Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-146: HADITH BERKAITAN LALAT

 

Soalan: Apakah hukum minuman yang dimasuki lalat?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Lalat adalah satu makhluk istimewa yang diciptakan oleh Allah SWT. Lalat merupakan sejenis serangga yang boleh terbang. Lalat makan dengan memuntahkan air liurnya keluar dan menyerap kembali makanan yang separuh hadam masuk kedalam perutnya melalui belalainya. Ini kerana, jika lalat bukanlah makhluk yang mulia, mana mungkin ia disebut di dalam al-Qur’an kerana al-Qur’an adalah mulia dan sudah barangtentu setiap yang difirmankan bersifat dengan sifat yang mulia juga. Berikut adalah firman Allah SWT berkaitan lalat di dalam al-Qur’an:

 

  • Firman Allah SWT:

 

يَا أَيُّهَا النَّاسُ ضُرِبَ مَثَلٌ فَاسْتَمِعُوا لَهُ ۚ إِنَّ الَّذِينَ تَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّـهِ لَن يَخْلُقُوا ذُبَابًا وَلَوِ اجْتَمَعُوا لَهُ ۖ وَإِن يَسْلُبْهُمُ الذُّبَابُ شَيْئًا لَّا يَسْتَنقِذُوهُ مِنْهُ ۚ ضَعُفَ الطَّالِبُ وَالْمَطْلُوبُ

Maksudnya: “Wahai manusia, diberikan satu contoh perbandingan, maka dengarlah mengenainya dengan bersungguh-sungguh. Sebenarnya mereka yang kamu seru dan sembah, yang lain daripada Allah, tidak sesekali akan dapat mencipta seekor lalat walaupun mereka berhimpun beramai-ramai untuk membuatnya. Dan jika lalat itu mengambil sesuatu daripada mereka, nescaya mereka tidak dapat mengambilnya kembali daripadanya. (Kedua-duanya lemah belaka). Lemah yang meminta (daripada mendapat hajatnya) dan lemah juga yang diminta (daripada menunaikannya)”. [al-Haj:75]

 

Matan Hadith

Matan hadith yang menceritakan berkaitan minuman yang dimasuki lalat adalah:

 

  • Daripada Abu Hurairah RA, beliau mendengar bahawa Nabi SAW bersabda:

 

إِذَا وَقَعَ الذُّبَابُ فِي شَرَابِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْمِسْهُ ثُمَّ لِيَنْزِعْهُ، فَإِنَّ فِي إِحْدَى جَنَاحَيْهِ دَاءً وَالأُخْرَى شِفَاءً

Maksudnya: “Apabila lalat termasuk ke dalam minuman salah seorang daripada kamu, maka rendamkanlah ia (lalat) kemudian buangnya. Ini kerana, salah satu daripada sayapnya adalah penyakit dan sebelah lagi adalah penawar”. [Riwayat al-Bukhari (3320)]

 

  • Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 

إِذَا وَقَعَ الذُّبَابُ فِي إِنَاءِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْمِسْهُ كُلَّهُ، ثُمَّ لِيَطْرَحْهُ، فَإِنَّ فِي أَحَدِ جَنَاحَيْهِ شِفَاءً، وَفِي الآخَرِ دَاءً

Maksudnya: “Apabila lalat termasuk ke dalam bekas salah seorang daripada kamu, maka rendamkanlah kesemuanya (lalat) kemudian buanglah ia. Ini kerana, salah satu daripada sayapnya adalah penawar dan sebelah lagi adalah penyakit”. [Riwayat al-Bukhari (5782)]

 

Makna Hadith

Menurut para ulama’, lalat tidak termasuk di dalam perkara yang najis. Ini kerana, telah ijma’ ahli ilmu bahawa setiap yang tidak berdarah itu apabila terjatuh di dalam minuman atau makanan tidak menjadi najis. Walaupun begitu, terdapat juga sebahagian ulama’ yang mengatakan sebaliknya.

 

Tambahan pula, walaupun di dalam hadith menyebut minuman tetapi yang dimaksudkan adalah lebih umum iaitu termasuk juga makanan. Berdasarkan matan hadith di atas, suruhan merendam lalat ke dalam minuman atau makanan adalah wajib apabila dilihat secara zahirnya. Ini kerana. hal ini merupakan arahan atau wahyu daripada Allah SWT kepada Nabi-Nya. Jika kita katakan bahawa lalat itu najis, sudah tentu Nabi SAW tidak akan meminta kita untuk merendamnya ke dalam makanan atau minuman kita. Ini juga menunjukkan bahawa setiap perkara yang dilakukan itu kadang-kadang ia tidak boleh difikir atau diterima oleh akal manusia. Akan tetapi, ini adalah wahyu daripada Allah SWT dan akal tidak layak untuk mempertikaikan apa yang dikehendaki oleh-Nya. Daripada sini kita memahami bahawa setiap apa yang diucapkan, dilakukan dan diikrar oleh Nabi SAW adalah syariat dan agama melainkan apa yang menunjukkan bahawa ianya adalah adat bukannya syariat.

 

 Fiqh al-Hadith

Antara fiqh al-Hadith yang boleh difahami daripada hadith di atas: [Lihat: Taudhih al-Ahkam, 148/1]

 

Pertama: Lalat ini suci ketika ia hidup dan mati dan ia juga tidak najis jika terjatuh ke dalam sesuatu yang berair (cecair) atau keras.

 

Kedua: Digalakkan merendam keseluruhannya di dalam sesuatu yang berair (cecair) dan kemudian dikeluarkannya berdasarkan nas hadith di atas.

 

Ketiga: Pada hadith tersebut terdapat I’jaz Ilmi (إعجاز العلمي) kerana ilmu moden telah membuktikan bahawa wujudnya penyakit di salah satu daripada sayap lalat dan wujud juga penawar di sebelah lagi sayap yang lain.

 

Keempat: Para ulama’ mengqiyaskan kesucian lalat dengan setiap nyawa yang mengalir (darah) daripada serangga hukumnya adalah suci. Ia juga tidak menjadi najis apabila ia terjatuh ke dalam makanan dan minuman samada ia sedikit atau banyak.  Ini kerana, sebab najisnya sesuatu itu adalah darah yang terkurung di dalam haiwan selepas kematiannya. Oleh itu, sebab ini tidak wujud pada lalat atau lebah maka ia dihukum suci oleh para ulama’.

 

Pendapat

Setelah melihat perbahasan berkaitan hadith di atas, kami ingin merumuskannya dengan beberapa noktah:

 

  • Hadith tersebut adalah sahih kerana ia terdapat di dalam sahih al-Bukhari iaitu kitab yang paling sahih selepas daripada al-Qur’an secara ijma’ umat Islam. Untuk itu, kita tidak boleh sewenang-wenangnya menolak hadith tersebut.

 

  • Hadith ini juga terkandung di dalamnya I’jaz al-Nabawi (إعجاز النبوي) atau Irsyad al-Nabawi (إرشاد النبوي) iaitu petunjuk daripada Nabi SAW.

 

  • Ilmu Sains juga telah membuktikan bahawa pada sebelah sayap lalat itu terkandung penyakit atau kuman (bakteria) dan sebelah lagi merupakan penawar bagi penyakit tersebut.

 

  • Lalat merupakan serangga yang tidak najis. Ini berdasarkan pendapat para ulama’ bahawa setiap nyawa yang tidak mempunyai darah hukumnya adalah tidak najis.

 

  • Di dalam hadith ini, Nabi SAW memerintahkan kita untuk merendam lalat apabila masuk ke dalam minuman atau bekas kita.

 

  • Berdasarkan huruf fa’ (ف) pada perkataan “فَلْيَغْمِسْه”, kita memahami bahawa Nabi SAW memerintahkan kita agar bersegera merendam lalat ke dalam minuman atau makanan. Untuk itu, Nabi SAW tidak menggunakan perkataan thumma (ثُمَّ) dalam hadith tersebut.

 

  • Perbuatan merendam lalat adalah mustahab atau sunnah berdasarkan nas hadith di atas dan juga petunjuk daripada Nabi SAW.

 

Penutup

Kesimpulannya, walaupun secara zahirnya hadith ini dilihat tidak bersesuaian dengan fitrah manusia yang suka pada kebersihan dan lalat pula tabiaatnya adalah di tempat-tempat yang kotor. Namun Allah SWT lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hamba-Nya kerana Dia yang menciptakan kita dan juga makhluk-makhluk yang lain. Nabi SAW hanyalah utusan daripada Allah SWT bagi menyampaikan risalah ini kepada kita. Akhirnya, semoga Allah SWT mengurniakan kita kekuatan dalam mengikuti sunnah-sunnah Nabi SAW dalam kehidupan seharian kita. Amin.

 

Wallahua’lam