Soalan: Apakah yang dimaksudkan dengan hadith Mudraj?
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Berdasarkan soalan yang diajukan, soalan tersebut berkaitan dengan ilmu mustholah hadith atau dinamakan sebagai ulum al-Hadith. Hadith Mudraj adalah salah satu daripada jenis-jenis hadith yang melibatkan sanad dan matan dalam sesebuah hadith.
Definisi Hadith Mudraj
Imam al-Baiquniy di dalam manzhumahnya telah memberi definisi berkaitan hadith Mudraj adalah seperti berikut:
وَالمُدْرَجَاتُ في الحَدِيْثِ مَا أَتَتْ * مِنْ بَعْضِ أَلْفَاظِ الرُّوَاةِ اتَّصَلَتْ
Maksudnya: “Dan [Hadith Mudrajat] di dalam hadith (ilmu hadith) apa yang datang (tertambah), Daripada sebahagian lafaz-lafaz perawi dalam keadaan bersambung (bercampur)”.
Di dalam manzhumah di atas, kita memahami bahawa imam al-Baiquniy memberi gambaran kepada kita bahawa hadith Mudraj adalah hadith yang terdapat tambahan yang bersambung di dalam matannya daripada perawi-perawi hadith.
Definisi Hadith Mudraj
Hadith Mudraj adalah apa (lafaz) yang telah dimasukkan atau ditambah di dalam matan hadith sedangkan ia bukanlah daripada lafaz atau matan hadith yang sebenar. Penambahan lafaz ini datangnya daripada perawi secara waham atau tersalah dan ia memberi gambaran seolah-olah lafaz yang ditambah itu adalah daripada Nabi SAW.
Syarat-Syarat Hadith Mudraj
Terdapat dua syarat yang diperlukan bagi hadith Mudraj ini:
- Pertama: Tambahan itu bukanlah daripada hadith Nabi SAW.
- Kedua: Riwayat (penambahan) yang tersalah itu disangka bahawa ia adalah daripada hadith SAW.
Pembahagian Hadith Mudraj
Hadith Mudraj ini terbahagi kepada dua bahagian:
- Bahagian Pertama: Mudraj pada sanad adalah memasukkan sanad sesuatu hadith dengan hadith yang lain. Hakikatnya, mudraj pada sanad adalah sama sepertimana mudraj pada matan iaitu bahagian yang kedua.
- Bahagian Kedua: Mudraj pada matan adalah apabila perawi memasukkan perkataannya di dalam matan hadith yang mana ia disangka bahawa ia adalah daripada hadith Nabi SAW. Bahagian inilah (matan) yang selalu atau banyak berlaku. Penambahan pada matan ini boleh berlaku di awal, pertengahan dan di akhir matan hadith.
Sebab-Sebab Berlakunya Hadith Mudraj Pada Matan
Antara sebab-sebab berlakunya hadith Mudraj pada matan adalah:
- Mensyarahkan lafaz-lafaz hadith yang gharib (aneh atau sukar difahami).
- Memberi komentar terhadap hadith samada berbentuk hukum syara’, mengkhususkan sesuatu atau apa yang membuat seseorang itu bermasalah untuk memahami teks atau matan hadith.
- Tersalah atau lemah hafalan.
Cara-Cara Mengetahui Hadith Mudraj
Berikut adalah cara-cara mengetahui hadith Mudraj:
- Apabila para ahli hadith syak dengan sesuatu lafaz hadith maka mereka bertanya kepada perawi maka perawi sendiri yang mengatakan bahawa ia adalah perkataan dan penambahan daripadanya.
- Terdapat riwayat atau hadith lain yang menunjukkan bahawa hadith yang sebenarnya terpisah dengan perkataan tersebut.
- Sesuatu yang mustahil berlaku pada Nabi SAW.
Hukum Perawi Yang Membuat Penambahan Di Dalam Hadith
Jika perawi tersebut tidak sengaja membuat penambahan di dalam matan hadith tersebut maka tidak berdosa tetapi jika dia banyak melakukan hal sedemikian maka ini menunjukkan bahawa perawi tersebut seorang yang tidak dhabit (tidak kuat ingatannya). Adapun jika dia sengaja melakukan hal tersebut, maka perkara tersebut adalah haram dan dengan itu sifat ‘adalahnya (adil) gugur melainkan perkara tersebut adalah untuk ujian atau menerangkan makna perkataan dalam hadith tersebut.
Hukum Hadith Mudraj
Dalam masalah ini, terdapat dua hal keadaan:
- Pertama: Jika dapat membezakan antara perkataan Nabi SAW dan penambahan perkataan daripada perawi maka diambil perkataan Nabi SAW jika mencukupi syarat-syarat untuk penerimaan sesebuah hadith, manakala tidak dikira perkataan selain daripada Nabi SAW itu sebagai nas syar’ie.
- Kedua: Jika tidak dapat membezakan antara perkataan Nabi SAW dan juga perkataan perawi, di sini kesemua perkataan hadith tersebut adalah ditolak. Akan tetapi, hal ini jarang berlaku kerana para ahli hadith biasanya mampu untuk membezakan antara perkataan Nabi SAW dan juga penambahan perkataan daripada perawi.
Contoh Hadith Mudraj
Antara contoh hadith Mudraj, daripada Abdullah bin Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
وَيْلٌ لِلْأَعْقَابِ مِنَ النَّارِ أَسْبِغُوا الْوُضُوءَ
Maksudnya: “Celakah tumit-tumit dengan azab api neraka, sempurnakanlah wudhu’”. [Riwayat Muslim, (241)]
سَمِعْتُ أَبَا هُرَيْرَةَ، وَكَانَ يَمُرُّ بِنَا وَالنَّاسُ يَتَوَضَّئُونَ مِنَ المِطْهَرَةِ، قَالَ: أَسْبِغُوا الوُضُوءَ، فَإِنَّ أَبَا القَاسِمِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: وَيْلٌ لِلْأَعْقَابِ مِنَ النَّارِ
Maksudnya: “Aku telah mendengar Abu Hurairah RA dan beliau telah berjalan di antara kami dan manusia sedang berwudhu’ pada ketika itu. Beliau (Abu Hurairah) berkata: “Sempurnakanlah wudhu’ kamu”. Telah berkata Abu Qasim (Rasulullah SAW): “Celakah tumit-tumit dengan azab api neraka”. [Riwayat al-Bukhari, (165)]
Melihat kepada dua hadith atau riwayat ini, perkataan atau lafaz “أَسْبِغُوا الوُضُوءَ” adalah perkataan daripada Abu Hurairah RA bukannya daripada Nabi SAW berdasarkan riwayat yang jelas di dalam sahih al-Bukhari bahawa kedua perkataan ini terpisah, tidak seperti di dalam riwayat sahih Muslim yang mana perkataan “أَسْبِغُوا الوُضُوءَ” dan “وَيْلٌ لِلْأَعْقَابِ مِنَ النَّارِ” tidak terpisah.
Penutup
Semoga dengan pencerahan yang ringkas ini dapat memberi sedikit manfaat dan menambah kefahaman kita dalam ilmu Hadith, seterusnya dapat kita memelihara hadith-hadith Nabi SAW daripada sebarang pendustaan ke atas nama Baginda SAW yang mulia. Amin.
Wallahua’lam