Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-239: SELAWAT KEPADA NABI SAW SELEPAS DARIPADA AZAN

Soalan: Apakah terdapat anjuran di dalam agama berkaitan selawat selepas daripada azan dan sebelum daripada berdoa?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Pertamanya yang ingin kami nyatakan adalah hukum menjawab azan adalah sunnah muakkadah (sunat yang dituntut). Ketika azan dilaungkan, kita sebagai umat Islam dianjurkan agar meninggalkan segala aktiviti yang sedang dilakukan serta dalam masa yang sama perlulah menjawab azan sebagai satu bentuk penghormatan.

 

  • Daripada Abi Sa’id al-Khudri bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 

إِذَا سَمِعْتُمُ النِّدَاءَ، فَقُولُوا مِثْلَ مَا يَقُولُ المُؤَذِّنُ

Maksudnya: “Apabila kalian mendengar adzan maka ucapkanlah seperti yang sedang diucapkan muadzin”. [Riwayat al-Bukhari (576)]

 

Adapun berkaitan persoalan di atas, memang terdapat nas syarak daripada hadith Nabi SAW menuntut agar kita berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW selepas daripada azan selesai dilaungkan. Hadith tersebut adalah:

 

  • Daripada Abdillah bin ‘Amr bin ‘Asr RA, sesunguhna dia mendengar Nabi SAW bersabda:

 

إِذَا سَمِعْتُمُ الْمُؤَذِّنَ، فَقُولُوا مِثْلَ مَا يَقُولُ ثُمَّ صَلُّوا عَلَيَّ، فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً صَلَّى الله عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا، ثُمَّ سَلُوا اللهَ لِيَ الْوَسِيلَةَ، فَإِنَّهَا مَنْزِلَةٌ فِي الْجَنَّةِ، لَا تَنْبَغِي إِلَّا لِعَبْدٍ مِنْ عِبَادِ اللهِ، وَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ أَنَا هُوَ، فَمَنْ سَأَلَ لِي الْوَسِيلَةَ حَلَّتْ لَهُ الشَّفَاعَةُ

Maksudnya: “Apabila kamu mendengar muazdin, maka ucapkanlah sepertimana yang sedang diucapkan oleh muadzin. Kemudian berselawatlah kamu ke atasku kerana barangsiapa yang berselawat je atasku engan satu selawat maka Allah akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh (10 kali selawat). Setelah itu, mohonlah  (doalah) kepada Allah terhadapku sebagai wasilah kerana ia merupakan salah satu tempat (kedudukan di dalam Syurga) yang mana ia tidak layak untuk sesiapapun melainkan buat hamba-hamba Allah. Aku mengharapkan agar aku adalah orang tersebut (yang layak di kedudukan tersebut di dalam Syurga kelak). Maka barangsiapa yang memohon kepadaku wasilah maka layaklah baginya untuk mendapatkan syafaat (syafaat Nabi SAW).” [Riwayat Muslim (384)]

 

Menurut Imam al-Nawawi bahawa hadith ini menunjukkan sunat berselawat ke atas Nabi SAW selepas daripada selesai menjawab azan. Di samping itu juga, sunat seseorang itu berdoa atau memohon wasilah kepada Nabi SAW. Tambahan pula, sunat juga bagi orang yang mendengar azan untuk menjawab setiap daripada perkataan-perkataan muadzin itu selepas daripada muadzin selesai menyebutnya dan dengan tidak menunggu lama untuk menjawabnya. [Lihat: al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 87/4]

 

Penutup

Kesimpulannya, berselawat kepada Nabi SAW merupakan satu tuntutan dan ia merupakan perkara yang sunat berdasarkan kenyataan Imam al-Nawawi di atas. Semoga dengan sedikit pencerahan ini dapat memberi kefahaman kepada kita agar dapat kita amalkan dalam kehidupan seharian kita dan dengan itu akan melayakkan kita untuk menerima syafaat Nabi SAW di hari Akhirat kelak. Amin.

 

Walahua’lam