Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-346: PEMBAYARAN ZAKAT MELALUI GERBANG PEMBAYARAN (PAYMENT GATEWAY) YANG DIKENDALIKAN OLEH BUKAN MUSLIM

PEMBAYARAN_ZAKAT_MELALUI_GERBANG_PEMBAYARAN_PAYMENT_GATEWAY_YANG_DIKENDALIKAN_OLEH_BUKAN_MUSLIM.jpg

Soalan

Assalamualaikum SS Mufti. Apabila saya ingin membayar zakat secara atas talian sama ada menggunakan online banking atau kad debit, saya perlu melalui payment gateway yang setahu saya dimiliki oleh bukan Muslim. Soalan saya, apakah hukum perkara tersebut memandangkan terdapat kemungkinan sebahagian duit zakat disalurkan kepada mereka sebagai upah atau komisen?

Ringkasan Jawapan

Hukum membayar zakat melalui gerbang pembayaran (payment gateway) yang dimiliki oleh bukan Muslim adalah harus dan sah. Keharusan ini dengan syarat nilai zakat yang dibayar mestilah dikira berdasarkan amaun penuh yang diniatkan, manakala kos perkhidmatan atau komisen kepada pengendali gerbang pembayaran tersebut dianggap sebagai kos operasi yang berasingan yang ditanggung sama ada oleh institusi zakat melalui peruntukan pentadbiran atau bahagian amil, atau ditanggung oleh pembayar dengan kadar tambahan yang dipersetujui oleh pembayar. Kos perkhidmatan atau komisen tersebut haram diambil daripada bahagian peruntukan asnaf secara tidak sah. Penggunaan seperti ini teknologi ini adalah perkara yang baik dan bertujuan memudahkan umat Islam menunaikan kewajipan agama dengan lebih efisien tanpa mengubah hakikat ibadah itu sendiri.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Gerbang pembayaran (payment gateway) ialah teknologi yang mengesahkan dan menghantar data pembayaran antara pelanggan, peniaga, dan institusi kewangan yang terlibat dalam proses transaksi secara selamat. Ia memastikan setiap pembayaran disahkan dan dana dipindahkan dengan selamat daripada bank pemegang kad ke bank peniaga.

Isu pembayaran zakat melalui gerbang pembayaran yang dikendalikan oleh syarikat bukan Muslim perlu dilihat dari beberapa sudut.

Akad Antara Pembayar Zakat, Institusi Zakat dan Pengendali Gerbang Pembayaran

Terdapat dua akad yang berlaku secara serentak iaitu:

  1. Akad pembayaran zakat antara pembayar zakat dan institusi zakat.
  2. Akad ijarah (upah perkhidmatan) atau ju’alah (komisen) atas khidmat pemproses transaksi antara institusi zakat dan pengendali gerbang pembayaran

Dalam hal ini, pengendali gerbang pembayaran hanya bertindak sebagai penyedia khidmat yang menerima upah, bukannya penerima zakat sebagai asnaf dan bukan juga sebagai ejen bagi mengutip dan mengagihkan zakat.

Namun, perlu diambil perhatian bahawa keseluruhan amaun yang diniatkan sebagai zakat mestilah sepenuhnya sampai kepada asnaf penerima zakat tanpa ditolak apa-apa kos operasi atau perkhidmatan. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

إِنَّمَا ٱلصَّدَقَٰتُ لِلۡفُقَرَآءِ وَٱلۡمَسَٰكِينِ وَٱلۡعَٰمِلِينَ عَلَيۡهَا وَٱلۡمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمۡ وَفِي ٱلرِّقَابِ وَٱلۡغَٰرِمِينَ وَفِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِيلِۖ فَرِيضَةٗ مِّنَ ٱللَّهِۗ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٞ

Maksudnya: “Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

Surah al-Taubah (60)

Kos bagi membayar perkhidmatan gerbang pembayaran tersebut mestilah ditanggung oleh institusi zakat menggunakan peruntukan pentadbiran atau bahagian zakat amil yang diperoleh oleh institusi zakat. Jika ia ditanggung oleh pembayar zakat, maka hendaklah dinyatakan secara jelas amaun tambahan daripada zakat yang dibayar untuk menampung caj perkhidmatan.

Perlantikan Syarikat Bukan Islam Sebagai Pengendali

Sudut lain yang boleh dilihat dalam hal ini ialah berkenaan perlantikan syarikat bukan Islam sebagai pengendali bagi sistem gerbang pembayaran zakat. Mengikut hukum Islam, urusan yang dikategorikan sebagai wasilah seperti sistem teknologi maklumat dan gerbang pembayaran ini tertakluk kepada kaedah fiqh iaitu:

الأصل في المعاملات الإباحة حتى يدل الدليل على التحريم

Maksudnya: “Hukum asal bagi urusan muamalat adalah harus sehinggalah terdapat dalil yang mengharamkannya.”

Oleh yang demikian, selagi mana perkhidmatan tersebut tidak mengandungi unsur yang dilarang secara syarak seperti riba, penipuan atau eksploitasi, maka mengambil khidmat daripada pihak bukan Muslim adalah diharuskan.

Keharusan berinteraksi secara komersial dengan bukan Muslim dalam urusan keperluan hidup juga telah dibuktikan secara praktikal melalui amalan Nabi SAW seperti yang diriwayatkan oleh Aisyah R.A:

توفي النبي صلى الله عليه وسلم ودرعه مرهونة عند يهودي بثلاثين -يعني- صاعا من شعير

Maksudnya: "Rasulullah ﷺ telah wafat dalam keadaan baju besi Baginda masih tergadai di sisi seorang Yahudi dengan pertukaran tiga puluh gantang gandum."

Riwayat al-Bukhari

Kesimpulan

Hukum membayar zakat melalui gerbang pembayaran (payment gateway) yang dimiliki oleh bukan Muslim adalah harus dan sah. Keharusan ini dengan syarat nilai zakat yang dibayar mestilah dikira berdasarkan amaun penuh yang diniatkan, manakala kos perkhidmatan atau komisen kepada pengendali gerbang pembayaran tersebut dianggap sebagai kos operasi yang berasingan yang ditanggung sama ada oleh institusi zakat melalui peruntukan pentadbiran atau bahagian amil, atau ditanggung oleh pembayar dengan kadar tambahan yang dipersetujui oleh pembayar. Kos perkhidmatan atau komisen tersebut haram diambil daripada bahagian peruntukan asnaf secara tidak sah. Penggunaan seperti ini teknologi ini adalah perkara yang baik dan bertujuan memudahkan umat Islam menunaikan kewajipan agama dengan lebih efisien tanpa mengubah hakikat ibadah itu sendiri.

WaAllahua’lam