Mukadimah
Kami mendapat berita yang disiarkan pada 4 Ogos berkenaan dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri berkaitan penubuhan Jawatankuasa Memperkasa Mahkamah Syariah (JKMMS) di Peringkat Kebangsaan. Jabatan kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang diberi mandat untuk mengurusetiakan Jawatankuasa ini bertanggungjawab untuk melaksanakan arahan tersebut sebagai usaha memperkasakan sistem perundangan syariah selaras dengan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.
JKMMS membabitkan enam (6) kluster yang akan membincangkan perkara berkaitan:
- Pengharmonian antara Undang-Undang Sivil dan Undang-Undang Syariah;
- Cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 [Akta 355];
- Pengurusan & Penstrukturan Mahkamah Syariah;
- Latihan Hakim & Pegawai Syariah;
- Pendidikan Undang-undang Syariah; dan
- Hal ehwal berkaitan Peguam Syari’e.
Keanggotaan
JKMMS ini akan dipengerusikan oleh YBhg Tan Sri Dr Yusof Noor dan memiliki dua jawatankuasa pelaksanaan iaitu Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Induk. Keanggotaan JKMMS pula terdiri daripada wakil majlis agama Islam negeri-negeri, ahli akademik, wakil Jabatan Peguam Negara, wakil-wakil aktivis masyarakat dan mantan pimpinan tertinggi dalam sektor awam serta tokoh-tokoh lain berwibawa dalam hal-hal perundangan Mahkamah sivil termasuk syariah. [1][2]
Inilah Pendapat Kami
Selepas melihat dan merespon tentang isu-isu perundangan kebelakangan ini. seperti RUU355, RUU164, RUU Akta Jenayah Seksual Kanak dan sebatan syarak di khalayak, maka kami menyambut baik dan menyokong penubuhan Jawatankuasa Memperkasa Mahkamah Syariah (JKMMS) ini dan dianggap tepat pada masanya. Sebahagian pihak mungkin melihatnya sebagai solusi undur setapak, tetapi kami mengatakan ianya penting dalam menyusun atur kekemasan Mahkamah Syariah dengan mengambil pelbagai pandangan, tokoh dan massa, serta faktor-faktor semasa, maka komitmen yang ditunjukkan oleh semua pihak amat diperlukan. Kami kemukakan di sini beberapa noktah sebagai asas sokongan kami kepada penubuhan ini.
- Nawaitu
Adalah amat jelas betapa pentingnya umat Islam mempunyai niat dan matlamat yang tepat dalam program memperkasakan peranan Mahkamah Syariah. Ini kerana mahkamah yang berfungsi adalah sejuzuk daripada cara perlaksanaan syariat Islam, dan syiarnya, mengikut apa yang dikehendaki Allah dan Rasul-Nya. Jika matlamat kabur, tiada kesepakatan akan diperolehi dan kedudukan Mahkamah Syariah akan terus dipandang lemah oleh masyarakat sekaligus menjejaskan syiar Islam itu sendiri,
Penubuhan JKMMS diharapkan memperlihat sebuah kesungguhan dan penyelesaian yang paling mantap menerusi gabungan pemikiran dan usaha pelbagai pihak berkepakaran dan konsisten memperjuangkan usaha ini sekian lama.Tidak dapat dinafikan, sikap konsisten pihak-pihak yang ingin memperkasakan Mahkamah Syariah patut diberi pujian penghargaan kerana kita yakin dan percaya, sistem keadilan Islam, dan falsafahnya, tidak boleh dipertikaikan lagi adalah sistem terbaik menyelesaikan masalah kesalahan jenayah syariah.
Oleh itu, kami berharap semua pihak terlibat mengikhlaskan niat penubuhan jawatankuasa ini berkehendakkah semata-mata keredhaan Allah SWT. Daripada niat yang tulus, maka akan lahirkan buah fikiran dan tindakan yang cermat dalam mengeluarkan keputusan dan perancangan berdasarkan nas-nas syarak dan maqasidnya, secara sepakat.
Begitu juga penelitian yang rapi dalam nukilan terhadap khazanah tradisi ilmu Islam zaman berzaman yang bersesuaian dengan perlaksanaannya di zaman ini setelah mengambilkira maslahah dan mafsadah serta kepelbagaian sudut kehidupan manusia moden. Bagi kami, usaha pemerkasaan fungsi Mahkamah Syariah ini turut menyumbang untuk menjadikan negara Malaysia kita maju dan hebat daripada sudut fizikal dan rohani. Dan ini tidak mungkin berlaku jika pihak JKMMS tidak mengambilkira matlamat dan tujuan syarak itu sendiri seperti mana yang disebutkan oleh Imam al-Syatibi, iaitu kesejahteraan umat manusia, di dunia dan akhirat, dan itu mengandungi empat aspek,
- Kehendak Allah SWT bahawa syariat itu hendaklah dilaksanakan. Justeru, perlaksanaan syariat itu mestilah pada merealisasikan kehendak Allah dan bukan kehendak manusia sahaja.
- Penetapan syariat sebagai sesuatu yang mesti difahami. Justeru, perlaksanaan tanpa kefahaman perlu ditolak.
- Penetapan syariat sebagai hukum taklifi (tanggungjawab) yang harus dilaksanakan. Justeru, sikap bertanggungjawab adalah teras kepada perlaksanaan syariah itu sendiri.
- Penetapan syariah bertujuan membawa manusia di bawah lindungan hukum. Justeru, mengambil hukum semata-mata kerana hawa nafsu dan keinginan manusia adalah ditolak tanpa bimbingan wahyu. [3]
Apabila nawaitu dan matlamat itu jelas dalam kalangan ahli anggota, masyarakat akan percaya kepada fungsi JKMMS ini sebagai mekanisma berkesan untuk menyelesaikan masalah perundangan sedia ada.
- Syura dan Perbincangan
Dengan wujudnya JKMMS dan keanggotaan daripada tokoh-tokoh yang pelbagai latarbelakang serta ilmu, maka kethiqahan masyarakat terhadap mereka akan zahir berdasarkan pandangan mereka yang tuntas kerana mengamalkan konsep syura sepertimana firman Allah SWT,
وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ
Maksudnya: ...dan juga syuralah mereka dalam urusan (peperangan dan keduniaan) itu.
(Surah Ali Imran: 159)
Begitu juga firman Allah SWT:
وَأَمْرُهُمْ شُورَى بَيْنَهُمْ
Maksudnya: …dan urusan mereka dijalankan secara syura sesama mereka.
(Surah al-Syura: 38)
Imam Ibn Jarir al-Tabari menyebut dalam kitab tafsirnya, Jami` al-Bayan (7/343-344), perihal ayat surah Ali Imran di atas:
“Sebahagian ulama menafsirkan bahawa Allah menyuruh Nabi-Nya SAW untuk bermesyuarat dengan para sahabatnya untuk strategi perang dan melawan musuh, sebagai cara Nabi untuk menyentuh hati-hati para sahabat, dan sebagai cara melembutkan hati mereka terhadap agama mereka, supaya mereka melihat bahawa Nabi mendengar pendapat mereka dan meminta bantuan daripada mereka, sekalipun (secara hakikat) cukuplah aturan Allah Azza wa Jalla yang diberikan kepada Nabinya, dan kepimpinannya sahaja dan susunan Nabi SAW sendiri.”
“Sebahagian lain pula menyebut bahawa sememangnya Allah menyuruh Nabi-nya untuk bermesyuarat supaya jelas pandangan dan apakah cara yang terbaik dalam pengaturan kerana mengetahui bahawa dalam mesyuarat memang terdapat kelebihan tertentu seperti mana yang disebut Allah sendiri.”
Oleh itu, penubuhan JKMMS ini perlulah menginspirasikan konsep syura yang diterapkan dalam ayat-ayat di atas. Perjuangan ini bukan perjuangan yang baru sebaliknya adalah legasi para Nabi dan ulama terdahulu dalam memartabatkan kedaulatan Islam sebagai cara hidup semua manusia. Justeru, segala cadangan yang rasional yang berteraskan ilmu yang benar perlu diperbincangkan bersama dan diputuskan secara syura. Teladanilah sirah Saiyidina Umar al-Khattab RA sebagai pemimpin dan cendekiawan yang paling bijak mengendalikan syura sehingga para sahabat, antaranya Saiyidina Ali RA pernah berkata: “Kami tidak pernah berselisih bahawa al-sakinah (pendapat yang paling menenangkan jiwa) itu adalah daripada lisannya Umar.” Rujuk Siyar A`lam al-Nubala’ (2/334).
- Fiqh al-Ta`ayush
Kami mengulas persoalan fiqh al-ta`ayush (kewujudan bersama) ini di beberapa tempat dalam penulisan kami. Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا
Maksudnya: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).
(Surah al-Hujurat: 13)
Al-Zamakhsyari ketika mengulas ayat ini menyatakan bahawa manusia diciptakan daripada Adam dan Hawa. Kita semua diciptakan daripada seorang ibu dan seorang ayah dan tanpa wujud kelebihan antara satu mengatasi yang lain. Maka, tidak ada sebab untuk berbangga akan diri sendiri dan melebihkan diri sendiri dalam hal keturunan. Rujuk al-Kasysyaf ‘an Haqa’iq Ghawamidh al-Tanzil (4/374).
Kita perlu sedar bahawa hubungan dan kesatuan antara kita sesama manusia adalah bertaut pada semangat kemanusiaan dan bukannya pada bukan hanya pada umat aqidah, sekalipun itu yang paling utama. Fitrah kemanusiaan yang menginginkan keamanan, kebersamaan dan keadilan inilah yang boleh memandu kita dalam menghargai fiqh kewujudan bersama dalam kepelbagaian ini. Adalah menjadi satu keperluan bagi seluruh manusia untuk sedar bahawa sejauh mana perbezaan warna kulit, bangsa, politik dan agama, mereka adalah tetap bersaudara.
Berdasarkan kenyataan kami tentang perlaksanaan fiqh al-ta’ayush dalam adab dan mekanisma menyatakan pendapat dalam isu RUU 355[4], keharusan berkongsi parkir gereja dan masjid[5], hukum mengucapkan “Merry Christmas” kepada penganut Kristian ketika Hari Natal[6], perspektif Islam terhadap ziarah ulama dengan pemimpin bukan Islam[7], dan beberapa pertemuan kami dengan pemimpin agama, politik, dan badan-badan bukan Islam, maka kami menyeru perlaksanaan JKMSS ini juga perlu mendengar dan mengambilkira pandangan warganegara yang bukan Islam.
Ini kerana terdapat dua kluster yang berkait rapat dengan fiqh al-ta`ayush:
- Pengharmonian antara Undang-Undang Sivil dan Undang-Undang Syariah;
- Cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 [Akta 355];
Kami mengharapkan dengan wujudnya JKMMS ini, perspektif hakim-hakim sivil yang bukan Islam turut didengar dan dipertimbangkan kerana secara sejarah mereka terlibat dalam menafsirkan undang-undang di Malaysia dalam penghakiman mereka. Berdasarkan perbincangan kami dengan beberapa pihak berkenaan RUU 164, sememangnya terdapat isu pertindanan bidang kuasa antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil. Antara cadangan yang terbaik adalah dengan mewujudkan sebuah forum kehakiman seperti Mahkamah Berbidang Kuasa Serentak (Concurrent Court) yang membolehkan mana-mana kes yang melibatkan pertindihan bidang kuasa Syariah dan sivil dibicarakan oleh Hakim Syariah dan Hakim Sivil, di antara dua pihak yang berselisih dalam isu pembubaran perkahwinan bagi muallaf dan kesan-kesan selepasnya seperti penjagaan anak, harta sepencarian dan lain-lain.
Begitu juga dengan RUU 355, sekalipun perlaksanaannya melibatkan orang yang melakukan kesalahan syariah daripada kalangan orang Islam, masih lagi terdapat mereka yang berlatarbelakang undang-undang sivil tidak memahami kepentingan RUU ini kerana kurangnya penjelasan. Oleh itu, sebaiknya mereka, sama ada dari kalangan Muslim atau bukan Islam, patut dijemput untuk berbincang dan bermesyuarat bersama menderaf cadangan tersebut.
Kesimpulan
Kami sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan dan JAKIM atas usaha penubuhan JKMMS ini. Kami mengharapkan polisi-polisi yang terbit daripada kluster-kluster di bawah JKMMS ini akan berupaya menjadi seperti Perjanjian Hudaibiyyah dan Piagam Madinah yang menjadi titik tolak penyebaran sistem hukum Islam menggantikan sistem hukum Jahiliyyah yang menindas, dan memberikan hak dan keadilan kepada semua umat manusia di bawah payung Islam. Ini bertepatan dengan semangat Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan bahawa Islam adalah agama persekutuan dan Perkara 37 (1) yang memperuntukkan Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong untuk mendaulatkan Islam di bumi Malaysia ini.
Kami akhiri dengan firman Allah Taala:
وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ ۚ أُولَٰئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Maksudnya: Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
(Surah al-Taubah: 71)
Siiruu `ala barakatillah
Akhukum fillah,
Sahibus Samahah Datuk Dr. Haji Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
18 Ogos 2017M bersamaan 25 Dzulkaedah 1438H
[1] http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/newsindex.php?id=1379062
[2] http://www.islam.gov.my/media-jakim/kenyataan-media/1095-kenyataan-media-ketua-pengarah-jakim-berkenaan-penubuhan-jawatankuasa-memperkasa-mahkamah-syariah
[3] Rujuk Bayan Linnas Siri Ke-67 : Isu Cadangan Pindaan Akta 355: Satu Pendapat, hal. 17, 18 & 50.
[4] http://www.muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/al-kafili-al-fatawi/1529-isu-cadangan-pindaan-akta-355-satu-pendapat
[5] http://www.muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/bayan-linnas/1574-bayan-linnas-siri-ke-89-masjid-dan-gereja-berkongsi-ruang-meletak-kenderaan#_ftn1
[6] http://muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/bayan-linnas/1349-bayan-linnas-siri-ke-81-hukum-mengucapkan-merry-christmas-kepada-mereka-yang-beragama-kristian
[7] http://www.muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/irsyad-fatwa/632-irsyad-al-fatwa-ke-99-hukum-ulama-islam-bertemu-dengan-pimpinan-agama-lain