Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad al-Hadith Siri ke-67: Hadith al-Fard (الفرد)

 

 

Soalan :

Apakah yang dimaksudkan dengan al-Fard?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Berdasarkan pertanyaan di atas, pertanyaan tersebut melibatkan ilmu mustholah hadith atau dinamakan sebagai ulum al-Hadith. Hadith al-Fard adalah salah satu daripada jenis atau bahagian hadith yang melibatkan bilangan perawi sesebuah hadith di dalam peringkat sanad sama seperti hadith al-Mashyur, al-Aziz dan juga al-Gharib.

 

Definisi Hadith al-Fard

Imam al-Baiquniy di dalam manzhumahnya telah memberi definisi hadith al-Fard seperti berikut:

وَالْفَرْدُ مَا قَيَّدْتَهُ بِثِقَةِ * أَوْ جَمْعٍ أَوْ قَصْرٍ عَلَى رِوَايَةِ

Maksudnya: “Dan [Hadith Fard] apa yang dikaitkan dengan perawi yang thiqah Atau ramai atau terbatas pada satu riwayat sahaja”.

 

Menurut definisi yang diberikan oleh Imam al-Baiquniy, hadith al-Fard adalah hadith yang perawinya bersendiri dalam semua bentuk. Al-Fard dari sudut bahasa bermaksud satu (seorang) atau ganjil. Manakala dari sudut istilah sama seperti hadith al-Gharib iaitu hadith yang diriwayatkan oleh seorang perawi sama ada pada setiap tabaqat sanad ataupun pada sebahagiannya daripadanya.

 

Pembahagian hadith al-Fard

  • Fard al-Mutlak : Hadith yang diriwayatkan oleh seorang perawi sahaja dan tidak ada selain daripadanya yang meriwayatkan hadith tersebut. Hukum bagi riwayat seperti ini adalah bergantung pada keadaan perawi itu sendiri sama ada riwayatnya di terima atau tidak dan juga keadaan riwayat tersebut.
  • Fard al-Nisbiy: Hadith yang diriwayatkan itu bersendiri pada mana-mana bahagian atau peringkat sanad. Contohnya adalah seperti berikut:
  • Riwayat seseorang perawi daripada perawi yang lain secara menyendiri.
  • Riwayat ahli al-Balad (ahli sesuatu tempat) daripada seseorang perawi secara menyendiri.
  • Riwayat seseorang perawi daripada ahli al-Balad tertentu secara menyendiri.
  • Riwayat ahli al-Balad daripada ahli al-Balad yang lain secara menyendiri.

 

Para ulama’ telah memberi nama yang lain bagi hadith al-Fard ini iaitu al-Gharib. Sebahagian mereka mengatakan bahawa kedua jenis (iaitu al-Fard dan al-Gharib) hadith ini adalah sama dan sebahagian yang lain cuba membezakan antara kedua jenis hadith ini.

 

Al-Hafiz Ibn Hajar menganggap bahawa kedua jenis hadith ini adalah sama dari sudut bahasa dan istilah. Ini kerana, sebahagian ahli mustholah membezakan keduanya dari aspek penggunaannya samada banyak atau sedikit. Adapun hadith al-Fard digunakan pada bahagian pertama iaitu al-Fard al-Mutlak dan al-Gharib pula banyak digunakan pada bahagian kedua iaitu al-Fard al-Nisbiy.

 

Hukum Hadith al-Fard

Hadith al-Fard boleh menjadi sahih, hasan dan juga dhaif bergantung kepada hal keadaan perawi yang terdapat di dalam sanad tersebut. Jika yang meriwayatkan itu thiqah dan menepati syarat-syarat penerimaan sesuatu hadith maka diterima riwayat tersebut, namun jika sebaliknya maka riwayat tersebut ditolak. Di samping itu, perlu melihat kepada keadaan riwayat tersebut adakah berlaku percanggahan atau tidak dengan riwayat yang lain.

 

Penutup

Semoga dengan pencerahan yang ringkas ini dapat memberi sedikit manfaat dan menambah kefahaman kita dalam ilmu Mustholah Hadith. Amin.