Soalan
Assalamualaikum SS Datuk, semoga sentiasa dalam lindungan dan rahmat Allah.
Saya baru-baru ini mengikuti pengajian atas talian berkenaan mustalah hadith, lebih tepat berkaitan al-tadlis. Saya agak samar dalam memahami konsep dan pembahagiannya. Adakah situasi di pejabat di mana seseorang pegawai yang mengeluarkan sesuatu arahan dengan menggunakan nama majikan tanpa pengetahuannya dapat dikira sebagai salah satu realiti dalam tadlis?
Mohon pencerahan.
Ringkasan Jawapan
Situasi di mana seorang pegawai yang mengeluarkan suatu arahan dengan menggunakan nama majikan tanpa kebenaran dan pengetahuannya tidak dianggap sebagai tadlis. Tetapi perbuatan tersebut dianggap sebagai menipu. Dalam ilmu hadis, perbuatan seperti ini disebut sebagai pemalsuan hadis.
Huraian Jawapan
Dalam pengajian ilmu hadis terdapat satu topik perbahasan al-Tadlis. Tadlis adalah suatu perbuatan yang dilakukan oleh sebahagian perawi ketika meriwayatkan hadis atas sebab-sebab tertentu.
Sebelum dibahaskan dengan lebih lanjut, perlu untuk dijelaskan terlebih dahulu gambaran berkenaan tadlis menurut ilmu hadis. Dari sudut definisi, tadlis adalah berasal daripada kata dalasa. Secara bahasanya, tadlis bermaksud percampuran antara kegelapan dan cahaya[1] iaitu seolah-olah untuk menutupi kesalahan yang dilakukan. Sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Sakhawi:
وَهُوَ اخْتِلَاطُ الظَّلَامِ، كَأَنَّهُ لِتَغْطِيَتِهِ عَلَى الْوَاقِفِ عَلَيْهِ أَظْلَمَ أَمْرُهُ
Maksudnya: Ia (tadlis) adalah bercampur dengan kegelapan, seakan-akan untuk menutupi ke atas subjek yang ditadliskannya untuk mengkaburkan urusannya.[2]
Para ulama membahagikan tadlis kepada dua bahagian iaitu Tadlis al-Isnad dan Tadlis al-Syuyukh. Tadlis al-Isnad adalah situasi di mana seorang perawi meriwayatkan daripada gurunya sesuatu hadis yang perawi itu tidak mendengar daripadanya dengan menggunakan lafaz periwayatan yang bersifat tidak pasti seperti “Qala” atau “An”.[3]
Contoh bagi Tadlis al-Isnad ialah sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Hakim dengan sanadnya daripada Ali bin Khasyram bahawa beliau berkata, “Ibn ‘Uyainah meriwayatkan kepada kami daripada al-Zuhri: lalu ditanyakan kepadanya: “Apakah engkau telah mendengarnya daripada al-Zuhri?”. Ibn ‘Uyainah menjawab: “Tidak, dan tidak pula daripada orang yang mendengarnya daripada al-Zuhri. ‘Abd al-Razzaq telah menceritakan kepadaku, diriwayatkan daripada Ma’mar yang meriwayatkan daripada al-Zuhri. Oleh itu, dalam contoh ini Ibn ‘Uyainah telah menggugurkan dua orang perawi antara dia dan al-Zuhri iaitu ʻAbd al-Razzaq dan juga Ma’mar.[4]
Kemudian, Tadlis al-Syuyukh pula ialah situasi di mana seorang perawi meriwayatkan daripada gurunya suatu hadis yang dia dengar daripadanya, lalu dia menyebutkan nama gurunya dengan nama, gelaran, nasab atau sifat yang tidak diketahui ramai supaya gurunya tidak dikenali. [5]
Sebagai contoh, “Abu Bakr bin Mujahid al-Muqri’ menyebutkan bahawa ‘Abdullah bin Abi ‘Abdullah menceritakan kepada kami”. Sebenarnya yang dimaksudkan oleh Abu Bakr bin Mujahid al-Muqri’ adalah ʻAbdullah bin Abu Daud al-Sijistani.[6] Dalam contoh yang lain, beliau juga menyebutkan bahawa “Muhammad bin Sanad telah menceritakan kepada kami”, sedangkan yang dimaksudkan oleh beliau adalah Muhammad bin al-Hasan bin Muhammad bin Ziyad bin Harun bin Ja’far bin Sanad al-Naqqasyh tetapi beliau menyebutkan nama Muhammad tersebut dengan menbinkan moyang kepada moyang Muhammad iaitu Sanad.[7]
Dari sudut kedudukan tadlis, kebanyakan ulama hadis mencela perbuatan tadlis, sepertimana yang dinukilkan oleh Syeikh Nur al-Din ‘Itr kalam Syuʻbah bin al-Hajjaj, kata beliau:
التَّدْلِيسُ أَخُو الْكَذِبِ
Maksudnya: Tadlis adalah saudara (sama jenis) penipuan.[8]
Hal yang sama juga disebutkan oleh Imam al-Syafiʻi berkenaan al-tadlis. [9]
Antara sebab berlakunya tadlis dalam periwayatan adalah seperti berikut:[10]
- Menimbulkan keraguan berlakunya proses pengambilan riwayat (al-samaʻ) daripada individu yang dia tidak mendengarkan riwayat daripadanya.
- Tadlis menyebabkan perkara yang telah jelas menjadi samar-samar.
- Bimbang kalau dia menyebutkan perkara yang ditadliskannya akan menyebabkan dia tidak disukai.
Berbalik kepada persoalan yang ditanyakan, perbuatan seseorang pegawai yang mengeluarkan suatu arahan dengan menggunakan nama majikan tanpa pengetahuannya tidak dianggap sebagai tadlis. Tetapi perbuatan tersebut dianggap sebagai menipu. Dalam ilmu hadis, perbuatan seperti ini disebut sebagai pemalsuan hadis. Hal ini kerana, maksud bagi hadis palsu adalah sesuatu yang dicipta atau rekaan semata dan ia merupakan seburuk-buruk hadis daif (tidak termasuk hadis daif yang boleh diriwayatkan dan diamalkan, tetapi yang dimaksudkan daif di sini ialah hadis palsu).[11] Mudahnya ialah seseorang mereka-reka sesuatu perkhabaran lalu disandarkan kepada Nabi SAW tanpa rasa bersalah.
Justeru, dalam isu ini umat Islam diajarkan untuk sentiasa bercakap benar dan tidak menipu sesama manusia tidak kira sama ada dengan orang Islam mahupun bukan Islam. Selain itu, perbuatan menggunakan nama majikan dalam melaksanakan sesuatu arahan tanpa pengetahuan dan kebenarannya akan menimbulkan konflik dalam pentadbiran sesuatu organisasi. Bahkan, perbuatan tersebut juga menunjukkan bahawa pegawai tersebut merupakan seorang yang tidak amanah dalam melakukan tugasnya dan suka menyebarkan berita-berita berbentuk palsu (Hoax). Sikap yang mazmumah seperti ini perlu dihindari dalam gerak kerja sesuatu organisasi agar konsep amanah dan integriti dalam sesebuah organisasi dapat diterapkan. Wallahuaʻlam.
[1] Nur al-Din ‘Itr, Manhaj al-Naqd fi ‘Ulum al-Hadith (Dimasyq: Dar al-Fikr, 1981), 380.
[2] Syams al-Din Muhammad bin ‘Abd al-Rahman al-Sakhawi, Fath al-Mughith bi Syarh Alfiyyah al-Hadith li al-‘Iraqi, ed. ‘Ali Husin ‘Ali (Misr: Maktabah al-Sunnah, 2003), 1: 222.
[3] Mahmud Tahhan, Taisir Mustalah al-Hadith (al-Riyad: Maktabah al-Maʻarif, 2010), 97.
[4] Ibid., 98.
[5] Uthman bin ʻAbd al-Rahman Ibn al-Salah, Ma’rifah Anwaʻ ʻUlum al-Hadith, ed. Nur al-Din ʻItr (Syria: Dar al-Fikr, 1986), 73.
[6] Syams al-Din Muhammad bin ‘Abd al-Rahman al-Sakhawi, Fath al-Mughith bi Syarh Alfiyyah al-Hadith li al-ʻIraqi, ed. ‘Ali Husain ‘Ali (Misr: Maktabah al-Sunnah, 2003), 1: 236.
[7] Ibid.
[8] Nur al-Din ‘Itr, Manhaj al-Naqd fi ‘Ulum al-Hadith, 383.
[9] Uthman bin ʻAbd al-Rahman Ibn al-Salah, Ma’rifah Anwaʻ ʻUlum al-Hadith, ed. Nur al-Din ʻItr (Syria: Dar al-Fikr, 1986), 73.
[10] Mahmud Tahhan, Taisir Mustalah al-Hadith, 103.
[11] Jalal al-Din al-Suyuti, Tadrib al-Rawi fi Syarh Taqrib al-Nawawi, ed. Syeikh Muhammad ʻAwwamah, 3: 426.