Soalan :
Assalamualaikum WBT. Semoga ustaz sihat-sihat belaka. Saya dah lama ingin bertanya.Siapakah di antara para sahabat yang memandikan jenazah Nabi SAW. Saya ingin tahu sangat ustaz. Mohon pencerahan dari ustaz.
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Antara kewajipan seorang muslim adalah mengetahui hal perihal berkaitan Nabi SAW. Daripada setiap pergerakan, percakapan, akhlak ketika Baginda hidup sehinggalah kewafatan Baginda SAW.
Sebelum membincangkan dan menjawab persoalan yang dikemukakan, suka kami bentangkan berkenaan kisah akhir detik kehidupan Nabi SAW seperti yang diceritakan oleh Anas Bin Malik. Kata beliau :
أَنَّ أَبَا بَكْرٍ كَانَ يُصَلِّي لَهُمْ فِي وَجَعِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، الَّذِي تُوُفِّيَ فِيهِ حَتَّى إِذَا كَانَ يَوْمُ الاِثْنَيْنِ وَهُمْ صُفُوفٌ فِي الصَّلاَةِ كَشَفَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، سِتْرَ الْحُجْرَةِ ، فَنَظَرَ إِلَيْنَا ، وَهُوَ قَائِمٌ كَأَنَّ وَجْهَهُ وَرَقَةُ مُصْحَفٍ ، ثُمَّ تَبَسَّمَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ضَاحِكًا قَالَ : فَبُهِتْنَا وَنَحْنُ فِي الصَّلاَةِ مِنْ فَرَحٍ بِخُرُوجِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَنَكَصَ أَبُو بَكْرٍ عَلَى عَقِبَيْهِ لِيَصِلَ الصَّفَّ ، وَظَنَّ أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَارِجٌ لِلصَّلاَةِ ، فَأَشَارَ إِلَيْهِمْ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِيَدِهِ أَنْ أَتِمُّوا صَلاَتَكُمْ ، قَالَ : ثُمَّ دَخَلَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَرْخَى السِّتْرَ قَالَ : فَتُوُفِّيَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ يَوْمِهِ ذَلِكَ
Maksudnya :” Sesungguhnya Abu Bakar mengetuai solat orang ramai ketika Nabi SAW sakit yang mana ia adalah kesakitan yang menyebabkan Rasulullah SAW wafat. Sehingga tiba hari isnin, orang ramai pada ketika itu berada di dalam saf. Kemudian Rasulullah SAW menyingkap tirai biliknya dan melihat kepada kami. Ketika itu, Baginda SAW sedang berdiri dan wajah Baginda seakan-akan seperti kertas mushaf.[1] Kemudian Baginda tersenyum. Anas berkata : Maka kami pun terkejut dan berasa gembira apabila Rasulullah SAW keluar. Pada ketika itu kami sedang dalam solat. Lalu Abu Bakar pun ke belakang sedikit untuk menyambungkan saf yang ada. Abu Bakar berbuat demikian kerana beliau menyangka Rasulullah SAW keluar untuk solat bersama. Lantas Rasulullah SAW memberi isyarat kepada orang ramai untuk menyempurnakan solat. Anas berkata lagi : Kemudian Rasulullah SAW masuk semula ke rumahnya dan menurunkan tirainya. Rasulullah SAW wafat pada hari tersebut.”
Riwayat Muslim (874)
Menurut riwayat ini, Rasulullah SAW wafat pada hari isnin. Kemudian berlakulah satu perbincangan di kalangan para sahabat berkenaan siapa yang bakal menggantikan Rasulullah SAW sebagai ketua yang akan menguruskan urusan umat islam. Akhir perbincangan itu membawa satu resolusi iaitu memilih Abu Bakar sebagai khalifah bagi umat islam.
Jenazah Rasulullah mula untuk diuruskan pada hari selasa. Ada beberapa orang para sahabat yang bertanggungjawab untuk memandikan jenazah Rasulullah SAW. Ini berdasarkan riwayat sirah yang dinyatakan oleh Ibnu Hisyam di dalam kitab sirahnya :
قَالَ ابْنُ إسْحَاقَ : فَلَمّا بُويِعَ أَبُو بَكْر ٍ رَضِيَ اللّهُ عَنْهُ أَقْبَلَ النّاسُ عَلَى جَهَازِ رَسُولِ اللّهِ صَلّى اللّهُ عَلَيْهِ وَسَلّمَ يَوْمَ الثّلَاثَاءِ فَحَدّثَنِي عَبْدُ اللّهِ بْنُ أَبِي بَكْرٍ وَحُسَيْنُ بْنُ عَبْدِ اللّهِ وَغَيْرُهُمَا مِنْ أَصْحَابِنَا : أَنّ عَلِيّ بْنَ أَبِي طَالِبٍ ، وَالْعَبّاسَ بْنَ عَبْدِ الْمُطّلِبِ ، وَالْفَضْلَ بْنَ الْعَبّاسِ وَقُثَمَ بْنَ الْعَبّاسِ ، وَأُسَامَةَ بْنَ زَيْدٍ وَشُقْرَانَ مَوْلَى رَسُولِ اللّهِ صَلّى اللّهُ عَلَيْهِ وَسَلّمَ هُمْ الّذِينَ وُلُوا غَسْلَهُ وَأَنّ أَوْسَ بْنَ خَوْلِيّ . أَحَدَ بَنِي عَوْفِ بْنِ الْخَزْرَجِ ، قَالَ لِعَلِيّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ أَنْشُدُك اللّهَ يَا عَلِيّ وَحَظّنَا مِنْ رَسُولِ اللّهِ صَلّى اللّهُ عَلَيْهِ وَسَلّمَ وَكَانَ أَوْسُ مِنْ أَصْحَابِ رَسُولِ اللّهِ صَلّى اللّهُ عَلَيْهِ وَسَلّمَ وَأَهْلِ بَدْرٍ قَالَ اُدْخُلْ فَدَخَلَ فَجَلَسَ وَحَضَرَ غَسْلَ رَسُولِ اللّهِ صَلّى اللّهُ عَلَيْهِ وَسَلّمَ فَأَسْنَدَهُ عَلِيّ بْنُ أَبِي طَالِبٍ إلَى صَدْرِهِ وَكَانَ الْعَبّاسُ وَالْفَضْلُ وَقُثَمُ يُقَلّبُونَهُ مَعَهُ وَكَانَ أُسَامَةُ بْنُ زَيْدٍ وَشُقْرَانُ مَوْلَاهُ هُمَا اللّذَانِ يَصُبّانِ الْمَاءَ عَلَيْهِ وَعَلِيّ يُغَسّلُهُ قَدْ أَسْنَدَهُ إلَى صَدْرِهِ وَعَلَيْهِ قَمِيصُهُ يُدَلّكُهُ بِهِ مِنْ وَرَائِهِ لَا يُفْضَى بِيَدِهِ إلَى رَسُولِ اللّهِ صَلّى اللّهُ عَلَيْهِ وَسَلّمَ وَعَلِيّ يَقُولُ بِأَبِي أَنْتَ وَأُمّي ، مَا أَطْيَبَك حَيّا وَمَيّتًا وَلَمْ يُرَ مِنْ رَسُولِ اللّهِ صَلّى اللّهُ عَلَيْهِ وَسَلّمَ شَيْءٌ مِمّا يُرَى مِنْ الْمَيّتِ
Maksudnya :” Kata Ibnu Ishak : ketika mana Abu Bakar R.anhu telah dibaiah, orang ramai mula untuk menguruskan jenazah Rasulullah SAW pada hari selasa. Abdullah bin Abu Bakar,Husain bin Abdullah dan selain dari keduanya menceritakan kepada aku Ali bin Abi Talib, Abbas Bin Abdul Muttalib, Al-Fadhl Bin Abbas, Qutham Bin Abbas, Usamah Bin Zaid dan Syuqran Maula Rasulullaj adalah orang yang bertanggungjawab memandikan jenazah Nabi. Aus Bin Khauli salah seorang daripada Bani Auf Bin Khazraj berkata kepada Ali : Demi Allah wahai Ali, kami juga ada bahagian untuk menguruskan Rasulullah SAW. Aus merupakan sahabat Rasulullah dan juga di antara ahli Badar. Kata Ali : masuklah. Maka Aus pun masuk, duduk dan turut memandikan Rasulullah SAW. Kemudian Ali menyandarkan jenazah Baginda ke dada beliau. Abbas, al-Fadhl dan Qutham memusingkan tubuh Baginda manakala Usamah Bin Zaid dan Syuqran kedua-duanya mencurahkan air. Pada masa yang sama Ali memandikan jenazah Rasulullah SAW. Beliau menyandarkan tubuh Baginda ke dadanya dan pada tubuh Baginda ada qamis yang beliau gunakan untuk menggosok bahagian belakang Baginda. Tangan beliau langsung tidak menyentuh tubuh Baginda. Lalu Ali berkata : Demi ayah dan ibuku, engkau ketika hidup mulia dan ketika wafat pun mulia. Dan tidak dilihat pada jenazah Rasulullah sesuatu (yang buruk) yang ada pada jenazah orang lain.”
Rujuk Sirah Ibnu Hisyam (4/451)
Kesimpulannya ,berdasarkan riwayat ini, ada 7 orang yang terlibat dalam memandikan jenazah Nabi SAW. Mereka itu ialah :
- Ali Bin Abi Talib
- Abbas Bin Abdul Muttalib
- Al-Fadhl Bin Abbas
- Qutham Bin Abbas
- Usamah Bin Zaid
- Syuqran Maula kepada Rasulullah
- Aus Bin Khauli
Semoga pencerahan yang diberikan menjawab persoalan yang dikemukakan. Semoga kita lebih mencintai Nabi SAW dengan membaca sirahnya dan sentiasa berdoa agar diberikan kekuatan untuk mengikut sunnahnya. Wallahu’alam.
[1] Iaitu ibarat yang menggambarkan bahawa wajah Rasulullah SAW yang lawa, suci putih dan bercahaya.