Soalan :
Assalamualaikum ustaz. Saya ada soalan. Ada orang kata yang Nabi tak mahu ambil ubat. Dalilnya hadis لا تلدوني. Berdasarkan dalil ini, ada yang tolak vaksin dan apa sahaja bentuk ubat. Mohon pencerahan ustaz sebab nampak gusar cara dia terangkan takut nanti boleh timbul salah faham kepada masyarakat. Terima kasih ustaz.
Ringkasan jawapan :
Hadis tersebut diriwayatkan di dalam kitab-kitab hadis utama seperti Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim dan lain-lain. Ia bertaraf sahih. Namun begitu, ucapan Nabi لا تلدوني (Jangan kalian lakukan lud pada saya) bukan bermaksud Nabi menolak ubat secara total atau tidak mahu langsung mengambil ubat, akan tetapi Nabi mahu menjelaskan bahawa ladud, iaitu ubat yang diberikan tidak sesuai dengan penyakit yang sedang dihidap oleh Baginda. Para Sahabat menyangka bahawa Nabi terkena penyakit Zat al-Janb (pleuritis). Oleh kerana itu, mereka memberikan ubat yang sesuai dengan sangkaan mereka sedangkan Nabi tidak menghidap penyakit Zat al-Janb.
Justeru, mengatakan bahawa Nabi SAW tidak mahu mengambil ubat hanya dengan menggunakan hadis tersebut adalah tidak benar. Memahami hadis Nabi bukan hanya mengambil satu hadis sebagai sandaran dan kemudian membuat kesimpulan sendiri. Ia perlu dilihat secara holistik dan mengumpulkan segala riwayat berkaitan bagi memahami hadis tersebut. Terlalu banyak hadis Nabi yang menggalakkan untuk mengambil ubat sebagai satu usaha mencegah penyakit. Semoga Allah memberikan kita kefahaman dan sentiasa merujuk kepada pihak yang benar-benar pakar. Wallahu’alam.
Huraian jawapan :
Hadis tersebut diriwayatkan di dalam beberapa kitab-kitab hadis utama. Antaranya Sahih al-Bukhari[1], Sahih Muslim[2], al-Nasaie di dalam al-Sunan al-Kubra[3] dan Musnad Imam Ahmad[4]. Hadis ini juga turut diriwayatkan oleh Ibn Hibban di dalam al-Taqasim wa anwa’ (Sahih Ibn Hibban)[5], Imam al-Tahawi di dalam Syarh Musykil al-Athar[6], Abu Nu’aim al-Aṣbahani di dalam al-Tib al-Nabawi[7]. Bahkan Imam al-Tabari turut memuatkan riwayat tersebut di dalam kitab Tarikh beliau[8]. Kesemuanya melalui jalur riwayat Musa bin Abu ‘Aisyah daripada Ubaidullah bin Abdullah daripada ‘Aisyah RA, beliau berkata :
لَدَدْنَا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي مَرَضِهِ وَجَعَلَ يُشِيرُ إِلَيْنَا: لَا تَلُدُّونِي قَالَ: فَقُلْنَا: كَرَاهِيَةُ المَرِيضِ بِالدَّوَاءِ فَلَمَّا أَفَاقَ قَالَ: أَلَمْ أَنْهَكُمْ أَنْ تَلُدُّونِي قَالَ: قُلْنَا: كَرَاهِيَةٌ لِلدَّوَاءِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَا يَبْقَى مِنْكُمْ أَحَدٌ إِلَّا لُدَّ وَأَنَا أَنْظُرُ إِلَّا العَبَّاسَ فَإِنَّهُ لَمْ يَشْهَدْكُمْ
Maksudnya : “Kami melakukan lud (meletakkan ubat di salah satu bahagian tepi mulut) kepada Rasulullah SAW ketika Baginda sakit. Lalu Baginda mula memberi isyarat kepada kami : Jangan kalian lakukan lud pada saya. Kemudian kami berkata : Kebencian orang yang sakit kepada ubat. Apabila Baginda sedar, Baginda bersabda: Bukankah saya melarang kalian melakukan lud kepada saya? Kami berkata : Baginda tidak suka kepada ubat. Lalu Baginda bersabda lagi: Jangan ada antara kalian yang tinggal melainkan dia akan diletakkan lud dalam keadaan saya lihat melainkan al-Abbas kerana beliau tidak melihat kalian (melakukan lud).”
Lud berasal daripada perkataan لدّ يلدّ (ladda-yaluddu) yang bermaksud perbuatan meletakkan ubat di salah satu bahagian tepi mulut. Ia juga disebut sebagai ladud. Menurut Abu Bakar al-Anbari (w.327) ladud ialah :
ما سُقِيَه الإنسان في أحد شِقَّي الفم
“Apa yang diberi minum kepada seseorang dan diletakkan di salah satu bahagian mulut.”[9]
Penjelasan yang sama juga diberikan oleh Ibn al-Athīr di dalam al-Nihāyah fī Gharīb al-Hadīth wa al-Athār[10]berkenaan maksud lud yang disebutkan dalam hadis tersebut. Namun begitu, ucapan Baginda ‘jangan kalian lakukan lud pada saya’ bukan bermakna Nabi tidak mahu mengambil ubat akan tetapi ubat tersebut tidak sesuai dengan penyakit yang sedang dihidap oleh Nabi SAW. Hal ini kerana, pada waktu tersebut, ladud kebiasaannya diberikan kepada orang yang mempunyai penyakit Zat al-Janb (pleuritis). Justeru, atas sangkaan bahawa Nabi menghidap penyakit Zat al-Janb, ahli keluarga yang berada bersama Nabi pada ketika itu memberikan ladud. Perkara ini jelas disebutkan dalam riwayat yang lain, Aisyah menceritakan:
وَذَلِكَ أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَتْ تَأْخُذُهُ الْخَاصِرَةُ، فَيَشْتَدُّ بِهِ جِدًّا، فَكُنَّا نَقُولُ: أَخَذَ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِرْقُ الْكُلْيَةِ، لَا نَهْتَدِي أَنْ نَقُولَ الْخَاصِرَةَ، ثُمَّ أَخَذَتْ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمًا، فَاشْتَدَّتْ بِهِ جِدًّا حَتَّى أُغْمِيَ عَلَيْهِ، وَخِفْنَا عَلَيْهِ، وَفَزِعَ النَّاسُ إِلَيْهِ، فَظَنَنَّا أَنَّ بِهِ ذَاتَ الْجَنْبِ، فَلَدَدْنَاهُ
Maksudnya : “… Hal ini kerana Rasulullah SAW merasa sakit di bahagian tepi dan ia menjadi teramat sakit. Kami pernah menyebut bahawa Rasulullah SAW sakit di buah pinggang dan kami tidak teringat untuk menyebut bahawa Rasulullah SAW sakit di bahagian tepi. Penyakit itu kemudian menyerang Baginda sekali lagi pada satu hari dan menjadi teruk sehingga menyebabkan Baginda pengsan. Kami menjadi takut dan orang ramai mula berkerumun pada Baginda. Kami menyangka bahawa Baginda terkena penyakit Zat al-Janb. Justeru, kami melakukan lud kepada Baginda…”[11]
Imam Abu Ja’far al-Tahawi (w.321 H) menjelaskan bahawa ubat yang diberikan kepada Nabi tidak memenuhi spesifikasi penyakit yang sedang dihidap oleh Baginda. Dengan kata lain, ladud atau ubat yang diberikan itu bukan ubat yang sesuai. Di samping itu, para sahabat menyangka Baginda terkena penyakit Zat al-Janb. Justeru mereka memberikan ubat yang biasa digunakan sedangkan Nabi menghidap penyakit yang lain. Oleh itu, Nabi tidak menerima ubat tersebut[12].
Imam Syihabuddin al-Qastallani (w.923 H) juga turut menyatakan Nabi SAW tidak mahu berubat dengan ladud adalah kerana ubat tersebut sememangnya tidak sesuai dengan penyakit Baginda bukan kerana Baginda menolak untuk berubat secara total[13].
Justeru, mengatakan bahawa Nabi SAW tidak mahu mengambil ubat hanya dengan menggunakan hadis tersebut adalah tidak benar. Memahami hadis Nabi bukan hanya mengambil satu hadis sebagai sandaran dan kemudian membuat kesimpulan sendiri. Ia perlu dilihat secara holistik dan mengumpulkan segala riwayat berkaitan bagi memahami hadis tersebut.
Terlalu banyak hadis Nabi yang menggalakkan untuk mengambil ubat sebagai satu usaha mencegah penyakit. Dalam sebuat riwayat hadis, Ibn Abbas meriwayatkan bahawa Nabi SAW :
إِنَّ خَيْرَ مَا تَدَاوَيْتُمْ بِهِ اللَّدُودُ وَالسَّعُوطُ وَالحِجَامَةُ وَالمَشِيُّ
Maksudnya : “Perkara yang paling baik yang kamu boleh gunakan untuk berubat adalah ladud, al-Sa’ut (letak ubat di hidung)[14], bekam dan berjalan.”[15]
Dalam riwayat yang lain, Nabi SAW bersabda :
تَدَاوَوْا عِبَادَ اللَّهِ، فَإِنَّ اللَّهَ سُبْحَانَهُ لَمْ يَضَعْ دَاءً إِلَّا وَضَعَ مَعَهُ شِفَاءً، إِلَّا الْهَرَمَ
Maksudnya : “Wahai hamba Allah, berubatlah. Sesungguhnya Allah tidak meletakkan satu penyakit melainkan Dia juga akan meletakkan ubat bagi penyakit tersebut melainkan penyakit tua.”[16]
Kesimpulannya, hadis لا تلدوني bukan bermaksud bahawa Nabi tidak mahu berubat secara total atau Nabi menolak ubat, akan tetapi ia membawa maksud bahawa ladud, ubat yang diberikan kepada Nabi tidak sesuai dengan penyakit yang sedang dihidapi oleh Baginda :
Nota Hujung :
[1] No. 6886, 6897, Abu Abdullah, Muhammad bin Ismail (2001), Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, Beirut: Dar Tuq al-Najah, j.9 h.7-8.
[2] No. 2213, Abu Al-Husain, Muslim bin Hajjaj (t.t), Ṣaḥīḥ Muslim, ed. Muhammad Fuad Abdul Baqi, Kaherah: Dar Ihya’ al-Kutub al-Arabiyah, j.4 h.1733
[3] No. 7048, 7542, Abu Abdurrahman, Ahmad bin Syu’aib (2001), al-Sunan al-Kubrā, ed. Sheikh Syu’aib al-Arnaut, Beirut : Muassasah al-Risalah, j.6 h. 348, j.7 h.90.
[4] No. 24263, Abu Abdullah, Ahmad bin Hanbal (2001), al-Musnad, ed. Sheikh Syu’aib al-Arnaut, Adil Mursyid, Beirut: Muassasah al-Risalah, j.40 h.308.
[5] No. 6589, Abu Hatim al-Darimi, Muhammad bin Hibban (1988), Ṣaḥīḥ Ibn Ḥibban, ed. Sheikh Syu’aib al-Arnaut, Beirut: Muassasah al-Risalah, j.14 h.554.
[6] No. 1933, Abu Jaafar al-Tahawi, Ahmad bin Muhammad (1994), Syarh Musykil al-Athār, ed. Sheikh Syu’aib al-Arnaut, Beirut: Muassasah al-Risalah, j.5 h.193.
[7] No. 412, Abu Nu’aim al-Asbahani, Ahmad bin Abdullah (2006), al-Tib al-Nabawī, ed. Mustafa Khidr Donmez Turki, j.2 h.441.
[8] Abu Ja’afar al-Tabarī, Muhammad bin Jarir (1967), Tarīkh al-Rusul wa al-Mulūk, Beirut: Dar al-Turath, j.3 h.195.
[9] Abu Bakar al-Anbari, Muhammad bin al-Qasim (1992), al-Zahir fi Ma’ani Kalimat al-Nas, ed. Dr Hatim Salih al-Damin, Beirut: Muassasah al-Risalah, j.1 h.304.
[10] Ibn al-Athir, al-Mubarak bin Muhammad (1979), al-Nihāyah fī Gharīb al-Hadīth wa al-Athār, ed. Tahir Ahmad al-Zawi, Mahmud Muhammad al-Tanahi, Beirut : al-Maktabah al-Ilmiyah, j.4 h.245. Beliau menyebut : هُوَ بِالْفَتْحِ مِنَ الأدْوية: مَا يُسقاه الْمَرِيضُ فِي أحَدِ شِقّيِ الفَمِ
[11] Riwayat Imam Ahmad no. 24870, Abu Ya’la no. 4936, Abu Ya’la al-Musili, Ahmad bin Ali (1984), Musnad Abi Ya’la, Ed. Husain Salim Asad, Damshik: Dar al-Ma’mun li al-Turath, j.8 h.353.
[12] Abu Ja’far al-Taḥawī, Ahmad bin Muhammad (1994), Syarh Musykil al-Athār, ed. Sheikh Syu’aib al-Arnaut, Beirut: Muassasah al-Risalah, j.5 h.193. Beliau berkata : فَوَقَفْنَا بِذَلِكَ عَلَى اللَّدُودِ: مَا هُوَ؟ وَعَلَى إِبَاحَتِهِ فِي الْعِلَاجِ بِهِ مِنَ الْعِلَّةِ الَّتِي هُوَ عِلَاجُهَا ، وَعَلَى أَنَّ نَهْيَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ ذَلِكَ فِيمَا رَوَيْنَاهُ عَنْهُ فِي الْبَابِ الَّذِي قَبْلَ هَذَا الْبَابِ؛ لِأَنَّهُ لُدَّ وَلَيْسَ هُوَ عِلَاجُهُ ، وَلِأَنَّهُمْ ظَنُّوا أَنَّ بِهِ عِلَّةً بِعَيْنِهَا ، وَلَمْ تَكُنْ فِي الْحَقِيقَةِ بِهِ تِلْكَ الْعِلَّةُ
[13] Abu al-Abbas, Ahmad bin Muhammad (1905), Iryad al-Sārī li Syarh Ṣaḥīḥ al-Bukharī, Mesir: al-Matb’ah al-Kubra al-Amiriyah, j.8 h.376. Beliau berkata : وإنما أنكر التداوي لأنه كان غير ملائم لدائه لأنهم ظنوا أن به ذات الجنب فداووه بما يلائمها ولم يكن به ذلك
[14] Dalam istilah perubatan ia disebut sebagai snuff.
[15] Riwayat al-Tirmizi no.3048, Abu Isa, Muhammad bin Isa (1998), al-Jami’ al-Kabir, ed. Dr Bashar ‘Awwad Ma’ruf, Beirut: Dar al-Gharb al-Islamiy, j.3 h.457.
[16] Ibn Majah, Muhammad bin Yazid (2009), Sunan Ibn Mājah, ed. Sheikh Syu’aib al-Arnaut, Adil Mursyid, Muhammad Kamil Qurah Balali, Beiut: Dar al-Risalah al-‘Alamiyah, j.4 h.497.