Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-77 : HADITH BERKENAAN RAMADHAN ADALAH NAMA ALLAH SWT

 

 

Soalan:

Apakah status hadith berkaitan Ramadhan merupakan antara nama-nama Allah SWT?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Tidak lama lagi, kita akan menyambut bulan Ramadhan yang mana padanya penuh dengan keberkatan dan rahmat. Untuk itu, kita hendaklah sentiasa mempersiapkan diri kita bagi menempuh bulan yang mulia ini dengan meningkatkan amalan dan ibadah kita kepada Allah SWT. Berdasarkan soalan di atas, Irsyad al-Hadith pada kali ini akan membahaskan berkaitan status hadith sebagaimana yang dinyatakan di atas.

 

Matan hadith

Di sini kami datangkan matan hadith yang berkaitan Ramadhan merupakan antara nama-nama Allah SWT:

  • Diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda:

 

لَا تَقُوْلُوْا رَمَضَانَ فَإِنَّ رَمَضَانَ اسْمٌ مِنْ أَسْمَاءِ اللهِ ، وَلَكِنَّ قُوْلُوْا : شَهْرَ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Janganlah kalian menyebut Ramadhan sahaja kerana Ramadhan merupakan nama daripada nama-nama Allah SWT tetapi katakanlah: bulan Ramadhan”. [Lihat: Sunan al-Kubra, 4:201]

 

Hukum Hadith

Antara pendapat ulama’ berkaitan hukum hadith ini adalah:

  • Imam Al-Baihaqi: Dalam hadith ini terdapat perawi bernama Abu Ma’syar Najih al-Sanadi yang dihukum dhaif oleh Yahya bin Ma’in. [Lihat: Sunan al-Kubra, 4:201]
  • Imam Al-Hafiz Ibn Hajar: Hadith ini adalah dhaif. [Lihat: Fath al-Bari, 4:135]
  • Imam al-San’ani: Hukum hadith adalah dhaif. [Lihat: Subul al-Salam, 2:239]
  • Imam Al-Nawawi: Hadith ini dhaif. [Lihat: al-Azkar, 475]
  • Imam Ibn al-Jauzi: Hadith palsu dan tiada asal baginya. [Lihat: al-Maudhu’at, 2:545]

 

Tarjih

Setelah kami melihat dan meneliti pendapat para ulama’ berkaitan status hadith ini, maka kami cenderung untuk mengatakan bahawa hadith ini adalah dhaif dan Ramadhan bukanlah salah satu nama daripada nama Allah SWT. Ini kerana, kita hanya dibenarkan untuk menisbahkan kepada Allah SWT perkara-perkara yang Allah SWT menisbahkan hal tersebut kepada diri-Nya atau apa yang Allah SWT ajarkan kepada Nabi SAW dan juga orang-orang yang soleh dalam kalangan manusia. Tambahan pula, kita mengetahui bahawa Allah SWT mempunyai 99 nama yang mulia. Berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 

إِنَّ للهِ تِسْعَةً وَتِسْعِيْنَ اسْمًا ، مِائَةً إِلَّا وَاحِدًا ، مَنْ أَحْصَاهَا دَخَلَ الجَنَّةَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT mempunyai 99 nama, iaitu seratus kurang satu, barangsiapa yang menghitungnya maka dia akan masuk ke dalam syurga”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 2531]

 

Di samping itu, tidak menjadi masalah jika seseorang itu menyebut Ramadhan sahaja tanpa menyebut Syahr Ramadhan (شهر رمضان). Ini kerana, terdapat di dalam hadith yang sahih bahawa Nabi SAW tidak menyebut Syahr Ramadhan tetapi hanya menyebut Ramadhan, berdasarkah hadith yang  diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

مَنْ قَامَ رَمَضَانَ ، إيمَانًا وَاحْتِسَابًا ، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan karena keimanan dan mengharapkan redha daripada Allah SWT, akan diampuni dosanya yang telah lalu”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 36]

 

Penutup

Kesimpulannya, tidak menjadi masalah untuk kita menyebut bulan Ramadhan dengan Ramadhan sahaja walaupun al-Quran menggunakan lafaz Syahr Ramadhan (شهر رمضان). Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dan petunjuk dalam melakukan amal dan ibadah kepada-Nya. Amin.