Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 533: STATUS HADIS “MINUM AIR KENCING NABI SAW TERSELAMAT DARIPADA API NERAKA”

STATUS_HADIS.png

Soalan

Adakah benar terdapat hadis berkenaan dengan meminum air kencing Nabi SAW dan orang yang meminumnya dijauhkan dari api neraka? Mohon penjelasan.

Ringkasan Jawapan

Status hadis ini adalah da’if kerana terdapat perawi yang bernama Hukamah binti Umaymah merupakan seorang yang majhul. Selain itu, periwayatannya terdapat percanggahan di mana dalam satu riwayat beliau meriwayatkan bahawa Barrah (pembantu Ummu Salamah) yang meminum air kencing Nabi SAW, manakala dalam riwayat yang lain beliau menyebutkan bahawa Barakah (pembantu Ummu Habibah) yang meminum air kencing Nabi SAW.

Huraian Jawapan

Hadis yang ditanya dalam soalan di atas adalah hadis daripada Umaimah RA meriwayatkan bahawa:

كَانَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدَحٌ مِنْ عِيدَانٍ يَبُولُ فِيهِ، وَيَضَعُهُ تَحْتَ سَرِيرِهِ، فَقَامَ فَطَلَبَ، فَلَمْ يَجِدُهُ فَسَأَلَ، فَقَالَ: " أَيْنَ الْقَدَحُ؟ "، قَالُوا: شَرِبَتْهُ بَرَّةُ خَادِمُ أُمِّ سَلَمَةَ الَّتِي قَدِمَتْ مَعَهَا مِنْ أَرْضِ الْحَبَشَةِ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: " لَقَدِ احْتَظَرَتْ مِنَ النَّارِ بِحِظَارٍ "

Maksudnya: Dahulu Nabi SAW mempunyai bekas yang diperbuat dari pelepah kurma yang Baginda gunakan untuk kencing padanya, dan baginda letakkan di bawah tempat tidurnya. (Pada satu masa), baginda SAW mencari bekas tersebut, namun baginda SAW tidak menjumpainya. Maka baginda bertanya: “Di manakah bekas itu?”. Mereka berkata: “Telah diminum oleh Barrah, pembantu Ummu Salamah yang datang bersamanya dari negara Habsyah. Lalu Nabi SAW bersabda: “Sungguh dia telah terpelihara daripada api neraka”.

Riwayat al-Tabrani (527)

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Tabrani di dalam karyanya al-Mu’jam al-Kabir. Selain itu, hadis ini turut diriwayatkan dalam beberapa buah kitab yang lain seperti Abu Daud dalam sunannya, al-Nasa’i dalam sunannya, Ibn Abi ‘Asim dalam al-Ahad wa al-Mathani, Ibn al-Muqri dalam Muʻjam, al-Hakim dalam al-Mustadrak, al-Bayhaqi dalam Sunan al-Kubra, Ibn Hibban dalam sahihnya dan Abu Nu’aym dalam Ma’rifah al-Sahabah.

Tetapi Abu Daud, al-Nasa’i, al-Hakim dan Ibn Hibban meriwayatkan hadis ini dengan lafaz yang lebih ringkas tanpa menyebutkan tentang seorang sahabat minum air kencing Nabi SAW iaitu:

كَانَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدَحٌ مِنْ عِيدَانٍ تَحْتَ سَرِيرِهِ، يَبُولُ فِيهِ بِاللَّيْلِ

Maksudnya: Nabi SAW mempunyai bekas daripada pelepah kurma di bawah tempat tidurnya. Baginda membuang hadas kecil dengannya pada waktu malam.

Lafaz bagi hadis di atas adalah daripada lafaz Abu Daud. Abu Daud tidak memberi apa-apa komentar pada hadis ini. Al-Hakim menyebutkan bahawa hadis ini sanadnya sahih tetapi sunnah yang terdapat pada hadis ini gharib (janggal). (Rujuk al-Mustadrak ‘ala al-Sahihayn, 1/272)

Syeikh Syuʻayb al-Arna’ut menyebutkan ketika memberi komentar terhadap hadis ini dalam Sahih Ibn Hibban bahawa:

حكيمة بنت أميمة لم يوثقها غير المؤلف، وما روى عنها غير ابن جريج، وباقي رجاله ثقات

Maksudnya: Hukaymah binti Umaymah tiada siapa yang menilainya sebagai thiqah melainkan muallif (Ibn Hibban) dan tiada yang meriwayatkannya melainkan Ibn Jurayj. Perawi-perawi yang selebihnya adalah thiqah. (Rujuk Sahih Ibn Hibban, 4/274)

Ibn Hajar al-ʻAsqalani memberikan komentar ketika menyebutkan nama Hukaymah binti Umaymah bahawa:

حكيمة بنت أميمة عن أمها وعنها بن جريج لا تعرف

Maksudnya: Hukaymah binti Umaymah meriwayatkan daripada ibunya dan Ibn Jurayj meriwayatkan daripadanya (Hukaymah binti Umaymah) tidak diketahui.

(Rujuk Lisan al-Mizan, 7/524)

Kemudian, dalam Taqrib al-Tahdhib juga disebutkan bahawa Hukaymah binti Umaymah tidak diketahui (لا تعرف) dan termasuk dalam tingkatan (tabaqah) yang ketiga. (Rujuk Taqrib al-Tahdhib, 1/745)

Perkara tersebut menunjukkan bahawa Hukaymah binti Umaymah merupakan perawi yang majhul (tidak diketahui). Namun, Ibn Hibban memasukkan Hukaymah binti Umaymah di dalam karyanya al-Thiqat. (Rujuk al-Thiqat, 4/195)

Beliau menyebutkan bahawa terdapat seorang perawi yang meriwayatkan darinya iaitu Ibn al-Jurayj. Ibn Hibban adalah di antara tokoh hadis yang sangat longgar dan terlalu bermudah-mudah (tasahul) dalam menilai perawi yang majhul sebagai thiqah.

Bahkan, Ibn Hibban dalam isu ini beliau bersendiri dalam menilai perawi yang majhul sebagai thiqah. Manakala, periwayatan Hukaymah tersebut terdapat perbezaan lafaz. Dalam satu riwayat beliau meriwayatkan bahawa Barrah (pembantu Ummu Salamah) yang meminum air kencing Nabi SAW, manakala dalam riwayat yang lain beliau menyebutkan bahawa Barakah (pembantu Ummu Habibah) yang meminum air kencing Nabi SAW.

Oleh itu, Ibn Hajar al-ʻAsqalani menyebutkan bahawa:

قلت وهذا الذي ذهب اليه بن حبان من ان الرجل إذا انتفت جهالة عينه كان على العدالة الى ان يتبن جرحه مذهب عجيب والجمهور على خلافه وهذا هو مساك بن حبان في كتاب الثقات الذي الفه فإنه يذكر خلقا من نص عليهم أبو حاتم وغيره على انهم مجهولون وكان عند بن حبان ان جهالة العين ترتفع برواية واحد مشهور وهو مذهب شيخه بن خزيمة ولكن جهالة حاله باقية عند غيره

Maksudnya: “Aku (Ibn Hajar al-‘Asqalani) berkata: Pendapat Ibn Hibban (yang menyatakan) bahawa perawi yang hilang majhul ‘ain-nya bermaksud perawi tersebut adalah adil merupakan pendapat yang aneh. Kebanyakan (jumhur) ulama menyelisihi pandangannya. Ini adalah pandangan yang dipegang oleh Ibn Hibban dalam kitabnya al-Thiqat menyebutkan sejumlah perawi yang dicatat oleh Abu Hatim dan yang lainnya sebagai majhul. Ini kerana Ibn Hibban berpendapat bahawa majhul ‘ain itu akan terangkat oleh satu periwayatan daripada perawi yang terkenal. Ini merupakan pendapat gurunya iaitu Ibnu Khuzaimah. Namun para ulama yang lain menyatakan bahawa statusnya yang tidak diketahui itu tetap.”

(Rujuk Lisan al-Mizan, 1/14)

Kesimpulan

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, status hadis ini adalah da’if kerana Hukamah binti Umaymah seorang yang majhul. Selain itu, periwayatannya terdapat percanggahan di mana dalam satu riwayat beliau meriwayatkan bahawa Barrah (pembantu Ummu Salamah) yang meminum air kencing Nabi SAW, manakala dalam riwayat yang lain beliau menyebutkan bahawa Barakah (pembantu Ummu Habibah) yang meminum air kencing Nabi SAW. Wallahua’lam.

Bibliografi

Sulayman bin Ahmad al-Tabrani, al-Mu’jam al-Kabir, ed. Hamdi bin ʻAbd al-Majid al-Salafi (Kaherah: Maktabah Ibn Taymiyyah, t.t), 24/205.

Muhammad bin Hibban, Sahih Ibn Hibban bi Tartib Ibn Bilban, ed. Syuʻayb al-Arna’ut (Bayrut: Mu’assasah al-Risalah, 1993), 4/274.

Al-Hakim Muhammad bin Abdullah al-Naysaburi, al-Mustadrak ‘ala al-Sahihayn, ed. Mustafa ‘Abd al-Qadir ‘Ata (Bayrut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1990), 1/272.

Muhammad bin Hibban, al-Thiqat (India: Da’irah al-Ma’arif al-ʻUthmaniyyah, 1973), 4/195.

Ahmad bin ‘Ali bin Hajar al-‘Asqalani, Taqrib al-Tahdhib, ed. Muhammad ‘Awwamah (Syria: Dar al-Rasyid, 1986), 1/745.

Ahmad bin ‘Ali bin Hajar al-‘Asqalani, Lisan al-Mizan (India: Dar al-Maʻarif al-Nizamiyyah, 1971), 7/524.