Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 551 : SESIAPA YANG BERSELAWAT KE ATAS NABI SEBANYAK 100 KALI PADA HARI JUMAAT, ALLAH AKAN TUNAIKAN 100 HAJAT

Presentation1

Soalan:

Assalamualaikum ustaz. Saya ada persoalan. Saya pernah dengar seorang ustaz menyebut sesiapa yang berselawat ke atas Nabi SAW pada hari Jumaat sebanyak seratus kali, Allah akan tunaikan 100 hajatnya. 70 hajat di dunia dan 30 hajat di dunia. Adakah benar ada hadis ini ustaz? Maaf kalau pertanyaan saya ini tidak menyenangkan ustaz.

Ringkasan jawapan:

Hadis ini diriwayatkan dalam beberapa kitab hadis. Antaranya di dalam al-Targhīb wa al-Tarhīb oleh Qawam al-Sunnah (m.535 H)  melalui jalur riwayat Ibrahim bin Muhammad bin Ishak. Hadis ini juga diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqī (m. 458 H) di dalam Syu’ab al-Iman , Faḍail al-Awqāt  dan Hayāt al-Anbiyā fi Qubūrihim  melalui jalur riwayat Muhammad bin Ismail bin Salim al-Ṣāigh Kedua-dua jalur tersebut bertemu pada paksi (madar) yang sama iaitu Hakkamah binti Uthman bin Dīnār daripada ayah beliau, Uthman bin Dīnār daripada Malik bin Dīnār daripada Anas bin Malik daripada Nabi SAW.

Hadis ini terlalu lemah disebabkan beberapa sebab, antaranya :

  • Terdapat dua perawi yang bermasalah iaitu Hakkamah binti ‘Uthman bin Dīnār dan ayah beliau, ‘Uthman bin Dīnār. Kedua-duanya adalah perawi yang tidak memiliki kredibiliti dalam periwayatan hadis. Bahkan al-‘Uqailī menyebutkan bahawa Hakkamah sering meriwayatkan hadis-hadis batil yang tiada asalnya daripada ayah beliau.
  • Hadis ini diriwayatkan secara tafarrud (bersendirian). Hal ini kerana tiada jalur lain yang menyokong riwayat Hakkamah binti ‘Uthman bin Dīnār.

Walaupun hadis ini terlalu lemah, ia tidak menafikan kelebihan berselawat kepada Nabi SAW pada hari Jumaat seperti yang terdapat dalam riwayat-riwayat yang sahih.

Huraian jawapan:

Teks (matan) hadis tersebut adalah seperti berikut :

من صلى علي يوم جمعة وليلة جمعة مائة من الصلاة، ‌قضى ‌الله ‌له ‌مائة ‌حاجة: سبعين من حوائج الآخرة، وثلاثين من حوائج الدنيا، ووكل الله بذلك ملكاً يدخله على قبري كما يدخل عليكم الهدايا، إن علمي بعد موتي كعلمي في الحياة

Maksudnya: : “Sesiapa yang berselawat ke atas aku pada hari Jumaat dan malam Jumaat  sebanyak 100 kali selawat, Allah akan memperkenankan baginya 100 hajat. 70 daripadanya hajat akhirat dan 30 daripadanya adalah hajat dunia. Allah akan mengutuskan malaikat dengan selawat tersebut di mana dia akan masukkannya ke kubur saya sepertimana hadiah yang diberikan kepada kalian. Sesungguhnya pengetahuan saya selepas mati sama seperti pengetahuan saya ketika hidup.”

Hadis ini diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA. Hadis ini diriwayatkan dalam beberapa kitab hadis. Antaranya di dalam al-Targhīb wa al-Tarhīb oleh Qawam al-Sunnah (m.535 H)[1] melalui jalur riwayat Ibrahim bin Muhammad bin Ishak. Hadis ini juga diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqī (m. 458 H) di dalam Syu’ab al-Iman[2], Faḍail al-Awqāt[3] dan Hayāt al-Anbiyā fi Qubūrihim[4] melalui jalur riwayat Muhammad bin Ismail bin Salim al-Ṣāigh Kedua-dua jalur tersebut bertemu pada paksi (madar) yang sama iaitu Hakkamah binti Uthman bin Dīnār daripada ayah beliau, Uthman bin Dīnār daripada Malik bin Dīnār daripada Anas bin Malik daripada Nabi SAW.

Dalam riwayat Muhammad bin Ismail bin Salim al-Ṣāigh menyebut bahawa Hakkamah bin Uthman bin Dīnār meriwayatkan daripada Anas RA. Dalam riwayat yang sama juga  Muhammad bin Ismail menyebut bahawa Hakkamah bin ‘Uthman meriwayatkan daripada ayah beliau, ‘Uthman bin Dīnār daripada Malik bin Dīnār daripada Anas bin Malik RA. Akan tetapi, riwayat Malik bin Dinar adalah lebih tepat kerana Hakkamah binti ‘Uthman tidak pernah bertemu dengan Anas bin Malik apatahlagi meriwayatkan hadis daripadanya. Dalam riwayat ini hanya Malik bin Dinar yang pernah bertemu Anas bin Malik.[5]

Ibrahim bin Muhammad bin Ishak adalah perawi yang berasal dari Baṣrah. Beliau merupakan perawi yang thiqah (dipercayai kredibilitinya dalam periwayatan hadis). Hal ini disebutkan oleh Ibn Hibban dalam kitab beliau al-Thiqāt.[6]

Muhammad bin Ismail al-Ṣāigh adalah tokoh hadis yang berasal daripada Mekah. Menurut Ibn Abi Hatim (m.327 H) beliau adalah seorang perawi saduq.[7] Ibn Kharrasy, Abdurrahman bin Yusuf (m. 208 H) menjelaskan :

هُوَ من أهل الفهم والأمانة

“Beliau adalah dari kalangan ulama yang mempunyai kefahaman dan amanah.”[8]

Hakkamah binti ‘Uthman bin Dīnār adalah seorang perawi yang dipertikaikan oleh para ulama hadis. Al-‘Uqailī menjelaskan bahawa beliau banyak meriwayatkan hadis-hadis yang batil yang tiada asal usul daripada ayahnya.[9]

‘Uthman bin Dīnār juga adalah antara perawi yang tidak terlepas daripada kritikan. Imam al-Zahabi mengatakan bahawa beliau adalah perawi yang tiada kelayakan dalam periwayatan hadis.[10] Penilaian yang dikemukakan oleh Imam al-Zahabi ini turut dipersetujui oleh Ibn Hajar al-Asqalanī (m.852 H).[11]

Malik bin Dīnār adalah saudara kepada ‘Uthman bin Dīnār. Beliau adalah perawi yang thiqah. Hal ini dinyatakan oleh Imam al-Nasa’ī.[12] Beliau adalah antara perawi yang dimuatkan oleh Imam al-Tirmizi dan al-Nasa’ī dalam kitab mereka.

Justeru, hadis ini terlalu lemah disebabkan beberapa sebab, antaranya :

  • Terdapat dua perawi yang bermasalah iaitu Hakkamah binti ‘Uthman bin Dīnār dan ayah beliau, ‘Uthman bin Dīnār. Kedua-duanya adalah perawi yang tidak memiliki kredibiliti dalam periwayatan hadis. Bahkan al-‘Uqailī menyebutkan bahawa Hakkamah sering meriwayatkan hadis-hadis batil yang tiada asalnya daripada ayah beliau.
  • Hadis ini diriwayatkan secara tafarrud (bersendirian). Hal ini kerana tiada jalur lain yang menyokong riwayat Hakkamah binti ‘Uthman bin Dīnār.

Walaupun hadis ini terlalu lemah, ia tidak menafikan kelebihan berselawat kepada Nabi SAW pada hari Jumaat. Antaranya hadis yang dinukilkan oleh Imam al-Baihaqi di dalam kitab al-Sunan al-Kubrā[13] bahawa Nabi SAW bersabda:

أَكْثِرُوا عَلَيَّ مِنَ الصَّلَاةِ فِي كُلِّ يَوْمِ جُمُعَةٍ؛ فَإِنَّ صَلَاةَ أُمَّتِي تُعْرَضُ عَلَيَّ فِي كُلِّ يَوْمِ جُمُعَةٍ، فَمَنْ كَانَ أَكْثَرَهُمْ عَلَيَّ صَلَاةً كَانَ أَقْرَبَهُمْ مِنِّي مَنْزِلَةً

Maksudnya: Perbanyakkan berselawat ke atas saya pada setiap hari Jumaat. Sesungguhnya selawat umat saya dibentangkan kepada saya pada setiap hari Jumaat. Sesiapa yang paling banyak berselawat kepada saya, dia adalah orang yang paling hampir kedudukannya dengan saya.”

NOTA HUJUNG :

[1] Abu al-Qasim al-Asbahani, Ismail bin Muhammad (1993), al-Targhīb wa al-Tarhīb, ed. Ayman bin Ṣalih, Kaherah: Dar al-Hadith, j.2 h.320. أخبرنا أبو عمرو: عبد الوهاب أنبأ والدي أبو عبد الله أنبأ محمد بن عمر بن جميل ثنا إبراهيم بن محمد بن إسحاق البصري قال: حدثتنا حكامة بنت عثمان بن دينار عن أبيها عثمان عن أخيه مالك بن دينار عن أنس بن مالك رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم

[2] Abu Bakar al-Baihaqi, Ahmad bin al-Husain (2003), Syu’ab al-Imān, ed. Dr Abdul ‘Ali Abdul Hamid Hamid, Riyadh: Dar al-Rushd, Mumbai: Dar al-Salafiyah, j.4 h.435

[3] Abu Bakar al-Baihaqi, Ahmad bin al-Husain (1989), Faḍail al-Awqāt, ed. Adnan Abdurrahman, Mekah Mukarramah: Maktabah al-Manarah, h.498.

[4] Abu Bakar al-Baihaqi, Ahmad bin al-Husain (1993), Hayāt al-Anbiyā Ṣalawat Allah ‘alaihim ba’d Wafātihim, ed. Dr Ahmad ‘Aṭiyah, Madinah Munawwarah: Maktabah al-Ulum wa al-Hikam, h.93. أَخْبَرَنَا أَبُو الْحَسَنِ عَلِيُّ بْنُ مُحَمَّدِ بْنِ عَلِيٍّ السِّقَاءُ الْإِسْفَرَائِينِيُّ قَالَ: حَدَّثَنِي وَالِدِي أَبُو عَلِيٍّ , ثنا أَبُو رَافِعٍ أُسَامَةُ بْنُ عَلِيِّ بْنِ سَعِيدٍ الرَّازِيُّ بِمِصْرَ , ثنا مُحَمَّدُ بْنُ إِسْمَاعِيلَ بْنِ سَالِمٍ الصَّائِغُ , حَدَّثَتْنَا حَكَّامَةُ بِنْتُ عُثْمَانَ بْنِ دِينَارٍ , أَخِي مَالِكِ بْنِ دِينَارٍ قَالَتْ: حَدَّثَنِي أَبِي عُثْمَانُ بْنُ دِينَارٍ , عَنْ أَخِيهِ مَالِكِ بْنِ دِينَارٍ , عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ , خَادِمِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

[5] Syamsuddin al-Zahabi, Muhammad bin Ahmad (1985), Siyar ‘Alām al-Nubalā, ed. Sheikh Syu’aib al-Arnaut, Beirut: Muassasah al-Risalah, j.2 h.365. Imam al-Zahabi berkata : وَسَمِعَ مِنْ: أَنَسِ بنِ مَالِكٍ فَمَنْ بَعْدَه

[6] Ibn Hibban, Muhammad bin Hibban (1973), al-Thiqāt, India: Dairah al-Ma’ārif al-Uthmaniyah, j.8 h.88. ‌إِبْرَاهِيم ‌بن ‌مُحَمَّد ‌بن ‌إِسْحَاق بن أبي الْجَحِيم من أهل الْكُوفَة يروي عَن أبي نعيم روى عَنهُ أَهلهَا والغرباء وَكَانَ صيرفيا أَصله من الْبَصْرَة

[7] Ibid., j.13 h.161. Imam al-Zahabi menukilkan : قَالَ ابْنُ أَبِي حَاتِمٍ: صَدُوْقٌ

[8] Al-Mizzi, Yusuf bin Abdurrahman (1980), Tahzīb al-Kamāl fi Asmā al-Rijāl, ed. Dr. Basyar ‘Awwad Ma’ruf, Beirut: Muassasah al-Risalah, j.24 h.475.

[9] Abu Ja’far al-‘Uqailī, Muhammad bin ‘Amr (1984), al-Ḍu’afā al-Kabīr, ed. Abdul Mu’ṭi Amin Qal’aji, Beirut: Dar al-Maktabah al-‘Ilmiyah, j.3 h.200. Al-‘Uqailī berkata: عُثْمَانُ بْنُ دِينَارٍ أَخُو مَالِكِ بْنِ دِينَارٍ تَرْوِي عَنْهُ حَكَّامَةُ ابْنَتُهُ أَحَادِيثَ بَوَاطِيلَ لَيْسَ لَهَا أَصْلٌ

[10] Syamsuddin al-Zahabi, Muhammad bin Ahmad (1963), Mizān al-‘Itidāl fi Naqd al-Rijāl, ed. Ali Muhammad al-Bijawī, Beirut: Dar al-Ma’rifah, j.3 h.33. ‌عثمان ‌بن ‌دينار أخو مالك بن دينار البصري، والد حكامة لا شئ

[11] Ibn Hajar al-‘Asqalanī, Ahmad bin Ali (1971), Lisan al-Mizān, ed. Dairah al-Maarif al-Nizamiyah, Beirut: Muassasah al-‘Alami Li al-Maṭbu’at, j.4 h.140. ‌عثمان ‌بن ‌دينار أخو مالك بن دينار البصري والد حكامه لا شيء والخبر كذب بين

[12] Abu Muhammad al-Maqdisī, Abdul Ghanī bin Abdul Wahid (2016), al-Kamāl fi Asmā al-Rijāl, ed. Shadi bin Muhammad Ali Nu’man, Kuwait: Sharikah Ghuras li al-Di’ayah wa al-‘Ilan wa al-Nasyr wa al-Tauzi’, j.8 h.279. قال النَّسائي: هو ثقة

[13] Riwayat al-Baihaqī no. 5995, Abu Bakar al-Baihaqī, Ahmad bin al-Husain (2003), al-Sunan al-Kubrā, ed. Muhammad Abdul Kadir ‘Aṭa, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyah, j.3 h.353.