Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-90: HIKMAH BERSAHUR

 

Soalan:

Apakah status dan makna hadith pada bersahur itu ada keberkatan?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

               

Matan Hadith

Hadith tersebut telah diriwayatkan oleh oleh Anas Bin Malik RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

تَسَحَّرُوا، فَإِنَّ فِي السُّحُورِ بَرَكَةً

Maksudnya : “Bersahurlah kamu, sesungguhnya pada sahur itu terdapat keberkatan”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 1923 dan Muslim, no. Hadith 45]

 

Makna Hadith

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith menyatakan bahawa hadith ini menunjukkan galakan dalam bersahur. Telah berlaku ijma’ dalam kalangan ulama’ bahawa bersahur adalah sunat dan ia bukanlah wajib. Adapun keberkatan padanya bermaksud dengan bersahur akan menguatkan seseorang itu untuk berpuasa dan membuat seseorang itu bersemangat dengan bersahur. Di samping itu, dengan bersahur akan membuat keinginan seseorang itu untuk berpuasa bertambah, disebabkan kurangnya kesusahan yang dialami bagi orang yang bersahur (disebabkan keberkatan bersahur). Ini adalah pendapat yang betul dan mu’tamad pada makna hadith ini. Dikatakan juga, keberkatan yang dimaksudkan adalah dengan berjaga malam, berzikir, berdoa pada waktu yang mulia iaitu waktu turunnya rahmat dan diqabulkan (diterima) doa dan istighfar.[Lihat: al-Minhaj, 7/206] Kita juga disunatkan melewatkan bersahur dan mempercepatkan berbuka.

 

Penutup

Semoga kita dapat laksanakan ibadat sunat yang besar maknanya dalam kehidupan kita serta terus beristiqamah dalam beribadat pada bulan yang mulia ini. Amin.