Soalan
Assalamualaikum w.b.t, Baru-baru ini tular video “influencer” mencabar suaminya untuk minum susu badan isteri dengan menawarkan sejumlah wang. Malahan, trend cabar mencabar ini telah menjadi ikut - ikutan bagi sebuah “content” di media sosial. Tindakan tersebut telah mengundang pelbagai respon negatif serta perdebatan berkaitan hukum - hakam susuan dalam kalangan netizen. Persoalannya, Apakah hukum suami meminum susu ibu? Mohon pencerahan SS Mufti. Terima kasih
Ringkasan Jawapan
Hukum suami minum susu dapat dilihat daripada beberapa aspek berikut:
- Pensyariatan penyusuan ibu kepada bayi berumur dua tahun ke bawah menunjukkan ia satu tuntutan. Susu ibu menjadi keperluan yang sangat kritikal dalam proses perkembangan dan tumbesaran bayi.
- Pensabitan anak susuan hanya bagi bayi yang menyusu di bawah umur dua tahun dan kadar penyusuan tersebut hendaklah mencapai lima kali susuan yang mengenyangkan.
- Istilah suami menjadi pemilik susu merujuk kepada pensabitan mahram bagi hubungan antara suami kepada ibu susuan dan anak yang disusukan seperti anak angkat dan bukannya merujuk pemilikan susu kepada suami.
- Susu ibu adalah suci dan harus untuk diminum terutama apabila terdapat keperluan dari segi perubatan
Oleh itu, sebarang perbuatan yang boleh menjejaskan hak bayi terhadap susu ibu, termasuklah trend mencabar suami untuk menghabiskan susu badan isteri, adalah tidak wajar dan perlu dielakkan. Dalam masa yang sama, perbuatan tersebut juga dilihat sebagai kurang sopan dan bertentangan dengan uruf setempat yang menekankan nilai kesopanan serta malu yang tinggi dalam masyarakat. Para ibu disarankan untuk mengutamakan keperluan pemakanan bayi sepanjang tempoh penyusuan, manakala para bapa pula bertanggungjawab memastikan hak anak terhadap bekalan susu yang mencukupi terjaga, demi kelangsungan hidup dan kesejahteraan bayi. Hal ini kerana, susu ibu adalah minuman yang sangat penting bagi bayi, kerana tiada minuman lain yang dapat menggantikannya. Bahkan, syarak membenarkan para ibu untuk memberi susu ibu kepada bayi-bayi lain yang lebih memerlukan apabila terdapat lebihan susu.
Huraian Jawapan
Alhamdulillah bersyukur kehadrat Allah S.W.T dengan kurniaan nikmat Iman dan Islam. Selawat dan Salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga,sahabat-sahabat Baginda, serta seluruh kaum Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah S.W.T sekalian.
Susu Ibu Keperluan Darurat Bayi
Bayi pada awal kelahiran amat memerlukan susu ibu sebagai makanan. Dalam hal ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan penyusuan susu dieksklusifkan bagi bayi yang berumur 6 bulan pertama kelahirannya[1]. Hal ini bermaksud tiada sebarang pemberian makanan tambahan seperti makanan pejal, susu formula, susu skim, susu segar daripada haiwan malahan air mineral dan kepada bayi yang baru lahir sehingga bayi itu mencapai umur 6 bulan selepas kelahiran.Hal ini kerana,susu ibu yang kaya dengan nutrisi terbaik diperuntukkan kepada bayi bagi proses tumbesarannya.yang memberi khasiat, perlindungan dan membantu perkembangan bayi terutama di fasa awal tumbesaranya.Pemberian susu kepada bayi jelas merupakan satu keperluan yang getir kerana kesannya yang positif terhadap perkembangan dan tumbesaran bayi.
Pensyariatan penyusuan bagi bayi berusia 6 bulan dan diteruskan sehingga dua tahun. Berdasarkan firman Allah SWT :
وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ لِمَنْ أَرَادَ أَنْ يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ
Maksudnya: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu”.
Surah al-Baqarah (233)
Imam al-Qurtubi menjelaskan penambahan atau pengurangan kadar dua tahun tempoh penyusuan adalah dibolehkan dengan syarat tanpa kemudaratan kepada bayi dan berlaku dengan keredaan kedua ibu bapa.[2] Tambahan pula, Ibn Kathir mensyarahkan ayat ini bahawa majoriti ulama berpandangan bahawa tidak sabit lagi mahram melalui penyusuan bagi tempoh selepas daripada dua tahun itu. Begitu juga penyusuan bayi yang berusia lebih dua tahun juga tidak dilarang. [3]
Pensabitan Anak Susuan
Pensabitan anak susuan melalui penyusuan berlaku disebabkan terjadinya tumbesaran pada bayi. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Mas'ud, Rasulullah SAW bersabda:
لاَ رِضَاعَ إِلاَّ مَا شَدَّ الْعَظْمَ وَأَنْبَتَ اللَّحْمَ
Maksudnya: “Tidak berlaku hukum penyusuan melainkan dengan apa yang menguatkan tulang dan menumbuhkan daging.”
(Riwayat Abu Daud)
Makna hadis berkaitan tumbesaran bayi dengan cara memberi makanan melalui penyusuan yang hanya berlaku dalam tempoh dua tahun. Susu ibu diberikan pada bayi yang kelaparan pada tempohnya. Bagi kelompok dewasa, susu ibu tidak dianggap makanan mereka.[4]
Selain itu, menurut mazhab al-Syafi’i pensabitan anak susuan ini juga berlaku apabila kadar penyusuan mencapai sebanyak lima kali susuan yang mengenyangkan[5]. Ini berdasarkan hadis riwayat Saidatina ‘Aisyah R.A yang mana telah berkata:
كَانَ فِيمَا أَنْزَلَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ مِنَ الْقُرْآنِ عَشْرُ رَضَعَاتٍ يُحَرِّمْنَ ثُمَّ نُسِخْنَ بِخَمْسٍ مَعْلُومَاتٍ يُحَرِّمْنَ فَتُوُفِّيَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم وَهُنَّ مِمَّا يُقْرَأُ مِنَ الْقُرْآنِ
Maksudnya: “Adapun apa (yang dahulu) diturunkan oleh Allah SWT daripada al-Quran adalah dengan sepuluh kali susuan (yang menjadikannya mahram) kemudian telah dimansukhkan dengan lima kali susuan. Rasulullah SAW telah wafat ianya dikalangan ayat yang pernah dibacakan dahulu.”
Riwayat Abu Daud (2062)
Oleh itu dapat difahami daripada dalil di atas bahawa pensabitan anak susuan hanya bagi bayi yang menyusu di bawah umur dua tahun dan kadar penyusuan hendaklah mencapai lima kali susuan yang mengenyangkan. Dalam isu ini jika suami meminum susu isterinya maka tidak berlaku pengharaman hubungan antara suami dan isterinya.
Hak Bayi terhadap Penyusuan
Berdasarkan kepada penjelasan di atas, dapat difahami bahawa terdapat dua aspek hak penyusuan bagi bayi
1-Hak untuk mendapat susu yang cukup dan sesuai
Anak mempunyai hak untuk disusukan sama ada oleh ibu kandung atau ibu susuan lain dalam tempoh tertentu sekurang-kurangnya hingga usia dua tahun, seperti yang digalakkan oleh syarak. Hal ini kerana, anak pada usia bawah dua tahun tidak mempunyai makanan lain selain susu.
2-Hak memperoleh ibu susuan jika bayi memerlukan
Namun sekiranya ibu kandung memilih untuk tidak menyusukan bayi atau tidak mampu menyusukan atas sebab tertentu, si ayah bertanggungjawab untuk mencari ibu susuan atau alternatif lain untuk memastikan anak mendapat susu[6] yang mencukupi sama ada secara percuma atau upah kecuali jika bapa tidak mempunyai kemampuan kewangan yang mencukupi[7]. Hal yang demikian berdasarkan firman Allah SWT:
وَإِن تَعَاسَرْتُمْ فَسَتُرْضِعُ لَهُ أُخْرَىٰ
Maksudnya: “Dan (sebaliknya) jika kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukannya (anak).”
Surah al-Talaq (6)
Benarkah Suami Sebagai Pemilik Susu?
Suami menjadi pemilik susu (لبن الفحل) apabila susu yang terhasil adalah daripada persetubuhan suami isteri dalam tempoh perkahwinan. Imam Ibn Hajar al-Haitami berkata:
(وَاللَّبَنُ لِمَنْ نُسِبَ إلَيْهِ وَلَدٌ نَزَلَ) اللَّبَنُ (بِهِ) أَيْ بِسَبَبِهِ (بِنِكَاحٍ) فِيهِ دُخُولٌ أَوْ اسْتِدْخَالُ مَنِيٍّ مُحْتَرَمٍ أَوْ بِمِلْكِ يَمِينٍ فِيهِ ذَلِكَ أَيْضًا...(أَوْ وَطْءِ شُبْهَةٍ) لِثُبُوتِ النَّسَبِ بِذَلِكَ وَالرَّضَاعُ تِلْوُهُ (لَا زِنًا) لِأَنَّهُ لَا حُرْمَةَ لَهُ نَعَمْ يُكْرَهُ لَهُ نِكَاحُ مَنْ ارْتَضَعَتْ مِنْ لَبَنِهِ.
Maksudnya: “(Menjadi mahram) Pemilik susu yang dinasabkan anak tersebut kepadanya kerana susu terhasil daripadanya iaitu disebabkan oleh air mani yang dikeluarkan dengan cara terhormat ketika persetubuhan semasa tempoh perkahwinan (dan menyebabkan kelahiran); disebabkan hubungan antara tuan dan hamba sahaya; atau disebabkan persetubuhan syubhah kerana sabit nasab, maka penyusuan adalah pengikatnya. Susu yang terhasil disebabkan zina tidak mengharamkan walaupun makruh berkahwin dengan sesiapa yang disusukan dengan susunya (hasil perbuatan zina tersebut)”[8]
Istilah yang digunakan ini merujuk kepada pensabitan mahram bagi hubungan antara suami kepada ibu susuan dan anak yang disusukan seperti anak angkat dan bukannya merujuk pemilikan susu kepada suami.
Hukum Suami Minum Susu isteri
Secara asasnya, para ulama bersepakat bahawa susu ibu adalah suci[9] dan harus untuk diminum terutama apabila terdapat keperluan dari segi perubatan. Hal ini dinyatakan oleh Imam Malik menyatakan bahawa penggunaan susu ibu bagi orang dewasa adalah dibenarkan selagi mana ia digunakan untuk tujuan perubatan:
قال الإمام مالك رحمه الله: ولا بأس على الكبير شرب لبن المرأة، ويسعط به ويتداوى إذا كان على وجه التداوي.
Maksudnya: “Imam Malik RA berkata bahawa tiada masalah bagi orang dewasa meminum susu ibu. Begitu juga menitiskan susu ibu dan menggunakannya untuk berubat jika bertujuan perubatan.[10]
Manakala, ulama mazhab Hanafi pula menyatakan bahawa sekiranya susu ibu hendak digunakan untuk tujuan perubatan maka mestilah dibuktikan akan keberkesanannya.
واختلف المشايخ في الانتفاع باللبن للدواء، قيل: لم يجز، وقيل: يجوز إذا علم أنه يزول به الرمد
Maksudnya: “At-Tumurtasyi berkata: Para ulama berbeza pandangan berkaitan manfaat susu sebagai ubat. Sebahagian pandangan (yang lemah) tidak membenarkan manakala sebahagian pandangan (pandangan lemah) yang lain membenarkan jika diketahui bahawa susu ibu menghilangkan penyakit mata".[11]
Sebaliknya, terdapat pandangan ulama mazhab Hanafi lain menyatakan hukum memanfaatkan susu ibu selepas tempoh penyusuan adalah haram sebagaimana disebut dalam Majma’ al-Anhar Fi Syarh Multaqa al-Bahr
وَفِي شَرْحِ الْمَنْظُومَةِ الْإِرْضَاعُ بَعْدَ مُدَّتِهِ حَرَامٌ؛ لِأَنَّهُ جُزْءُ الْآدَمِيِّ وَالِانْتِفَاعُ بِهِ غَيْرُ ضَرُورَةٍ حَرَامٌ عَلَى الصَّحِيحِ وَأَجَازَ الْبَعْضُ التَّدَاوِي بِهِ؛ لِأَنَّهُ عِنْدَ الضَّرُورَةِ لَمْ يَبْقَ حَرَامًا
Maksudnya: “Dalam Syarh al-Manzumah menyebutkan bahawa penyusuan selepas tempohnya adalah haram, kerana itu melibatkan bahagian tubuh manusia dan memanfaatkannya tanpa keperluan darurat adalah haram menurut pandangan yang sahih. Namun, sebahagian ulama membolehkan berubat dengannya kerana digunakan ketika darurat dan tidak lagi dianggap haram.” [12]
Perkara ini juga dijelaskan oleh Badr al-Din al-’Ayni dalam kitabnya:
(وهل يباح الإرضاع بعد المدة، قد قيل: لا يباح؛ لأن إباحته ضرورية) ش: أي لأن إباحة اللبن المدة لضرورة الولد، والثابت بالضرورة يتقدر بقدر الضرورة، فلا يباح بعد المدة لزوال الضرورة م: (لكونه جزء الآدمي) ش: أي لكون اللبن جزء الآدمي، والانتفاع به حرام، لأن الآدمي وجزءه لا يجوز أن يكون مبتذلًا مهانًا، وسواء كان الإرضاع من الأم، أو من الأجنبية.
Maksudnya: “Adakah diharuskan penyusuan selepas tempohnya (2 tahun)? Pendapat yang lemah menyatakan bahawa ia tidak diharuskan kerana keharusannya untuk perkara darurat iaitu keharusan minum susu dalam tempoh penyusuan adalah kerana keperluan mendesak kepada bayi. Malahan pensabitan darurat ditentukan dengan kadar keperluannya. Justeru tidak diharuskan selepas tempoh penyusuan kerana hilangnya darurat disebabkan susu ibu adalah sebahagian daripada tubuh manusia dan haram mengambil manfaat dengannya. Hal ini kerana, tubuh manusia dan bahagiannya tidak boleh direndah-rendahkan atau diperlakukan secara hina, sama ada penyusuan daripada ibu mahupun wanita asing.[13]
Fatwa Berkaitan:
Dalam hal ini, Jabatan Mufti Mesir selari dengan pandangan mazhab Hanafi di atas bahawa hukum suami meminum susu isteri adalah haram berdasarkan hujah susu merupakan sebahagian anggota manusia. Bahagian anggota manusia tidak boleh dimanfaatkan melainkan untuk keperluan darurat.[14] Oleh itu, dapat difahami meskipun tidak berlaku pensabitan mahram, perbuatan suami meminum susu isteri tanpa sebab yang munasabah dianggap sebagai sesuatu yang tiada keperluan.[15]
Persoalan Lebihan Susu
Seterusnya, persoalan lebihan susu boleh diberikan kepada bayi yang memerlukannya, memandangkan keperluan susu bagi bayi adalah sangat penting, bahkan syarak turut membenarkan pemberian tersebut dan menggalakkan perkongsian susu ibu kepada bayi-bayi lain yang lebih memerlukan bagi memastikan kelangsungan hidup dan kesejahteraan bayi yang tidak dapat disusukan oleh ibu kandungnya. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَإِنْ أَرَدتُّمْ أَن تَسْتَرْضِعُوا أَوْلَادَكُمْ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ
Maksudnya: Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu”.
Surah al-Baqarah (233)
Penutup
Pensyariatan penyusuan ibu kepada bayi berumur dua tahun ke bawah merupakan tuntutan penting demi memastikan perkembangan dan tumbesaran yang sihat. Oleh itu, sebarang perbuatan yang boleh menjejaskan hak bayi terhadap susu ibu, termasuk trend mencabar suami untuk menghabiskan susu badan isteri adalah tidak wajar dan perlu dielakkan. Para ibu disarankan untuk mengutamakan keperluan pemakanan bayi sepanjang tempoh penyusuan, manakala para bapa bertanggungjawab memastikan hak anak terhadap penyusuan dipelihara demi kelangsungan hidup dan kesejahteraan bayi.
Wallahu a'lam
Rujukan:
[1] World Health Organization (WHO), https://www.who.int/health-topics/breastfeeding#tab=tab_1
[2] Abu Abdullah Bin al-Anṣari al-Qurtubi, al-Jami’ li Ahkam al-Quran, (Kaherah, Mesir: Dar al-Kutub al-Misriyyah,1964), Jld 3, Hlm 162
وَالزِّيَادَةُ عَلَى الْحَوْلَيْنِ أَوِ النُّقْصَانُ إِنَّمَا يَكُونُ عِنْدَ عَدَمِ الْإِضْرَارِ بِالْمَوْلُودِ وَعِنْدَ رِضَا الْوَالِدَيْنِ
[3] Ibn Kathir, Ismail bin Umar. Tafsir al-Quran al-’Azim. (t.p: Dar al-Toyyibah, 1999). Jld 1 hlm 533.
وَذَهَبَ أَكْثَرُ الْأَئِمَّةِ إِلَى أَنَّهُ لَا يُحَرِّمُ مِنَ الرَّضَاعَةِ إِلَّا مَا كَانَ دُونَ الْحَوْلَيْنِ، فَلَوِ ارْتَضَعَ الْمَوْلُودُ وَعُمْرُهُ فَوْقَهُمَا لَمْ يَحْرُمْ.
[4] Abdul Muhsin, Syarah Sunan Abu Daud . J: 12 P: 137
ومعنى (شد العظم): أي: قواه وحصلت به قوته، والمراد أن الرضاع يحصل به الغذاء، وذلك إنما يكون في الحولين، فهو مطابق لما تقدم من جهة أن الرضاعة من المجاعة، وهذا إنما يكون في الصغر، وأما في حال الكبر فالتغذي إنما يكون بغير حليب ولبن المرأة. (شرح سنن أبي داود)
[5] al-Nawawi, Rawḍah al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin, (Amman, Jordan: Dar al-Fikr,1968), Jld 9, hlm. 4
فَلَوْ شَرِبَ الصَّبِيُّ مِنْهُ خَمْسَ مَرَّاتٍ ثَبَتَ التَّحْرِيمُ
[6]Al-Baghawi, Tafsir al-Baghawi, 1997 (Dar Tayyibah Li Nasyar wa Tawziq) Jild, 8, P: 156
وإن تعاسرتم ) في الرضاع والأجرة فأبى الزوج أن يعطي المرأة رضاها وأبت الأم أن ترضعه فليس له إكراهها على إرضاعه ، ولكنه يستأجر للصبي مرضعا غير أمه وذلك قوله : ( فسترضع له أخرى ) .
Wahbah Al-Zuhayli, Al-Fiqh al-Islami wa adillatuhu (Beirut, Lubnan: Dar al-Fikr, 1989),Jld 10, Hlm. 7276.
إذا عدم الأب لاختصاصها به، أو لم يوجد لأبيه ولا للولد مال لاستئجار مرضعة، فيجب عليها إرضاعه، لئلا يموت
[8] Ibn Hajar al-Haitami, Tuhfah al-Muhtaj, (Beirut: Dar Ihya’al-Turath al-‘Arabi, t.t), Jld.8, Hlm. 284-285.
[9] Abu Zakariyya Muhyi al-Din bin Sharaf al-Nawawi, al-Majmu’ Sharh al-Muhadzdzab, (Amman, Jordan: Dar al-Fikr,1928), Jld. 2, hlm. 569.
لَبَنُ الْآدَمِيِّ وَهُوَ طَاهِرٌ عَلَى الْمَذْهَبِ
[10] Al-Qayrawani, Abullah bin Abi Ziyad,. An-Nawadir wa Aziadat ‘ala Ma Fi Al Mudawwanah min Ghairiha min Ummahat, ( Beirut, Dar al-Gharb Al-Islam, 1999) Jld: 7 hlm: 42
[11] Mahmud ibn Aḥmad ibn Musa Badr al-Din al-ʿAyni. Al-Binayah Syarh al-Hidayah. (Beirut: Dar al-Kutub Ilmiyah, 2000). Jld 5. Hlm 263.
[12] Damad Afandi, Abdul Rahman bin Muhammad. Majma’ al-Anhar Fi Syarh Multaqa al-Bahr. (t.t: Dar Ihya’ al-Turath al-’Arabi, t.th). Jld 1. Hlm 376.
[13] Mahmud ibn Aḥmad ibn Musa Badr al-Din al-ʿAyni. Al-Binayah Syarh al-Hidayah. (Beirut: Dar al-Kutub Ilmiyah, 2000). Jld 5, Hlm 263.
[14] Darul Ifta Misriyyah, Hukum Suami minum susu daripada payudara isteri, diakses 21 Februari 2025 daripada pautan: https://rb.gy/qneu2u
إذا رضع الزوج من زوجته لم تحرم عليه ولا تصير أمه؛ لأن الرضاع المحرم ما كان دون الحولين، لكن لا يجوز له أن يرضع من لبنها؛ لأن أجزاء الإنسان لا يجوز الانتفاع بها إلا لضرورة ولا ضرورة هنا، فإن لم يكن لبن في الثدي فلا شيء في ذلك.
[15] Darul Ifta Misriyyah, Hukum Suami minum susu daripada payudara isteri, diakses 21 Februari 2025 daripada pautan: https://rb.gy/qneu2u
إذا رضع الزوج من زوجته لم تحرم عليه ولا تصير أمه؛ لأن الرضاع المحرم ما كان دون الحولين، لكن لا يجوز له أن يرضع من لبنها؛ لأن أجزاء الإنسان لا يجوز الانتفاع بها إلا لضرورة ولا ضرورة هنا، فإن لم يكن لبن في الثدي فلا شيء في ذلك.