Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 567: BENARKAH KISAH RASULULLAH SAW TIDAK MAHU MENGEJUTKAN KUCING YANG SEDANG TIDUR DI ATAS RIDA’?

2323.jpg

Soalan

Assalamualaikum, saya mahu bertanya benarkah terdapat kisah Rasulullah SAW dengan seekor kucing yang tidur di atas kain serban Baginda. Rasulullah SAW dikatakan tidak mahu mengejutkan kucing itu, lalu Baginda memotong sebahagian kain serban Baginda. Mohon jasa baik jika dapat jelaskan mengenai hadis atau riwayat tersebut, wallahua’lam.

Ringkasan Jawapan

Riwayat yang menyebutkan bahawa Nabi SAW menggunting sebahagian rida’nya(selendang) kerana tidak mahu mengejutkan kucing yang sedang tidur di atasnya tidak dijumpai dalam mana-mana karya hadis yang muktabar. Namun Imam al-Zahabi dalam karyanya Siyar Aʻlam al-Nubala’ telah menukilkan suatu kisah berkenaan Syeikh al-Rifaʻi Abu al-ʻAbbas Ahmad bin ʻAli bin Ahmad bin Yahya dengan seekor kucing yang sedang tidur di atas lengan bajunya, disebutkan bahawa kucing tersebut sedang tidur di atas lengan bajunya kemudian beliau menggunting lengan bajunya kerana hendak menunaikan solat.

Huraian Jawapan

Islam menggalakkan umatnya untuk sentiasa menyayangi haiwan. Malah sesiapa yang melakukan kezaliman terhadap haiwan maka dia akan mendapat balasan yang pedih. Perkara ini sebagaimana yang disebutkan dalam hadis, Abdullah bin Umar RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:

دَخَلَتِ امْرَأَةٌ النَّارَ فِي هِرَّةٍ رَبَطَتْهَا، فَلَمْ تُطْعِمْهَا، وَلَمْ تَدَعْهَا تَأْكُلُ مِنْ خَشَاشِ الأَرْضِ

Maksudnya: Seorang wanita dimaksukkan ke dalam neraka disebabkan seekor kucing yang ditambatnya, tidak diberi makanannya, dan tidak melepaskannya untuk mencari makanan di atas muka bumi.[1]

Riwayat al-Bukhari

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, setelah melakukan carian terhadap karya-karya hadis maka tidak dijumpai riwayat yang menyebutkan bahawa Nabi SAW menggunting sebahagian rida’nya(selendang) kerana tidak mahu mengejutkan seekor kucing yang sedang tidur di atasnya.

Tetapi terdapat suatu kisah yang seakan-akan dengan persoalan di atas. Imam al-Zahabi ketika menceritakan peribadi al-Rifaʻi Abu al-ʻAbbas Ahmad bin ‘Ali bin Ahmad bin Yahya, beliau mendatangkan kisah Syeikh Ahmad bersama kucing ketika hendak melakukan solat, kata beliau:

قِيْلَ: إِنَّ هرَّة نَامت عَلَى كُمِّ الشَّيْخ أَحْمَد، وَقَامَت الصَّلاَة، فَقص كُمَّه وَمَا أَزعجهَا، ثُمَّ قَعَدَ، فَوَصَلَهُ، وَقَالَ: مَا تَغَيَّر شَيْء.

Maksudnya: Dikatakan bahawa seekor kucing sedang tidur di atas lengan baju Syeikh Ahmad dan solat pun bermula. Maka beliau memotong lengan bajunya dan apa yang mengganggunya. Kemudian, beliau duduk dan menyambungkannya dan beliau berkata tidak ada apa yang berubah.[2]

Kesimpulannya, riwayat yang menyebutkan bahawa Nabi SAW menggunting sebahagian rida’nya(selendang) kerana tidak mahu mengejutkan kucing yang sedang tidur di atasnya tidak dijumpai dalam mana-mana karya hadis yang muktabar. Tetapi terdapat kisah lain berkenaan Syeikh al-Rifaʻi Abu al-ʻAbbas Ahmad bin ʻAli bin Ahmad bin Yahya dengan seekor kucing. Diceritakan bahawa kucing sedang tidur di atas lengan bajunya kemudian beliau menggunting lengan bajunya kerana hendak menunaikan solat. Perkara ini sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam al-Zahabi dalam karyanya Siyar Aʻlam al-Nubala’. Wallahuaʻlam.

[1] Muhammad bin Ismaʻil al-Bukhari. (t.t.), Sahih al-Bukhari. ed. Muhammad Zuhair bin Nasir al-Nasir. Dar Tuq al-Najah. no. hadis 3318. 4: 130.

[2] Al-Zahabi. (1985). Siyar Aʻlam al-Nubala’. Beirut: Mu’assasah al-Risalah. 21: 78.