Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-162: HUKUM BERKATA-KATA KETIKA KHUTBAH

Soalan: Apakah hukum berkata-kata ketika imam sedang khutbah?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Berkaitan soalan di atas, terdapat hadith Nabi SAW yang sahih menceritakan larangan seseorang itu berkata-kata ketika khatib atau imam sedang berkhutbah. Antaranya yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari RA di dalam Sahihnya:

 

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

إِذَا قُلْتَ لِصَاحِبِكَ يَوْمَ الجُمُعَةِ: أَنْصِتْ، وَالإِمَامُ يَخْطُبُ، فَقَدْ لَغَوْتَ

Maksudnya: “Jika kamu berkata kepada sahabatmu pada hari Jumaat: Diam dan ketika itu imam sedang berkhutbah, maka sesungguhnya kamu telah lagha (melakukan perkara yang sia-sia)”. [Riwayat al-Bukhari (934)]

 

 

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

وَمَنْ مَسَّ الْحَصَى فَقَدْ لَغَا

Maksudnya: “Barangsiapa yang memegang (bermain) batu maka sesungguhnya dia telah lagha”. [Riwayat Muslim (857)]

 

Makna lagha adalah perbuatan atau percakapan yang sia-sia atau tidak ada faedah.

Imam Ibn Rejab al-Hanbali mengatakan bahawa di dalam hadith ini, Nabi SAW telah memberitahu kepada kita bahawa memerintahkan kepada seseorang agar diam ketika khutbah adalah perkara yang lagha (sia-sia) walaupun hal itu termasuk di dalam menyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran. Untuk itu, hadith ini menunjukkan bahawa setiap perkataan yang menyibukkan seseorang itu daripada mendengar atau diam ketika khutbah termasuk dalam hukum yang sia-sia. Adapun diminta orang yang bercakap ketika khutbah untuk diam adalah dengan mengisyratkan sahaja. Para ulama’ tidak berkhilaf dalam hukum dibolehkan memberi isyarat kerana di dalam solat dibolehkan maka ketika khutbah juga dibolehkan dan ia adalah lebih utama untuk dibolehkan (kerana solat merupakan perkara yang lebih besar berbanding khutbah).

 

Para ulama’ telah berijma’ bahawa afdhal (sebaik-baiknya) bagi sesiapa yang mendengar khutbah imam untuk diam dan dengar. Perbuatan itu lebih afdhal daripada dia menyibukkan diri dengan berzikir secara sendiri, membaca al-Quran atau berdoa. [Lihat: Fath al-Bari, 274/8]

 

Persoalan: Adakah solat sunat lebih utama atau mendengar khutbah?

 

Dalam masalah ini, kami melihat sebaik-baiknya seseorang itu melaksanakan solat sunat dua rakaat dengan ringkas sebelum duduk untuk mendengar khutbah. Ini didasarkan kepada beberapa buah hadith, antaranya:

 

  • Daripada Abi Qatadah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

إِذَا دَخَلَ أَحَدُكُمُ المَسْجِدَ، فَلاَ يَجْلِسْ حَتَّى يُصَلِّيَ رَكْعَتَيْنِ

Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu masuk ke masjid, janganlah dia duduk sehingga dia solat sebanyak dua rakaat”. [Riwayat al-Bukhari (1097)]

 

  • Daripada Jabir RA, berkata:

 

Telah datang Sulaik al-Ghathfaniy pada hari Jumaat dan Rasulullah SAW sedang berkhutbah lalu dia terus duduk. Maka Nabi SAW bersabda:

 

يَا سُلَيْكُ قُمْ فَارْكَعْ رَكْعَتَيْنِ، وَتَجَوَّزْ فِيهِمَا

ثُمَّ قَالَ: إِذَا جَاءَ أَحَدُكُمْ يَوْمَ الْجُمُعَةِ، وَالْإِمَامُ يَخْطُبُ، فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ، وَلْيَتَجَوَّزْ فِيهِمَا

Maksudnya: “Wahai Sulaik, bangun dan solatlah dua rakaat dengan ringkas pada dua rakaat tersebut”. Kemudian Rasulullah SAW bersabda lagi: “Apabila datang salah seorang daripada kamu pada hari Jumaat dalam keadaan imam sedang berkhutbah, solatlah dua rakaat serta ringkaskanlah kedua rakaat tersebut”. [Riwayat Muslim (875)]

 

Berdasarkan kedua hadith sahih ini yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, maka kami berpandangan bahawa solat sunat adalah lebih utama berbanding terus duduk untuk mendengar khutbah jika waktu untuk ditunaikan itu masih berbaki. Akan tetapi, solat tersebut perlulah dilakukan dengan ringkas atau ringan iaitu membaca apa yang diwajibkan sahaja dalam solat.

 

Penutup

Kesimpulannya, bercakap atau melakukan perkara-perkara yang sia-sia adalah termasuk dalam perkara yang lagha. Di samping itu, barangsiapa yang melakukan hal sedemikian solat Jumaatnya sah tetapi pahala Jumaatnya berkurang atau dia tidak mendapat kelebihan yang diingini dan pahala yang diharapkan. Ini disebut di dalam kitab al-Muktamad Fi Fiqh al-Syafie berdalilkan dengan hadith di dalam Sunan Abi Daud, daripada Ali RA, bahawa beliau mendengar Nabi SAW bersabda:

 

ومَنْ لَغَا فَلَيْسَ لَهُ فِيْ جُمُعَتِهِ تِلْكَ شَئ

Maksudnya: “Dan barangsiapa yang lagha maka dia tidak mendapat bahagiannya daripada Jumaatnya itu”. [Riwayat Abu Daud (1051)][Menurut Syeikh al-Arna’outh sanad hadith ini dhaif tetapi hadith ini mempunyai syawahid]

 

Akhirnya, semoga Allah SWT menggolongkan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang hatinya sentiasa dekat dengan masjid serta memberi kita kesihatan yang baik agar kita sentiasa dapat menghadirkan diri ke masjid samada pada hari Jumaat atau hari-hari yang lainnya. Amin.

 

Wallahua’lam