Soalan:
Assalamualaikum Datuk, betul ke ada hadis mengenai ucapan raya “taqabbalallahu minna wa minkum” semasa pagi hari raya?
Ringkasan Jawapan:
Riwayat yang menyandarkan ucapan: “semoga Allah menerima amalanku dan amalanmu” merupakan riwayat yang daif jiddan. Pendapat yang lebih kuat riwayat ini hanyalah riwayat berbentuk mauquf(terhenti kepada sahabat). Walau bagaimanapun diharuskan untuk mengucapkannya berdasarkan riwayat-riwayat lain yang menunjukan para sahabat saling mengucapkan ucapan tahniah tersebut pada hari raya dan riwayat ini berstatus hasan.
Huraian Jawapan:
Suasana di Malaysia pada hari raya Aidilfitri orang ramai akan mengucapkan selamat hari raya maaf zahir dan batin. Imam al-Suyuti mengarang sebuah kitab bertajuk Wusul al-Amani bi Usul al-Tahani[1] yang menghimpunkan hadis-hadis berkaitan ucapan-ucapan tahniah sama ada pada hari raya atau selainnya. Antara riwayat yang beliau sebutkan dalam buku tersebut ialah ucapan pada hari raya:
تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ
Maksudnya: “Semoga Allah menerima amalanku dan amalanmu.”
Mengenai ucapan hari raya ini terdapat sebuah riwayat seperti yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra[2], berkata Khalid bin Ma’dan:
لَقِيتُ وَاثِلَةَ بْنَ الْأَسْقَعِ فِي يَوْمِ عِيدٍ، فَقُلْتُ: تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكَ، فَقَالَ: " نَعَمْ، تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكَ "، قَالَ وَاثِلَةُ: " لَقِيتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ عِيدٍ فَقُلْتُ: تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكَ، قَالَ: " نَعَمْ، تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكَ
Maksudnya: “Aku bertemu dengan Wasilah bin al-Asyqa’ lalu aku berkata - semoga Allah menerima amalanku dan amalan kamu – lalu Wasilah bin al-Asyqar’ berkata- ya, semoga Allah menerima amalanku dan amalan kamu – dan beliau berkata lagi - Aku pernah bertemu Rasulullah SAW pada hari raya kemudian aku berkata kepada Nabi SAW: semoga Allah menerima amalanku dan amalanmu dan Nabi membalas: Ya, semoga Allah menerima amalanku dan amalanmu - .”
Wasilah bin al-Asyqa’ menyandarkan riwayat ini kepada Nabi SAW (Hadis marfu’) namun Ibn Adi yang meriwayatkan hadis ini dalam kitabnya al-Kamil mengatakan bahawa riwayat ini merupakan riwayat yang mungkar[3]. Terdapat perawi bernama Muhammad bin Ibrahim al-Syami beliau seorang munkar al-hadis di samping itu menurut al-Sakhawi[4] dan Mula Ali al-Qari[5] riwayat yang lebih kuat ialah riwayat yang mauquf dan bukannya marfu’.
Walau bagaimanapun terdapat riwayat daripada Jubair bin Nufair yang menyebutkan bahawa para sahabat RA apabila bertemu mereka akan saling mengucapkan: “semoga Allah menerima amalanku dan amalanmu”. Riwayat ini dinilai hasan oleh Imam Ibn Hajar al-Asqalani[6] dan begitu juga Imam al-Suyuti[7]. Selain itu, dalam riwayat yang lain disebutkan bahawa Talhah RA mengucapkan tahniah kepada Kaab RA di atas taubatnya[8].
Di kalangan ulama mazhab Syafi’i yang awal tidak ada yang menyebutkan berkenaan ucapan tahniah pada hari raya namun al-Hafiz al-Munziri berpandangan bahawa hukum mengucapkan tahniah adalah harus dan bukannya sunat ataupun bidaah. Manakala Imam Ibn Hajar al-Asqalani berpandangan hukum mengucapkan tahniah adalah disyariatkan berdasarkan riwayat-riwayat yang banyak yang meskipun berstatus lemah namun ia boleh digunakan dalam bab fadail amal[9].
Kesimpulannya, Riwayat yang menyandarkan ucapan: “semoga Allah menerima amalanku dan amalanmu” merupakan riwayat yang daif jiddan. Pendapat yang lebih kuat riwayat ini hanyalah riwayat berbentuk mauquf(terhenti kepada sahabat). Walau bagaimanapun diharuskan untuk mengucapkannya berdasarkan riwayat-riwayat lain yang menunjukan para sahabat saling mengucapkan ucapan tahniah tersebut pada hari raya dan riwayat yang lemah masih boleh digunakan dalam bab fadail amal.
Wallahu A'lam
Rujukan:
[1] Imam al-Suyuti, Wusul al-Amani bi Usul al-Tahani, Mesir: Dar Imam Ahmad (2006).
[2] Imam al-Baihaqi, Sunan al-Kubra, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah (2003), jld. 3, hlm. 446.
[3] Ibn Adi, al-Kamil fi Duafa’ al-Rijal, Beirut: al-Kutub al-Ilmiyyah (1997), jld. 6, hlm. 2247.
هذا منكر, لا أعلم يرويه عن بقية غير محمد بن إبراهيم هذا, وهو منكر الحديث, وعامة أحاديثه غير محفوطة.
[4] Al-Sakhawi, al-Maqasid al-Hasanah, Beirut: Dar al-Kitab al-Arabiy (1985), hlm. 271.
حَدِيثُ: التَّهْنِئَةِ بِالشُّهُورِ وَالأَعْيَادِ، هُوَ مِمَّا اعْتَادَهُ النَّاسُ، مَرْوِيٌّ فِي خُصُوصِ الْعِيدِ أَنَّ خَالِدَ بْنَ مَعْدَانَ لَقِيَ وَاثِلَةَ بْنَ الأَسْقَعِ فِي يَوْمِ عِيدٍ، فَقَالَ لَهُ: تَقَبَّلَ اللَّه مِنَّا وَمِنْكَ، فَقَالَ لَهُ: نَعَمْ، تَقَبَّلَ اللَّه مِنَّا وَمِنْكَ، وأسنده إلى النبي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، ولكن الأشبه فيه الوقف خاصة بما عند البيهقي،
[5] Mula Ali al-Qari, al-Asrar al-Marfu’ah fi al-Akhbar al-Mauduah, Beirut: Muassasah al-Risalah (t.t), hlm. 168.
التَّهْنِئَةُ بِالشُّهُورِ وَالْأَعْيَادِ مِمَّا اعْتَادَهُ النَّاسُ فِي بَعْضِ الْبِلَادِ لَمْ يَرِدْ فِيهِ شَيْءٌ صَرِيحٌ فِي هَذَا الْمَبْنَى وَلَكِنَّهُ صَحِيحٌ فِي الْمَعْنَى فَقَدْ لَقِيَ خَالِدُ بْنُ مِعْدَانَ وَاثِلَةَ ابْنَ الْأَسْقَعِ فِي يَوْمِ عِيدٍ فَقَالَ تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنَّكَ فَقَالَ لَهُ نَعَمْ تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْكَ وَأَسْنَدَهُ إِلَى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلَكِنَّ الْأَشْبَهَ فِيهِ الْوَقْفُ
[6] Imam Ibn Hajar al-Asqalani, Fath al-Bari bi Syarh Sahih al-Bukhari, Beirut: Dar al-Makrifah (1379H), jld. 2, hlm. 446.
وَرَوَيْنَا فِي الْمَحَامِلِيَّاتِ بِإِسْنَادٍ حَسَنٍ عَنْ جُبَيْرِ بْنِ نُفَيْرٍ قَالَ كَانَ أَصْحَابُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا الْتَقَوْا يَوْمَ الْعِيدِ يَقُولُ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْكَ
[7] Imam al-Suyuti, Op cit.
[8] Imam al-Sakhawi, Op cit.
بل أقوى منه ما في الصحيحين من قيام طلحة لكعب رضي اللَّه عنه، وتهنئته بتوبة اللَّه عليه
[9] Imam Ramli, Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj, Beirut: Dar al-Fikr (1984), jld. 2, hlm. 401.
وقد قال القمولي: لم أر لأصحابنا كلاما في التهنئة بالعيد والأعوام والأشهر كما يفعله الناس، لكن نقل الحافظ المنذري عن الحافظ المقدسي أنه أجاب عن ذلك بأن الناس لم يزالوا مختلفين فيه، والذي أراه أنه مباح لا سنة فيه ولا بدعة. وأجاب عنه شيخ الإسلام حافظ عصره ابن حجر بعد اطلاعه على ذلك بأنها مشروعة، واحتج له بأن البيهقي عقد لذلك بابا فقال: باب ما روي في قول الناس بعضهم لبعض في يوم العيد تقبل الله منا ومنك، وساق ما ذكره من أخبار وآثار ضعيفة لكن مجموعها يحتج به في مثل ذلك.