaik-baiknya seperti berbentuk perbincangan, forum, atau penerangan yang berkesan, sejajar dengan arahan Allah SWT untuk berhujah secara rasional dan matang. (Lihat Tafsir Fath al-Qadir, 3/123)

Adab Dalam Berdebat

Para ulama’ menggariskan beberapa etika penting dalam memastikan satu-satu perdebatan itu berlangsung dengan adil. Para ulama silam antaranya Syeikh Abd al-Rahman Habannakah al-Maidani dan Syeikh Ibn Taimiyyah menyebutkan di dalam kitabnya berkenaan adab munazarah atau berdebat. Antara yang dinyatakannya:

  1. Niat yang benar bagi menolong kebenaran serta berdakwah kepada agama Allah. Pada saat yang sama, meninggalkan riya’, sum’ah serta untuk memperolehi pangkat dan kemegahan.
  2. Bergantung kepada ilmu yang sahih hasil faedah daripada al-Qur’an dan al-Sunnah. Hendaklah seseorang itu mendahulukan nas naqli (revealed knowledge) berbanding ilmu aqli (acquired knowledge) serta cabang sangkaannya.
  3. Mencari kebenaran dan menghindari ketaksuban serta bersedia sepenuhnya untuk menerima kebenaran ketika nyata dan terzahirnya ia.

Para ulama’ telah membahagikan perdebatan kepada dua; (i) Perdebatan yang dikeji (ii) Perdebatan yang terpuji. Terdapat dua sebab wujudnya perdebatan yang dikeji iaitu:

  1. Perdebatan tanpa ilmu
  2. Perdebatan dengan taksub dan palsu semata-mata untuk memenangkan kebatilan selepas zahirnya kebenaran

Perdebatan yang terpuji adalah yang benar dan merupakan nasihat daripada agama. Benarlah firman Allah SWT:

ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ

Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik.”

  1. Hendaklah pendebat menghiasi diri dengan akhlak Islam yang tinggi ketika berlaku perdebatan dengan ucapan yang manis, jauh daripada cercaan dan melukakan maruah, menghina dan mengejek serta merendahkan orang lain dan pandangan mereka.
  2. Beriltizam ketika berdebat dengan kaedah mantiq yang sempurna tanpa campur aduk dengan falasi dan bergantung kepada fakta yang salah dan menyeleweng.
  3. Menzahirkan penerimaan dengan isu-isu yang telah diterima dan disepakati oleh dua pihak. Begitu juga menerima natijah dan rumusan yang telah sampai kepada dalil-dalil yang qati’e serta yang rajah.
  4. Kembali kepada gaya perdebatan yang dipuji ketika perlu berusaha ke arah itu. Pendebat juga wajarmenjarakkannya daripada perdebatan yang dikeji yang boleh membawa jiwa yang kontang dan keras. (Lihat Fiqh al-Dakwah Ilallah, 1/639/648; Majmu’ al-Fatawa, 2/45)

Berdasarkan kepada adab ini, sewajarnya seseorang mencermati dan sentiasa muhasabah diri tatkala mengadakan perdebatan.

 

Beberapa Bentuk Falasi Logik (al-Mughalatat al-Mantiqiyyah)

Dalam perdebatan, falasi logik adalah hal yang menjadi perhatian utama kerana jika ianya berlaku di pihak lawan, ia menjadi peluang kepada terbukanya banyak ruang-ruang kelemahan dalam berhujah. Pendebat yang bijak akan dapat mengesaniya seterusnya mematikan hujah lawan. Kami sempat meneliti buku al-Mughalatat al-Mantiqiyyah: Fusul fi al-Mantiq Ghair al-Suri oleh ‘Adil Mustafa dan amat tertarik dengan kupasan dalam buku ini. Antara falasi yang mungkin sering ditemui dalam perdebatan adalah:

  1. Straw Man (التحريف)

Falasi ini berlaku apabila pihak lawan terlalu mempermudahkan atau salah dalam menbentangkan hujah anda yang menyebabkan ianya mudah untuk diserang atau dibidas. Daripada membentangkan hujah anda dengan penuh, pendebat yang bergantung kepada falasi ini membawakan hujah seolah-seolah serupa dengan hujah anda tetapi langsung tidak sama. Ini membantu mereka untuk mencipta kekeliruan dan mengalahkan anda.

  1. Bandwagon (مع الجماعة)

Hanya kerana sejumlah orang mempercayai bahawa sesuatu perkara itu benar, ia tidak bermakna perkara tersebut secara automatik menjadi benar. Populariti tidak mengesahkan kebenaran walaupun ianya sering digunakan untuk menjustifikasikannya. Hujah sebegini tidak langsung mengambilkira faktor-faktor yang melayakkan kebenaran itu diterima atau wujudnya pandangan yang berbeza tetapi ia diterima kerana dianggap benar.

  1. Hasty Generalization (التعميم المتسرع)

Falasi ini berlaku apabila seseorang itu membuat kesimpulan berdasarkan bukti yang tidak lengkap. Ia juga bermaksud, kesimpulan terus dibuat berkenaan keabsahan sesuatu perkara tetapi bukti tidak cukup untuk mempertahankannya disamping gagal melihat hujahan balas yang berpotensi membatalkan kesimpulannya.

  1. Middle Ground (الوسطية)

Falasi ini menganggap persefahaman antara dua poin yang bercanggah secara ekstrem adalah benar. Hujah sebegini mengabaikan kemungkinan salah satu daripada kedua-dua poin yang ekstrem ini boleh jadi betul atau salah yang mana ia menjadikan sebarang bentuk persefahaman antara keduanya juga adalah terbatal.

Dalam ilmu Mantiq, terdapat dua faktor utama kesalahan dalam berfikir:

  1. Premis tidak benar.
  2. Penyusunan premis tidak sesuai dengan kaedah mantiq yang tepat.

Proses berfikir dapat diibaratkan seperti sebuah bangunan. Sebuah bangunan akan tersergam indah sekiranya batu-bata disusun dengan baik, berlandaskan ilmu pembinaan yang tepat. Apabila salah satu perkara ini tidak dipenuhi, maka bangunan tersebut tidak akan terbentuk dengan baik. Kami bahawakan contoh qiyas iqtirani (categorical syllogism) seperti di bawah:

[P1] Zaid adalah manusia

[P2] Setiap manusia berlaku zalim

[N] Zaid berlaku zalim

Dari sudut penghujahan, ianya seakan benar dari sudut susunannya. Akan tetapi, adakah premis [P2] itu tepat? Sudah tentu tidak. Kesalahan pada [P2] akhirnya membawa kepada natijah yang salah. Inilah yang kami temui seawal membaca topik-topik kontroversi dalam Debat Piala Tun Razak. Akibat tidak mempunyai pemahaman yang luas terhadap isu-isu yang dikemukakan, akhirnya tajuk-tajuk yang penuh dengan falasi logik dibentuk dan dipertandingkan.

Debat di peringkat sekolah mahupun universiti adalah jauh daripada realiti sebenar perdebatan. Ianya hanya mengutamakan kepada latihan untuk menyampaikan hujah dengan baik, fasih dan lancar tanpa melihat sepenuhnya kepada keabsahan hujah yang dibentangkan. Inilah risiko sekiranya tajuk-tajuk berkaitan sensitviti agama diangkat untuk diperdebatkan.

 

Adakah Usul Debat Berkenaan Berasas (Sound) dan Tepat (Valid)?

Topik yang diusulkan untuk didebatkan adalah dengan usul mencadangkan penulisan semula al-Quran. Pelajar yang mewakili pihak pencadang dikehendaki untuk menjadi pihak yang membela usul untuk 'menulis semula' al-Quran kerana kandungan yang mudah terdedah kepada pentafsiran yang radikal perlu dibuang.

Topik yang diusulkan ini jelas menunjukkan kekeliruan. Mengapa perlu dilakukan ‘penulisan semula’ al-Quran sedangkan yang bermasalah adalah pada pemahaman segelintir pihak pada pentafsiran yang dilakukan. Adakah hanya kerana tindakan (mungkin salah atau betul tindakannya) beberapa orang pelajar yang bermasalah, semua pelajar di sekolah berkenaan perlu dibuang sekolah?

Sebenarnya, faktor yang membawa kepada pentafsiran radikal bukanlah dari ayat al-Quran itu sendiri, sebaliknya disebabkan kefahaman yang rendah dan juga pemahaman terlalu literalistik terhadap teks-teks Quran tersebut. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyebut, faktor utama munculnya radikalisme dalam beragama adalah kurangnya pemahaman yang benar dan mendalam atas inti ajaran agama Islam itu sendiri dan pemahaman literalistik terhadap teks-teks agama. (Lihat al-Sahwah al-Islamiyyah baina al-Juhud wa al-Tatarruf, m. 51-57)

Malah, tidak ada sebab untuk pergi lebih jauh kepada seruan penulisan semula al-Qur’an seperti yang tertera dalam usul berkenaan. Pentafsiran al-Qur’an yang salah dan membawa kepada unsur radikalisme bukanlah sesuatu yang baharu dalam sejarah Islam. Antara kumpulan yang memahami al-Qur’an dalam bentuk pemahaman yang radikal adalah Khawarij. Dalam masa yang sama, para ulama’ silam telahpun menyelesaikan syubhat dan salah faham dalam isu-isu berkaitan. Namun, tidak ada seorang pun yang menyeru kepada penulisan semula atau dirombak sebahagian al-Qur’an disebabkan perkara ini. Cukuplah pepatah Melayu yang mengingatkan kita, “Marahkan nyamuk, kelambu dibakar.”

Begitu juga usul yang menyatakan terdapat bukti kukuh bahawa homoseksual bukanlah dosa dalam Islam. Tiada larangan yang jelas dari Tuhan (dalam al-Qur’an) yang mengatakan bahawa perbuatan homoseksual adalah sebuah dosa, sebaliknya hukuman terhadap dosa homoseksual adalah berdasarkan “ijtima” yang mewarisi sikap homophobia.

Mungkin penganjur terkeliru antara istilah ijma’ (scholarly consensus) dan ijtima’ (gathering). Penguasaan Bahasa Arab amat penting sebelum mana-mana pihak cuba untuk lebih mendalami dan turut serta dalam perbahasan isu-isu pemikiran Islam. Usul yang dibangkitkan penganjur juga bukanlah perkara yang baharu kerana telah disebutkan juga antaranya oleh Scott Siraj al-Haqq Kugle dalam buku Homosexuality in Islam. Hujah-hujahnya amat bermasalah dek lemah dalam pemahaman bahasa, teks hadis yang tidak tepat serta nukilan pendapat-pendapat yang lemah.

Penganjur perlu memahami bahawa sumber hukum dalam Islam bukan sahaja al-Qur’an. Mengehadkan al-Qur’an sebahagai satu-satunya sumber hukum Islam adalah naratif orientalis yang sudah dipatahkan sekian lamanya oleh sarjana Muslim seperti Syeikh Dr. Muhammad Mustafa Al-A'zami dalam beberapa buah bukunya.

Secara asasnya, sumber hukum yang disepakati dalam Islam adalah al-Qur’an, al-Sunnah, Ijma’ dan Qiyas. Selain daripada itu, para ulama’ Usul Fiqh juga memperkenalkan kaedah al-istihsan, al-istishab, al-maslahah al-mursalah, sadd al-zara’i, al-‘urf, qaul al-sahabi, syara’ man qablana dan al-istishab. Untuk memahami dengan lebih mendalam, kami telah menulis sebuah artikel khusus pada 8 April 2016 dalam laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan bertajuk Irsyad Usul Al-Fiqh Siri Ke-3: Sumber-Sumber Hukum Dalam Ilmu Usul Al-Fiqh.

Maka, kami berpendirian bahawa usul itu sendiri sudah mempunyai falasi logik dan dari situ, jelaslah bahawa ianya tidak sesuai lagi untuk diperdebatkan. Bagaimana untuk bersikap kritis terhadap sesuatu isu jika mereka yang terlibat dalam membahaskan isu itu sendiri tidak menguasainya dengan baik?

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Berdasarkan Akta 505 AKTA PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG ISLAM (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1993 Seksyen 33 (Kuasa Mufti) "Mufti hendaklah membantu dan menasihati Yang di-Pertuan Agong berkenaan dengan semua perkara Hukum Syarak, dan dalam semua perkara sedemikian hendaklah menjadi pihak berkuasa utama di Wilayah-Wilayah Persekutuan selepas Yang di-Pertuan Agong, kecuali jika diperuntukkan selainnya dalam Akta ini.", maka kami dengan penuh rendah diri berpandangan, terdapat tiga noktah utama perlu dilihat semula:

  1. Isu pemilihan usul. Amat patut jika sekiranya perbincangan usul yang tidak membabitkan kontroversi serta khilaf yang muktabar dan dibahaskan secara terbuka dalam keadaan kefahaman umat memerlukan jawapan yang paling tuntas untuk isu seperti itu.
  2. Seorang pendebat sewajarnya perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan dan pengalaman. Bagaimana reaksi sepatutnya apabila dihadapkan dengan usul yang berkaitan dengan agama, namun “terpaksa” didebatkan tanpa maklumat yang cukup? Malah, hanya logik akal dan congakan sahaja menjadi “penyelamat. Kami amat bimbang ianya termasuk dalam kata-kata Saidina Ali RA:

لَوْ كَانَ الدِّينُ بِالرَّأْيِ ، لَكَانَ أَسْفَلُ الْخُفِّ أَوْلَى بِالْمَسْحِ مِنْ أَعْلَاهُ

Maksudnya: Kalaulah agama berdasarkan akal semata-mata, maka di bawah khuf itu lebih utama disapu daripada atasnya.

Riwayat Abu Daud (140) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (1438)

iiii. Bilamana dikatakan debat, maka perkiraanya adalah menang dan kalah serta ganjaran dan hadiah yang didapati. Ketika itu, kelancaran dan hujah yang berdasarkan logik, munasabah akan menjadi juara. Makanya konsep mencari kebenaran bukan lagi agenda utama kerana pencadang sudah tentu membela cadangannya begitu juga pembangkang akan membangkang walau apa hujah kebenaran sekalipun.

Justeru, kami merasakan bahawa ini amat tidak sesuai dengan kematangan dan kefahaman sebenar bagi tujuan asal pertandingan debat. Ia mungkin juga terdedah kepada hujah yang tidak syarie dan melampaui batasan. Penganjur dan badan berautoriti perlulah mengambil kecaknaan dan keprihatinan agar hal seperti ini tidak berlaku lagi sementelahan lagi topik sebegini amat memberi kesan yang besar kepada masyarakat. Kami juga mengharapkan kefahaman Islam benar-benar dilandaskan dengan nas-nas syarak serta dirujuk kepada ahlinya. Kami mengakhiri dengan doa

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin

Sahibus Samahah Dato' Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan