Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-88: HADITH KELEBIHAN BULAN RAMADHAN BERSIFAT HARIAN

 

Soalan:

Apakah status hadith kelebihan bulan Ramadhan bersifat harian?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, terdapat padanya banyak kelebihan yang Allah SWT tawarkan di dalam bulan ini. Disebabkan itu, kita sering mendengar akan hadith-hadith berkaitan kelebihan bulan Ramadhan. Maka, Irsyad al-Hadith pada kali ini akan cuba menerangkan berkaitan status hadith ini.

 

Matan Hadith

Hadith berkaitan kelebihan Ramadhan dikatakan daripada oleh Anas bin Malik RA, bahawa beliau telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

 

إِذَا كَانَ أَوَّلُ لَيْلَةٍ مِنْ شَهْرِ رَمَضَانَ نَادَى اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى رِضْوَانَ خَازِنَ الْجَنَّةِ يَقُولُ يَا رِضْوَانُ فَيَقُولُ لَبَّيْكَ وَسَعْدَيْكَ فَيَقُولُ زَيِّنِ الْجِنَّانَ لِلصَّائِمِينَ وَالْقَائِمِينَ مِنْ أُمَّةِ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ لا تُغْلِقْهَا حَتَّى يَنْقَضِيَ شَهْرُهُمْ فَإِذَا كَانَ الْيَوْمُ الثَّانِي أَوْحَى الله مَالِكٍ خَازِنِ النَّارِ يَا مَالِكُ أَغْلِقْ أَبْوَابَ النِّيرَانِ عَنِ الصَّائِمِينَ وَالْقَائِمِينَ مِنْ أُمَّةِ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ لا تُفْتَحُ حَتَّى يَنْقَضِيَ شَهْرُهُمْ وَإِذَا كَانَ الْيَوْمُ الثَّالِثُ أَوْحَى اللَّهُ إِلَى جِبْرِيلَ يَا جِبْرِيلُ اهْبِطْ إِلَى الأَرْضِ فَغُلَّ عَلَى مَرَدَةِ الشَّيَاطِينَ وَعُتَاةِ الْجِنِّ كَيْ لا يُفْسِدُوا عَلَى عِبَادِي صَوْمَهُمْ ثُمَّ قَالَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ لِلَّهِ مَلَكًا رَأْسُهُ تَحْتَ الْعَرْشِ وَرِجْلاهُ...

Maksudnya: “Apabila tiba hari pertama bulan Ramadhan, Allah SWT menyeru malaikat Ridhwan iaitu penjaga syurga, Allah SWT berfirman: Wahai Ridhwan! Maka Ridhwan menjawab: aku penuhi panggilan-Mu wahai Tuanku dan aku penuhi panggilan-Mu dengan senang hati. Allah SWT berfirman lagi: Hiaskanlah syurga bagi orang yang berpuasa dan berjaga malam daripada kalangan umat Muhammad SAW dan janganlah engkau tutupnya sehingga selesai bulan mereka ini (iaitu Ramadhan). Apabila datang hari kedua, Allah SWT mengkhabarkan kepada malaikat Malik iaitu penjaga neraka dengan berfirman: Wahai Malik! Tutuplah pintu-pintu neraka bagi yang berpuasa dan berjaga malam daripada kalangan umat Muhammad SAW. Kemudian janganlah dibuka sehingga selesai bulan mereka. Kemudian apabila tiba hari ketiga, Allah SWT mengkhabarkan kepada Jibril: Wahai Jibril! Turunlah ke dunia maka rantaikanlah syaitan dan jin yang jahat sehingga mereka tidak merosakkan puasa hamba-hamba-Ku. Dan bagi Allah malaikat  yang kepalanya di bawah arash dan kedua kakinya…”. [Lihat: Ithaf Ahl al-Islam bi Khususiyyat al-Shiam, 47, 48]

 

Pendapat Ulama’ Berkaitan Hadith Ini

Antara pendapat atau hukum yang dinyatakan oleh para ulama’ adalah:

 

  • Ibn Jauzi berkata bahawa hadith ini adalah tidak sahih daripada Rasulullah SAW. [Lihat: al-‘Ilal al-Mutanahiyah, 2/533]
  • Al-Aini pula berkata bahawa Imam al-Bukhari dan Abu Hatim mengatakan bahawa ‘Abbad bin Abd al-Samad adalah seorang yang munkar hadith (hadithnya munkar). [Lihat: ‘Umdah al-Qari, 10/384]
  • Ibn Hibban mengatakan hadith ini adalah bathil. [Lihat: al-Majruhin, 1/206]
  • Imam al-Zahabi berkata hadith ini terdapat padanya ciri palsu. [Lihat: Tarikh al-Islami, 10/342]
  • Al-‘Uqailiy berkata bahawa hadith-hadith ‘Abbad bin Abd al-Samad adalah munkar. [Lihat: al-Dhu’afa’ al-Kabir, 3/138]
  • Al-Syaukani mengatakan hadith ini adalah palsu. [Lihat: al-Fawaid al-Majmu’ah, 87]

 

Komentar Ibn Hajar al-Haithami Berkenaan Hadith Ini

Di dalam kitab Ithaf Ahl al-Islam bi Khususiyyat al-Shiam yang dikarang oleh Ibn Hajar al-Hathami, beliau telah memberi komentar berkaitan hadith ini pada halaman ke 47. Antara komentar yang diberikan adalah:

 

  • Hadith ini telah dikeluarkan oleh Ibn Syahin dalam kitabnya al-Targhib daripada Anas dengan sanad yang terdapat padanya ‘Abbad yang meriwayatkan daripada Anas di mana naskhah umumnya bersifat mungkar.

 

  • Dikeluarkan oleh Ibn Hibban dalam kitabnya al-Dhu‘afa’ dengan sanad yang terdapat padanya kazzab (pendusta dan pembohong).

 

  • Hadith ini juga dikeluarkan oleh Ibn Jauzi dalam al-Maudhu’at dengan jalan ini.

 

  • Hadith ini juga dikeluarkan oleh al-Dailami dengan sanad yang ketiga dan padanya matruk (yang ditinggalkan).

 

Hukum Hadith

Hadith ini adalah paslu lagi dusta di atas nama Nabi SAW dan juga sahabat baginda SAW iaitu Anas bin Malik. Di samping itu, haram bagi kita menyebarkannya kepada orang lain. Ini kerana, telah jelas tanda-tanda atau ciri-ciri kepalsuan hadith tersebut seperti yang telah digariskan oleh para ulama’. Tambahan pula, muhaqqiq bagi kitab Ithaf Ahl al-Islam bi Khususiyyat al-Shiam, iaitu Mustafa bin Abdul Qadir ‘Ata dalam komentarnya menyebut bahawa hadith ini maudhu’ (palsu) sepertimana yang dikatakan oleh pengarang kitab tersebut iaitu Ibn Hajar.

 

Penutup

Kesimpulannya, hadith di atas adalah tidak sahih dan kita sesekali tidak dibenarkan menyebarkannya kepada orang lain. Apatah lagi, menyandarkannya kepada Nabi SAW. Ini kerana, hukuman bagi orang yang berdusta di atas nama Rasulullah SAW adalah neraka dan dia adalah seorang pendusta, sebagaimana sabda Baginda SAW di dalam hadith yang sahih:

 

مَنْ حَدَّثَ عَنِّي بِحَدِيْثٍ يُرَىْ أَنَّهُ كَذِبٌ فَهُوَ أَحَدُ الْكَاذِبِيْنَ

Maksudnya: “Sesiapa yang menyampaikan daripadaku hadith yang pada sangkaannya adalah dusta maka dia adalah termasuk dalam kalangan pendusta”. [Lihat: Muqaddimah Sahih Muslim]

 

Akhirnya, semoga Allah SWT memelihara lidah-lidah kita daripada menyampaikan dan menyebarkan hadith-hadith yang tidak sahih. Amin.