Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE- 92 : PERLAKUAN HOMOSEKSUAL DALAM ISLAM

Mukadimah

Beberapa hari lalu, telah tular kenyataan “Al-Qur’an Tidak Larang Homoseksual” dan “Nabi Anjur Cinta Lelaki Sesama Lelaki” yang didakwa ianya daripada seorang peguam, Afiq M. Noor. Alhamdulillah, beliau mengambil inisiatif untuk berkunjung ke Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di Putrajaya dan memberikan penjelasan kepada kami berhubung hal ini. Sebelum dinyatakan isi perbincangan tersebut, kami lampirkan hujah daripada al-Qur’an dan Hadis tentang pengharaman perlakuan liwat dan hubungan seksual sesama jantina. Maka kami kemukakan kepada anda Bayan Linnas Siri ke - 92: Perlakuan Homoseksual Dalam Islam

Al-Quran

Firman Allah SWT:

وَجَاءَهُ قَوْمُهُ يُهْرَعُونَ إِلَيْهِ وَمِن قَبْلُ كَانُوا يَعْمَلُونَ السَّيِّئَاتِ ۚ قَالَ يَا قَوْمِ هَـٰؤُلَاءِ بَنَاتِي هُنَّ أَطْهَرُ لَكُمْ ۖ فَاتَّقُوا اللَّـهَ وَلَا تُخْزُونِ فِي ضَيْفِي ۖ أَلَيْسَ مِنكُمْ رَجُلٌ رَّشِيدٌ

Maksudnya: Dan kaumnya pun datang meluru kepadanya (dengan tujuan hendak mengganggu tetamunya), sedang mereka sebelum itu sudah biasa melakukan kejahatan. Nabi Lut berkata: "Wahai kaumku! Di sini ada anak-anak perempuanku mereka lebih suci bagi kamu (maka berkahwinlah dengan mereka). Oleh itu takutlah kamu kepada Allah, dan janganlah kamu memberi malu kepadaku mengenai tetamu-tetamuku. Tidakkah ada di antara kamu seorang lelaki yang bijak berakal (yang dapat memberi nasihat)?"

(Surah Hud: 78)

Firman Allah SWT:

أَتَأْتُونَ الذُّكْرَانَ مِنَ الْعَالَمِينَ .  وَتَذَرُونَ مَا خَلَقَ لَكُمْ رَبُّكُم مِّنْ أَزْوَاجِكُم ۚ بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ عَادُونَ

Maksudnya: "Patutkah kamu melakukan hubungan jenis dengan lelaki dari kalangan manusia, Dan kamu tinggalkan apa yang diciptakan oleh Tuhan kamu untuk kamu (melakukan hubungan yang halal) dari badan isteri-isteri kamu? (Kamu orang-orang yang bersalah) bahkan kamu adalah kaum yang melampaui batas (keinginan kebanyakan haiwan)!"

(Surah al-Syu’ara’: 165-166)

Firman Allah SWT:

أَئِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ الرِّجَالَ شَهْوَةً مِّن دُونِ النِّسَاءِ ۚ بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ تَجْهَلُونَ

Maksudnya: "Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki, bukan perempuan, kerana memuaskan nafsu syahwat kamu. (Perbuatan kamu itu amatlah keji) bahkan kamu kaum yang jahil (yang tidak mengetahui akan akibatnya)".

(Surah al-Naml: 55)

 

Firman Allah SWT:

أَئِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ الرِّجَالَ وَتَقْطَعُونَ السَّبِيلَ وَتَأْتُونَ فِي نَادِيكُمُ الْمُنكَرَ ۖ فَمَا كَانَ جَوَابَ قَوْمِهِ إِلَّا أَن قَالُوا ائْتِنَا بِعَذَابِ اللَّـهِ إِن كُنتَ مِنَ الصَّادِقِينَ

Maksudnya: "Patutkah kamu mendatangi orang lelaki (untuk memuaskan nafsu syahwat kamu)? Dan kamu memotong jalan lalu-lalang (untuk tujuan jahat kamu)? Dan kamu pula melakukan perbuatan yang mungkar di tempat-tempat perhimpunan kamu?" Maka kaumnya tidak menjawab selain daripada berkata (secara mengejek-ejek): "Datangkanlah kepada kami azab dari Allah (yang engkau janjikan itu) jika betul engkau dari orang-orang yang benar".

(Surah al-Ankabut: 29)

Al-Hadith

Sabda Nabi SAW:

مَنْ وَجَدْتُمُوهُ يَعْمَلُ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ فَاقْتُلُوا الْفَاعِلَ وَالْمَفْعُولَ بِهِ

Hadith riwayat Ibn Abbas : “Sesiapa sahaja yang engkau dapati mengerjakan perbuatan homoseksual maka bunuhlah kedua pelakunya”.

(Riwayat Ahmad, no. 1875)

Sabda Nabi SAW:

لَعَنَ اللَّهُ مَنْ عَمِلَ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ ، لَعَنَ اللَّهُ مَنْ عَمِلَ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ ، ثَلاثًا

Maksudnya: “Allah melaknat siapa sahaja yang melakukan perbuatan kaum Luth, (Baginda mengulanginya sebanyak tiga kali)”.

(Riwayat Ahmad, no. 2913)

Hukum Perbuatan Liwat Seperti Kaum Lut Menurut Mazhab al-Syafie

Di sini kami nukilkan daripada kitab al-Fiqh al-Manhaji berkenaan hukuman bagi perbuatan yang menyerupai zina:

Liwat ialah persetubuhan pada dubur, baik yang disetubuhi itu lelaki mahupun perempuan. Menurut pendapat mazhab yang sahih, hukum perbuatan ini ialah hukum zina bagi pihak pelaku sekiranya wujud bukti atau pengakuan. Sekiranya pelaku seorang muhsan, dia akan direjam hingga mati. Sekiranya pelaku bukan muhsan, dia akan disebat sebanyak 100 sebatan dan dibuang negeri selama setahun.

Ini berdasarkan firman Allah SWT yang umum:

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

Maksudnya: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu ialah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).

(Surah al-Isra’, 17: 32)

 

Di samping itu, firman Allah yang menceritakan kisah kaum Luth:

أَتَأْتُونَ الْفَاحِشَةَ مَا سَبَقَكُمْ بِهَا مِنْ أَحَدٍ مِنَ الْعَالَمِينَ

Maksudnya: Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu?

(Surah al-A’raf,7 : 80)

 

Sebuah hadith ada mengungkapkan bahawa orang yang melakukan perbuatan ini sebagai pelaku zina. Daripada Abu Musa, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا أَتَى الرَّجُلُ الرَّجُلَ فَهُمَا زَانِيَانِ

Maksudnya: Apabila seorang lelaki mendatangi seorang lelaki, mereka berdua adalah penzina.

Riwayat al-Baihaqi (8/233)

 

Sementara orang yang diperlaku pula, jika bukan isterinya sendiri akan dibuang negeri sama seperti hukuman zina bukan muhsan, walaupun dia seorang lelaki ataupun perempuan muhsan. Ini kerana tempat sasaran pelakuan ini (dubur) tidak melibatkan masalah muhsan atau tidak. Menurut satu pendapat, perempuan yang muhsan akan direjam.

Menurut pendapat Imam al-Syafie Rahimahullah, pelaku liwat dihukum bunuh berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh para penulis Sunan (ashab al-Sunan) daripada Ibn Abbas RA bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ وَجَدْتُمُوهُ يَعْمَلُ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ فَاقْتُلُوا الْفَاعِلَ وَالْمَفْعُولَ بِهِ

Maksudnya: Sesiapa yang kamu temui mengamalkan amalan kaum Nabi Lut, hendaklah bunuh pelaku dan yang diperlaku.

Riwayat al-Tirmizi (1456), Abu Daud (4462) dan Ibn Majah (2561)

Terdapat pendapat mazhab lain selain daripada mazhab al-Syafie yang menyebut pelaku liwat dibakar. Pendapat ini berpandukan hadith riwayat al-Baihaqi:

أَنَّهُ اجْتَمَعَ رَأْيَ أَصْحَابِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى تَحْرِيْقِ الفَاعِلِ وَالْمَفْعُوْلِ بِهِ

Maksudnya: Para sahabat Rasulullah SAW telah sependapat membakar pelaku dan yang diperlaku.

Riwayat al-Baihaqi (8/233)

Menurut aI-Hafiz al-Munziri, para peliwat dibakar oleh empat khalifah iaitu Abu Bakar al-Siddiq, Ali bin Abu Talib, Abdullah bin Zubair dan Hisyam bin Abdul Malik. Imam Ibn Mundzir Rahimahullah (w.456) menyebutkan dalam Maratiba l-Ijma’ (hal. 113):

وَاتَّفَقُوا أَن وَطْء الرجل الرجل جرم عَظِيم

Maksudnya: Dan umat Islam seluruhnya bersepakat bahawa hubungan seks lelaki dengan lelaki adalah dosa dan jenayah yang serius.

Tetapi para ulama berbeza pendapat samaada pesalah dihukum dengan hukuman hudud atau ta’zir.

 

Kenyataan Mufti Wilayah

Kami telah bertemu dengan saudara Afiq M.Noor yang datang ke pejabat kami pada 15 Mei lalu untuk mendapatkan penjelasan daripada beliau sendiri berkenaan hal ini. Beliau menjelaskan bahawa sememangnya beliau pernah menukilkan hal tersebut dalam suatu forum tertutup yang dibuat di Nilai, Negeri Sembilan. Program tersebut dihadiri oleh pelajar-pelajar universiti dan berkonsepkan forum bersama dua orang panel lain.

Beliau menyambung bahawa maklumat terbabit diambil daripada video penuh yang dipotong-potong, sedangkan pada permulaan pembentangan, beliau sedang membentangkan hasil kajian Ph.D beliau dalam isu homoseksualiti dan Islam. Beliau menyebut bahawa beliau telah menjelaskan pada awal pembentangan bahawa perbuatan kaum Nabi Luth dan liwat adalah haram secara ijmak.

Beliau mengaku bahawa pada bahagian kedua beliau menyatakan pendapat-pendapat penulis buku “Homosexuality in Islam”, yakni Scott Kugle yang membawakan tafsiran al-Quran yang didakwa dinisbahkan kepada Imam Ibn Hazm al-Andalusi (w.456) dan hadis-hadis Nabi yang menyokong agenda LGBTQ. Beliau menjelaskan bahawa beliau menukilkan semata-mata atas dasar akademik disamping beliau mengakui bahawa perbuatan kaum Nabi Luth atau liwat adalah haram dan dosa besar. Beliau berasa terkilan dengan pihak membuat artikel terbabit dan menafikan fitnah bahawa dia menghalalkan perlakuan seks sesama jenis.

Kami menyambut baik penjelasan beliau itu dan menasihati beliau agar berhati-hati pada waktu akan datang dalam menukilkan pendapat-pendapat yang bertentangan dengan ijmak umat Islam. Ini bagi mengelakkan fitnah di dalam masyarakat, seperti yang telah pun berlaku.  Setelah meneliti buku “Homosexuality in Islam” yang digunakan oleh saudara Afiq, kami dapati dakwaan-dakwaan Scott Kugle itu juga bermasalah kerana isu kefahaman bahasa dan teks hadis yang tidak tepat serta nukilan pendapat-pendapat yang lemah.

Dalam masa yang sama, kami ingin menyeru kepada pelaku homoseksual agar bertaubat kepada Allah SWT. Peluang untuk bertaubat masih terbuka luas bagi mereka yang menginginkannya. Bagi yang ada kecenderungan terhadap jantina yang sama, kami nasihatkan supaya lekas bertemu dengan pakar bagi merawatnya melalui terapi kognitif dan lain-lain kaedah. Sebagaimana yang ditegaskan oleh pakar psikologi Muslim, Prof. Dr. Malik Badri; Homoseksual adalah satu penyakit jiwa dan tidak berkaitan dengan genetik. Masyarakat perlu membimbing golongan seperti ini dengan baik dan membantu mereka keluar daripada masalah

Akhir sekali, kami juga menasihati semua pihak agar mengamalkan budaya tabayyun kerana itu lebih dekat dengan keadilan dan ketaqwaan. Di zaman era globalisasi dunia tanpa batasan ini, pelbagai fitnah boleh berlaku dan mencederakan peribadi seseorang dengan begitu parah dengan sekelip masa sahaja. Pastinya, sikap seorang Muslim itu wajib berintegriti dan bertanggungjawab dengan amanah lisan dan tangan yang menyebarkan berita. Sabda Rasulullah SAW:

المُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ المُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ

Maksudnya: (Kualiti) seorang Islam itu terletak pada orang Islam yang berasa selamatdaripada (kejahatan) lisan dan tangannya.

(Riwayat al-Bukhari, no. 10)

 

Akhukum fillah

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
17 Mei 2017 bersamaan 20 Sya’ban 1438H