Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-241: LARANGAN MENYEBUT SAIDINA DI DALAM SOLAT

 

Soalan: Apakah status hadith ini?

 

Dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda:

 

لَا تُسَيِّدُونِي فِي الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Janganlah kamu mengucapkan saidina kepadaku di dalam solat.”

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Berdasarkan soalan di atas, di sini kami nyatakan terlebih dahulu beberapa pendapat ulama’ berkaitan hukum ke atas hadith di atas:

 

  • Imam al-Sakhawi menyatakan hadith ini adalah tiada asal baginya. [Lihat: al-Maqasid al-Hasanah, 720/1]
  • Imam Ibn Hajar al-Haithami menghukum hadith ini sebagai tiada asal baginya. [Lihat: al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 151/1]
  • Syeikh Mulla Ali al-Qari menilai hadith ini sebagai palsu. [Lihat: al-Asrar al-Marfu’ah, 381/1 dan al-Masnu’ fi Ma’rifah al-Hadith al-Mawdhu’, 206/1]
  • Imam al-Qauqaji menghukum hadith ini tiada asal. [Lihat: al-Lu’lu’ al-Marshu’, 219/1]
  • Syeikh al-Hut al-Beiruti menghukum hadith ini sebagai tiada asal baginya. [Lihat: Asna al-Mathalib, 318/1]

 

Melihat kepada pendapat sebahagian ulama’ di atas, kami juga cenderung kepada hadith tersebut adalah mawdhu’ dan tiada asal baginya. Walaupun begitu, di sana terdapat perbahasan dalam kalangan ahli feqah berkaitan penambahan lafaz “saidina” di dalam bacaan selawat Ibrahimiyyah selepas daripada membaca tasyahhud. Selain itu, penambahan ini tidak terdapat di dalam bacaan tasyahhud sebagaimana yang diajar oleh Baginda SAW di dalam hadithnya.

 

Di sini kami nukilkan pendapat berkaitan isu ini berdasarkan apa yang telah dinukilkan di dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah:

 

“Lafaz selawat Ibrahimiyyah di dalam kitab-kitab hadith dan feqah yang diambil lafaz selawat tersebut daripada Nabi SAW adalah dengan tidak menyebut lafaz saidina sebelum daripada nama Baginda SAW. Adapun berkaitan penambahan lafaz saidina ini, sesiapa yang tidak bersetuju dengan penambahan tersebut adalah disebabkan mereka ini beriltizam dengan apa yang diajar oleh Nabi SAW kerana perbuatan tersebut di atas dasar mencontohi apa yang diajar oleh Nabi SAW tanpa menambah lafaz tersebut sama ada di dalam zikir-zikir yang mana lafaz-lafaznya adalah thabit daripada Baginda SAW seperti azan, iqamah, tasyahhud dan juga selawat Ibrahimiyyah.

 

Di samping itu, berkaitan penambahan lafaz saidina di dalam selawat Ibrahimiyyah selepas daripada tasyahhud, menurut sebahagian ahli feqah terkemudian berpendapat ianya adalah sunat sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Iz bin Abd al-Salam, al-Ramli, al-Qalyubi, al-Syarqawi yang mana mereka ini daripada kalangan ulama’ yang bermazhab Syafie. Selain itu, al-Haskafiy dan Ibn Abidin daripada ulama’ bermazhab Hanafi yang mengikut apa yang dinyatakan oleh al-Ramli sepertimana yang dijelaskan akan sunatnya (menambah lafaz saidina) oleh al-Nafrawiy daripada ulama’ bermazhab Maliki. Mereka mengatakan bahawa sesungguhnya perbuatan ini (menambah lafaz saidina) adalah dari sudut adab dan meraikan adab lebih baik daripada mengikut semata-mata sepertimana yang dikatakan oleh al-Iz bin Abd al-Salam.” [Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 346-347/11]

 

Maka dengan itu, kami melihat terdapat keluasan di dalam isu ini. Barangsiapa yang tidak ingin menambah lafaz saidina tidak menjadi masalah kerana berpegang dengan apa yang diajar oleh Nabi SAW. Begitu juga barangsiapa yang ingin menambahnya juga tidak menjadi masalah kerana ia termasuk di dalam bab beradab dengan Nabi SAW dan keduanya adalah baik.

 

Akan tetapi, mereka yang tidak cenderung kepada penambahan lafaz saidina ini tidak sesekali berhujah dengan hadith di atas kerana ia adalah hadith yang palsu. Adapun yang menerima penambahan lafaz saidina, mereka berhujah dengan hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim bahawa Nabi SAW mengatakan bahawa dirinya adalah sayyid (penghulu) kepada sekalian anak Adam. Hadith tersebut adalah:

 

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW:

 

أَنَا سَيِّدُ وَلَدِ آدَمَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: “Aku adalah penghulu sekalian anak Adam pada hari Kiamat.” [Riwayat Muslim (2278)]

 

Penutup

Kesimpulannya, hadith tentang larangan menyebut saidina di dalam solat adalah merupakan hadith yang palsu dan kita dilarang sama sekali untuk menyebarkannya melainkan dengan tujuan untuk menyatakan akan kepalsuannya. Tambahan pula, berkaitan menambah lafaz saidina di dalam selawat Ibrahimiyyah terdapat padanya keluasan dan sesiapa berhak memilih salah satu daripada keduanya sebagaimana yang telah kami jelaskan di atas. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama serta memelihara lidah-lidah kita daripada berdusta di atas nama Nabi SAW. Amin.

 

Wallahua’lam