Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-314: SAHABAT NABI HATIB BIN ABI BALTA’AH

hatib abi balta'ah.JPG

Soalan

Assalamualakum wbt Dato’ Seri. Saya ingin tahu tentang siapakah sahabat Nabi SAW yang bernama Hatib bin Abi Balta’ah dan bagaimana kehidupannya?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Beliau ialah Hatib bin Abi Balta’ah bin Amr’ bin ‘Umair bin Salamah al-Lakhmi al-Makki. Beliau merupakan salah seorang daripada tentera Badar. (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 3/32)

Dikatakan Hatib adalah seorang yang mempunyai tubuh badan fizikal yang menarik, janggutnya sedikit, orangnya tidaklah tinggi, tangannya kasar. Beliau juga meriwayatkan hadis yang kemudiannya, kedua-dua anaknya Abdul Rahman dan Yahya serta Urwah bin Zubair meriwayatkan daripadanya. (Lihat al-Tabaqat al-Kubra oleh Ibn Sa'd, 3/85; Usd al-Ghabah fi Ma’rifah al-Sahabah, 1/659)

 

Hatib bin Abi Balta’ah dan Raja Muqauqis

Hatib bin Abi Balta'ah adalah sahabat Nabi SAW yang menjadi utusan rasmi daripada pemerintahan Islam kepada Muqauqis, raja Mesir untuk menyeru dan mengajak rakyat Mesir agar mengikuti ajaran Islam. (Lihat al-Tabaqat al-Kubra oleh Ibn Sa'ad, 3/114)

Surat tersebut mengandungi ajakan yang disampaikan oleh Rasulullah SAW kepada Muqauqis untuk memeluk Islam. Dr. Muhammad ‘Imarah menyatakan bahawa terdapat kenyataan Hatib ibn Abi Balta’ah semasa dialognya dengan Raja al-Muqauqis membuktikan bahawa beliau meraikan kebebasan beragama. Hatib ibn Abi Balta’ah berkata: “Bukanlah kami melarang kamu memeluk agama Nabi ‘Isa, bahkan kami menyeru kamu kepadanya (kefahaman sebenar ajaran Nabi 'Isa)…” Allah SWT jualah yang menciptakan kepelbagaian dan perbezaan dalam syariat agama-agama yang merupakan sunnatullah.” (Lihat al-Islam wa al-Akhar oleh Muhammad ‘Imarah, hlm. 83)

 

Membocorkan Rahsia Nabi SAW

Hatib bin Abi Balta’ah pernah melakukan dosa yang paling besar atau dinamakan ‘pengkhianatan terbesar’. Kejadian tersebut berlaku tatkala dia memberi maklumat berkenaan pergerakan tentera yang dipimpin Baginda Nabi SAW menuju ke Mekah untuk menawannya walaupun Nabi SAW berusaha menyembunyikan perkara tersebut kecuali kepada para sahabat-sahabat tertentu sahaja. (Lihat Fatawa Mu’asirah oleh al-Qaradhawi, hlm. 176-177)

Syeikh Sofiyurrahman al-Mubarakpuri dalam kitabnya al-Rahiq al-Makhtum menyebut: Hatib bin Abi Balta’ah menulis perutusan kepada Quraisy untuk mengkhabarkan kepada mereka tentang perjalanan Rasulullah SAW. Diberikan perutusan itu kepada seorang wanita dan wanita itu menyelitkan perutusan tersebut dalam gulungan rambutnya. Dia pergi menuju kepada kaum Quraisy. Kemudian, telah sampai kepada Rasulullah SAW berita dari langit yang memberitahu tentang apa yang dilakukan oleh Hatib. Maka Rasulullah SAW lalu mengutus Ali RA dan Miqdad RA dengan berkata: “Pergilah kamu sehingga sampai di Raudhah Khakh. Di sana ada seorang wanita yang membawa sepucuk perutusan kepada Quraisy.”

Maka kedua-duanya pergi dengan memacu kuda dengan pantas sehingga bertemu dengan wanita tersebut di tempat itu. Kedua-duanya terus menghampiri wanita itu dan bertanya: “Apakah engkau membawa perutusan?” Wanita itu menjawab, “Aku tidak membawa perutusan.” Kemudian mereka berdua memeriksa haiwan tunggangan wanita tersebut dan tidak menemui apa-apa.

Lalu Ali berkata kepada wanita itu, “Aku bersumpah atas nama Allah SWT, Rasulullah SAW tidak pernah berdusta. Demi Allah SWT, engkau keluarkan perutusan itu atau kami akan menelanjangkan engkau.” Melihat kesungguhan yang dipamerkan oleh Ali, wanita itu menjawab: “Aku akan keluarkan. Aku akan keluarkan.” Wanita itu lalu menguraikan gulungan rambutnya dan mengeluarkan perutusan tersebut. Dia menyerahkan perutusan itu kepada Ali RA dan Miqdad RA.

Kedua-dua mereka lantas membawa perutusan tersebut kepada Rasulullah SAW. Setelah dibuka, didapati di dalamnya tertulis: “Daripada Hatib bin Abi Balta’ah kepada Quraisy.” Di dalamnya, Hatib memberitahu berkenaan pergerakan Rasulullah SAW. Maka Rasulullah SAW lalu memanggil Hatib dan bertanya: “Apakah ini Hatib?” Hatib menjawab: “Jangan hukum aku wahai Rasulullah. Demi Allah, sesungguhnya aku ini beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya. Aku tidak murtad dan tidak pula menukar agamaku. Hanya aku seorang sahaja anak pertama yang membesar di tengah Quraisy. Sebenarnya aku bukanlah saudara mereka, tetapi mereka sudi melayanku sebagai keluarga, saudara dan anak mereka. Aku mempunyai saudara yang boleh melindungi mereka. Sedangkan orang-orang yang bersamamu adalah saudara mereka, yang sebetulnya boleh melindungi mereka. Disebabkan itulah aku ingin melakukan apa yang boleh aku lakukan untuk melindungi mereka.”

Umar bin al-Khattab RA lalu berkata: “Biarkan aku wahai Rasulullah. Aku akan pancung lehernya. Sesungguhnya dia telah mengkhianati Allah SWT dan Rasul-Nya. Dia seorang munafik.”

Rasulullah SAW menjawab:

إِنَّهُ شَهِدَ بَدْرًا وَمَا يُدْرِيكَ لَعَلَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ اطَّلَعَ عَلَى أَهْلِ بَدْرٍ فَقَالَ اعْمَلُوا مَا شِئْتُمْ فَقَدْ غَفَرْتُ لَكُمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya dia adalah termasuk orang yang ikut serta dalam perang Badar. Apakah engkau mengetahui, bahawa Allah SWT telah melihat (ke dalam hati) orang-orang yang ikut serta dalam Perang Badar, lalu Dia berfirman: “Lakukanlah apa yang kamu kehendaki, sungguh Aku telah mengampuni kalian.”

Riwayat al-Bukhari (4890)

Kedua-dua mata Umar RA terus menitiskan air mata. Lantas dia berkata: “Allah SWT dan Rasul-Nya lebih mengetahui”

Demikianlah Allah SWT mengaburi setiap mata, sehingga berita persiapan dan keberangkatan tentera Islam untuk berperang tidak diketahui oleh Quraisy. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 588-589)

Dr Yusuf al-Qaradhawi berkata: Al-Quran mengesahkan tindakan Nabi SAW melalui ayat awal Surah al-Mumtahanah. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا عَدُوِّي وَعَدُوَّكُمْ أَوْلِيَاءَ تُلْقُونَ إِلَيْهِم بِالْمَوَدَّةِ وَقَدْ كَفَرُوا بِمَا جَاءَكُم مِّنَ الْحَقِّ يُخْرِجُونَ الرَّسُولَ وَإِيَّاكُمْ ۙ أَن تُؤْمِنُوا بِاللَّـهِ رَبِّكُمْ إِن كُنتُمْ خَرَجْتُمْ جِهَادًا فِي سَبِيلِي وَابْتِغَاءَ مَرْضَاتِي ۚ تُسِرُّونَ إِلَيْهِم بِالْمَوَدَّةِ وَأَنَا أَعْلَمُ بِمَا أَخْفَيْتُمْ وَمَا أَعْلَنتُمْ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuh kamu menjadi teman rapat, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita rahsia orang-orang mukmin) dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu; mereka pula telah mengeluarkan Rasulullah (SAW) dan juga mengeluarkan kamu (dari Tanah Suci Makkah) disebabkan kamu beriman kepada Allah Tuhan kamu. (Janganlah kamu berbuat demikian) jika betul kamu keluar untuk berjihad pada jalanKu dan untuk mencari keredaanKu. (Tidak ada sebarang faedahnya) kamu mengadakan hubungan kasih mesra dengan mereka secara rahsia, sedang Aku amat mengetahui akan apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu zahirkan.

(Surah al-Mumtahanah: 1)

Allah SWT masih memanggil Hatib dengan gelaran yang diberikan kepada orang-orang beriman dan memisahkannya daripada golongan musuh yang tidak beriman, seperti dalam ayat “..dengan cara kamu sampai kepada mereka (rahsia Mukmin) dengan sebab hubungan kasih mesra antara kamu.” (Lihat Fatawa Mu’asirah oleh al-Qaradhawi, hlm. 176-177)

Hatib bin Abi Balta'ah telah meninggal dunia di Kota Madinah pada tahun 30 Hijrah dalam usia 65 tahun. Saidina Uthman RA telah menyembahyangkan jenazah ke atasnya. Beliau meninggalkan harta sebanyak 4000 dinar dan dirham serta sebuah rumah. (Lihat al-Tabaqat al-Kubra oleh Ibn Sa'd, 3/85)

Semoga Allah SWT memberikan kita semua faham akan kehendak Syariat Islam. Amin.