Soalan:
Assalamu’alaikum YBhg. S.S. Dato’ Dr Mufti,
Saya ingin bertanya tentang status Hadith Nabi yang bermaksud :“Dunia ini ibarat bangkai. Hanya anjing sahaja yang akan merebut bangkai”
Mohon YBhg. Dato’ Dr dapat menjelaskannya sama ada ianya adalah hadith sahih atau Hassan atau dhoif atau maudhu’.
Sekian, terima kasih.
Ringkasan Jawapan:
Setelah merujuk kepada beberapa karya ulama seperti al-Mawdhuʻat oleh al-Saghani, maka status hadis tersebut adalah maudu’ (palsu). Namun begitu, kebenaran kandungannya tidaklah mensabitkan riwayat itu daripada Nabi SAW.
Huraian Jawapan:
Waalaikumussalam, Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT tuhan semesta alam selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para sahabat serta mereka yang mengikut jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Berkenaan dengan persoalan yang diajukan maka lafaz asal teks seperti yang dimaksudkan adalah seperti berikut:
الدُّنيا جِيفةٌ ، وطُلَّابُها كلابٌ
Maksudnya: “Dunia itu ibarat bangkai dan golongan yang mengejarnya itu adalah anjing-anjing.” [1]
(Rujuk Al-Maudhu’at, 1/38)
Berdasarkan pencarian kami, riwayat ini tidak terdapat dalam kitab-kitab hadis yang muktabar serta di dalam sumber yang primer. Riwayat tersebut telah dimasukkan oleh Imam al-Saghani dalam karyanya al-Maudhuʻat.
Al-‘Ajluniy juga menukilkan pandangan Al-Saghani, di mana beliau dengan perincian berikut:
قال الصغاني موضوع، أقول وإن كان معناه صحيحا لكنه ليس بحديث
Maksudnya: “Al-Saghani berkata ia adalah maudhu’. Aku menyatakan bahawa dari sudut makna ia adalah benar akan tetapi ia bukanlah hadis.” [2]
(Rujuk Kasyf al-Khafa’: 1/409)
Berdasarkan kenyataan di atas, al-‘Ajluniy mengatakan meskipun maknanya itu benar tetapi ia bukan hadis. Riwayat ini juga disebutkan oleh al-Suyuti dengan lafaz berikut:
الدُّنْيَا جيفَةٌ، والنَّاسُ كِلاَبُهَا
Maksudnya: “Dunia ibarat bangkai dan manusia adalah anjing-anjingnya.” [3]
Kemudian, Abu Nu’aim dalam Hilyah menyebutkan daripada Yusuf bin Asbat berkata, Ali bin Abi Talib RA berkata:
الدنيا جيفة، فمن أرادها فليصبر على مخالطة الكلاب
Maksudnya: “Dunia itu adalah bangkai, maka sesiapa yang menginginkannya hendaklah ia bersabar dalam bercampur dengan anjing-anjing.” [4]
(Rujuk Hilyah al-Auliya’: 8/238)
Kesimpulan:
Berdasarkan kenyataan dan fakta yang telah dinyatakan, status hadis tersebut adalah maudu’ sepertimana yang telah dinyatakan oleh al-Saghani. Namun begitu, kebenaran kandungannya tidaklah mensabitkan riwayat itu daripada Nabi SAW.
Wallahua’lam.
Rujukan:
[1] Al-Saghani, Radhiyuddin al-Hasan bin Muhammad bin al-Hasan bin Haidar al-‘Adwi al-‘Umari al-Qarsyi. 1405H. Al-Maudhu’at. Cetakan ke-2. Tahqiq: Najmu Abd Rahman Khalaf. Damsyik: Dar al-Ma’mun Li al-Turath. H38, no:36.
[2] Al-Jarahi, Ismail bin Muhammad al-‘Ajluni. 1351H. Kasyf al-Khafa’ wa Mazil al-Ilbas ‘Amma Isytahara Min al-Ahadis ‘Ala Alsinah an-Nas. Kaherah: Maktanah Al-Qudsi. H409, no:1313.
[3] Jalal al-Din al-Suyuti. t.t. al-Durrar al-Mutanathirah fi al-Ahadith al-Musytahirah, ed. al-Riyad: ‘Umadah Syu’un al-Maktabat. j1: H119.
[4] Abu Nuʻaim Ahmad bin Abdullah al-Asbahani. 1974. Hilyah al-Auliya’ wa Tabaqat al-Asfiya’. Beirut: Dar al-Kitab al-Arabiy. j8: H238.