Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS KHAS: ISU TAMBAHAN WAKTU 8 MINIT BAGI PERMULAAN AZAN SUBUH DAN HUKUM SOLAT SUBUH SEBELUM MASUK WAKTU

Ta'khir Subuh 8 Minit.JPG

Mukadimah

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Pada 20-21 November 2019, Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam (MKI) Kali Ke-116 telah bersidang dan bersetuju memutuskan bahawa permulaan waktu solat subuh di Malaysia adalah menggunakan parameter altitud matahari pada 18° di bawah ufuk. Perubahan ini menyebabkan waktu solat Subuh sedia ada perlu ditambah sebanyak 8 minit. Keputusan ini dibuat berdasarkan penyelidikan komprehensif selama setahun yang telah dilaksanakan oleh JAKIM bersama kumpulan pakar daripada Universiti Malaya, Universiti Sultan Zainal Abidin dan Universiti Teknologi MARA berkaitan Penentuan Hukum Nilai Altitud Matahari di Bawah Ufuk Bagi Penentuan Awal Waktu Solat Subuh di Malaysia.

Keputusan MKI di atas menghasilkan satu isu yang perlu diambil perhatian; Apakah status kesahihan solat Subuh yang dilakukan seseorang mengikut kaedah yang lama iaitu berdasarkan altitud 20°?

Oleh itu, Bayan Linnas pada kali ini yang kami tajukkan dengan Isu Tambahan Waktu 8 Minit Bagi Permulaan Azan Subuh Dan Hukum Solat Subuh Sebelum Masuk Waktu akan cuba menjawab persoalan ini. Semoga dengan pencerahan ini akan memberi kefahaman yang baik kepada kita berkenaan dengan permulaan waktu solat Subuh.

 

Penentuan Waktu Solat

Firman Allah :

إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا

Maksudnya: “Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”

(Surah al-Nisa’: 103)

Ibn Mas’ud RA dalam menafsirkan ayat ini berkata bahawa setiap solat itu mempunyai waktu-waktunya yang tertentu yang wajib untuk dilaksanakan padanya sama seperti waktu-waktu yang ditentukan bagi perlaksanaan ibadah haji.[1]

Al-Maraghi berkata: “Lima sembahyang wajib telah ditetapkan waktunya secara terperinci tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menjadikan mukmin itu selalu mengingati Tuhannya pada setiap waktu, supaya tidak lalai menghadapi perbuatan dosa atau kurang berbuat baik. Sesiapa yang ingin menambah perkara sunat dan zikir dengan lebih banyak, hendaklah memilih waktu-waktu yang sesuai dengan keadaan dan situasi dirinya.”[2]

Pada asasnya, mengetahui masuknya waktu solat merupakan salah satu daripada syarat sah solat. Di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji dinyatakan: “Setiap solat fardhu mempunyai waktu-waktunya yang ditetapkan, dan solat mesti dilakukan dalam waktu-waktu itu. Walau bagaimanapun, bersolat dalam waktunya sahaja belum memadai malah orang yang bersolat mesti mengetahui waktunya sebelum melakukan solat tersebut. Oleh itu, tidak sah solat seseorang yang tidak mengetahui masuk waktunya walaupun ternyata kemudiannya solat yang dilakukannya itu berbetulan pada waktu yang disyariatkan.

Masuk waktu solat boleh diketahui melalui tiga cara berikut:

  • Mengetahuinya dengan yakin, iaitu berpegang kepada dalil yang nyata seperti melihat matahari yang sedang ghurub.
  • Ijtihad, iaitu berpegang kepada dalil yang kukuh yang mempunyai petunjuk tidak langsung seperti bayang-bayang atau dengan mengukur lama masa bekerja.
  • Taqlid. Sekiranya tidak mungkin mengetahui masuk waktu dengan yakin atau ijtihad seperti tidak tahu tentang waktu-waktu solat dan dalil-dalilnya, dia hendaklah bertaqlid sama ada kepada orang yang mengetahuinya melalui dalil-dalil yang nyata atau kepada seseorang mujtahid yang berpegang kepada dalil-dalil yang kukuh.[3]

Di dalam kitab al-Mu’tamad dinyatakan: “Waktu-waktu sembahyang fardhu diketahui dengan dalil-dalil qath’ie yang telah kami sebutkan, khasnya dari ahli khibrah dan makrifah, dan khasnya muazzin yang memberitahu orang ramai akan masuknya waktu sembahyang, dan perkara itu telah menjadi mudah pada hari ini, dan telah dicetak dan disebarluaskan waktu-waktu sembahyang, bersama dengan tersebarnya jam-jam yang tepat di masjid-masjid, rumah-rumah, jam-jam tangan dan jam-jam yang telah diprogramkan untuk menentukan waktu-waktu.”[4]

 

Penentuan Waktu Solat Fardu Subuh

Di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut: “Permulaan waktu Subuh ialah ketika terbit fajar sodiq dan berterusan hingga matahari terbit. Ini berdasarkan hadith, sabda Rasulullah :

وَقْتُ صَلاَةِ الصُّبْحِ مِنْ طُلُوعِ الْفَجْرِ مَا لَمْ تَطْلُعِ الشَّمْسُ

Maksudnya: “Waktu solat Subuh adalah dari terbit fajar selama matahari belum terbit.”          

Riwayat Muslim (612)

Abu al-‘Abbas al-Qurtubi dalam kitab al-Mufhim li ma Asykala min Talkhis Kitab Muslim menjelaskan: “Fajar itu ialah keluarnya belahan cahaya putih dari timur, ia dinamakan sedemikian kerana sifatnya yang memancar, yakni kerana sifatnya yang terdedah dan keluar, seperti mana memancarnya sungai. Ia memilki dua jenis yakni fajar kazib (dusta) yang dinamakan sebagai dzanb al-sarhan yakni suatu yang naik memanjang; dan fajar sadiq yakni yang bersifat seakan ombak yang merata (secara horizontal) di ufuk.”[5]

Di dalam Mir’at al-Mafatih pula dijelaskan: “Waktu solat subuh, iaitu di awalnya, adalah dari terbit fajar yakni fajar sadiq dan berterusan selagimana tidak terbit matahari sedikit pun.”[6]

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Nabi bersabda:

أَمَّنِى جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلاَمُ عِنْدَ الْبَيْتِ مَرَّتَيْنِ فَصَلَّى بِىَ الظُّهْرَ حِينَ زَالَتِ الشَّمْسُ وَكَانَتْ قَدْرَ الشِّرَاكِ وَصَلَّى بِىَ الْعَصْرَ حِينَ كَانَ ظِلُّهُ مِثْلَهُ وَصَلَّى بِىَ – يَعْنِى الْمَغْرِبَ – حِينَ أَفْطَرَ الصَّائِمُ وَصَلَّى بِىَ الْعِشَاءَ حِينَ غَابَ الشَّفَقُ وَصَلَّى بِىَ الْفَجْرَ حِينَ حَرُمَ الطَّعَامُ وَالشَّرَابُ عَلَى الصَّائِمِ فَلَمَّا كَانَ الْغَدُ صَلَّى بِىَ الظُّهْرَ حِينَ كَانَ ظِلُّهُ مِثْلَهُ وَصَلَّى بِىَ الْعَصْرَ حِينَ كَانَ ظِلُّهُ مِثْلَيْهِ وَصَلَّى بِىَ الْمَغْرِبَ حِينَ أَفْطَرَ الصَّائِمُ وَصَلَّى بِىَ الْعِشَاءَ إِلَى ثُلُثِ اللَّيْلِ وَصَلَّى بِىَ الْفَجْرَ فَأَسْفَرَ ثُمَّ الْتَفَتَ إِلَىَّ فَقَالَ يَا مُحَمَّدُ هَذَا وَقْتُ الأَنْبِيَاءِ مِنْ قَبْلِكَ وَالْوَقْتُ مَا بَيْنَ هَذَيْنِ الْوَقْتَيْنِ

Maksudnya: “Jibril AS pernah mengimamiku di rumah dua kali. Pertama kali, beliau solat Zohor bersamaku ketika matahari tergelincir ke barat dan ketika itu panjang bayangan sama dengan panjang tali sandal. Lalu beliau solat ‘Asar bersamaku ketika panjang bayangan sama dengan panjang benda. Kemudian beliau melaksanakan solat Maghrib bersamaku ketika orang ramai berbuka puasa. Lalu beliau melaksanakan solat ‘Isya’ bersamaku ketika cahaya merah saat matahari tenggelam hilang. Kemudian beliau solat Fajar (solat Subuh) bersamaku ketika telah haram makan dan minum bagi orang yang berpuasa. Kemudian esok harinya, ia solat Zohor bersamaku ketika panjang bayangan sama dengan panjang benda. Lalu ia solat ‘Asar bersamaku ketika panjang bayangan sama dengan dua kali panjang benda. Kemudian beliau solat Maghrib ketika orang ramai berbuka puasa. Lalu beliau solat ‘Isya’ hingga sepertiga malam. Kemudian ia solat Subuh bersamaku setelah itu waktu terang. Kemudian ia berpaling padaku dan berkata, “Wahai Muhammad, inilah waktu solat sebagaimana waktu solat para nabi sebelum engkau. Batasan waktunya adalah antara dua waktu tadi.”

Riwayat Abu Daud (393) dan Ahmad (1/333)

Ibn Ruslan dalam Syarh Sunan Abi Daud menjelaskan: “Berdasarkan ungkapanوَصَلَّى بِيَ الفَجْرَ فَأَسْفَرَ”, al-Istakhri mengambil zahirnya bahawa waktu solat Isya’ keluar apabila berlalunya sepertiga malam. Manakala mazhab (al-Syafie) menetapkan sehingga terbitnya fajar berdasarkan sabda Nabi SAW dalam hadis Abdillah ibn Amr R.Anhumaوقت صَلاة الصُبح من طلوع الفَجر مَا لم تطلع الشمس”.”[7]

 

Sifat Perlaksanaan Solat Subuh

Terdapat beberapa riwayat yang menunjukkan bahawa Nabi solat Subuh ketika masih lagi berlaku kegelapan. Ia dipanggil sebagai ghalas atau taghlis iaitu menyegerakan solat Subuh pada awal waktunya. Hal ini telah dinukilkan daripada Nabi SAW, para sahabat dan ulama’ yang mengikut mereka. Maksudnya, seseorang itu keluar untuk solat sedangkan dia tidak mengenali rakan sebelahnya. Ini berdasarkan hadis Jabir bin Abdillah R.A, katanya:

...وَالصُّبْحَ كَانُوا أَوْ - قَالَ - كَانَ النَّبِىُّ -صلى الله عليه وسلم- يُصَلِّيهَا بِغَلَسٍ

Maksudnya: “…dan Subuh adalah keadaan mereka – ataupun kata perawi – Adalah Nabi SAW solat Subuh pada awal waktu yang masih ghalas (gelap).”

Riwayat Muslim (646)

Daripada Anas bin Malik RA berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى الصُّبْحَ بِغَلَسٍ

Maksudnya: “Adapun Nabi solat Subuh ketika waktu masih gelap.”

Riwayat al-Bukhari (947)

Daripada Aisyah RA berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُصَلِّي الصُّبْحَ بِغَلَسٍ، فَيَنْصَرِفْنَ نِسَاءُ المُؤْمِنِينَ لاَ يُعْرَفْنَ مِنَ الغَلَسِ أَوْ لاَ يَعْرِفُ بَعْضُهُنَّ بَعْضًا

Maksudnya: “Adapun Nabi SAW solat Subuh ketika waktu masih gelap sehingga kaum wanita daripada kalangan orang yang beriman beredar dalam keadaan tidak ada yang mengenalinya atau sebahagian mereka tidak mengetahui sebahagian yang lain.”

Riwayat al-Bukhari (873)

Kecuali dalam Mazhab Hanafi, solat Subuh hendaklah dilakukan ketika waktu sedang terang (isfar). Daripada Rafi’ bin Khadij RA berkata: Aku mendengar Nabi bersabda:

أَسْفِرُوا بِالفَجْرِ، فَإِنَّهُ أَعْظَمُ لِلأَجْرِ

Maksudnya: “Lewatkanlah solat Fajar (Subuh) sehingga keluar cahaya kuning kerana padanya ganjaran yang besar.”

 Riwayat Abu Daud (424), al-Nasaie (55) dan al-Tirmizi (154).
Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan sahih.

Imam al-Tirmizi berkata bukan hanya seorang ulama daripada kalangan para sahabat Nabi SAW dan juga para tabi’in berpendapat bahawa solat Subuh (Fajar) dikerjakan apabila waktu sudah agak terang dan ini merupakan pendapat yang dipegang oleh Sufyan al-Thauri. Adapun di sisi al-Syafie, Ahmad dan Ishaq bahawa makna al-Isfar adalah ketika waktu Fajar telah terang tanpa diragukan lagi padanya serta mereka tidak berpendapat bahawa makna al-Isfar itu bermaksud melewatkan solat.[8]

Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani di dalam kitabnya bahawa Imam al-Syafie dan selain daripadanya berpendapat bahawa hadith Rafi’ itu bermaksud kepastian telah terbitnya (masuknya) waktu fajar. Imam al-Thahawi pula berpendapat bahawa yang dimaksudkan oleh Nabi SAW (di dalam hadith Rafi’) adalah perintah agar memanjangkan bacaan padanya (solat Subuh) sehingga dia keluar (menghabiskan) daripada solat ketika waktu telah agak terang. Sebahagian ulama mendakwa bahawa hadith ini telah memansukhkan hadith solat Subuh ketika waktu masih gelap dan ini merupakan pandangan yang jauh (kurang tepat).[9]

Di samping itu juga, Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah berkata yang dimaksudkan dengan al-Isfar itu adalah berterusan bukannya permulaan, maka seseorang itu memulakan solatnya ketika waktu masih gelap dan selesai menunaikannya ketika waktu telah agak terang sedikit sepertimana yang dilakukan oleh Nabi SAW yang mana ucapannya sudah pasti bertepatan dengan perbuatannya dan tidak sekali-kali bertentangan.[10]

Selepas melihat nas, pendapat yang terpilih ialah jumhur ulama’ iaitu solat di awal waktu pada waktu subuh. Ini dikuatkan dengan hadis:

أَنَّهُ صلى الله عليه وسلم أَمَرَ بِلَالًا فَأَقَامَ الْفَجْرَ حِينَ انْشَقَّ الْفَجْرُ وَالنَّاسُ لاَ يَكَادُ يَعْرِفُ بَعْضُهُمْ بَعْضًا

Maksudnya: “Bahawa Rasulullah perintah bilal untuk iqamah Fajar ketika pecahnya waktu Fajar (baru masuk), sedangkan ketika itu orang ramai hampir tidak mengenali antara satu sama lain.”

Riwayat Muslim (614)

Begitu juga dalam riwayat yang lain menyebut:

فَأَقَامَ الْفَجْرَ حِينَ انْشَقَّ الْفَجْرُ ، فَصَلَّى حِينَ كَانَ الرَّجُلُ لاَ يَعْرِفُ وَجْهَ صَاحِبِهِ - أَوْ أَنَّ الرَّجُلَ لاَ يَعْرِفُ مَنْ إِلَى جَنْبِهِ

Maksudnya: “Maka didirikan solat Fajar ketika Fajar mula menyingsing, kemudian Nabi solat ketika mana seorang lelaki masih tidak mengenali sahabat sebelahnya atau bahawa seorang lelaki tidak mengenali siapa yang berada di sampingnya.”

Riwayat Abu Daud (395)

Begitu juga daripada Imran ibn Maimun, katanya: “Aku solat Fajar bersama Umar Ibn al-Khattab. Sekalipun anakku berada di sisiku hanya tiga hasta, aku masih tidak mengenalinya kecuali dia bercakap.” [11]

 

Hukum Asal Jika Seseorang Solat Sebelum Masuk Waktu

Pada asasnya, hukum asal jika seseorang solat dan kemudian diberitahu oleh seorang yang thiqah, bahawa dia solat sebelum masuk waktu, maka solatnya hendaklah diqadha. Disebut di dalam kitab Kifayah al-Akhyar: “Jika ada yang memberitahu pada seseorang, bahawa solatnya dilakukan sebelum waktu masuk, maka harus dilihat terlebih dahulu. Jika yang memberitahu hal tersebut adalah orang yang mempunyai pengertian atau memang menyaksikan sendiri, maka dia wajib mengulangi solatnya, dan jika pemberitahuan itu berdasarkan ijtihad, maka tidak wajib mengulangi solatnya.[12]

Di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji (1/276) menyebut: “Apabila ternyata solat seseorang berlaku sebelum masuk waktu, solatnya dianggap batal dan wajib mengulanginya sama ada dia berpegang kepada keyakinannya, ijtihadnya atau taqlid.”

Syeikh Muhammad al-Zuhaili pula menyatakan: “Sesiapa yang meyakini perlaksanaan sembahyang terjadi sebelum waktunya, atau terjadi sebahagiannya walaupun takbiratul ihram, atau diberitahu orang yang dipercayai, dan diketahui yang demikian dalam waktu atau sebelumnya, maka wajib mengulanginya, dan jika diketahui setelah berakhir waktu, maka wajib diqadha, walaupun hilang syaratnya iaitu waktu, dan tidak ada dosa baginya kerana keuzuran.”[13]

Ibn Qudamah telah berkata: “Sesiapa yang menunaikan solat sebelum masuknya waktu, maka solatnya tidak sah mengikut pendapat kebanyakan para ulama’, sama ada melakukannya secara sengaja ataupun tidak, keseluruhan solat atau sebahagiannya sahaja. Ini adalah pendapat al-Zuhri, al-Auzai’e, al-Syafie dan Ashab al-Ra’yi. Diriwayatkan daripada Ibn Umar RA dan Abu Musa RA bahawa kedua-duanya mengulangi solat fardhu Subuh yang telah mereka tunaikan kerana kedua-duanya telah menunaikan solat Subuh sebelum masuknya waktu.”[14]

Namun begitu, jika seseorang itu solat lebih awal daripada waktu sebanyak beberapa kali kerana tersilap, maka dia hanya perlu menggantikan solat pertamanya sahaja. Syaikhul Islam Zakariyya al-Ansari menyebut dalam Asna al-Matalib:

(وَلَوْ ظَنَّ خُرُوجَ الْوَقْتِ فَصَلَّاهَا قَضَاءً) فَبَانَ بَقَاؤُهُ (أَوْ عَكْسَهُ) بِأَنْ ظَنَّ بَقَاءَ الْوَقْتِ فَصَلَّاهَا أَدَاءً فَبَانَ خُرُوجُهُ (أَجْزَأَهُ) لِمَا مَرَّ بِخِلَافِ مَا لَوْ فَعَلَ ذَلِكَ عَالِمًا لِتَلَاعُبِهِ وَلَا يَجِبُ التَّعَرُّضُ لِلِاسْتِقْبَالِ كَمَا صَرَّحَ بِهِ الْأَصْلُ وَلَا لِلْوَقْتِ كَالْيَوْمِ إذْ لَا يَجِبُ التَّعَرُّضُ لِلشُّرُوطِ فَلَوْ عَيَّنَ الْيَوْمَ وَأَخْطَأَ.

Maksudnya: “(Sekiranya seseorang itu menyangka bahawa dia berada di luar waktu satu-satu solat kemudian dia solat dengan niat qadha) kemudian ternyata bahawa waktu solat itu masih berbaki (atau sebaliknya) yakni dia sangka waktu solat masih berbaki lalu dia solat dengan niat tunai, kemudian ternyata dia solat di luar waktu, maka memadailah solatnya kerana telah dbicarakan sebelum ini, melainkan jika dilakukan untuk bermain-main dalam keadaan dia mengetahuinya, dan tidak wajib ta`arudh untuk niat menghadap kiblat, seperti yang diterangkan pada asal, tidak pula wajib ta`arrudh pada waktu seperti “hari ini” kerana tidak wajib ta`arrudh bagi syarat-syarat, sekalipun jika dia tentukan berdasarkan hari kemudian tersilap.”[15]

Dalam teks yang sama, Syeikh Syahuddin al-Ramli menaqalkan fatwa Imam al-Barizi berkenaan isi ini seperti berikut:

سُئِلَ الْبَارِزِيُّ عَنْ رَجُلٍ كَانَ فِي مَوْضِعٍ عِشْرِينَ سَنَةً يَتَرَاءَى لَهُ الْفَجْرُ فَيُصَلِّي، ثُمَّ يَتَبَيَّنُ لَهُ خَطَأٌ فَمَاذَا يَقْضِي فَأَجَابَ بِأَنَّهُ لَا يَجِبُ عَلَيْهِ إلَّا قَضَاءُ صَلَاةٍ وَاحِدَةٍ؛ لِأَنَّ صَلَاةَ كُلِّ يَوْمٍ تَكُونُ قَضَاءً عَنْ صَلَاةِ الْيَوْمِ الَّذِي قَبْلَهُ

Maksudnya: “al-Barizi ditanya tentang seorang lelaki yang berada dalam situasi selama 20 tahun tersilap dalam penentuan fajar kemudian solat (Subuh ketika fajar kazib), kemudian ternyata kepadanya akan kesilapan itu; maka apakah dia wajib menggantikan (solat-solat Subuhnya yang lalu)? Maka al-Barizi menjawab tidak wajib keatasnya melainkan sekali sahaja solat gantinya, kerana solatnya setiap hari adalah ganti pada solat bagi hari-hari sebelum.”[16]

 

Hukum Solat Subuh Awal Waktu Berdasarkan Takwim Sedia Ada

Kami berpendapat, isu ini berdasarkan ijtihad oleh tokoh ulama’ sebelum ini dan dipersetujui oleh ulama’ dan umara’. Justeru, amalan tersebut telah menjadi rasmi berdasarkan kepada ilmu yang ada dan maklumat yang diyakini ketika itu.

Waktu solat walaupun hadnya adalah sabit secara qat’ie, penentuan dan perinciannya adalah zanni dan tertakluk kepada ijtihad semasa berdasarkan penyelidikan (istiqra'). Adalah tersangat sukar dan agak mustahil mewujudkan taqwim solat yang betul-betul mengikut waktu yang sangat tepat hingga ke saat pada setiap lokasi. Waktu dalam takwim juga sudah dimasukkan tempoh ihtiyat (berwaspada).

Kami cadangkan supaya solat Subuh berjemaah di masjid atau surau dita’khirkan (dilewatkan) sekurang-kurangnya 8 minit atau genapkan 10 minit selepas dikumandangkan azan. Ini kerana:

  • Memberi peluang kepada Jemaah yang datang ke masjid untuk solat bersama imam.
  • Memberi peluang kepada Jemaah yang berada di dalam masjid untuk solat sunat dan doa munajat serta zikir dan istighfar.
  • Sebagai ihtiyati dengan menggabungkan sedikit pandangan mazhab Hanafi.
  • Lebih yakin tentang masuknya waktu solat.

Kami katakan, waktu solat juga seperti permulaan waktu atau akhir lebih bersifat taqribi. Hal ini telah dinyatakan oleh Syeikh Abd al-Rahman bin Muhammad bin Husain al-Masyhur, pengarang kitab Bughyah al-Mustarsyidin dengan panjang lebar dalam jilid ke-2, halaman 14-40.

Beliau menyebut maratib al-ijtihad pada waktu terbahagi kepada enam, iaitu:

  • Mengetahui dengan yakin waktu.
  • Adanya seseorang yang mengkhabar dengan ilmu.
  • Muazzin yang thiqah, mengetahui walaupun cuaca berawan.
  • Kemampuan berijtihad bagi yang melihat.
  • Kemampuannya daripada orang yang buta.[17]

Justeru, kami berpendapat, ijtihad yang lama diterimapakai dan ijtihad yang baru selepas diperkenan oleh Ulul Amri dan disyorkan oleh ulama’ yang thiqah, maka hendaklah diikuti dengan ijtihad yang baru sepertimana perbahasan di atas dengan panjang lebar dan apa yang dinyatakan oleh Saidina Umar R.A dalam masalah pusaka dengan mengiyakan yang telah lalu dan memberi hukum yang baru:

ذَاكَ عَلَى مَا قَضَيْنَا وَهذَا عَلَى مَا نَقْضِي

Maksudnya: “Itu yang telah kami putuskan dan ini apa yang kami putuskan.”[18]

Hal ini berbetulan dengan kaedah:

الاجْتِهَادُ لَا يُنْقَضُ بِمِثْلِهِ أَوْ بِالاجْتِهَادِ

Maksudnya: “Ijtihad tidak boleh dibatalkan dengan seumpamanya atau dengan ijtihad.”

Asal kaedah ini seperti dalam Qawaid al-Imam al-Karkhi menyebut: Asalnya bahawa apabila berlangsungnya dengan ijtihad, maka tidak boleh difasakhkan dengan ijtihad seumpamanya, tetapi difasakhkan dengan nas. Dalil kaedah ini dengan ijma' di mana Abu Bakar telah menghukum dalam beberapa masalah, kemudian Saidina Umar menyalahinya. Tetapi dia tidak membatalkan hukum yang telah diputuskan oleh Abu Bakar.[19]

 

Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan

Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan pada 2 Disember 2019 telah memutuskan bahawa:

  • Permulaan waktu solat Subuh hendaklah dita’khirkan (dilewatkan) 8 minit daripada taqwim asal.
  • Solat Subuh yang telah lalu tidak perlu diqadha’ berdasarkan kepada ijtihad.

Akhir sekali, kami menutup dengan berdoa kepada Allah SWT:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.

 

Semoga Allah SWT kurniakan kepada kita taufik dan hidayah dalam melaksanakan ibadat kepada-Nya. Amin.

Akhukum fillah,

Sahibus Samahah Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

5 Disember 2019 bersamaan 8 Rabiul Akhir 1441 Hijrah.

______________________

Nota Hujung:

[1] Ibn Kathir, al-Imam al-Hafiz Imad al-Din Abu al-Fida’ Ismail. (2000). Tafsir al-Quran al-‘Azim. Giza: Muassasah Qurtuba wa Maktabah Aulad al-Syeikh li al-Turath. Jld. 4, hlm. 258.

[2] al-Maraghi, Ahmad Mustafa (2001), Tafsir al-Maraghiy, Muhammad Thalib (terj.). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Jld. 3, hlm. 1338.

[3] Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha,‘Ali al-Syarbaji (2011) Al-fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Shafie, Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri & rakan-rakan (terj.). Putrajaya: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Jld. 1, hlm. 275-276.

[4] al-Zuhaili, Muhammad (2007), al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Shafi‘i, Dimashq: Dar al-Qalam. Jld. 1, hlm. 164.

[5] Al-Qurtubi, Abu al-`Abbas Ahmad bin `Umar bin Ibrahim (1996), Al-Mufhim lima Asykala min Talkhis Kitab Muslim. Beirut: Dar Ibn Kathir. Jld. 2, hlm. 239.

[6] Al-Mubarakfuri, Abu al-Hasan ‘Ubayd Allah bin Muhammad’Abd al-Salam bin Khan bin Muhammad Aman Allah bin Hisham al-Din al-Rahmani (1984). Mir‘at al-Mafatih Syarh Mishkat al-Masabih. India: Idarah al-Buhuth al- ‘Ilmiyyah wa al-Da’wah wa al-Ifta’ al-Jami’ah al-Salafiyyah. Jld. 4, hlm. 176.

[7] Ibn Ruslan, Syihab al-Din Abu al-Abbas Ahmad bin Husin (2016). Syarh Sunan Abi Daud li Ibn Ruslan. Mesir: Dar al-Falah li al-Bahth al-'Ilmi wa Tahqiq. Jld. 3, hlm. 105.

[8] Al-Tirmizi, Abu ‘Isa Muhammad bin ‘Isa bin Surah (1975), al-Jami‘ al-Sahih wa Huwa Sunan al-Tirmizi, Mesir: Syarikah Maktabah wa Matba‘ah. Jld. 1, hlm. 289.

[9] Ibn Hajar al-‘Asqalani, Abu Fadl Ahmad bin ‘Ali (t.t), Fath al-Bari bi Syarh Sahih al-Bukhari, al-Riyad: Bait al-Afkar. Jld. 2, hlm. 55.

[10] Ibn Qayyim al-Jauziyyah, Syams al-Din Abu ʿAbd Allah Muhammad ibn Abi Bakr (2006), I’lam al-Muwaqqi’in ‘an Rabb al-‘Alamin, Mesir: Dar al-Hadith. Jld. 4, hlm. 294.

[11] Ba 'Alawi, Abd al-Rahman ibn Muhammad ibn Husain ibn Umar (1994), Bughyah al-Mustarsyidin. Beirut: Dar al-Fikr. Jld. 2, hlm. 17.

[12] Al-Husaini, Taqiy al-Din Abi Bakr bin Muhammad (2001), Kifayah al-Akhyar fi Hill Ghayah al-Ikhtisar, Beirut: Dar Kutub al-‘Ilmiyyah. Jld. 1, hlm. 183.

[13] al-Zuhaili, Muhammad (2007), al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Shafi‘i, Dimashq: Dar al-Qalam. Jld. 1, hlm. 164.

[14] Ibn Qudamah, Abdullah bin Ahmad (1997). Al-Mughni. Kaherah: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah. Jld. 2, hlm. 45.

[15] al-Ansari, Zakariyya bin Muhammad bin Zakariyya (2000), Asna al-Matalib Syarh Rawd al-Talib, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah. Jld. 1, hlm. 142.

[16] Lihat juga dalam al-Ramli (t.t.) Nihayah al-Muhtaj, Mesir: Matba‘ah al-Halabi. Jld 1, hlm. 454; al-Jamal, Sulaiman bin Umar (t.t), Hasyiyah al-Jamal, Beirut: Dar al-Fikr. Jld. 1, hlm. 334; al-Bujairimi, Sulaiman ibn Umar (1959), Hasyiyah al-Bujairimi 'ala al-Minhaj, Mesir: Matba'ah Mustafa al-Babi al-Halabi. Jld. 1, hlm. 454; dan Nawawi al-Jawi, Muhammad bin Umar (t.t), Nihayah al-Zain, Beirut: Dar al-Fikr. hlm. 56.

[17] Ba 'Alawi, Abd al-Rahman ibn Muhammad ibn Husain ibn Umar (1994), Bughyah al-Mustarsyidin. Beirut: Dar al-Fikr. Jld. 2, hlm. 39-41.

[18] al-Qarafi, Abu al-Abbas Syihab al-Din Ahmad bin Idris (1994), al-Dzakhirah. Beirut: Dar al-Gharb al-Islamiy. Jld. 13, hlm. 60.

[19] Muhammad Sidqi ibn Ahmad Burnu (1998), al-Wajiz fi Idah Qawa`id al-Fiqh al-Kuliyyah. Beirut: Mu'assasat al-Risalah. Jld. 1, hlm. 384.