Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-93: ORANG YANG BERPUASA DAN BERQIYAM YANG SIA-SIA

 

 

Soalan:

Apakah status hadith dan makna hadith orang yang berpuasa hanya mendapat lapar?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Matan Hadith

  • Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 

رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ، وَرُبَّ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ

Maksudnya: “Boleh jadi orang yang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan boleh jadi orang yang berqiyam itu tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya melainkan hanya berjaga malam”. [Riwayat Ibnu Majah, no. Hadith 1690][Syeikh Syu’aib menilai hadith ini sebagai sahih dan sanadnya juga baik]

 

Antara Sebab Puasa Menjadi Sia-Sia

Inilah sebab yang membuatkan puasa seseorang itu menjadi sia-sia dan hanya merasakan lapar dan dahaga sahaja. Antaranya adalah:

 

  • Tidak meninggalkan perkataan dan perbuatan yang keji atau dusta. Terdapat sebuah hadith daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW:

 

مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّوْرِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلّٰهِ حَاجَةٌ أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَه

Maksudnya:Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan keji (dusta) serta mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat orang itu meninggalkan makan dan minumnya”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 1770, 5597]

  • Tidak meninggalkan perkataan yang melalaikan dan lucah. Ini berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

لَيْسَ الصِّيَامُ مِنَ الأَكْلِ وَالشَّرَبِ ، إِنَّمَا الصِّيَامُ مِنَ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ

Maksudnya: “Puasa bukanlah hanya menahan diri dari makan dan minum sahaja, akan tetapi puasa adalah dengan menahan diri dari perkataan yang melalaikan dan lucah”. [Lihat: al-Targhib wa al-Tarhib, 2/154]

 

Antara Sebab Qiyam Menjadi Sia-Sia

Di dalam Syarah Miskkah al-Masabih, qiyam seseorang itu menjadi sia-sia apabila hilangnya dua syarat iaitu ikhlas dan khusyu’. [Lihat: Mir’ah al-Mafatih, 6/1053] Tambahan pula, riya’ juga boleh menyebabkan qiyam seseorang itu boleh menjadi sia-sia. Ini kerana, riya; merupakan sifat orang munafiq, berdasarkan firman Allah SWT:

 

إِنَّ الْمُنَافِقِينَ يُخَادِعُونَ اللَّـهَ وَهُوَ خَادِعُهُمْ وَإِذَا قَامُوا إِلَى الصَّلَاةِ قَامُوا كُسَالَىٰ يُرَاءُونَ النَّاسَ وَلَا يَذْكُرُونَ اللَّـهَ إِلَّا قَلِيلًا

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang munafiq itu melakukan tipu daya (terhadap agama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafiq). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riya’ (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang)”. [al-Nisa’:142]

 

Penutup

Kesimpulannya, terdapat orang yang sah puasanya tetapi tidak diberi padanya pahala. Justeru, amat penting dalam ibadah puasa dua perkara iaitu:

  • Pertama: Memelihara daripada batalnya puasa.
  • Kedua: Memelihara daripada batalnya pahala puasa.

Semoga puasa kita menatijahkan taqwa sebagaimana yang dinyatakan di dalam nas Ilahi.