Soalan :
Apakah yang dimaksudkan dengan Hadith Aziz?
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Berdasarkan pertanyaan di atas, pertanyaan tersebut melibatkan ilmu mustholah hadith atau dinamakan sebagai ulum al-Hadith. Hadith Aziz adalah salah satu daripada jenis atau bahagian hadith yang melibatkan bilangan perawi sesebuah hadith di dalam peringkat sanad.
Definisi Hadith Aziz
Imam al-Baiquniy di dalam manzhumahnya telah memberi definisi hadith Aziz seperti berikut:
عَزِيْزٌ مَرْوِي اثْنَيْنِ أَوْ ثَلاَثَهْ
Maksudnya: “[Hadis Aziz] yang diriwayatkan oleh dua atau tiga orang perawi”.
Berdasarkan pendapat Imam al-Baiquniy, hadith Aziz adalah hadith yang diriwayatkan oleh dua atau tiga orang perawi dalam salah satu tabaqat (peringkat) di dalam sanad. Telah berlaku perselisihan antara para ahli hadith berkenaan definisi hadith Aziz. Antaranya definisi yang diberikan oleh Imam al-Hafiz Ibn Hajar di dalam kitabnya : [Lihat: al-Nuzhah, 49]
“Hadith Aziz yang diriwayatkan oleh dua orang perawi sahaja”.
Merujuk kepada dua definisi ini, definisi yang diberikan oleh Imam Ibn Hajar adalah lebih tepat dan ini juga merupakan pendapat jumhur iaitu hadith Aziz ialah yang diriwayatkan oleh dua orang perawi bukan tiga orang perawi seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Baiquniy.
Bentuk Hadith Aziz
Hadith Aziz terbahagi kepada dua:
- Pertama: Riwayat dua orang perawi daripada dua orang perawi daripada awal sanad hingga ke penghujung sanad.
- Kedua: Riwayat dua orang perawi di dalam salah satu tabaqat (peringkat) sanad dan tidak disyaratkan setiap peringkat sanad itu perlu ada dua orang perawi seperti bentuk yang pertama.
Contoh Hadith Aziz
Antara contoh yang selalu digunakan dalam membuat contoh untuk hadith Aziz ialah sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim melalui jalur dua orang sahabat. Imam al-Bukhari telah meriwayatkan daripada jalur Abu Hurairah RA, manakala Imam Muslim meriwayatkan daripada jalur Anas bin Malik RA, bahawa Rasulullah SAW:
لَا يُؤْمِنُ أحَدُكُمْ حَتَّىْ أَكُوْنَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَوَالِدِهِ وَلَدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِيْنَ
Maksudnya: “Tidak beriman (sempurna iman) seseorang itu sehingga diriku lebih dikasihi olehnya daripada bapanya, anaknya dan manusia seluruhnya”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 14 dan Muslim, no. Hadith 63 (di dalam riwayat muslim didahulukan lafaz anak daripada lafaz bapa)]
Hadith ini telah diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA oleh Qatadah dan Abdul Aziz. Diriwayatkan pula daripada Qatadah oleh Syu’bah dan Sa’id. Manakala Ibn Ulayyah dan Abd Waith telah meriwayatkan daripada Abdul Aziz. Setelah itu, hadith ini diriwayatkan oleh perawi-perawi yang lain (Jemaah) seperti di dalam sanad yang dinyatakan oleh Syaikhan (شيخان) di dalam kitab mereka.
Hukum Hadith Aziz
Hadith Aziz boleh menjadi sahih, hasan dan juga dhaif berdasarkan kepada perawi-perawi yang terdapat di dalam sanad tersebut.
Penutup
Semoga dengan pencerahan yang ringkas ini dapat memberi sedikit manfaat dan menambah kefahaman kita dalam ilmu Mustholah Hadith.